StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Thursday, February 21, 2002 12:39 PM

Banyak pertubuhan Mahasiswa: Tidak serupa tetapi sama


Oleh : Zali Ariffin (zaliwriter@hotmail.com)

Demikian popular dan aktifnya gerakan mahasiswa dan aktif sehingga hari ini pelbagai persatuan dan pertubuhan beria-ia melibatkan nama pelajar dan mahasiswa dalam pertubuhan mereka kalau pun tidak menjadi ahli bersekutu. Dari satu sudut, pertubuhan pelajar di luar universiti (tidak dikelola dan didaftar dengan atau kepada universiti/kolej) ini tumbuh macam cendawan pula. Barangkali musim sudah tiba. Benih sudah lama disemai, cukup masa bercambahlah ia, kan ?

Antara lain ; Wawasan, GAMIS, Universiti Bangsar Utama, Pemuda Negara, Front Anak Muda Untuk Demokrasi, Pergerakan Demokrasi Pelajar dan Pemuda Malaysia (MYSDM), Gabungan Mahasiswa Wangsa Maju, Gerakan Mahasiswa Lantang Negara, Barisan Bertindak Mahasiswa Negara, Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Jawatankuasa Mahasiswa Mahasiswi dan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Isa. Yang terbaru Majlis Persidangan Mahasiswa Islam. Soal sama ada pertubuhan ini halal atau haram tidak akan dibincangkan di sini.

Saya ingin membawa pembaca meninjau beberapa perkara lain – yang jarang disentuh iaitu :

Apakah negara memerlukan begitu banyak pertubuhan pelajar ?

Apakah pertubuhan yang banyak ini mewakili golongan yang sama atau berbeza ?

Apakah pertubuhan yang banyak ini memperjuangkan perkara yang sama atau berbeza ?

Satu perkara perlu jelas – kesemua pertubuhan ini mengaku mewakili kalangan pelajar khususnya mahasiswa IPTA yang rata-ratanya bertaraf warganegara dan Bumiputera. Bermaksud secara umumnya, golongan yang diwakili mereka adalah sama. Yang mampu menghalalkan kewujudan kepelbagaian ini adalah perbezaan lokaliti (lokasi), cara berfikir dan melakukan sesuatu (aliran fikiran), dasar perjuangan dan keinginan untuk menjadi ketua ataupun menyediakan diri sebagai waris politik Dewan Pemuda kemudiannya.

Kalau kita mahu mengambilkira soal lokaliti – seperti yang diketengahkan oleh Gabungan Mahasiswa Wangsa Maju (GMWM) – maka tentu sahaja efisiensinya terhad – kerana wilayah ahlinya pasti sahaja terhad sedangkan GPMS, PKPIM dan GAMIS misalnya berjaya melangkaui soal lokaliti. Atau barangkali idea yang mahu didukung oleh gerakan ini ialah setiap kawasan perumahan atau penempatan perlu mempunyai gerakan mahasiswanya sendiri yang – pada pandangan saya – memperjuangkan nasib mahasiswa dan penduduk setempat.

Namun begitu, kita perlu juga bertanya apakah dengan melalui platform pertubuhan kebangsaan seperti GAMIS, GPMS dan PKPIM masalah perjuangan lokaliti GMWM tidak dapat di atasi ? GMWM boleh saja mendabik dada mengatakan perjuangan mereka berbeza – walaupun kini secara praktisnya ianya dilihat sama sahaja dengan beberapa persatuan lain – dan kesemua aktiviti GMWM itu tidak pun membangunkan komunitinya secara khusus sehingga dirasakan tidak timbul soal lokaliti.

Barangkali objektifnya mahu mempopularkan nama – macam katakan kalau saya dari Sungai Besi maka persatuan saya mesti ada nama Sungai Besi bagi menunjukkan asal saya seperti juga sesetengah orang mengenali saya – Zali mana ? Zali Sungai Besi . . . . .

Menyedari betapa kaedah lokaliti itu tidak berkesan bagi menambah ahli dan melebar pengaruh maka orang yang sama – kemudiannya menubuhkan Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN) yang lebih bersifat kebangsaan. Keputusan dan tindakan ini jelas membuktikan idea bahawa tiap kawasan lokaliti itu perlu mempunyai gerakan mahasiswanya sendiri buat masa ini tidak boleh dipraktikkan – tidak mendapat sambutan !

Satu lagi kecenderungan ialah mewujudkan gabungan sesama pertubuhan bagi menangani sesuatu isu. Ini dapat kita lihat dengan jelas pada Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA. Pun pertanyaan yang timbul adalah apakah perlu ditubuhkan satu lagi gabungan hanya kerana satu isu ? Kalau timbul lagi isu yang lain bagaimana ? Lihat sahaja hari ini – misalnya soal pekerja asing, pengangguran, soal pakai tudung, PTPTN dan soal AUKU – mengapa tidak dibuat gerakan mahasiswa untuk isu-siu ini ? Bukan susah – Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU ! Gerakan Mahasiswa Menangani Pekerja Asing ! Gerakan Mahasiswa Mengatasi Pengangguran ! Gerakan Mahasiswa Pakai Tudung ! Gerakan Haramkan PTPN ! Mengapa pula tidak boleh ? Apa istimewanya ISA hingga hanya ia sahaja yang boleh `digerakan mahasiswa’kan ? Yang lain itu pun isu juga, bukan ?

Bila HANYA mansuhkan ISA sahaja yang `digerakan mahasiswa’kan, sukar untuk saya melihat pertubuhan pelajar ini bebas dari pengaruh politik arus perdana. Mereka boleh sahaja mengatakan kami – para mahasiswa setuju bahawasanya ISA ini patut dimansuhkan. Jadi apa salahnya kami `menyokongnya’ dan menubuhkan gerakan untuk menyatakan sokongan kami ?

Soal saya – bila hanya mansuhkan ISA sahaja yang digerakankan, seolah menafikan adanya isu lain yang lebih penting misalnya soal berpecahnya bangsa dan agama malah berbahaya kepada negara bila politik kepartian ini menjadi semakin fanatik dan ekstremis sifatnya. Kalau pertubuhan pelajarnya ini turut membantuk lain-lain gerakan dan tidak hanya ISA barangkali saya boleh terima tanpa berfikir panjang bahawa tujuan mereka menubuhkan gerakan mansuhkan ISA itu ikhlas – memang ianya lahir dari sifat dan kemurnian jatidiri mahasiswa dan bukannya kerana diaruh oleh senior politik arus perdana.

Andaikan saja semua gerakan yang saya nyatakan di atas wujud, apa jadinya gerakan mahasiswa ? Apa pula bacaan para diplomat asing dan gambaran gerakan mahasiswa kepada rakyat senegara juga dunia ?

Teras utama – jika isu-isu itulah yang menjadi perjuangan – apakah ianya selari dengan jatidiri dan dunia mahasiswa itu sendiri dan apakah sesuai ianya untuk diperjuangkan di negara kita ini dengan cara yang sedemikian dalam waktu sekarang ini ?

Itu satu pandangan – pandangan lain – adalah sebetulnya tidak salah untuk mewujudkan gerakan berdasarkan isu – yang mencerminkan satu jawatankuasa yang anggotanya adalah ahli dari pelbagai pertubuhan dan jawatankuasa itu mendapat mandat dari perbagai pertubuhan tadi bagi menguruskan isu yang ditentukan. Cumanya kerana gerakan mahasiswa di negara kita ini adalah salinan fotostat kepada idealisme pembangkang maka yang dilihatnya cuma ISA ! Yang lain – barangkali dialognya - bos tak suruh pun ?


Jika cara berfikir atau aliran fahaman yang berbeza menjadi tonggak wujudnya pelbagai pertubuhan ini pun saya fikir tidak benar juga. Semuanya membawa agenda reformasi walaupun yang ada nama Islamnya membawa idea revolusi kebangkitan Islam tetapi buku rujukan, tokoh-tokoh idola mereka orang yang sama. Maududi, Ali Syariaati. Syeikh Mohammad Abduh, Jamaluddin Al Afghani…Fazlur Rahman . . .Hassan Al Banna..

Apa yang saya perhatikan takut-takut nama berbeza tapi terajunya – penggeraknya sama. Maksudnya walaupun persatuan atau gabungan ini tampak banyak kalau disenaraikan tapi bila diselidiki tenaga penggeraknya orang itu-itu juga. Contohnya Mohd Fuad Ikhwan suatu ketika dulu mewakili MPP UM, pada masa yang sama dia juga tonggak Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) dan GAMIS. Khairul Anuar Ahmad Zainuddin pula adalah teraju Gerakan Mahasiswa Wangsa Maju, Gabungan Mahasiswa Lantang Negara dan Universti Bangsar Utama.

Inilah yang saya fikir penipuan khalayak. Menampakkan kepada masyarakat kononnya banyak aliran mahasiswa sekarang ini agresif dan anti establishment sedangkan gabungan pertubuhan mahasiswa mereka itu terdiri daripada sekelompok kecil mahasiswa. Mereka juga cuma lain nama.

Saya katakan sekelompok kecil juga , kerana peratus yang keluar mengundi masih kecil. Di sesetengah universiti ada yang belum mencapai 50 % pun. Tak bererti mereka yang menang mewakili suara majoriti kerana majoriti `diam’ lebih banyak – Cuma mereka ini tidak mahu mengundi – barangkali kerana tidak ada pilihan, barangkali kerana bosan dengan `permainan politik kampus’ yang semakin mengabaikan isu tempatan - pengajaran, pembelajaran dan kemudahan pelajar – sebaliknya disogokkan dengan isu-isu politik negara.

Saya berharap – faktor selanjutnya iaitu menubuhkan persatuan – dan tidak mahu bergiat dalam persatuan yang sedia ada kerana keinginan mahu menjadi ketua selanjutnya menonjolkan diri sebagai pemimpin pemuda yang kononya layak mendapat tempat dalam perwakilan pemuda parti politik negara; bukanlah faktor majoriti atau motif utama kerana jika inilah motif sebenar disebalik kelahiran begitu banyak persatuan maka kesudahannya kepada perjuangan mahasiswa amatlah menyedihkan. Contohnya Pemuda Negara yang hanya diketahui membuat kenyataan akhbat sekali – lalu hilang kerana pimpinannya sudah diserapkan kepada sayap pemuda parti politik.

Ada juga kemungkinan pertubuhan atau gabungan persatuan pelajar diwujudkan sekadar mahu menunjukkan jumlah persatuan itu banyak – kononnya bila dibaca oleh para pembaca – mereka ini mendapat sokongan akar umbi yang kuat. Saya fiksyenkan misalnya sewaktu penghantaran memorandum PUM kepada Majlis Raja-Raja baru-baru ini terdapat 7 pertubuhan NGO yang turut sama memberikan sokongan. Anehnya ada persatuan atau pertubuhan yang dinamakan dalam kumpulan itu yang kita tak pernah tahu wujud sebagai contohnya Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI) . Untuk tujuan strategis, boleh sahaja misalnya ahli Sekrt. Pelajar PUM menubuhkan MPMI atau katakan saja serpihan PKPIM yang menubuhkannya dengan hasrat menambah bilangan – menunjukkan sokongan yang kuat kepada PUM walaupun ahlinya, jawatankuasanya masih lagi orang yang sama – dua kali lima sahaja. Ini satu contoh bagaimana untuk tujuan strategi, ia boleh diwujudkan. Saya tidak mendakwa mereka melakukan demikian.

Pada fikiran saya, aktivis pertubuhan dan gerakan mahasiswa khususnya para pemikir dan pemimpin disebaliknya harus mencipta dasar perjuangan dan cara yang berbeza sesuai dengan milinium baru dan cabaran yang yang dihadapi negara dan dunia mahasiswa – umumnya pendidikan hari ini. Percubaan meneruskan stigma lama – ajaran perjuangan lama seperti yang dikuatkuasakan oleh Sdra. Hisyamuddin Rais melalui demonstrasi dan lain-lain kegiatan `jerit, pekik, demonstrasi dan menuduh orang lain salah dan jahat’ pada saya sudah lapuk, ketinggalan zaman, menghalang kemajuan fikiran dan amat berdosa kepada survival masa depan agama, negara, bangsa, negara dan peradaban. Saya tidak punya sebab untuk berbangga kalau saya mahasiswa untuk dikaitkan dengan aktiviti begitu – memalukan lagi ada.

Menghantar memorandum barangkali tampak profesional. Pokoknya – masih lagi di tahap saranan. Itupun kala memorandum itu ada saranan selalunya ianya dpenui dengan bantahan semata-mata. Tidak ada `pembangunan atau kemajuan’ khususnya di tahap kesedaran mental dan jiwa yang lebih baik.

Mengapa tidak diasaskan cara dan dasar perjuangan itu ke arah merubah masyarakat kepada yang lebih baik dengan cara yang lebih hormat ? Katakanlah kita tidak setuju dengan satu tindakan tertentu kerajaan. Mengapa tidak kita adakan seminar misalnya, dan keputusan seminar itu kita hantarkan kepada pihak yang berkuasa. Atau boleh sahaja kita cadangkan kaedah lain – bukan hanya bertindak menghentam semata-mata tetapi kaedah memberi alternatif dan sedia pula memberikan tenaga untuk bergiat sama misalnya dalam lapangan pendidikan IT.

Sejauhmana pertubuhan pelajar yang sedia ada membantu kempen pelajari dan kuasai IT sedangkan rata-rata mereka mempunyai asas IT yang cukup baik ? Mengapa tidak ditubuhkan Gerakan Mahasiswa Menangani Kempen IT ? Tidakkah aktiviti yang sedemikian lebih baik – dalam bab survival bangsa agama dan negara berbanding mengadakan demo yang terang-terang menunjukkan kenegatifan ?

Saya fikir bukan tidak boleh demo – sesekali boleh saja tapi buatlah dengan cara yang lebih bijak – menampakkan yang mahasiswa itu berilmu dan bakal waris tampuk negara yang dapat dipercaya. Ini menjerit, melolong yang bukan-bukan. Menyalak gunung apa untungnya ? Sedangkan pada masa yang sama banyak lagi jalan lain yang lebih terhormat boleh digunakan.

Berbalik kepada isu asal iaitu banyak pertubuhan mahasiswa – tetapi sebetulnya semuanya sama – sama dari segi pendekatan, tenaga penggerak walaupun dasar perjuangannya ada perbezaan. Sudah begitu banyak pun masih sama juga ? Kalau sama mengapa perlu banyak ?

Saya fikir mahasiswa berhak mendapat peluang memilih dan untuk memilih tentunya ia memerlukan wujudnya pilihan. Bila adanya pelbagai pertubuhan – maka ruang membuat pilihan untuk menyertai pertubuhan mana yang sesuai dengan jiwa pun tersedia tetapi jika yang berbeza hanyalah nama dan di atas kertas pendaftaran sahaja sedangkan menifestasi aktivitinya sama – saling tak tumpah maka saya fikir ruang untuk membuat pilihan itu telah dicemar – diperkosa !!

Kalau mahu wujud berbeza – maka jelaslah bezanya supaya tidak membazir kesatuan ahli dan suara.

Kesimpulannya – kalau anda mahu berjuang pastikan pentas anda itu pentas perjuangan – yang kalau benar mahu atas nama mahasiswa maka siasat dulu ikhlas atau tidaknya `perjuangan mahasiswa’ mereka supaya anda tidak sekadar menjadi burung kakak tua orang lain. Awasi doktrinisasi. Kita boleh sahaja berbeza pendapat. Tetapi mengatakan hanya kita sahaja yang betul sedangkan orang lain salah tanpa `pengesahan bertulis dari Allah s.w.t’ bermakna menempah tiket ke neraka.

Untuk rakyat selebihnya, jangan gerun bila melihat nama pelbagai pertubuhan pelajar. Ada yang ahlinya itu-itu juga. Malah aktivitinya hanya hantar memorandum. Siasat dahulu siapa penajanya, ahli jawatankuasanya, bila ditubuhkan, berapa ramai ahlinya, apa yang diperjuangkan apa aktivitinya . . .kerana hari ini banyak sekali persatuan atau pertubuhan yang wujud tiba-tiba kerana satu-satu isu atas desakan atau ajaran pihak tertentu.

Ini pendapat saya, mungkin saja saya silap. Siapa tahu ? Mutlaknya di tangan DIA yang Maha Tahu lagi Maha Mengetahui !


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved