StatTrack
free web hosting | free hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Wednesday, January 16, 2002 9:17 PM

Suara Retorika dari Kampus


Oleh:
Dato’ Dr. Ismail bin Hj. Ibrahim
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

(6 Disember 2001)

Isu pilihan raya para pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) baru-baru ini mendapat publisiti meluas dalam media negara kita, sekali gus menunjukkan kepentingannya.

Malahan jika dilihat sepintas lalu pilihanraya perwakilan pelajar itu seolah-olah menyamai pilihan raya umum negara dari segi liputan akhbar.

Pada zaman saya menjadi pelajar dulu sebenarnya tidak timbul politik pelajar seperti yang berlaku sekarang. Pada masa itu usaha pelajar lebih banyak tertumpu pada kegiatan yang berbentuk ilmiah dan budaya, dan semua pelajar bergabung tenaga dalam menjayakan program yang diaturkan oleh persatuan pelajar.

Pada masa itu aktiviti yang menonjol ialah peraduan-peraduan yang memberi latihan kepada para pelajar untuk menjadi mahir dalam mengeluarkan fikiran kepada umum.

Melalui peraduan syarahan atau debat umpamanya, para pelajar akan lebih menguasai teknik mengeluarkan pendapat dan menegakkan hujah tertentu dalam sesuatu topik yang diperbincangkan.

Topik yang didebatkan itu pula tidak mempunyai kaitan dengan politik sempit, apatah lagi yang berbau kempen untuk membenci orang lain atau mengkritik secara melulu.

Dengan itu segala hujah dan alasan yang dikeluarkan lebih merupakan pandangan yang
berdasarkan fakta ilmu pengetahuan atau catatan sejarah umpamanya, yang tidak mengandungi tafsiran-tafsiran peribadi atau kumpulan tertentu yang melibatkan perkara-perkara subjektif dan perbezaan pandangan yang memudaratkan.

Bagaimanapun hal itu berlaku puluhan tahun dahulu, yang pada masa kini tentulah penilaiannya agak berbeza kerana perbezaan masa yang amat ketara dan perubahan lain yang berlaku terhadap senario politik, ekonomi dan pandangan manusia sendiri yang dipengaruhi oleh perubahan pemikiran dan perkembangan global yang memberi kesan juga terhadap generasi muda masa kini.

Namun begitu satu perkara yang tidak sepatutnya timbul dalam kampus kita, pada pandangan saya, ialah politik kampus seperti yang berlaku sekarang, iaitu yang terlalu terikat dengan senario politik kepartian di luar kampus.

Para pelajar institusi pengajian tinggi berada di dalam kampus bukan untuk memperjuangkan masalah negara secara langsung, sehingga timbul isu yang dikaitkan dengan keadilan dan demokrasi, masalah rasuah dan sebagainya.

Isu-isu ini adalah isu negara yang amat kompleks dan memerlukan perbincangan yang lebih konkrit serta pelaksanaannya yang melibatkan perancangan jangka panjang dan jangka pendek yang dapat dilakukan di peringkat penggubalan dasar negara.

Kerajaan berkewajipan membentangkan dasar negara di forum-forum tertentu seperti di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang wakil-wakilnya terdiri daripada berbagai-bagai golongan rakyat serta berbagai-bagai parti politik yang mewakili berbagai-bagai etnik dan agama.

Sekiranya isu yang berhubung dengan dasar negara ini dibawa ke dalam kampus maka ia akan menjadi bahan pidato dan kempen yang berbentuk retorika dan emosi daripada perbincangan yang rasional dan praktikal.

Saya tidak mengatakan bahawa para pelajar tidak seharusnya berpolitik di dalam kampus.
Cuma yang perlu dipersoalkan di sini ialah apakah bentuk politik yang seharusnya diceburi oleh para pelajar itu? Apakah corak pemikiran yang seharusnya menjadi pendekatan para pelajar untuk membincangkan isu-isu negara?

Para pelajar tidak seharusnya berpolitik dengan membawa masuk corak politik kepartian
yang sempit ke dalam kampus, kemudian mengaku memperjuangkan isu negara, sedangkan kewajipan para pelajar ialah berlaku adil kepada dasar negara. Para pelajar seharusnya tahu membezakan di antara perjuangan yang dilakukan oleh ilmuwan dengan orang yang berkuasa dalam parti politik.

Orang ilmuwan seharusnya dapat menilai sesuatu yang baik atau buruk berdasarkan pertimbangan yang objektif, bukan kerana parti politik di luar mengatakan perkara itu buruk atau baik.

Masalah yang timbul di dalam kampus sekarang ini ialah masalah psikologi yang mempunyai hubungan rapat dengan anutan fahaman politik yang lebih cenderung menentang establishment yang sedia ada.

Oleh kerana model gerakan ini amat ketara dalam pergerakan politik di luar kampus, maka modes operandi dan taktiknya disalin secara melulu ke dalam kampus.

Para pemimpin pelajar berlagak seolah-olah dialah pemimpin parti politik di luar sana. Sepatutnya pelajar harus tahu membezakan di manakah sebenarnya mereka berdiri.

Pemimpin politik di luar sana, memang bekerja sepenuh masa dalam politik, dan kerjanya
ialah menentang musuh politiknya. Sedangkan pelajar tanggungjawabnya berada di dalam
kampus untuk menimba ilmu pengetahuan yang relevan dengan jurusan pengajiannya untuk
mengasuh minda dan cara berfikirnya, termasuklah untuk mempelajari perkembangan politik tanah airnya secara ilmiah supaya apabila keluar nanti menjadi warganegara yang bertanggungjawab kepada perjuangan negara dan bangsa serta agamanya.

Masanya akan tiba bagi para pelajar berada di tengah-tengah masyarakat untuk berkhidmat
dalam medan perjuangan. Oleh itu sekiranya semenjak di dalam kampus, para pelajar
asyik beretorika dan memainkan emosi, maka di medan perjuangan yang sebenarnya pun,
mereka akan terus menerus beretorika dan beremosi, sedangkan orang lain bekerja dengan
dedikasi dan bersungguh-sungguh sesuai dengan perubahan zaman dan perkembangan dunia yang penuh dengan realiti.

Saya fikir masanya telah tiba bagi pihak pelajar dan pihak-pihak yang bertanggungjawab
mengubah senario pilihan raya kampus supaya ia tidak menjadi carbon copy bagi politik
luar kampus, meskipun hal ini cuba dinafikan oleh beberapa pemimpin perwakilan pelajar
yang terpilih baru-baru ini.

Hal ini lebih dirasakan kerana ia melibatkan perjuangan yang sering diheboh-hebohkan sebagai perjuangan Islam dan agama, maka dengan itu ia melibatkan para pelajar Islam sendiri.

Senario politik dunia Islam kini telah memberikan gambaran yang negatif tentang perjuangan yang silap, termasuk sasaran yang salah.

Tujuan dan niat perjuangan adalah amat baik, tetapi umat Islam sering tersalah pilih wadahnya, silap memilih sasarannya, akhirnya semua yang dilakukan lebih berbentuk emosi dan lambang-lambang yang hebat-hebat belaka, tetapi kosong dari segi pembangunan dan pengisiannya.


Halaman Utama

 

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved