StatTrack
free web hosting | free hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Thursday, March 21, 2002 9:28 PM

ANWAR:WAJAH BARU BUDAYA BARU


(Sebelum ini saya pernah memetik tulisan Ahmad Lutfi Othman, dalam artikel yang bertajuk "Mengapa Anwar Sahaja Jadi Sasaran"-rujuk 2002-05-20. Dalam rencana itu, Lutfi banyak mengupas karangannya berdasarkan karya Mohd. Sayuti Omar(MSO) dalam buku "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti". Kedua-dua penulis itu mempunyai nilai sentimental terhadap Anwar Ibrahim yang dilihat dari kaca mata sebagai seorang pemimpin UMNO, pemimpin gerakan Islam dan pemimpin gerakan pelajar. Pendek kata, kedua-dua penulis mengakui bahawa Anwar merupakan subjek yang paling menarik untuk dianalisis. Berikut merupakan sudut pandangan MSO yang buku yang dihasilkan 12 tahun yang lampau. Ulasan bebas penasakti2002@yahoo.com)

Oleh:Mohd Sayuti Omar

(Buku "Anwar Ibrahim : Mimpi & Realiti",Tinta Merah, Kuala Lumpur, 1990,hlm.33-54)

SEBAIK sahaja Anwar "murtad" dan menukar bahtera perjuangannya dari Abim ke Umno, beliau mengalami perubahan sikap dan pemikiran secara drastik sekali. Perubahan itu semua sungguh memeranjatkan para sahabat dan golongan yang memujanya sebelum ini. Mereka seolah tidak percaya bahawa Anwar menjadi begitu cepat berubah. Orang-orang yang selama ini setia dan mengikutnya dari belakang jadi terperanjat besar seperti punggung dicucuk dengan besi panas melihat segala gerak geri dan perilaku Anwar Ibrahim. Mereka tidak percaya kalau Anwar dalam Umno adalah Anwar yang pernah menjadi pemimpin Abim yang warak!

Laku dan perangai Anwar benar-benar seperti si buta baru celek. Atau seperti si tuli baru dapat mendengar, si kudung baru mendapat kaki palsu dan si pekak baru dapat bersuara.

Anwar memandang apa saja yang dia teringin hendak tenguk dengan mata barunya itu. Dia berjalan ke mana sahaja yang dia teringin tanpa batas dan sekatan dengan kaki palsunya itu. Dia mendengar apa jua bunyi yang terlintas di telinganya tanpa sebarang sekatan. Dan beliau bercakap juga seberapa banyak yang dia hendak bercakap, dan apa juga topik, walau-pun semua yang dia ucapkan itu bertentangan dengan apa yang dia lafazkan sebelum ini.

Kalau sebelum ini dia menghentam Umno sebagai parti sekular dan menuduh kerajaan zalim dan penindas, tetapi setelah dia menyertai Umno semua tuduhan-tuduhan dan caci cercanya itu ditarik balik. Dia menukar celaan itu dengan memuji dan ampu Umno dengan sejuta kebaikan.

Anwar telah menjilat kembali segala ludah-ludahnya sebelum ini. Beliau menjilat bersama tahi ayam dan segala macam najis yang berkumpul di air ludahnya itu. Dia melupai segala apa yang dipegang sewaktu matanya buta dulu. Dia telah melupai apa kata-kata yang diucapkan sewaktu dia bisu dulu. Dia juga lupa di manakah tempat dia berpijak semasa kakinya kudung dulu. Dan dia juga sudah tidak ingat bagaimana peril dan pedihnya kezaliman yang kerajaan lakukan ke atas batang tubuhnya sendiri.

Pendeknya Anwar benar-benar menjadi baru. Dia seperti baru terlepas dari tempurung Abim yang mengurungnya selama ini. Yang memelihara dan membentuk peribadinya sebagai seorang pemimpin Islam. Dia melupai itu apabila dia memasuki dunia baru Umno. Dan dunia baru itu jugalah menyebab-kan Anwar benar-benar melupai dirinya sendiri dan para sahabatnya yang lain.

Bagaimanpun perubahan yang berlaku ke atas diri Anwar itu tidak memeranjatkan pemerhati dan mereka yang menasihatinya sebelum ini. Kerana mereka sudah mengagak terlebih dahulu, jika Anwar menyertai Umno dia tidak akan dapat mempertahankan lagi prinsip dan konsep perjuangannya sebelum ini. Dia akan surrender kepada Umno dan terpaksa menuruti apa jua yang dikehendaki oleh dasar-dasar perjuangan nasionalisme Umno.

Para sahabat dan juga pengikutnya baik dalam Abim ataupun harakah lain tidak habis-habis berastagfirullah panjang melihat telatah Anwar. Hari ini para pemerahati politik yang sebelum ini mengkagumi akan pendirian dan juga komitment Anwar terhadap Islam amat merasa kecewa dengan perubahan mendadak itu. Apa yang mereka harapkan kepada Anwar selama ini sudah musnah dalam sekelip mata sahaja.

Anwar berubah dan musnah kerana wang dan kuasa!

Kerana bimbang apa yang sedang berlaku ke atas Anwar kinilah menyebabkan rakan-rakannya dahulu susah payah menasihatkan beliau agar tidak menyertai Umno. Mereka sudah mengagak, bahawa Anwar tidak akan dapat menggagahkan diri bila berada dalam arus perjuangan Umno yang banyak mungkar daripada kebenaran itu.

Tetapi apa boleh buat, Anwar waktu itu sudah tidak dapat ditahankan lagi. Dia sudah tidak mendengar nasihat sesiapa pun. Apa yang terbayang di ruangan matanya ialah jawatan-jawatan besar dalam Umno serta kekayaan dan kekuasaan.

Walaupun Anwar telah berkata bahawa kemasukannya ialah untuk membaiki Umno dari dalam, namun kata-kata itu tinggal sebuah kata-kata saja. Anwar tidak mampu berbuat apa-apa. Sampai sekarang orang masih menanti apa yang dapat Anwar lakukan melalui Umno baik untuk kesinambungan perjuangan beliau dalam Abim maupun demi kepentingan Islam di Malaysia.

Sewaktu berada dalam Abim dulu, Anwar bukan main lantang lagi menyuarakan pelbagai tuntutan Islam. Segala masalah katanya boleh diselesai dengan Islam. Baik masalah pendidikan, ekonomi, kesihatan dan sebagainya, semuanya boleh diselesaikan dengan Islam. Perpaduan juga boleh diselesai dengan Islam.

Cita-cita Anwar bukan setakat itu sahaja, beliau juga pernah berkata bila dia sudah berada dalam Umno nanti, beliau akan turut mengubahkan sistem kewangan (banking) yang mengamalkan riba yang diamalkan hari ini kepada sistem Islam yang diredhai serta memberi keadilan dan membantu yang miskin.

Tetapi nampaknya segala yang Anwar cakapkan itu tinggal sebagai kata-kata sahaja. Beliau tidak laksanakannya ataupun mencuba. Sebaliknya yang berubah bukan sistem-sistem kehidupan, bukan sistem pemerintahan yang kufur itu, tetapi yang berubah ialah pemikiran, budaya dan peribadi beliau sendiri.

Begitu juga dengan perpaduan. Hingga kini kita belum nampak apakah formula perpaduan yang telah Anwar anjurkan. Sebaliknya apa yang kita tahu, perpecahan kaum dan juga orang-orang Melayu khasnya dalam Umno menjadi lebih parah lagi sejak Anwar menjejak kaki secara rasmi dalam pasti itu. Anwar bukan menjadi pedamai, sebaliknya tukang adu domba dalam Umno.

Perubahan drastik yang amat ketara kepada Anwar ialah disegi berpakaian. Walaupun Anwar pernah mengatakan bahawa Islam ddak memaksa dalam berpakaian, tetapi ianya merupakan satu budaya yang telah ditentukan menurut fitrah dan syariat Islam. Pakaian bagi orang Islam mestilah menutupi aurat.

Sewaktu dalam Abim pakaian Anwar sungguh bersopan sekali. Amat kena sebagai seorang pejuang Islam. Dia kelihatan ikhlas dan menyakinkan kita semua. Brother kita ni selalu sahaja bersongkok, kain sarung dan berbaju Melayu.

Kemana-mana beliau pergi itulah pakaian beliau. Baik sewaktu ceramah ataupun di majlis-majlis tidak rasmi. Jarang kita melihat Anwar memakai baju ataupun fesyen yang tidak digalakkan oleh Islam. Cuba tenguk gambar-gambar lama Anwar, sebelum dia memasuki Umno, mana ada Anwar pakai kot ataupun tali leher. Tak ada langsung?

Beliau begitu istiqamah dengan pakaian Islam Abim dan kita tenguk Anwar waktu itu begitu manis dan serdahana dengan pakaian seumpama itu. Walaupun pakaian Abim itu pakaian Melayu dan tidak pakaianan budaya Islam sebenarnya, tetapi sekurang-kurang-nya kita sudah dapat berbangga dengan corak pakaian begitu. lanya lebih sopan dan manis berbanding dengan apa yang menjadi rutin Anwar hari ini.

Tetapi segala pakaian itu berubah sama sekali. Bila beliau dilantik menjadi Ahli Parlimen, Anwar tidak lagi mengenakan pakaian lama itu. Anwar sudah melupai bentuk pakaiannya dulu.

Beliau lebih senang mengenakan kot, longsuit dan necktie. Nampaknya Anwar ini bukan tidak istiqamah dalam satu jemaah (Abim), pakaiannya juga berubah-rubah mengikut masa dan suasana.

Apa yang menyedihkan lagi, Anwar bukan sahaja setakat telah menanggalkan baju Abim (Islam?) sebaliknya telah menjadi penentang pula kepada mereka yang hendak mengamalkan pakaian Islam. Sepatutnya kalau dia sudah rasa panas dengan baju Melayu dan kain pelikat, beliau tidak sepatutnya tentang kalau ada orang lain hendak pakai, kerana pakaian itu adalah budaya Islam.

(Kita rasa waktu inilah waktu paling sesuai kalau Anwar hendak pakai kain sarung ataupun jubah, kerana dia kini sudah ada kereta yang beraircondition. Kalau pakai pun dia tidak panas seperti dulu lagi. Dulu Anwar naik bas mini sahaja hendak pergi ke mana-mana. Keadaannya panas dan melekat tapi Anwar tahan juga pakai kain sarung dan baju Melayu)

Bukti beliau menentang pakaian Islam, apabila beliau tidak memperduli langsung rayuan lapan orang siswi Universiti Teknologi Malayasia (UTM) yang dipecat kerana mempertahankan pakaian purdah sewaktu Dollah Badawi menjadi Menteri Pelajaran dulu. Sikap tidak peka Anwar itu jelas bahawa beliau menolak pakaian Islam.

Dalam menghadapi isu purdah di UTM itu, Anwar tidak sepatutnya meneruskan tindakan Dollah Badawi. Beliau sepatutnya membenarkan siswi berkenaan meneruskan pengajian mereka yang hampir tamat itu. Dan paling bagus Anwar membenarkan mereka memakai purdah.

Kalau Anwar membenarkan siswi pakai purdah dan membela lapan orang sisiwi UTM itu sudah pasti imej Anwar akan naik. Orang akan salute kepada beliau sebagai tokoh yang benar-benar mahukan kepada Islam tidak hanya bercakap sahaja.Tetapi keadaan jadi sebaliknya.

Sesungguhnya peristiwa pemecatan lapan orang siswi UTM 1987 kerana mempertahankan purdah itu sungguh mengaib dan mengecewakan umat Islam. Apa lagi menteri yang bertanggungjawab seorang Islam, yang waktu itu sungguh lantang melaungkan perjuangan Islam.

Dan yang menyedihkan pula sudahlah beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana hendak menghurmati kehendak pemimpin Umno yang jahil mengenai budaya dan hukum Islam, beliau pula menempelak balik siswi-siswi berkenaan sebagai kolot dan keras kepala.

Perubahan sikap Anwar bukan setakat itu sahaja, beliau juga telah menukar budaya hidupnya. Dari budaya sopan santun kepada budaya berbau maksiat. Anwar kini mula pandai berada di tengah-tengah majlis yang dikerumuni oleh bukan muhrim dan bersalam-salaman dengan perempuan tanpa alas.

Dalam Abim dahulu Anwar tidak pernah berbuat demikian. Malahan hendak bercakap dengan perempuan pun beliau malu-malu, apa lagi bersalaman dan duduk-duduk berdekatan tanpa ditemani oleh muhrim. Selisih malaikat 44 Anwar tidak buat.

Begitu juga Anwar tidak pernah hadir di majlis-majlis keramaian berbau maksiat, apa lagi majlis cocktail dan minum-minum sambil berdiri dan diiringi muzik jauh sama sekali. (Masa dalam Abim dulu yang penuh kesedaran dan keberkatan). Tetapi kini apabila masuk Umno, apa yang beliau tidak buat dulu, yang beliau larang dan tentang dulu, semuanya beliau buat. Malahan beliau pula yang menjadi taukeh kepada sesetengah kegiatan berkenaan dengan melakukan upacara perasmian.

Itulah perubahan peribadi Anwar. Perubahan itu menunjukkan Anwar tidak dapat mempertahankan peribadi luhurnya sebelum ini. Beliau terpaksa korbankan itu semua semata-mata hendak mengikut gerak tari dan juga gelombang dalam Umno. Anwar bukan sahaja mengadaikan prinsip dalam mengejar pangkat, sebaliknya beliau ikut sama menodai sifat-sifat luhurnya sebelum ini. Sebenarnya perubahan yang berlaku ke atas Anwar terlalu banyak untuk ditulis. lanya telah menjadi satu pengetahuan umum. Kanak-kanak Tadika yang dianjurkan oleh Abim sendiri pun tahu.

Dan satu berita yang sungguh memeranjatkan kita semua ialah khabarnya Anwar kini sudah pun pandai menari. Sebelum ini kita hanya tahu beliau memang seorang yang meminati lagu-lagu Hindustan hingga semua lagu-lagu dalam filem Sangam dihafalnya. Menurut seorang rakannya bila keseorangan di atas kereta Anwar selalu menyanyi lagu Hindi. Tetapi pasal menari kita tidak tahu. Dan dulu dia tidak pun pernah menari.

Tetapi sejak masuk Umno, bukan menyanyi sahaja, katanya menari tengo dan caca pun dia sudah pandai. Masya-Allah...tidak dapat saya gambarkan bagaimana rupa dan bentuk tarian Anwar. Mungkin sumbang ataupun boleh mengalahkan Michael Jackson.

Cerita Anwar menari ini sudah heboh ke serata Malaysia. Mungkin juga telah dirakam di video. Kejadian ini dikatakan berlaku di Pulau Langkawi sewaktu Mahathir dan beberapa orang menterinya mengadakan mesyuarat kabinet di pulau itu. Selepas penat-penat mesyuarat mereka dikatakan adakan sedikit "majlis menari" bukan majlis kenduri! Di majlis itu seorang menteri dikatakan menari dengan isteri Anwar Dr Wan Azizah sementara Anwar pula menari dengan isteri menteri berkenaan. Bertukar-tukar isteri katakan, ala Mat Salleh.


Katanya majlis tari menari ini sebagai majlis adik beradik sahaja. Nak seronok-seronok dan tak ada apa-apa yang lebih hot dan istemewa dari itu. Kalau ada hot pun kita tidak tahu kerana majlis itu tertutup. (Nak tahu cerita lanjut tanya Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Sabu)

Anwar tahu sangat perbuatan seumpama itu haram, tetapi kerana mau menghormati majlis itu apa lagi dihadiri sendiri oleh PM dia terpaksa biarkan juga. Lagipun apa hendak kisah sangat, menari sebagai adik beradik apa salahnya, perlembagaan Umno tidak mencegahnya!

Sebenarnya untuk mengelakkan terlibat dengan perkara-perkara maksiat seperii itulah, maka kawan-kawannya dahulu melarang beliau daripada memasuki Umno. Niat kawan-kawannya dulu ikhlas untuk melihat diri Anwar sentiasa bersih. Kerana mereka sudah arif, bila menyertai Umno, seseorang itu terpaksa mengikut budaya jahiliah dan juga sosial Umno.

Biarlah dia seorang ulamak, maupun wali, bila menerjunkan diri ke dalam Umno, ianya tidak dapat melarikan diri daripada turut sama melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat. Kalau tidak buat pun mesti bersyubahat.

Tengok sahaja apa sudah jadi kepada Tan Seri Wan Mukhtar Ahmad, Ulamak besar Umno. Beliau juga tidak dapat mengelakkan dirinya dari terlibat dengan kemungkaran yang Umno lakukan. Padahal keilmuan dan kewarakkan Tan Seri Mukhtar lebih tinggi daripada Anwar Ibrahim. Namun beliau tidak berjaya juga mengawal dirinya dari turut sama terpalit dosa yang wujud dalam Umno. Ulamak besar itu terikut-ikut juga budaya hendak kaya seperti kebanyakkan pemimpin Umno.

Bukan sahaja soal pakaian dan sikap Anwar yang berubah menjadi baru, tetapi pandangan, konsep, prinsip dan aqidah perjuangan juga telah banyak berubah. Bagaimanapun apa yang paling membimbangkan kita ialah mengenai dasar perjuangannya.

Kita tidak tahu ke mana kiblat perjuangan Anwar kini. Kita begitu ragu melihat beberapa tindak tanduk beliau terutama berhubung dengan dasar Islam yang beliau laungkan sebelum ini. Kalau dulu kita sering mendengar laungan dan keluhan beliau berhubung dengan Islam, tetapi hari ini semuanya menjadi senyap sunyi.

Selama hampir 10 tahun beliau berada dalam Umno, kita belum dengar sekali pun dia menjerit hendak mendaulahkan Islam seperti sebelum ini. Anwar tidak pernah mengeluarkan kenyataan-kenyataan dinamik dan konkrit berkaitan dengan Islam. Apa yang kita dengar hanya pengumuman-pengumuman beliau mengenai cita-cita lamanya sahaja. Sementara dalam tindakannya beliau lebih banyak menumpukan kepada pembangunan fizikal daripada pembangunan insan yang menjadi falsafah pendidikannya sebelum ini.

Sewaktu dalam Abim dahulu beliau bersungguh hendak mewujudkan pendidikan rabbani. Penubuhan Yayasan Anda Akademik, ialah permulaan ke arah penvediaan sekolah akademik yang berlandaskan kepada Islam. Waktu itu Anwar begitu dhaif untuk membangun serta meluaskan bidang pendidikan di Akademik berkenaan. Kita boleh kata beliau begitu terbatas sekali dan tidak mempunyai kuasa menyebabkan dia tidak berjaya.

Tetapi hari ini setelah mempunyai kuasa penuh sebagai menteri, beliau boleh buat apa yang pernah beliau lakukan sewaktu dalam Abim. Tetapi nampaknya kuasa dan kesempatan yang banyak itu tidak juga digunakan untuk merealisasikan hasratnya itu.

Sehingga hari ini kita belum terdengar lagi, yang Anwar mengemukakan apa-apa cadangan untuk mengubah sistem pendidikan negara yang sekular kepada Islam yang berteraskan kepada iman, tauhid dan taqwa. Malahan apa yang berlaku sekarang ini bukan sahaja setakat menerapkan konsep pendidikan sekular itu secara meluas, sebaliknya unsur-unsur kemungkaran dan jahiliah turut diamalkan sama dalam sistem pendidikan hari ini.

Misalnya apa yang berlaku di Universiti Malaya, jelas menunjukkan sesuatu yang kontras dengan jiwa dan semangat Anwar sebelum ini. Semua bentuk kegiatan maksiat wujud di universiti itu. Daripada hiburan rock heavy metal sampai ke masalah rasuah. Boleh dikatakan sepanjang tahun ada-ada sahaja pertunjukan pentas gila-gila di kampus universiti tersebut.

Dan yang aneh lagi bila ada golongan pelajar yang mewarisi semangat Islam Anwar dulu, cuba menghalang kegiatan maksiat itu, Anwar diam membisu. Anwar bukan menyokong, tetapi melarang pelajar berkenaan kononnya agar rasional dengan membiarkan kemungkaran dan maksiat itu berleluasa di kampus. Tidak cukup menyatakan bangkangan dengan sikap sinisnya, dibenarkan pula universiti menggunakan polis untuk menahan mana-mana pemimpin pelajar yang membantah aktivti kufur itu di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dan tindakan politik yang melibatkan perubahan dasar perjuangan Anwar terbaru ialah berhubung dengan pindaan Akta Pendidikan 1990. Pemansuhan Seksyen 21/2 melalui pindaan itu amat memalu dan mendayuskan bangsa Melayu. Dengan terpindahnya akta berkenaan, Menteri Pendidikian kini tidak lagi berhak untuk berkuasa ke atas Sekolah-Sekolah Kebangsaan China dan Tamil.

Kita naik bingung dengan telatah Anwar itu. Yang aneh orang lain berjuang untuk berkuasa dan mempunyai seberapa banyak kuasa, tetapi beliau rela pula memansuhkan kuasa yang ada kepadanya. Kita tahu Anwar berbuat demikian untuk mengambil hati kaum Cina dan India, tetapi langkah itu ternyata tidak bijak, kerana pemberian itu telah melebihi dari sepatutnya.

Banyak pihak yang kurang senang dengan tindakan Anwar itu. Dan tindakan itu membuktikan bahawa dasar perjuangan Anwar telah banyak berubah. Dari seorang pejuang Islam dan menuntut ketuanan Melayu kepada pejuang yang ingin menyerahkan kuasa Melayu dan menjadi Pak Ampu nombor satu.

Jadi inikah yang dikatakan pemuda pejuang ketuanan Melayu?

Dulu beliaulah di antara jaguh pemuda kita yang mempelopori gerakan Islam melalui Majlis Belia Malaysia (MBM) dan juga Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Waktu itu beliaulah yang lantang mahukan keadilan dan kesaksamaan. Dan sewaktu memimpin Pergerakan Pemuda Umno, beliaulah yang lantang menyuarakan kepentingan dan hak-hak Melayu.

Tetapi setelah menyertai Umno dan menjadi ayah kepada anak-anak Umno beliaulah pula yang menentang gerakan yang beliau sendiri bangunkan itu. Dan banyak tindak tanduknya kini cuba menyerahkan martabat dan kuasa Melayu kepada orang lain.

Sikap dan hubungan Anwar dengan harakah-harakah Islam lain juga turut berubah. Dulu Anwar tidak hentam Pas, malahan menganggapkan Pas sebagai parti alternatif Islam. Dia bela PAS cukup-cukup. Kalau ada orang hendak haramkan Pas, dialah yang awal-awal memberi komen mengatakan tindakan itu tidak patut.

Sewaktu Tan Seri Syed Ahmad Shahabuddin menjadi Timbalan Menteri dalam Negeri bercadang hendak mengharamkan Pas, Anwarlah menjadi galang ganti yang mempertahankan Pas. Macam-macam beliau kata kepada Syed Ahmad.

Tetapi setelah dia masuk Umno, merasai nikmat kerusi Parlimen dan juga Menteri, dia pukul Pas balik. Dia godam Pas balik. Semua kebaikan Pas yang dia sendiri puji sebelum ini, dia sudah tidak nampak lagi. Kita tahu Anwar terpaksa buat begitu, tetapi sikapnya itu melampau sangat.

Sewaktu Dr Mahathir menyifatkan parti Pas lebih bahaya daripada komunis dan merayu Pas supaya menurut jejak langkah komunis membubarkan parti itu, Anwar tidak komen apa. Dia diam seribu bahasa. Padahal kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir itu lebih parah daripada apa disebut oleh Syed Ahmad Shahabuddin lapan tahun lalu.

Begitu juga hubungan beliau dengan Darul Arqam. Sewaktu dalam Abim dulu, Arqamlah sahabat Anwar Ibrahim. Kalau ada apa-apa masalah atau hendak adakan apa-apa aktiviti keagamaan, Arqamlah yang dipanggil. Arqamlah tempat diajak berunding. Berkira macam mana hendak menggerakkan dakwah di Malaysia. Acap juga beliau berulang alik ke Sungai Penchala.

Tetapi sebaik sahaja dia masuk Umno, duduk dalam kumpulan "toghut" dia sudah tidak kenal Arqam lagi. Dia sudah lupa bagaimana nikmat dan berkatnya makan nasi dalam dulang. Malahan bukan setakat lupa sahaja, dia kata pula makan nasi dalam talam itu fanatik. Dia bantai Arqam cukup-cukup dan sanggup bersengkokol dengan Yusuf Nor yang dia benci untuk memperkecilkan Arqam.

Kalau lihat secara umum Anwar memang tidak anti kepada Arqam. Dia cerdik dia tidak kritik dalam negeri. Dalam negeri dia suruh orang lain yang kritik, seperti Yusof Noor tetapi dia bantai di luar negeri. Bila ada kesempatan berjumpa dengan pelajar luar negeri, di situlah dia kritik Arqam habis-habisan. Tuduh Arqam sesat, songsang dan sebagainya. Mungkin kita tidak percaya kalau orang lain yang memberi tahu tentang sikap Anwar ini, tetapi kerana ianya berlaku di hadapan pelajar Arqam sendiri, susah juga hendak menolaknya. Anwar pernah kritik Arqam dalam satu majlis pertemuan dengan pelajar di Jordan. Dalam majlis itu pelajar Arqam ada sama, di situlah kepuraan-puraan Anwar terhadap Arqam terbongkar.

Anwar nampaknya tidak mahu berkawan dengan Arqam lagi. Dia sudah lupa sahabat lama. Dia sudah lupa dengan Ustaz Ashaari Muhammad, sudah lupa dengan Haji Abdul Halim Abbas dan beberapa orang lagi yang selalu sahaja mengunjungi dan berdiskusi dengan beliau dulu.

Anwar lebih senang berkawan dengan parti-parti China, MCA, Gerakan dan MIC. Sebab itulah kini dia selalu membela kawan-kawannya dalam parti-parti itu. Kalau ada orang hentam MCA, dia akan bangkit membelanya. Dalam ribut-ribut Umno hendak tawan Pulau Pinang, beliau beri jaminan Pulau Pinang akan tetap diserahkan kepada MCA. Mula masuk Umno dulu, dialah juga yang lantang, lebih lantang dari Dollah Badawi untuk mempertahankan Pulau Pinang.

Tetapi hari ini sudah berubah. Anwar sudah jadi macam ular air. Dia tidak lagi bertempik melolong mengenai Pulau Pinang. Suara lantang dan nyaringnya untuk membela umat Islam di Pulau Pinang sudah lenyap dalam laut di Pulau Mutiara itu. Malahan sejak jadi Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang, Anwar sekalipun belum bersuara mengenai hak-hak dan kepentingan Melayu Pulau Pinang. Anwar seperti mabuk .pinang sahaja sekarang ini bila mengenangkan Pulau Pinang.

Dengan sikap Anwar yang demikian menyebabkan timbul pertanyaan kepada kita, sejauh manakah keikhlasan beliau hendak memperjuangkan kepentingan umat Islam di Pulau Pinang. Kadang-kadang sikap dan kenyataan Anwar dalam soal ini begitu mengelirukan sekali.

Cuba perhatikan dua kenyataan akhbar Anwar di bawah ini. Kedua kenyataan di buat dalam jarak tidak sampai 10 tahun. Satu kenyataan ketika Anwar baru menyertai Umno, sementara satu lagi setelah beliau memperolehi kedudukan yang lumayan dalam Umno.

Kedua kenyataan ini amat kontras dan berbeza sekali. Ini juga menggambarkan perubahan sikap dan komitmentnya kepada masalah itu sebelum ini. Misal dalam kenyataannya yang dibuat dalam tahun 1982, beliau lantang menyatakan tidak akan bertolak ansur dengan Kerajaan Pulau Pinang dalam menjaga kepentingan dan hak-hak Melayu dan Islam. Tetapi dalam kenyataan yang dibuat pada tahun ini (1990) Anwar seperti telah melupai apa yang beliau tegaskan dulu.


Pulau Pinang - Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Encik Anwar Ibrahim menegaskan sekali lagi bahawa masyarakat Melayu di Pulau Pinang tidak akan bertolak ansur dengan kerajaan negeri jika nasib mereka masih terus tidak dapat perhatian wajar.

Katanya, perkara tidak boleh bertolak ansur dalam hal tersebut telah diberitahunya sendiri kepada Ketua Menteri Dr Lim Chong Eu dalam satu majlis taklimat Pembangunan Negeri baru-baru ini.

Berucap merasmikan dua perkara terpenting yang diberitahunya kepada Dr Lim ialah masalah tanah yang masih terbiar, yang memerlukan perhatian serius dengan segera dari kerajaan Negeri serta penmintaan bumiputera dalam berbagai ekonomi.

Dalam hubungan ini kata Encik Anwar lagi masyarakat Melayu di negeri ini tidak akan sekali-kali bertolak ansur jika masalah yang sedang mereka hadapi itu terus dipandang ringan oleh kerajaan negeri.

"Kita boleh bertolak ansur dalam hal-hal lain, tetapi tidak dalam hal-hal melibatkan survival atau hidup mati orang-orang Melayu Pulau Pinang" tegasnya.

(Bintang Timur 25 July, 1982)

Kenyataan tesebut menampakkan akan ketegasan dan kesungguhan Anwar dalam usaha memperjuang dan membela orang-orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang. Kita pun terasa terhibur mendengar kenyataan demikian. Tetapi rupa-rupanya kenyataan itu hanya bertanam tebu di bibir mulut sahaja. Malahan Anwar tidak pun bertindak apa-apa untuk mengubah nasib beliau pula telah melupai apa yang beliau katakan itu setelah beliau mula dirsuk oleh kuasa dan kekayaan.

Tenguk sikap Anwar yang paling akhir dalam menghadapi politik penindasan Lim Chong Eu di Pulau Pinang seperti mana yang disebut dalam akhbar. Anwar nampak sekali sudah tidak dapat mempertahankan apa yang diucapkan lapan tahun lalu. Sebaliknya beliau pula menjadi tukang ampu Lim Chong Eu.

Kuala Lumpur 19 April, Badan Perhubungan Umno, Pulau Pinang memberi sokongan dan keyakinan yang penuh kepada kepimpinan Dr Lim Chong Eu selaku Ketua Menteri di negeri itu, ketuanya Encik Anwar Ibrahim berkata hari ini.

Encik Anwar menegaskan beliau tidak nampak sebab kenapa, kepimpinan Dr Lim harus dipertikaikan.

"Kerajaan negeri juga tidak membuat apa-apa halangan untuk menjamin kejayaan bumiputera di negeri itu" katanya,

Encik Anwar yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika diminta mengulas saranan parti gerakan supaya Dr Lim Chong Eu terus bertanding dalam pilihanraya akan datang.

(Utusan Malaysia, 20hb. April, 1990)

Disini jelas bahawa Anwar telah berubah dan mungkir dengan apa yang beliau ucapkan lapan tahun lalu. Benarkah kata-kata Anwar itu? Kenapa beliau berkata demikian? Sebenar itulah sikap sebenar Anwar. Anwar tidak tegas dengan kata-katanya. Bila beliau memuji Lim Chong Eu itu menunjukkan bahawa Anwar tidak berkuasa untuk membela umat Islam diPulau Pinang. Dan gambaran yang beliau berikan kononnya, umat Islam di sana tidak ditekan dan bebas, itu adalah omong kosong sahaja. Anwar terpaksa berkata demikian untuk menutup kelemahan dan ketidak- mampuannya sendiri.

Mungkin dikalangan kita sudah tahu apa jadi dengan nasib umat Islam di Pulau Pinang. Mereka sekarang sedang dihimpit sedikit demi sedikit oleh kerajaan Gerakan. Tidak mustahil kalau tidak ada pembatasan kuasa dan tindakan realistik untuk menyelamat Melayu, Melayu di Pulau Pinang akan senasib dengan Melayu di Singapura.

Sesungguhnya apa yang berlaku ke atas Anwar merupakan satu yang aneh dan ganjil. Satu sikap yang mengelirukan kita semua. Dan banyak tingkah lakunya tidak menguntungkan Melayu dan Islam sendiri. Apakah Anwar tidak memandang berat kepada bangsa Melayu disebabkan beliau tidak Melayu original?

Bukan itu sahaja yang berlaku ke atas Anwar. Dalam kalut-kalut orang terkilan dengan prilaku D.P. Vijandran kerana terlibat dengan video lucah, beliau pula susah-susah membela bekas Setiausaha Agung MIC itu. Tindakan Anwar itu sungguh memalukan Islam dan menjatuhkan moral politik beliau sendiri. Adakah menasabah, orang Islam membela orang kafir yang melakukan kerja terkutuk.

Kita arif Anwar mempunyai tujuan tertentu membela dan mempertahankan parti-parti MCA dan MIC dan individu-individu tertentu dalam parti-parti berkenaan. Dia sebenarnya mahu berbaik dengan orang China dan India, agar mereka menyokongnya. Anwar sangat mengharap agar China Malaysia menyokongnya, kalau tidak dia tak dapat hendak jadi PM.

Itulah sebenarnya motif dan maksud Anwar. Bagaimanapun sepatutnya, Anwar tidak keterlaluan dalam membuat tindakan begitu. Beliau tidak seharusnya melukai hati orang Melayu dan Islam semata-mata untuk merebut jawatan Perdana Menteri. Beliau patut sedar bahawa yang mendoakan beliau jadi pemimpin, mendoakan beliau menang, bukannya orang-orang China dan India, tetapi orang-orang Melayu juga.

Itulah sikap dan kelakuan aneh Anwar. Semua itu adalah perubahan-perubahan yang berlaku ke atas Anwar setelah beliau menyertai Umno. Perubahan itu sebenarnya amat memeranjatkan seluruh masyarakat umum terutamanya umat Islam. Dan fenomena atau pun sindrom yang dihidapi oleh Anwar kini amat mencemaskan kita. lanya sungguh membimbangkan. Apa lagi perubahan itu termasuk pegangan dan aqidah perjuangan suci Anwar sebelum ini.

Kita sangat bimbang seandainya Anwar leka dan terlalu mengharapkan apa yang ada dalam laut Umno, sehingga sanggup menggadaikan maruah diri dan perjuangan asalnya, nescaya dia bukan sahaja tidak berjaya jadi PM, tetapi beliau juga akan dibenci dan dikutuk oleh bangsa Melayu Malaysia!


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved