StatTrack
free web hosting | free website | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Monday, February 11, 2002 10:00 AM

Islam terajui Kebangkitan Pelajar


Salah satu fenomena penting yang begitu mempengaruhi corak serta orientasi gerakan pelajar sejak lebih dua dasawarsa yang lalu ialah apa yang dikatakan sebagai 'kebangkitan Islam' (Islamic revivalism). Telah banyak tulisan dan kajian yang dilakukan oleh para sarjana yang cuba melihat apakah sebenarnya di sebalik kebangkitan tesebut dan ia dikupas dari pelbagai aspek. Namun penulis hanya ingin meninjau perkara ini dari sudut latar belakang, kesan serta pengaruhnya terhadap gerakan pelajar khasnya dan generasi muda Malaysia amnya.

Secara umumnya, tidak dapat disangkal lagi pengaruh agama Islam ke atas penduduk peribumi Malaysia, yakni orang Melayu, amat mendalam sungguhpun Islam hanya sampai ke Tanah Melayu sekitar kurun ke-15. Walaupun tidak semua mereka menjadi penganut Islam yang warak dan komited, namun dari segi nilai, kepercayaan serta jatidiri yang merupakan refleksi dari tuntutan Islam itu sendiri seakan-akan sudah menyerap masuk dan sebati dengan cara hidup masyarakat Melayu.

Umat Islam Mundur

Dalam konteks kebangkitan Islam di peringkat global, ia merujuk kepada satu movement yang berusaha untuk menghidupkan kembali keagungan dan kegemilangan Islam sama ada dari segi ekonomi, ilmu pengetahuan, sistem sosial mahupun politik. Hal ini banyak diungkapkan oleh tokoh-tokoh Islam yang progresif seperti Jamaluddin Al-Afghani, dan Hasan Al-Banna yang beranggapan kemunduran serta kelemahan umat Islam masa kini adalah disebabkan umat Islam tidak lagi berpegang teguh dengan ajaran Islam selain terpengaruh dengan konsep sekularisme yang lahir di Eropah selepas berakhirnya Zaman Gelap (Dark Ages).

Oleh itu umat Islam sejagat memerlukan satu force dan kerangka gerakan yang mantap untuk melahirkan semula generasi Muslim yang berpegang teguh pada Islam. Bermula dari sinilah sejak dari awal kurun ke-20 lahirnya secara bersepadu usaha mengajak umat Islam kembali kepada ajaran Islam sebenar di seluruh dunia umat Islam.

Sukar untuk dibuat kesimpulan yang konklusif berkenaan dengan persoalan bilakah sebenarnya bermula kebangkitan Islam di negara ini. Namun apa yang menariknya ialah apabila merujuk kepada tulisan Zainah Anwar di dalam bukunya "Kebangkitan Islam di kalangan pelajar" apabila beliau mengatakan bahawa akar umbi kebangkitan ini sebenarnya adalah hasil dari gagasan generasi muda dan pelajar sejak dari tahun 60-an lagi dan ia terus diperkukuhkan apabila kerajaan mula menghantar secara beramai-ramai pelajar untuk belajar di England sekitar awal 1970-an. Apabila pulang ke tanah air mereka inilah yang bertindak secara proaktif untuk menyebarkannya ke dalam setiap sektor masyarakat.

Kebangkitan Gerakan Pelajar

Dalam konteks gerakan pelajar dan belia tanah air, indicator awalnya boleh dilihat pada persatuan-persatuan pelajar di Universiti Malaya yang merupakan universiti pertama ditubuhkan di negara ini. Sejak tahun 1960-an lagi pertubuhan seperti Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang diasaskan oleh Syed Naguib Al-Attas dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) telah memainkan peranan penting dalam menggemblengkan kesedaran Islam di kalangan para pelajar. Melalui dua buah persatuan inilah, para pimpinannya berkempen menentang kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai-nilai murni seperti budaya ragging, pesta tari-menari dan sebagainya.

Walaupun mungkin pada peringkat awalnya tidak begitu berpengaruh namun pada peringkat ini kita boleh lihat kumpulan ini mampu bertindak selaku pressure group yang lebih menjurus ke arah membela kepentingan mahasiswa. Senario ini terus berkembang dengan lebih efektif dan nasional sifatnya melalui peranan yang dimainkan pertubuhan lain seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan juga dengan pengwujudan Fakulti Pengajian Islam selaku antara fakulti terawal di Universiti Kebangsaan Malaysia. Hinggalah akhirnya kebangkitan Islam ini menemui momentumnya yang paling kuat dengan berlakunya Revolusi Iran pada tahun 1979, yang dianggap titik tolak kepada monopoli gerakan dakwah di kalangan generasi muda dan pelajar universiti.

Daripada usaha yang lebih menjurus terhadap pembinaan insan melalui kegiatan-kegiatan seperti ceramah, kuliah, usrah dan sebagainya namun akhirnya ia telah menimbulkan keyakinan di kalangan pelajar untuk memilih figure-figure gerakan dakwah di kampus selaku pimpinan mahasiswa. Oleh itu telah ada perubahan berbanding apa yang berlaku di peringkat awal kebangkitan ini, pelajar yang komited dengan kebangkitan Islam ini telah mula membabitkan diri dengan aktif dalam kepimpinan pelajar. Oleh sebab itulah sehingga ke hari ini kebangkitan Islam terus mekar di kalangan generasi muda dan pelajar dan kepimpinan mahasiswa yang berteraskan Islam terus mendapat kepercayaan majoriti penghuni kampus.

Dalam melihat perkara ini, setiap dari kita harus menilainya dari kacamata yang positif. Kebangkitan Islam yang dipelopori oleh kalangan para pelajar sejak dahulu lagi sebenarnya telah banyak memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara terutamanya dari segi spiritual development. Penerapan nilai Islam yang merupakan agenda kerajaan sejak 20 tahun yang lalu sedikit sebanyak adalah hasil dari gelombang serta idealisme gerakan pelajar yang menjadi pemangkin utama terhadap kebangkitan ini. Hal ini boleh dilihat dengan penubuhan UIA, perkembangan Mahkamah Syariah, sistem ekonomi Islam dan sebagainya. Pada hemat penulis perkara ini perlu diperjelas agar ia tidak menimbulkan salah anggapan serta kebimbangan di kalangan masyarakat yang mungkin beranggapan kebangkitan Islam di kalangan generasi muda akan melahirkan sikap yang jumud serta ekstrem dan taksub yang melulu. Andaian ini ternyata tidak tepat kalau dilihat pada senario semasa yang berlaku. Kegusaran tanpa asas terhadap senario ini jelas adalah hasil dari propaganda golongan sekularis Barat yang terlalu taksub terhadap pegangan mereka yang berasaskan nilai fizikal dan material semata-mata tanpa mempedulikan elemen metafizik dan kerohanian.

Keruntuhan Barat

Jangkaan mereka ialah sistem serta peradaban timur yang ditunjangi oleh nilai Islam ini akan bakal mencabar status quo sistem liberal dan kapitalis Barat terutamanya selepas keruntuhan empayar dan kekuatan sistem komunis-sosialis pada awal tahun 1990-an. Hal ini boleh dilihat terutamanya di dalam buku The Clash Of Civilisation karya Profesor Samuel Huntington yang meramalkan selepas runtuhnya blok Komunis, saingan utama pada Barat ialah peradaban dari Timur yang pada hakikatnya ialah kebangkitan Islam itu sendiri. Kesimpulannya, walau apapun label dan tanggapan yang dilemparkan, gerakan pelajar tetap percaya bahawa elemen corrective participation yang menjadi asas pada strategi gerakan pelajar masa kini mampu memberikan impak yang positif dan akhirnya dapat memberikan sumbangan dalam membina masyarakat yang berakhlak dan berperibadi mulia untuk menghadapi cabaran era globalisasi.


Halaman Utama

 

Oleh:

Abdullah Abdul Karim

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved