StatTrack
free web hosting | free website | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Update on Saturday, January 26, 2002 1:07 PM

MPM pertikai Istilah Pelajar Pro/Anti Kerajaan


Sejauh manakah peraturan baru pilihan raya kampus
institusi pengajian tinggi awam (IPTA), yang selesai
pada 29 November lalu, telah menjana iklim dan budaya
serta pendidikan politik yang lebih berhikmah di
kalangan mahasiswa? Dengan kata-kata lain, sejauh
manakah ia berada di landasan persediaan menjawab satu daripada sembilan cabaran Wawasan 2020, iaitu ke arah demokrasi yang matang?

Buat pertama kalinya, pembuangan undi bagi memilih
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baru bagi sesi
pengajian 2001/2 diadakan serentak di 14 buah
universiti dan kolej universiti pada 26 November 2001,
kecuali Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
yang diadakan pada 29 November.

Menurut laporan media, langkah menyeragamkan tarikh
pilihan raya kampus ini (dikatakan) penting dalam
membantu Kementerian Pendidikan memantau aktiviti
mahasiswa sepanjang tempoh berkempen. Ia dikatakan
perlu kerana pada pilihan raya sesi 2000/1 yang lalu,
terdapatnya sekumpulan mahasiswa yang (dikatakan)
nakal yang (dikatakan) dibantu pihak luar telah
menggunakan taktik berkempen yang (dikatakan) tidak
sihat. Jadi, penyeragaman tarikh ini (dikatakan)
bertujuan membantu kementerian dan pengurusan IPTA mengawal tingkah laku yang (dikatakan) tidak sihat daripada mencemari pilihan raya.

Penulis mengunakan frasa `dikatakan' kerana premis ini
tidak dibincangkan dengan mendalam dan meluas.
Sehingga terdapat pihak, walaupun memahami akan
keperluan penyeragaman ini, malah menyokongnya, tetapi tetap menyatakan bahawa perbincangan atas premis untuk mengadakan penyeragaman itu sewajarnya dibincangkan dengan mendalam dan meluas.

Antara yang perlu dibincangkan ialah siapakah pihak
luar yang dimaksudkan itu? Bagi yang mengetahui iklim
politik kampus, biasanya, bagi pihak pengurusan IPTA,
jika orang pembangkang, maka dikatakan pihak luar.
Bagaimana jika pihak luar itu turut melibatkan orang
kerajaan?

Jika tidak dibincangkan dengan mendalam dan meluas,
bagaimanakah hendak dijawab pemikiran yang menyatakan bahawa penyeragaman tarikh ini lebih bertujuan membantu calon-calon tertentu untuk menang? Atau, ia bertujuan menutup kelemahan pemantauan kementerian dan
pengurusan IPTA pada masa lalu? Di samping itu, adakah fenomena sekumpulan mahasiswa yang (dikatakan) nakal itu berlaku di semua IPTA sehingga penyeragaman tarikh perlu untuk semua IPTA?

Serentak dengan penyeragaman tarikh pilihan raya,
beberapa peraturan baru juga dilaksanakan. Antaranya
ialah calon-calon tidak lagi dibenarkan mencetak
sendiri poster masing-masing.

Sebaliknya, Hal Ehwal Pelajar (HEP) menyediakan poster calon yang dicetak hitam putih. Tujuannya untuk
mengelakkan warna tertentu digunakan oleh sekumpulan calon sehingga dapat menggambarkan wujudnya kumpulan tertentu yang bertanding. Ia juga bertujuan mengelakkan, sekali lagi, pihak luar daripada menaja calon-calon tertentu melalui tajaan mencetak poster berwarna. Persoalannya, berjayakah peraturan ini menamatkan wujudnya calon-calon yang bertanding secara kumpulan?

Di samping itu, timbul juga banyak perbincangan
mengenai beberapa aspek daripada peraturan baru
pilihan raya kali ini. Antaranya ialah tempoh masa
berkempen, kebenaran untuk calon berpidato secara
nyata (tidak secara maya melalui pita rakaman) dan
pemindaan syarat Purata Gred Kumulatif Terkumpul
(CGPA) bagi calon bertanding yang dibuat pada hari
penamaan calon.

Sebenarnya, peraturan-peraturan baru ini telah
mengundang banyak perbincangan yang belum selesai.
Persoalannya, sejauh manakah perundingan atau
musyawarah yang melibatkan semua pihak, terutamanya MPP sesi yang lalu, telah diadakan dalam proses menggubal peraturan baru tersebut? Bagi satu keputusan besar yang mengubah iklim dan budaya politik kampus itu, adakah ia dibincangkan di Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan?

Demokrasi yang berhikmah dan matang bukan hanya dalam konteks negara, mengundi sekali dalam lima tahun. Begitu juga di kampus. Ia bukan hanya mengundi sekali setahun. Sebaliknya, ia melibatkan banyak perkara lagi. Termasuk perundingan dan musyawarah.

Jika tanpa atau kurang perundingan dan musyawarah,
bagaimanakah hendak dijawab pemikiran yang mengatakan bahawa cara atau kaedah keputusan mengenai peraturan baru itu dibuat seolah-olah oleh seorang pengadil bola sepak yang berat sebelah? Apabila dilihatnya pemain-pemain pasukan A lebih pandai menendang dengan kaki kiri, dibuatnya peraturan yang melarang menendang
dengan kaki kiri. Selepas itu, apabila dilihatnya
pemain-pemain pasukan A lebih pandai menanduk,
dibuatnya pula peraturan yang melarang menanduk.

Satu perkara menarik dalam pilihan raya kampus kali
ini ialah bahasa politik yang digunakan. Bahasa
politik termasuklah istilah yang digunakan, cara ia
digunakan dan siapa yang menggunakannya.

Terdapat istilah propembangkang dan prokerajaan. Di
sebalik tujuan peraturan baru pilihan raya kampus yang
ingin menamatkan calon-calon bertanding secara
kumpulan, nampaknya kebanyakan media dan sesetengah pengurus kanan IPTA mengelompokkan pula calon-calon berkenaan ke dalam dua kumpulan - propembangkang dan prokerajaan. Yang menariknya ialah adjektif yang digunakan. Untuk yang (dikatakan) propembangkang, digunakan berbau politik kepartian pembangkang. Malah beberapa orang pegawai IPTA menggunakan perkataan Taliban untuk sesuatu kumpulan. Manakala untuk yang (dikatakan) prokerajaan, digunakan proaspirasi
kerajaan.

Terdapat pihak luar kampus yang menyenaraikan IPTA
yang dikuasai calon-calon propembangkang dan yang
dikuasai prokerajaan. Manakala di dalam kampus,
terdapat sesetengah pegawai kanan IPTA yang dengan
bangganya membuat kenyataan media atas kemenangan calon-calon yang (dikatakan) prokerajaan. Soalnya, adakah beliau akan seghairah itu membuat kenyataan media jika calon-calon yang (dikatakan) propembangkang yang menang?

Persoalannya, wujudkah pengelompokan yang sebegitu
rigid dan berlawanan, iaitu antara yang (dikatakan)
propembangkang dan prokerajaan dalam politik kampus?
Tidak wujudkah pilihan ketiga yang lebih berimbang?
Apa hikmahnya menggunakan bahasa politik yang
mengelompokkan mahasiswa?

Jika mahasiswa memilih untuk mengelompokkan dirinya,
wajarkah sesetengah pengurusan IPTA turut terseret?
Bagi sesetengah pengurusan IPTA yang terseret itu,
tidakkah ia perlu muhasabah akan fungsi dan peranannya sebagai pendidik yang mendidik dan berfikir (al-qaidul murabbi, al-qaidul mufaqqir)?

Jika dipinjam, sekadar untuk perbahasan, istilah
propembangkang dan prokerajaan, timbul beberapa
persoalan.

Adakah calon-calon itu akan kekal sepanjang hayatnya
sebagai propembangkang atau prokerajaan? Tidak
semestinya. Sejarah bekas pemimpin mahasiswa yang
aktif dalam politik negara selepas meninggalkan kampus tidak menunjukkan yang mereka sentiasa kekal dengan kecenderungan semasa di kampus. Begitu juga halnya dengan mahasiswa yang sekadar mengundi, iaitu yang tidak aktif sangat dalam politik kampus.

Adakah keputusan pilihan raya yang memenangkan
calon-calon propembangkang melambangkan majoriti
mahasiswa kampus tersebut propembangkang? Tidak
semestinya. Apalagi jika peratus yang keluar mengundi
bukan di kalangan majoriti mahasiswa. Malahan,
terdapat kepercayaan bahawa semakin tinggi peratus
keluar mengundi, semakin tinggi kebarangkalian yang
calon-calon prokerajaan akan menang.

Di samping itu, dalam politik kampus, mengundi
calon-calon propembangkang tidak semestinya menyokong parti pembangkang. Ada waktunya ia sekadar suara kritikal.

Kritikal tidak semestinya pembangkang. Mengapa
mengundi calon-calon propembangkang? Mungkin kerana tiada pilihan ketiga dan kerana calon-calon
prokerajaan tidak seartikulatif seperti yang
diharapkan. Ada waktunya pula ia sekadar undi protes.
Ada waktunya, bukan pun protes terhadap kerajaan,
tetapi sekadar protes terhadap pengurusan IPTA sahaja.

Adakah calon-calon prokerajaan tidak atau sukar menang jika tanpa peraturan baru ini? Tidak semestinya. Hatta di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan UIAM, yang kini dikuasai calon-calon propembangkang itu. Contohnya, pada awal dekad 80-an, ketiga-tiga kampus ini sering dikuasai oleh calon-calon prokerajaan.

Jadi, apakah sebenarnya pokok masalah atau isu
pangkalnya? Jawapannya mungkin terdapat di sebalik
tiga perkara berikut.

Pertama, mahasiswa perlu memahami, menguasai dan
memperkasa idealisme, aktivisme dan intelektualisme
perjuangan mahasiswa yang tinggi lagi murni. Secara
nonpartisan dan artikulatif. Sehingga politik kampus
mempengaruhi politik luar kampus, seperti yang pernah
berlaku dahulu, seperti dalam isu bahasa Melayu,
kemiskinan dan dakwah. Bukan sebaliknya.

Kedua, pihak luar kampus yang inginkan iklim dan
budaya politik kampus sesuai dengan warna yang
dimilikinya, walaupun ini tidak digalakkan, perlu
menggunakan pendekatan yang lebih mesra mahasiswa.

Contohnya, kejarangan berada di kampus, termasuk
sekadar menghantar wakil yang tidak seberapa untuk
majlis-majlis forum tidak akan membantu. Dan jika
berforum, usahlah berleter, mengungkit-ungkit dan
berkhutbah.

Dan ketiga, malah yang terpenting, Kementerian
Pendidikan dan pengurusan IPTA tidak seharusnya
terlalu mementingkan kesan jangka pendek, iaitu dari
segi pilihan raya kampus yang dapat dipantau dengan
baik. Sebaliknya, semua pihak perlu benar-benar
berusaha untuk jangka masa panjang, iaitu menjana
iklim dan budaya serta pendidikan politik kampus yang
berhikmah dan matang.


Isu selanjutnya Isu Semasa

 

Oleh:

Saifuddin

Abdullah

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved