StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Saturday, March 16, 2002 9:56 PM

Gerakan pelajar Malaysia berbeza dengan negara lain


Oleh: KHALID ABDULLAH, Alor Setar, Kedah

RENCANA saudara Gamal Nasir dalam Pentas Dunia yang bertajuk 'Pelajar Gugat Dominasi Ulama' menarik perhatian.

Mengikutnya, pelajar telah berjaya menggulingkan Shah Iran dan pelajar juga menaikkan pemerintahan baru di Iran yang akan membawa perubahan politik, ekonomi dan sosial sambil beliau memperingatkan agar kuasa politik pelajar jangan dipandang ringan.

Saya bersetuju dengan tanggapannya mengenai pentingnya gerakan pelajar yang perlu diambil kira oleh mana-mana pemerintah dan jangan memperkecilkan gerakan pelajar.

Apa yang saya kurang bersetuju ialah perbandingan yang dibuatnya seperti apa yang berlaku di Indonesia, Thailand, Myanmar, Mexico, Peru dan Korea Selatan kerana keadaan di Malaysia jauh berbeza daripada negara-negara tersebut kerana Malaysia terdiri daripada berbilang bangsa dan agama dengan kira-kira hanya 60% bangsa Melayu-bumiputera.

Kalau dikira bumiputera yang beragama Islam tidak sampai 60%.

Di dalam sesebuah negara yang bukan homogenis, asas dan bentuk politiknya berbeza kerana negara yang bukan homogenis seperti Malaysia dengan sendirinya melahirkan persaingan dalam semua bidang terutamanya dalam bidang pelajaran, ekonomi dan budaya.

Di Malaysia walaupun golongan bumiputera mendominasikan politik tetapi ia bukannya 100% manakala di bidang pelajaran pula golongan bumiputera masih jauh ketinggalan, lebih-lebih lagi di dalam bidang ekonomi.

Sebagaimana kita maklum ilmu adalah kunci kepada segala kejayaan. Sementara kita masih mempunyai kuasa politik kita dengan berkesan telah mendirikan puluhan universiti dan universiti kolej hampir di setiap negeri di Malaysia.

Sebelum merdeka tidak ada sebuah pun universiti di negara ini.

Dengan bertambahkan bilangan universiti, warga pelajar telah menjadi ratusan ribu bilangannya, tidak termasuk sekolah rendah dan menengah.

Ukuran perbandingan secara umum Malaysia dengan negara membangun yang lain tidaklah tepat kerana kita tidak pernah menindas gerakan pelajar.

Apa yang kita anjurkan ialah keutamaan yang harus mereka pertimbangkan dengan membandingkan kemajuan yang mereka capai dengan kemajuan kaum lain di dalam bidang pendidikan.

Di dalam demonstrasi tidak lama dulu hampir 95% terdiri daripada golongan bumiputera sedangkan kaum lain lebih menumpukan kepada pelajaran walaupun mereka lebih maju daripada kaum bumiputera.

Inilah yang merunsingkan pihak yang prihatin terhadap nasib bangsa Melayu di masa akan datang.

Ini mungkin kerana gerakan mempesonakan pelajar Melayu diasaskan atas gerakan yang bertopengkan agama, oleh itu kaum lain tidak tertarik dengannya.

Persoalannya adakah wajar pelajar-pelajar diheret dalam kancah politik untuk mendapat keuntungan jangka pendek?

Adakah mereka yang melakukan ini bertanggungjawab sama ada kepada agama, bangsa dan negara?

Saya berpendapat walaupun beberapa khurafat, bidaah dan kesesatan telah dilakukan oleh parti pem-bangkang namun kita hanya meminta golongan pelajar mempertimbangkan dari segi rasional dan fakta dengan tidak dipengaruhi oleh sentimen atau emosi.

Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain kerana sifat dan dasar politiknya berbeza.

Sebagai sebuah negara yang bukan homogenis masalah agama sukar dijadikan dasar perjuangan.

Di Amerika Syarikat umpamanya parti yang berasaskan agama tidak pernah mendapat tempat dalam politik, begitulah juga di kebanyakan negara Eropah.

Apa yang ada sekarang ini ialah Ireland Utara yang tidak habis-habis berlakunya pembunuhan sesama agama.

Berbalik kepada soal pelajar, saya rasa pelajar adalah harapan bangsa, harapan keluarga dan harapan negara.

Sementara kerajaan telah menyediakan segala kemudahan yang terdaya, maka wajarlah mereka melakukan sesuatu yang diamanahkan kepada mereka.

Demi kebaikan peribadi mereka, agama dan bangsa masanya akan sampai untuk mereka menguruskan negara yang tercinta apabila tiba masanya nanti.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved