StatTrack
free web hosting | free website | Business Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Dialog: Pelajar Melayu perlu perkukuh jati diri


Oleh: MOHD ZAIDI AZIZ,
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

MERUJUK kepada kenyataan, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Senator Datuk Zainuddin Maidin, dalam Berita Harian Sabtu 19 Januari 2002 lalu bertajuk Pelajar Melayu IPT digesa keluar kepompong, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik seruan itu.

Sewajarnya generasi muda mampu meletakkan diri mereka dalam status yang lebih memiliki idealisme, aktivisme dan intelektualisme untuk berdaya saing bagi mendepani kemelut sosial, cabaran semasa dan agenda persejagatan atau globalisasi kini. Perkara ini bukanlah baru dibicarakan, malah sudah ramai orang cuba menyatakannya.

Ia menjadi semakin hangat dan sering kali diperdebat dan dibualkan apabila melihatkan keadaan generasi muda Melayu Institut Pendidikan Tinggi (IPT) kini semakin hari semakin dikaitkan dengan pelbagai wajah, gambaran, dan labelan. Pengganas, pembangkang, lembap, Melayu lesu serta keciciran dalam universiti menambahkan lagi tuntutan untuk Melayu IPT keluar daripada kepompong pemikiran yang ada sekarang.

Namun dalam kita ghairah untuk menyuruh pelajar Melayu IPT keluar daripada kepompong yang ada sekarang ini, adakah kita terfikir untuk menyediakan ruang, peluang, tempat, isi yang sepatutnya pelajar Melayu IPT untuk dilandaskan dengan serius?

Sejauh mana kita benar-benar serius untuk melihat masalah yang melingkari pelajar Melayu IPT selesai? Seperkara lagi sewajarnya kita renungi iaitu apakah punca dan sebab sebenarnya masalah yang melingkari pelajar Melayu IPT? Andai mereka keluar daripada kepompong yang ada sekarang, dapatkah kita menjangkakan bahawa nasib pelajar Melayu IPT akan terus berubah daripada apa yang diperkatakan sekarang ke suatu tahap yang lebih baik?

Pengisian yang memfokuskan kepada pemurnian sifat keinsanan bukannya nilai saingan yang akan mengakibatkan kalah atau menang seseorang itu dalam persaingan.

Pelajar IPT bukannya barang dagangan atau alatan dalam banyak perkara, tetapi apa yang mampu dimainkan oleh pelajar IPT ini adalah sebagai rakan penyumbang kepada permasalahan masyarakat yang ada sekarang ini. Tidak dinafikan bahawa apabila timbulnya isu ini ramai yang memberi pendapat untuk mengetatkan lagi peraturan di kalangan pelajar, namun ini bukan caranya untuk berdepan dengan golongan intelektual IPT.

Sewajarnya perbahasan, perbincangan, penelitian secara ilmiah dan tindakan yang berlandaskan keikhlasan serta tidak dibayangi kepentingan individu mahupun yang lain menjadi penyelesaian kepada isu ini.

Oleh itu dalam hal ini, PKPIM dalam agendanya untuk kembali mengangkat martabat generasi muda ini, menggesa sewajarnya asas yang kukuh seharusnya dibina dalam diri Pelajar Melayu di IPT sekarang ini. Persoalan jati diri, akhlak dan intelektual bukannya “bahan maklumat” yang dipergunakan apabila perlu saja, sebaliknya adalah asas yang sewajarnya ditekankan.

Pendidikan adalah satu proses penyerapan nilai budaya dan pembentukan cita rasa menerusi pengajaran, bimbingan dan keteladanan.

Justeru pelajar harus memiliki kekuatan ilmu dan ketrampilan yang mencapai piawai dunia dengan nilai dan etos kemelayuan serta keislamannya. Sistem pendidikan hendaklah kembali kepada dimensi holistik dan bersepadu yang berpaksikan tauhid.

Tuhan sebagai satu-satunya sumber ilmu yang mutlak dan membawa faham ketunggalan kebenaran dan kemutlakan kebenaran. Dengan kekuatan nilai keintelektualan, generasi muda akan menerima unsur ketuhanan dan menghasilkan keputusan yang strategik hasil daripada cambahan idea baru yang lebih praktis sifatnya.

Di samping itu, golongan pelajar IPT perlu keluar daripada kepompong yang boleh mengheret dan menenggelamkan idealisme mereka.

Idealisme yang sepatutnya berlandaskan kepada kepercayaan jitu dan melalui proses analisis yang kritikal. Untuk itu, lontaran idea dan pandangan mereka hendaklah dirai sebagai suntikan kepada generasi penerus negara ini.

Sewajarnya mana-mana pihak dan masyarakat tidak seharusnya cepat melatah dalam membincangkan isu atau masalah pelajar Melayu di IPT.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved