StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, March 5, 2002 7:22 PM

IDE Anak Muda


Oleh : Nik Nazmi Nik Ahmad

Peminat sastera klasik Melayu tidak boleh tidak sudah semestinya pernah membaca Sejarah Melayu, karya agung Tun Seri Lanang. Karya klasik itu memuatkan gabungan sejarah, mitos dan lagenda yang meskipun mungkin tidak begitu sahih untuk dijadikan sumber sejarah, memberikan kita peluang untuk melihat tasawwur dan pemikiran bangsa Melayu pada zaman purba.

Kisah masyarakat yang cukup popular dan dicatatkan di dalam Sejarah Melayu termasuklah kisah 'Singapura dilanggar todak'. Kisah ini menceritakan bagaimana selepas seorang wali dari Pasai, Tuan Jana Khatib dibunuh oleh Paduka Seri Maharaja Singapura, ikan todak yang begitu banyak bilangannya, menyerang Singapura.

Hatta tiada berapa lama antaranya, maka datanglah todak menyerang Singapura, berlompatan
lalu ke ke parit. Maka segala orang yang di pantai itu banyak mati dilompati todak itu; barang yang kena terus menerus olehnya.

Seri Maharaja Singapura menyuruh rakyat jelata berkotakan betis - tetapi orang ramai terus menerus mati. Pada waktu itulah ada seorang kanak-kanak yang agak bijak muncul memberikan pandangannya. Hang Nadim namanya.

Apa kerja kita berkotakan betis ini? Mendayakan diri kita. Jika berkotakan batang pisang alangkah baiknya?

Ide bernas dari budak tersebut telah menyebabkan todak-todak yang menyerang pulau tersebut terlekat di jongornya pada batang-batang pisang; yang kemudiannya dibunuh oleh orang-orang di pantai. Ada seekor todak yang melompat ke atas gajah Paduka Seri Maharaja, terkena baju baginda hingga terkoyak, dan dijadikan seloka oleh orang ramai,

Carik baju dilompati todak,
Baharu menurut kata budak.

Sebaik sahaja kembali di istana, Orang Besar-besar mencadangkan agar Hang Nadim yang geliga tersebut dibunuh. Sedang ia lagi budak sekian ada akalnya, jikalau sudah ia besar betapa lagi? Baiklah ia kita bunuh, tuanku.

Maka atas bebal dan berfikiran ceteknya karaktor Seri Maharaja yang dinukilkan oleh Tun Seri Lanang itu, maka diikuti nasihat Orang Besar-besar tersebut.

Namun kecetekan dan kebebalan pemikiran Paduka Seri Maharaja itu masih wujud pada hari ini, di dunia realiti dan bukannya dunia mitos atau imaginasi. Di mana-mana sahaja, pemerintahan otokratik yang bobrok dan pengecut takut akan ide-ide geliga kerana mereka risaukan survival mereka sebagai pemegang kuasa. Sejarah dunia mencatatkan, kezaliman, penindasan dan ketidakadilan tidak boleh bertahan lama, sampai ketika dan waktunya, akan tumbang juga.


Misalnya pembesar Austria, Metternich, telah melahirkan Sistem Metternich yang reaksionari dan otokratik untuk membanteras semangat nasionalisme, liberalisme dan demokrasi di kalangan penduduk-penduduk jajahannya. Sistemnya kekal gah buat masa dia berkuasa. Di Jerman misalnya, yang ketika itu bukanlah negara yang satu tetapi pecahan-pecahan kecil didominasi oleh Prussia dan Austria, gerakan Burschenschaft dikalangan mahasiswa cuba untuk menentang
rejim-rejim anti demokrasi. Kemuncak penentangan mereka tidak lain dan tidak bukan di Pesta Wartburg di mana, antara lain, sebuah effigi Metternich sebagai simbol kezaliman dibakar - meniru gaya Luther membakar effigi 'Papal Bull' yang menuduhnya menyebarkan ajaran sesat.

Peristiwa itu membawa kemarahan Metternich dan pemerintah-pemerintah Jerman dibawah pengaruhnya dipaksa menandatangani Pengisytiharan Carlsbad untuk mengekang kebebasan politik rakyatnya, khususnya mahasiswa. Peristiwa pembunuhan Kotzebue yang disyaki perisik Tsar Alexander dijadikan alasan untuk campurtangan. Perisik-perisik polis memenuhi universiti-universiti, Divine Comedy karangan penyair terakhir dunia pertengahan dan penyair pertama dunia Renaissance, Dante dan The Rhineland Gazette karangan Karl Marx diharamkan untuk dicetak.

Namun Metternich tidak hidup selama-lamanya - sistem korupnya tumbang dan negara Jerman berdiri gah. Meskipun pada mulanya politik negara tersebut didominasi pemerintahan yang tidak demokratik, tetapi pengaruh Junker tamat sama sekali dengan tewasnya Reich kedua pada Peperangan Dunia Pertama.

Mahasiswa juga menjadi suara penting di dunia Barat menentang sifat imperialistik Amerika di Vietnam. Selain itu, sebagaimana dunia saksikan pada tahun-tahun 60an, mereka turut menjadi conscience masyarakat yang mengutuk keterlanjuran dunia kapitalis. Daniel Cohn-Bendit memimpin para mahasiswa pada tahun 1968 berjaya merampas universiti elit Perancis Sorbonne dan para buruh Perancis menyatakan sokongan mereka dengan hartal seluruh negara.

Di Asia, ketakutan rejim korup Presiden Chun Doo Hwan terhadap para mahasiswa telah membawa kepada berlangsungnya tragedi berdarah Kwangju pada awal 80an di mana lebih 200 mahasiswa terbunuh. Sebenarnya para mahasiswa dan mahasiswi Korea Selatan sudah lama menjadi pengaruh yang cukup bertenaga di negara tersebut. Mereka mengetuai penentangan
terhadap pendudukan Jepun dan seterusnya boneka Amerika Syngman Rhee. Gerakan
Hangchongnyon yang bersifat kiri telah menguasai universiti Yongsei di Seoul pada 1996 hingga membawa kepada lebih 5000 penuntut ditangkap.

Di negara kita, ulama' dan cendekiawan berpendidikan Timur Tengah telah menentang kejumudan ulama' konservatif, golongan bangsawan dan penjajah dengan gerakan yang dilabelkan 'Kaum Muda'. Sifat Tunku yang dilihat anti-nasionalis dan pro pemodal serta penjajah menguatkan gerakan mahasiswa terutamanya di Universiti Malaya. Zaman keemasan yang disebut-sebut sudah semestinya ketika tahun 70an di mana Adi Satria, Anwar Ibrahim dan Hishamuddin Rais menuntut pembelaan buat rakyat dan negara.

Untuk menyatakan golongan belia tidak layak atau berupaya mengeluarkan pendapat atau ide ialah satu kenyataan yang berpandangan cetek. Meskipun kurang pengalaman, golongan belia punya tasawwur yang lebih kreatif, berani dan idealistik kerana belum dicemari realiti dunia. Kedangkalan
sistem yang mungkin menjadikan golongan lebih tua bisu, dapat dilihat dan dinilai oleh golongan belia yang, memimjam istilah Inggeris, dapat berfikir di luar 'kotak'.

Langkah memperkenalkan 'Akujanji' di universiti satu lagi langkah anti-belia yang diambil pemerintah. Seluruh rakyat Malaysia yang tahu akan Rukunegara sedar bahawa antara prinsip-prinsipnya ialah Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Pada Undang-Undang. Maka bukankah sebagai warga negara yang punya kesedaran, mahasiswa khususnya dan rakyat Malaysia umumnya
patut menyuarakan pendapat mereka apabila dilihat pihak-pihak tertentu tidak patuh pada prinsip-prinsip asas kenegaraan kita?

Kebejatan sosial sering dijadikan isu oleh pemerintah dan media untuk memperlekehkan golongan belia. Namun kesimpulan yang seringkali mereka capai mudah sahaja untuk menyalahkan
golongan muda kerana menjadi 'punk', terlibat di dalam 'black metal' dan lain-lain lagi - tetapi itulah produk sistem pendidikan yang menjadikan agama sebagai ritual kosong semata-mata dan tidak menghiraukan pengisian dan roh agama itu sendiri. Bagaimana pula dengan ibubapa, atau pihak media perdana yang dikawal rapi oleh pemerintah? Terlalu mudah bulat-bulat mahu disalahkan golongan muda.

Benar kata Aman Rais bahawa universiti kini sudah tinggal menjadi kilang pasaran buruh sistem kapitalis moden. Ide-ide yang dilahirkan secara terbuka dan kritis ditakuti - tetapi pihak yang sama
mendabik dada dengan retorik kosong kata ingin melahirkan ekonomi pengetahuan dan memimpin revolusi maklumat.

Ini kerana seperti Paduka Seri Maharaja Singapura, pemerintah, meskipun tahu cadangan dan ide-ide orang muda ini dapat dimanfaati negara, tetapi survival politik mereka yang terlalu jelek,
kotor dan hancing akan terdedah kiranya golongan belia dibebaskan daripada pelbagai kekangan drakonian. Hang Nadim dibunuh; belia dan mahasiswa kita dirantai pelbagai peraturan dan akta yang merimaskan; tetapi kejelekan tidak dapat dipertahan selama-lamanya.

Ide anak muda mesti didengari buat kebaikan semua. Jangan ulangi kesilapan Seri Maharaja.

NIK NAZMI NIK AHMAD, 20,
ialah seorang Exco Unit Pendidikan Politik Institut Kajian Dasar (UPP-IKD)
dan juga Exco SuaraAnum.com.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved