StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Makna 'Perjuangan' dari kaca mata Pemimpin Pelajar


Walau apa pun alasan, tanpa segulung ijazah, makna
perjuangan belum sempurna dalam ertikata yang
sebenarnya.

Bukan bermakna, 'ijazah' penentu perjuangan sempurna, tetapi sekurang-kurangnya pelengkap makna perjuangan.

Ahmad Zaki Yamani, walaupun bergerak atas nama
perjuangan, namun apa makna perjuangan jika memakan diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara.

Hisyamudin Rais misalnya, atas nama perjuangan sanggup meninggalkan Malaysia, merantau di negara asing, menurut kata hati dan emosi muda.

Setelah hampir berpuluh tahun menjadi 'pejuang
terbuang' akhirnya Hisyamudin, menjilat ludahnya
semula, dengan kembali ke negara tumpah darahnya
semula.

Atas nama perjuangan, Hisyamudin menghabiskan separuh usia sebagai perantau serta meninggalkan fitrah manusia yang dituntut agama sebagai seorang manusia yang berkeluarga dan berbakti kepada kedua ibu bapa.

Kesudahannya, Hisyam 'bertapa' di Kemunting, tempat
yang sepatutnya dihuni, sebelum melarikan diri ke luar
negara.

Ahmad Zaki juga memilih jalan yang sama, bezanya tidak sanggup menjadi 'pengecut' seperti Hisyam itu.

Atas nama perjuangan Ahmad Zaki meneruskan saki-baki perjuangannya sebagai seorang penulis proreformasi sama seperti Ahmad Lutfi Othman(Penerbitan Pemuda)
yang tidak berjaya menghabiskan pengajian di UTM,
ketika menjawat Setiausaha Agung kampus itu suatu
ketika dahulu.

Tulisan Ahmad Lutfi Othman menyelami perasaan Ahmad Zaki Yamani.

Jika sebelum ini ada pihak bertanyakan siapa mangsa
kezaliman Akta Universiti dan Kolej Universiti
(pindaan 1975), tentu agak sukar jawapan hendak
diberikan. Namun, persoalan itu tidak tergantung lagi
apabila seorang anak muda pimpinan kampus, Ahmad Zaki Yamani Zainon, 24 tahun, membuka era baru gerakan pelajar, selepas dikenakan hukuman secara
berturut-turut ekoran "pembabitannya dengan gerakan
reformasi".

Nasib yang menimpa Zaki mendedahkan bagaimana mudahnya pentadbiran kampus mengambil tindakan
sewenang-wenangnya menghukum pelajar yang dilihat
tidak sealiran dengan pemerintah. Pelajar boleh
dipecat, apatah lagi untuk dihukum gantung dari
mengikuti pengajian, mahupun denda, menurut AUKU.
Zaki, anak kelahiran Jalan Pegawai, Alor Setar,
pelajar perakaunan (ACCA) Universiti Teknologi Mara
(UiTM) yang juga Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dibuang dengan alasan remeh yang sengaja diada-adakan tanpa sebarang bukti kukuh. Malah, kesnya dikendalikan secara cukup misteri dan menimbulkan seribu tanda soal.

Menurut surat bertarikh 22 Mei 1999, yang
ditandatangani Prof Dr Adnan Alias, Timbalan Rektor
(Hal Ehwal Pelajar) ketika itu Institut Teknologi
Mara, Zaki dipecat kerana tidak menghadiri perbicaraan
tatatertib pada 10 Mei 1999, jam 2.30 petang atas
tuduhan menyertai perhimpunan haram pada 14 April 1999 di Kuala Lumpur. 10 Mei adalah tarikh Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman enam tahun penjara atas kesalahan rasuah.

"ITM telah membuat pernyataan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia terhadap kes saudara ini dengan turut mengambil kira dua kes tatatertib sebelumnya. Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia dengan kuasa yang ada padanya mengikut peruntukan Seksyen 15(1) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976, Akta 174 telah memerintah supaya saudara dibuang daripada ITM berkuatkuasa mulai tarikhsurat ini," surat HEP itu dipetik.

Bagaimanapun Zaki menjelaskan dia langsung tidak
menerima surat rasmi yang mengandungi pertuduhan
spesifik atas kesalahan yang didakwa dilakukannya.

"Saya hanya dihubungi melalui telefon oleh seorang
pegawai UiTM, Puan Rose Leni Harun pada 7 Mei 1999 dan diberitahu bahawa satu temubual telah diaturkan pada 10 Mei di kampus pada jam 2.30 petang. Istilah yang digunakan sewaktu perbualan melalui telefon itu ialah "temubual" bukannya perbicaraan tatatertib," tambah Zaki.

Ditanya kemungkinan beliau tidak begitu mahir dengan
prosedur tatacara perbicaraan di kampus, Zaki
berpendapat sebaliknya.

"Sebelum ini saya sudah dua kali dihadapkan ke majlis
perbicaraan. Lazimnya, Timbalan Rektor Hal Ehwal
Pelajar UiTM akan menghantar surat kepada pelajar
terbabit memberitahu tarikh, masa dan tempat
perbicaraan akan berlangsung. Perkataan yang lazim
digunakan ialah "perbicaraan tatatertib". Sehingga 22
Mei, tarikh surat pembuangan saya dari UiTM, saya
langsung tidak menerima apa jua dalam bentuk bertulis
dari UiTM tentang hal berkenaan," hujah Zaki sambil
menunjukkan surat pertuduhan bertarikh 2 November 1998 yang pernah diterimanya atas dakwaan terbabit
menyebarkan risalah yang tidak dibenarkan pada 22
Oktober, jam 1.11 tengahari di bangunan Hal Ehwal
Pelajar.

Sememangnya surat pertuduhan itu jelas membutirkan apa dakwaan yang dikenakan ke atasnya, berserta tarikh, masa dan tempat perbicaraan. Zaki juga dimaklumkan dia telah melanggar Kaedah 3(a) & (b) 10(1) dan 24 tatatertib am Bahagian II dalam kaedah-kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976. Yang peliknya Zaki sebelum ini tidak pernah didakwa, dituduh atau disoal berkaitan dengan kesalahan menyertai perhimpunan haram pada 14 April 1999.

"Oleh kerana saya tidak juga diberikan butir-butir
mengenai tempat dan masa kesalahan ini dikatakannya
telah berlaku, saya tidak dapat menunjukkan dengan
tepat di mana sebenarnya saya berada pada masa
dikatakan menyertai perhimpunan haram tersebut,"
tambah Zaki lagi.

Sebenarnya, sebelum itu, anak muda berani ini telahpun
menjalani dua hukuman menurut AUKU. Pertama, didapati bersalah pada 22 Oktober 1998 kerana menyebarkan risalah yang tidak dibenarkan. UiTM ada mengemukakan saksi, yakni pegawai HEP sendiri, namun hujah saksi berkenaan boleh dipersoalkan. Tapi, apalah yang boleh diharapkan di mahkamah kampus apabila pegawai-pegawainya menjadi segala-galanya, pendakwa, saksi dan hakim sekali gus.

Dalam kes pertama itu Zaki mendakwa pada jam 1.11
tengahari itu beliau sedang makan bersama rakan-rakan. "Kalaupun benar saya melakukannya, dan pegawai HEP nampak saya membuat kesalahan, mengapa beliau tidak menghalang saya. Kalau dia seorang perempuan, mungkin andaian kita dia takut untuk menahan saya, tetapi pegawai berkenaan lelaki," kata Zaki sambil ketawa sinis.

Hasilnya Zaki didenda RM200, dipecat semua jawatan
yang dipegangnya di kampus serta segala kemudahan yang dinikmatinya selama ini, seperti penginapan di kampus, telah ditarik balik. Ketika itu Zaki sedang mengikuti pengajian di semester keempat.

Ia tidak terhenti setakat itu. Zaki, waktu itu, Exco
Pendidikan PKPIM, kemudiannya dituduh sekali lagi,
pada Februari 1999 atas dakwaan menyimpan
risalah-risalah proreformasi. Menyimpan atau mengedar?
"Saya hanya menyimpan risalah berkenaan, setiap satu
tajuk sekeping, untuk bacaan peribadi. Apakah ini juga
satu kesalahan besar di kampus? Lagi pula risalah
berkenaan tidak pernah pun diisytiharkan sebagai
risalah haram?" soal Zaki.

Wah, cukup menarik sekali, hanya kerana menyimpan
risalah untuk bacaan peribadi sudah dianggap satu
kesalahan besar yang hukumannya adalah digantung
setahun pengajian dan didenda RM100. Inilah fenomena kebebasan gerakan pelajar kita, yang menyebabkan jiwa muda mereka memberontak dalam diam, marah dalam senyap. Undang-undang rimba sedang menguasai lingkungan dan persekitaran anak-anak muda harapan bangsa!

Sewaktu gelodak bahang reformasi mencakar setiap
penjuru Lembah Klang ketika itu, kampus-kampus
pengajian tinggi dikatakan menjadi kubunya.
Pelajar-pelajar dan penghuni kampus meluahkan rasa
amarah mereka yang selama ini terbuku di dada.
Sentimen menentang amalan kronisme, nepotisme dan
rasuah mudah menyambar amarah orang muda, apa lagi selepas tragedi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai
Timbalan Perdana Menteri.

Antara kampus yang menjadi tumpuan ialah UiTM (waktu itu ITM). Poster-poster menentang kezaliman dan menjulang keadilan ditampal di mana-mana. Tidak cukup dengan itu, jalan raya sekitar kampus dicat dengan istilah-istilah memperjuangkan keadilan. Bara
reformasi cukup terasa menjalar di setiap warga
kampus.

Dikhabarkan, Rektor UiTM, yang sepatutnya telahpun
bersara, terpaksa turun padang bagi menyejukkan
suasana khususnya di peringkat awal Anwar dipecat.
Sebelum solat Jumaat, Rektor mengambil kesempatan
"berkhutbah" terlebih dahulu, mengingatkan pelajar
agar tidak turun ke Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala
Lumpur menyertai perhimpunan reformasi hujung minggu. Sesiapa yang didapati memakai riben putih terus diarah menanggalkannya, pada waktu itu juga.

"Rektor UiTM bertindak lebih tegas berbanding
Naib-Naib Canselor universiti. Di kampus lain, ada
pelajar yang ditahan polis kerana terbabit dengan
gerakan reformasi tapi tidak pula dikenakan tindakan.
Malangnya di UiTM, ada pelajar yang langsung tidak
ditahan polis, tapi boleh didakwa di mahkamah kampus
dan kemudiannya didapati bersalah dengan begitu mudah sekali," dakwa seorang pemimpin pelajar UiTM.

Mengapa terjadi sebegitu rupa?

"Mungkin Rektor mahu menunjukkan bakti kepada menteri dan Umno sendiri bahawa dia bijak mengawal pelajar bagi menyambung perkhidmatannya yang sepatutnya sudahpun berakhir. UiTM memang dikenali dengan peraturan yang terlalu menekan kebebasan pelajar untuk berpersatuan secara matang."

Dilihat raut muka Zaki, anak muda ini nampak cekal dan
tidak mudah patah semangat. Biarpun keluarganya begitu mengharapkan kejayaan darinya, namun itu bukan penghalang untuknya mencapai cita-cita suci dalam perjuangan. Ya, inilah potret baru anak muda pemimpin gerakan pelajar yang bakal menggegarkan ibu segala kezaliman dan penindasan.

Zaki sememangnya sejak lama tidak disenangi
pentadbiran UiTM. Secara terbuka beliau selalu
mempersoalkan sebarang cadangan tidak munasabah oleh Rektor termasuk menarik balik balik segala kemudahan kepada pelajar ketika ekonomi gawat dahulu. Bagi UiTM, suara vokal anak muda ini harus dijinakkan.

Rupanya cerita Zaki belum berakhir. Selepas dipecat,
kisah ini tidak dapat ditamatkan dengan mudah. Dua
bulan selepas dibuang, Zaki menfailkan saman terhadap UiTM dan Menteri Pendidikan di atas keputusan UiTM membuangnya. Beliau mempersoalkan prosedur yang diambil UiTM sebelum pihak Menteri Pendidikan dimaklumkan untuk memecatnya .

"Keputusan UiTM untuk mengemukakan pernyataan kepada Menteri Pendidikan dicapai setelah mengambil kira pertimbangan yang tidak relevan, dan gagal mengambil kira pertimbangan relevan. Ia dicapai dengan mengengkari peraturan keadilan asasi kerana saya dinafikan peluang untuk didengari. Saya tidak dapat memahami mengapa UiTM tidak memberitahu saya secara bertulis mengenai pendengaran tatatertib pada 10 Mei itu," hujah Zaki.

Dalam afidavitnya itu juga Zaki memaklumkan keadaan
yang terpaksa dilalui selepas "dipecat secara tidak
sah" itu: "Saya kini disekat daripada menjadi seorang
pelajar di sebarang universiti ataupun institusi
pendidikan tempatan ataupun memasuki kampusnya mulai 22 Mei 1999. Memandangkan ayah saya seorang pesara, ibu saya suri rumah dan kakak saya cacat serta
mempunyai keperluan perubatan dan pendidikan khas,
saya tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk
meneruskan pelajaran saya di seberang laut.

"Saya telah dinafikan peluang untuk mendapatkan ijazah tertiara, yang akan membawa akibat buruk ke atas saya buat seumur hidup. Ia juga akan memprejudiskan mereka yang bergantung kepada saya."

Banyak pihak beranggapan, usaha untuk menyaman UiTM dan Menteri Pendidikan ini mengundang risiko lebih berat buat Zaki. Pada 22 Disember lalu, bekas lepasan MRSM Taiping ini ditahan di pejabat PKPIM Wangsa Maju dan kemudiannya dibawa ke sebuah balai polis di Kuala Lumpur untuk soal siasat selama hampir jam. Apa pula dakwaannya? Zaki dikatakan terbabit dalam perhimpunan haram yang diadakan lapan bulan sebelum itu, yakni pada 14 April 1999. Keadilan sekali sedang diperjudikan!

Apakah tindakan polis itu dibuat untuk
menakut-nakutnya ataupun bagi membantu UiTM dan
Menteri Pendidikan yang akan dibawa ke pengadilan oleh Zaki pada 27 Mac nanti? Benar sekali, keadilan bukan saja perlu dilaksanakan tapi harus nampak ia
dilaksanakan. Perjalanan kes Zaki sekali menimbulkan
banyak tanda tanya. Mengapa pula beliau hanya ditahan atas dakwaan terbabit dalam kesalahan lebih lapan bulan lalu? Apakah ini menunjukkan langkah pencegahan apatah lagi penguatkuasaan pihak polis berada di peringkat tidak efisyen lagi?

Kes Zaki akan mencatat sejarah dalam dunia pergerakan pelajar alaf baru ini. Pihak UiTM mungkin mahu menjadikannya sebagai teladan bagi menunjukkan kepada pelajar lainnya bahawa keberanian untuk mencabar, yang selama ini menjadi tradisi mana-mana gerakan pelajar harus dilumpuhkan. Pelajar harus berani menanggung risiko sehingga dibuang kampus ekoran pembabitan
mereka dalam hal-hal "yang tiada kaitan" dengan alam
pengajian mereka.

Mungkinkah UiTM setakat ini berjaya mencapai hasrat
mereka?

"Dari satu segi, mungkin mereka berjaya. Lihatlah,
kebangkitan pelajar yang tercetus bermula September
1998 dapat dikendurkan. Tiada lagi protes secara
terbuka seperti dahulu. Namun ia seperti bara dalam
sekam. Pelajar tidak lagi boleh diperbodohkan," ujar
Zaki bersemangat.

Secara peribadi, saya cukup bersimpati dengan nasib
malang anak muda ini, namun sekali gus saya cukup
berbangga, rupanya masih ramai orang muda bersemangat kental sanggup meredah apa saja halangan bagi menggapai cita-cita murni. Zaki sudah memulakannya. Mungkin Zaki menjadi korban awal, perintis buat kebangkitan pelajar yang lebih bermakna.

Kampus tidak sunyi lagi selepas ini. Kalau dulu,
pergerakan pelajar seakan-akan menunggu korban pertama bagi melonjak lebih tinggi lagi. Ya, mereka tidak
perlu menanti lagi! - Ahmad Lutfi Othman


Halaman Utama

 

Oleh:

PenaSakti

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved