StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Thursday, March 21, 2002 9:23 PM

KENYATAAN AKHBAR SYOR "PIAGAM HAK ASASI PELAJAR"


03 Julai 2001

Pergerakan Pemuda keADILan Malaysia menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang telah memutuskan untuk memanggil kedua-dua pihak iaitu Saudara Rafzan Ramli, pelajar Tahun Dua kursus Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Institut Teknologi Malaysia (UiTM) yang telah dibuang kononnya atas kesalahan "menjatuhkan nama" universiti kerana terlibat dalam protes aman menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan juga pihak berkuasa UiTM sendiri pada hari Khamis, 05 Julai 2001. Pemuda keADILan akan menghantar surat memohon secara rasmi kepada SUHAKAM untuk membenarkan wakil kita iaitu Pengerusi Biro Hak Asasi Manusia, Saudara Shamsul Iskandar Bin Mohd Akin dan peguam-peguam lantikan Rafzan menjadi pemerhati di dalam perbincangan itu nanti.


Pemuda keADILan memandang serius isu pemecatan Sdr Rafzan Ramli kerana ini secara jelas menunjukkan bagaimana hak asasi golongan pelajar di Malaysia diabaikan. Sebaliknya, hak ini dinafikan walaupun tindakan mereka bersesuaian dengan jaminan Perlembagaan Malaysia iaitu kebebasan bersuara.


Sdr Rafzan merupakan mangsa sistem pendidikan yang ingin mewujudkan golongan pelajar yang lembik dan pasif. Kerajaan Malaysia kerapkali menyatakan bahawa ia mahukan golongan muda yang pro-aktif dan berdaya-saing. Namun kata-kata ini indah khabar dari rupa. Realitinya ialah pelajar ditakut-takutkan dengan peraturan disiplin yang menekan dan menindas sebarang aspirasi bebas, lantas menafikan hak-hak pelajar seperti yang diperakui oleh perlembagaan negara.


Sebagai contoh, seksyen-seksyen 7 dan 11 Akta Universiti dan Kolej Universiti yang lebih dikenali dengan AUKU melarang pelajar atau pertubuhan pelajar berhimpun atau menganjurkan perhimpunan seramai lebih dari lima orang dan menjalankan sebarang kegiatan di luar kampus kecuali dengan kebenaran Naib Canselor. Menurut seksyen 15(3) dan (4) pula, pelajar dan pertubuhan pelajar dilarang menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap sebarang parti politik, kesatuan sekerja atau badan-badan lain. Sementara itu, seksyen-seksyen 10 dan 13 akta yang sama menyebutkan pelajar atau pertubuhan pelajar dilarang membuat rayuan atau apa-apa hubungan dengan pihak akhbar atau orang ramai berkaitan hal-ehwal universiti. Akta itu juga melarang pelajar menerbitkan atau mengedar dokumen di dalam atau luar kampus kecuali dengan kebenaran Naib Canselor. Kesemua ini adalah undang-undang lapuk ketinggalan zaman guna untuk menyekat kebebasan idealisme dan aktivisme mahasiswa yang tentunya menjadi harapan untuk mengemudi ummat mendatang.


Untuk itu, Biro Hak Asasi Manusia, Biro Perhubungan Antarabangsa dan Biro Ekonomi Pemuda Keadilan mengumumkan langkah mencadangkan suatu "Piagam Hak Asasi Pelajar" untuk disyorkan kepada YB Menteri Penddikan sebagai asas Rang Undang-undang Hak Asasi Pelajar.


Piagam Hak Asasi Pelajar ini mempunyai lima paksi utama:

Menjamin hak golongan pelajar Malaysia yang menuntut di dalam dan luar negara supaya terus menikmati kebebasan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia, tanpa sekatan oleh undang-undang delegatif dan peraturan dalaman,


Mengiktiraf hak untuk mendapatkan pendidikan seperti yang disyorkan oleh Bangsa-bangsa Bersatu kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama, jantina mahupun fahaman politik.


Mempastikan Perlembagaan Malaysia dipatuhi dan dituruti sepenuhnya oleh pihak pentadbir IPT


Menghalang sebarang bentuk tekanan dan penindasan politik, perundangan dan ekonomi terhadap mana-mana pelajar dalam dan luar negara; termasuk menghalang pembuangan tanpa bicara, tindakan disiplin bertentangan Perlembagaan Malaysia, menggantung atau menarik biasiswa tanpa sebab munasabah dan memaksa pembayaran yuran atau denda yang melampaui batas, dan dengan demikian menubuhkan suatu badan bebas untuk menjalan dan memutuskan sebarang siasatan dalaman terhadap mana-mana kesalahan tatatertib melibatkan pelajar-pelajar Malaysia, dan


Mendesak SUHAKAM mencadangkan penerimaan suatu Piagam Hak Asasi Pelajar oleh parlimen sebagai Rang Undang-undang yang sah bagi semua IPT awam dan swasta.


Untuk tujuan di atas, Pemuda Keadilan akan mengadakan rundingan dengan rakan-rakan dalam Barisan Alternatif, pertubuhan-pertubuhan professional dan pelajar serta mangsa-mangsa tindakan disiplin IPT yang bercanggah dengan perlembagaan negara. Hasilnya akan dijadikan asas untuk piagam yang dijangka memberi kebebasan sejagat kepada golongan pelajar Malaysia sekaliannya.

Bagi pihak Pergerakan Pemuda Keadilan,

ADLAN BENAN OMAR
Pengerusi Biro Ekonomi
Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Pengerusi Biro Hak Asasi Manusia

MOHD RAFIZI RAMLI
Pengerusi Biro Antarabangsa


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved