StatTrack
free web hosting | free hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Saturday, March 16, 2002 9:54 PM

Pelajar gugat dominasi ulama


Oleh: GAMAL NASIR MOHD. ALI

KALAU 20 tahun lalu, golongan muda, khususnya para pelajar, telah menyumbang kepada kejayaan revolusi Iran di dalam menggulingkan Shah Iran dalam tahun 1979, kumpulan yang sama juga pada minggu ini menggulingkan kerajaan ulama, yang telah didirikan oleh Ayatullah Ruhollah Khomeini.

Kini para pelajar mendukungi perjuangan pembaharuan politik, sosial dan ekonomi yang dibawa oleh Presiden Iran, Mohammad Khatami.

Gerakan pelajar, yang menentang kejumudan pemerintahan golongan konservatif yang berpendirian keras, menghasilkan kejayaan besar apabila golongan pembaharuan mengaut sebahagian besar kerusi Parlimen selepas pilihan raya diadakan pada 18 Februari lalu.

Sewajarnya apa yang berlaku di Tehran memberi pengajaran penting kepada kita dalam menilai perjuangan kaum pelajar, yang sering kali dilihat dengan tanggapan silap dan persepsi tidak betul.

Banyak gerakan politik, sosial dan ekonomi bermula dengan para pelajar. Lihat apa yang berlaku di Thailand, Myanmar, Indonesia, Korea Selatan, Mexico, Peru dan Czech, di mana para pelajar bermandi darah.

Malah banyak daripada para pemimpin kita lahir daripada gerakan pelajar, baik di dalam negara atau luar negara. Sepatutnya mereka lebih prihatin terhadap gerakan pelajar dan student power.

Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS), persatuan yang menggabungkan banyak pemimpin pelajar, telah melihat banyak pemimpinnya menjadi pemimpin negara di peringkat negeri dan kebangsaan.

Tanggapan bahawa ''biasalah, perjuangan pelajar bersikap 'anti-establishment' perlu diubah kerana ia memberi indikasi kurang tepat tentang gerakan pelajar. Pelajar mungkin naif, tetapi mereka tetap idealistik, yang sudah tidak lagi dimiliki oleh para pemimpin, yang bergumpal dengan realiti politik semasa.

Sikap mengambil mudah pelajar, khususnya di institusi-institusi pengajian tinggi, memberi padah di dalam pilihan raya umum kesepuluh pada November lalu.

Selepas mengambil alih pemerintahan, golongan ulama di Iran dilihat kian meminggirkan golongan mudanya, dan menindas gerakan pelajar di institusi-institusi pendidikan tinggi. Malah gerakan pelajar propembaharuan telah berkali-kali dipatahkan oleh ulama-ulama konservatif.

Mahkamah Agung Iran, yang dikatakan dikuasai oleh golongan konservatif, pada 21 Februari lalu mengekalkan hukuman mati yang dikenakan ke atas seorang pelajar selepas satu tunjuk perasaan yang menggegarkan negara itu pada tahun lalu. Pelajar berkenaan dicap sebagai 'Mohareb', seseorang yang memerangi Islam.

Rusuhan dan tunjuk perasaan pelajar di Tehran dan beberapa bandar utama di Iran pada tahun lalu itu dilaporkan terburuk sejak revolusi Iran pada 1979. Seramai 1,500 pelajar yang ditangkap ekoran tunjuk perasaan tersebut masih ditahan di penjara.

Kita juga perlu ingat di Iran, umur layak mengundi ialah 16 tahun. Ini bermakna golongan muda, yang aktif dalam politik seperti di Iran, menjadi kuasa penentu pilihan raya.

Di Jakarta pula, student power telah menyumbang kepada kejatuhan bekas Presiden, Suharto pada Mei 1998. Ia juga turut menyumbang kepada kekalahan Parti Golkar dalam pilihan raya umum (Pemilu) pada tahun lalu, mengundurkan bekas Presiden, B.J. Habibie dan pemilihan Abdurrahman Wahid.

Mereka terus menjadi faktor penentu di dalam politik Indonesia yang terus celaru, selain faktor tentera, yang dulunya menjadi penentu politik tempatan. Malah, tidak mustahil, golongan pelajar menjadi faktor politik yang lebih penting dan kuat daripada tentera.

Maka, perjuangan pelajar di negara ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih produktif dan positif. Sudah tiba masanya para pemimpin kita menerima sumbangan pelajar dalam mencorak percaturan politik negara.

Malangnya, terdapat unsur-unsur diskriminasi dalam membenarkan para pelajar berpolitik. Mereka yang di luar negara bebas berparti melalui kelab-kelab politik, tetapi di dalam negara, mereka dikekang. Alasan para pelajar tempatan mengabaikan pelajaran mereka boleh diatasi dengan bentuk penyelesaian lain.

Mari kita jadikan ''pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa.'' Pelajar-pelajar yang menyimpan rasa dendam dan marah hanya akan mengekal dan menguatkan sindrom anti-establishment.

Ini perlu dihentikan sekarang kerana golongan yang paling berkuasa di Iran, akhirnya tumbang juga.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved