StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Saturday, January 26, 2002 1:14 PM

Adakah Mahasiswa Melayu memuja Taliban?


MINTA maaf kepada para pembaca kerana penulis tidak akan menyiarkan sambungan tulisan mengenai wawancara Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Hadi Awang dengan stesen televisyen Al-Jazeera disebabkan terdapat isu lain yang dianggap lebih perlu diberi perhatian.

Isu berkenaan ialah dakwaan kononnya perjuangan puak Taliban dianggap perlu menjadi role model kepada
gerakan mahasiswa di Malaysia.

Pandangan yang ganjil ini ditimbulkan dalam rancangan
Bicara Siswa di TV1 semalam. Pandangan menuntut supaya perjuangan puak Taliban dijadikan role model kepada mahasiswa di Malaysia disuarakan oleh seorang
mahasiswa tahun akhir dari Sabah dalam rancangan
televisyen baru yang dikendalikan oleh Pengarah Biro
Tata Negara (BTN), Datuk Nordin Kardi.

Wujudnya pandangan sebegitu rupa di kalangan mahasiswa tidak boleh dianggap perkara biasa, apatah lagi mahasiswa tahun akhir yang biasanya telah matang
pemikiran. Pandangan itu membuktikan bahawa pemikiran masyarakat kampus kini berada dalam krisis.

Ketika sesetengah mahasiswa bertungkus-lumus untuk
menjadikan kampus sebagai gelanggang politik sehingga sanggup berusaha bersungguh-sungguh memalingkan perhatian daripada tanggungjawab menuntut ilmu kepada mencari kuasa pelajar (student power) seolah-olah mereka ahli politik dan bakal ahli ilmu, sebilangan mahasiswa lain pula termasuk mahasiswa dari Sabah itu jauh berbahaya kerana cenderung kepada pemikiran dogmatisme dan ektremisme agama yang terang-terang
ditolak oleh Islam. Justeru, Taliban dan Osama bin
Laden menjadi idola sebilangan mahasiswa golongan ini.

Kenapa puak Taliban yang para pemimpin Pas pun tidak
mahu dikaitkan dengan parti mereka menjadi idola
sebilangan mahasiswa Malaysia?

Jawapannya, tiada perkara lain kecuali kerana puak
Taliban kini menjadi sasaran perang yang dilancarkan
oleh Amerika Syarikat (AS).

Perlu diulang sekali lagi bahawa Taliban dan Osama bin
Laden tidak asing kepada AS kerana mereka ialah orang yang pernah berada dalam kepompong AS. Setelah AS mendapati Taliban dan Osama menjadi anjing yang menggigit tuan, ia pula berusaha menghapuskannya.

Penulis mengkritik Taliban bukan bererti penulis
berpihak kepada AS. Begitu juga penulis tidak berpihak
kepada pelbagai puak Mujahidin yang kini dikenali
sebagai Perikatan Utara. Ini kerana di satu pihak
penulis sedar bahawa serangan yang dilancarkan oleh AS ke atas Afghanistan tidak betul. Mahukan Osama,
lakukan seperti dilakukan ke atas Che Guevara. Tidak
perlu dilancarkan perang menggunakan peralatan perang tercanggih di dunia ke atas negara yang termundur di dunia itu.

Di pihak yang lain, penulis juga sedar bahawa puak
Taliban dan pelbagai puak Mujahidin adalah sama-sama
zalim dan ganas. Perang mereka selama 22 tahun bukan jihad pada jalan Allah, tetapi perang asabiah, kabilah dan mazhab.

Konflik antara suku dan mazhab yang berakar umbi sejak ratusan dan ribuan tahun itu sentiasa meledak menjadi perang sejak tertubuhnya negara Afghanistan. Perang antara suku dan mazhab itu akan berhenti bila terdapat kerajaan pusat yang kuat.

Bagaimanapun, konflik antara suku dan puak di
Afghanistan itu berubah bentuk dan mendapat sentuhan antarabangsa bila Soviet Union (Kesatuan Soviet) terlibat dalam campur tangan tentera pada tahun 1979. AS ketika itu mencadangkan jihad iaitu formulanya untuk mengusir tentera Soviet dari Afghanistan.

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan negara-negara Islam merestui jihad AS tanpa menyedari bahawa negara kuasa besar itu hanya memperalatkan Islam dan memperkudakan umat Islam untuk melaksanakan agendanya saja. Ketika itu perang suku dan asabiah berhenti sekejap.

Selepas tentera Soviet dapat diusir dari Afghanistan
dan terbentuknya kerajaan Mujahidin pimpinan
Burhanuddin Rabbani antara tahun 1992 dan 1996, perang suku dan asabiah muncul semula. Perang suku dan asabiah kali ini berbeza daripada perang-perang suku dan asabiah terdahulu kerana mereka kini memiliki
banyak senjata perang yang moden dan canggih yang
dikumpulkan semasa perang, sama ada yang disumbang oleh AS dan negara-negara lain mahupun yang dirampas daripada tentera Soviet.

Teori yang berbunyi, `jika tidak ada musuh dari luar
untuk berperang, mereka akan berperang sesama sendiri' adalah sangat relevan dengan apa yang berlaku di Afghanistan antara tahun 1992 hingga tahun 1996.

Perang suku dan asabiah antara pelbagai etnik di
Afghanistan selama lima tahun itu telah menyebabkan
imej umat Islam tercemar seperti yang berlaku bila
Iraq berperang dengan Iran pada tahun 1980 dan
kemudian Iraq menyerang Kuwait pada tahun 1990.

Taliban yang mahu dijadikan role model oleh mahasiswa
tahun akhir dari Sabah itu mempunyai hubungan baik
dengan AS. Sehingga ke tarikh 11 September lalu
barulah AS mengubah sikap. Sejak 7 Oktober lalu pula
Taliban dan negara mereka terus dijadikan oleh AS
medan perang pertamanya pada abad ke-21 ini. Semua itu gara-gara puak Taliban memberi perlindungan kepada Osama bin Laden yang dituduh oleh AS tanpa bukti yang jelas sebagai orang yang bertanggungjawab dalam serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York dan kompleks Pentagon di Washington.

Selain itu puak Taliban juga melancarkan perang
asabiah ke atas puak-puak Mujahidin yang terdiri
daripada asabiah Tajik, asabiah Uzbek, asabiah Hazara
dan lain-lain lagi.

Puak Taliban juga tidak berbeza dengan pelbagai puak
Mujahidin yang sama-sama terlibat dalam penyembelihan orang awam di kalangan etnik masing-masing.

Etnik Hazara yang bermazhab Syiah dan sering menjadi
sasaran penyembelihan puak-puak Sunah pada masa dulu turut menjadi sasaran penyembelihan besar-besaran yang dilakukan oleh puak Taliban pada zaman ini.

Bagaimanapun, supaya berlaku adil penulis menjelaskan di sini bahawa pelbagai puak Mujahidin juga melakukan perkara yang sama terhadap etnik Pashtun dan Hazara dahulu dan sekarang. Di antara penyembelihan terhadap Pashtun yang dilakukan oleh pelbagai puak Mujahidin ialah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan ke atas tawanan perang Taliban dan orang awam yang menyokong mereka selepas kota Mazar-i-Sharif jatuh ke tangan Perikatan Utara baru-baru ini.

Kepincangan puak Taliban terakhir yang penulis ingin
bincangkan di sini ialah penguatkuasaannya terhadap
perkara-perkara yang merupakan khilafiah yang tidak
boleh diwajibkan kepada orang ramai atau
perkara-perkara yang merupakan adat dan bukan ibadat yang tidak wajib kita ikut dan beramal atau
perkara-perkara yang tidak kena-mengena dengan agama sedikit pun.

Penguatkuasaan semua perkara itulah yang menyebabkan puak Taliban mengambil tindakan ke atas lelaki-lelaki yang tidak memelihara janggut, wanita tidak menutup muka, mengharamkan gambar, wayang gambar, muzik, lagu dan televisyen. Malah lebih teruk lagi mereka juga mengharamkan wanita daripada menuntut ilmu dan bekerja.

Perlu diterangkan bahawa hanya 20 peratus di kalangan puak Taliban itu merupakan penuntut sekolah agama yang sebenar. Sedangkan selebih nya sebanyak 80 peratus adalah orang dewasa dan orang tua di mana mereka merupakan orang Pashtun yang pernah berjuang dalam pelbagai puak Mujahidin. Ini termasuk juga pemimpin tertinggi Taliban, Mullah Mohammad Omar kerana beliau merupakan ahli sebuah kumpulan Mujahidin, Hizbu-i-Islami yang dipimpin oleh panglima perang paling kontroversi, Gulbuddin Hekmatyar.

Jika diambil kira dakwaan bahawa Taliban sangat
menghormati tetamu kerana dianggap mereka sangat
berpegang kuat kepada adat, tradisi serta ajaran
Islam, tetapi tidakkah mengelak daripada menumpahkan darah penduduk senegara dan seagama mereka yang berlainan suku dan mazhab itu lebih utama? Apakah erti menghormati tetamu, tetapi membunuh penduduk senegara dan seagama?

Adakah satu perbuatan rasional untuk puak Taliban yang bermentaliti abad pertengahan ini dijadikan role model oleh para mahasiswa Malaysia seperti yang dicadangkan oleh mahasiswa tahun akhir dari Sabah itu.


Isu selanjutnya Isu Semasa

 

Oleh:

ASTORA JABAT

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved