StatTrack
free web hosting | website hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, February 5, 2002 9:22 PM

Akujanji, Kader Politik dan indoktrinisasi pendidikan. Siapa main wayang?


Akhir-akhir ini tulisan yang mempersoalkan tindakan
kerajaan berkenaan dengan mahasiswa institusi
pengajian tinggi semakin lazim di laman-laman web
reformasi dan pembangkang. Sekali baca seolah apa
yang mereka ketengahkan itu betul. Namun adalah tidak adil untuk melihat senario berkenaan dari satu sudut semata-mata. Dalam tulisan ini beberapa isu yang
menjadi persoalan akan dilihat pula dari sudut yang
berbeza. Terpulanglah kepada pembaca untuk menilai
akhirnya siapakah yang mempolitikkan isu ini dan
mengabaikan kepentingan mahasiswa serta masa depan negara.

Tulisan saudara Aman Rais di Malaysia Kini bertajuk
Kampus Hanya Kilang Produk Pasaran Buruh Tanahairku barangkali dapat merumuskan isu-isu ini yang antara lainnya dapat diringkaskan seperti berikut :

1. Akujanji langkah kerajaan bersihkan IPTA dari
unsur subversif
2. IPTA kilang pasukan buruh
3. IPTA kilang kader Barisan Nasional

Akujanji langkah kerajaan bersihkan IPTA dari unsur
subversif ?

Sdra Aman Rais mengatakan langkah kerajaan memaksakan akujanji kepada para pelajar IPTA ialah kerana mahu membersihkan IPTA dari anasir subversif.

Katanya , Akujanji ini dilihat sebagai langkah
terdesak kerajaan untuk mengekang minda warga kampus supaya hanya taat setia dan menyokong kerajaan setelah para pelajar dan tenaga pengajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti menentang kerajaan.

Kenyataan ini pada saya amatlah keterlaluan dan
amatlah nyata bermotifkan politik. Faktanya ialah
borang atau pernyataan akujanji yang perlu
ditandatangni oleh semua pelajar IPTA belumpun
diedarkan lagi! Oleh kerana itu, butir-butirnya masih
belum diketahui. Aman Rais dengan beraninya mengatakan
dalam akujanji tersebut pelajar akan diminta
mengatakan taat setianya kepada kerajaan dan hanya
akan menyokong kerajaan.

Pada borang atau pernyataan akujanji untuk kakitangan
awam yang disiarkan di akhbar tempatan pun, para
kakitangan awam hanya diminta melaksanakan tugas
mereka sebaik mungkin terhadap majikan mereka
kerajaan apakah ini yang barangkali boleh
ditafsirkan sebagai melafazkan taat setianya kepada
kerajaan (sebagai majikannya) adalah salah ?

Setahu saya ianya tidak bertentangan dengan Islam
malah sebenarnya Islamlah yang menganjurkan tiap
penganutnya untuk bekerja sebaik mungkin taat pada
pemerintah dalam hal yang dibenarkan demi agama dan
negara.

Menurut sumber Kementerian Pendidikan, akujanji dengan pelajar IPTA berkenaan akan memfokuskan bahawa pelajar akan menumpukan perhatian mereka kepada pelajaran dan tidak akan melibatkan diri dengan
politik. Perkara ini jika diperhalusi sebenarnya telah
terkandung dalam AUKU. Cuma barangkali kerajaan mahu mengadakan akujanji ini sebagai pernyataan janji setia pelajar semasa mula menjadi pelajar bagi
memperingatkan mereka bahawa tanggungjawab mereka sebagai pelajar adalah untuk belajar. Jangan sesekali melibatkan diri dalam aktiviti politik. Mengikuti
perkembangan tidak mengapa jangan melibatkan diri.
Yang menariknya batasan politik ini tidak hanya
pembangkang malah parti kerajaan turut terhukum sama.

Jika begitu, maka dapatkan kita buat kesimpulan bahawa tuduhan Aman Rais dan kumpulan pembangkang ini terhadap akujanji sebenarnya adalah satu tuduhan yang berkepentingan dan tidak berasas. Berkepentingan kerena mereka merasakan gerakan mereka yang selama ini menggunakan pelajar sebagai jentera utamanya akan terancam. Tidak berasas kerana sebenarnya dalam AUKU selama ini ianya telah pun dinyatakan Dan akujanji ini tidak melibatkan sebarang pindaan baru terhadap AUKU.
Mengapa terperanjat ? Apa bezanya ? Akujanji ini cuma
ikrar beberapa perkara yang terdapat dalam AUKU saya
fikir sebagai ingatan awal terhadap pelajar berasaskan
anggapan mereka semua ini tidak baca AUKU sepertimana Aman Rais dan juga tokoh-tokoh pembangkang termasuk Mahfuz Omar yang kononnya lahir dari gerakan mahasiswa.

IPTA kilang buruh ?

Saya fikir dakwaan ini tidak perlu saya ulas panjang.
Kalau tuan-tuan punya banyak masa terluang pergilah
ke arkib Utusan Melayu atau Berita Harian dan carilah
berita di bawah kata kerja atau/dan pekerjaan maka
anda saya fikir dengan jelasnya akan faham ini satu
lagi putar belit tak cukup masak Aman Rais.

Tujuan orang ke IPTA saya fikir asasnya adalah dua
pertama melanjutkan pengajian dan keduanya dengan
sijil yang didapati dari IPTA itu diharapkan dapat
pula meningkatkan taraf hidupnya dari segi berupaya
untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Dalam
bahasa kasarnya IPTA adalah untuk ilmu dan juga untuk melahirkan buruh tenaga mahir dan separuh mahir.

Jika IPTA ini hanya berteraskan ilmu semata-mata maka
akan lahirkan graduan berijazah atau pada tahap ijazah
kedoktoran pun yang tidak mendapat pekerjaan dan
percayalah ianya akan menjadi `kesalahan kerajaan’
di mata pembangkang kerana melahiirkan graduan yang tidak mampu bersaing atau tidak memenuhi kehendak semasa.

Tapi bila IPTA kita lahirkan graduan yang diterima
pula oleh pasaran buruh didakwa pulak kita hanya
lahirkan robot untuk kilang semata-mata. Retorik dan
permainan ini jika kita uji dengan pengalaman lalu dan
semasa akan nyatalah ianya tidak lebih kerana apa yang mereka mahu tidak dikabulkan oleh pihak tertentu.

Saya yakin sebagai mahasiswa yang bertungkus lumus
menamatkan diploma dan ijazah pertama mereka soal
sejauhmana pengajian mereka serasi dengan pasaran
buruh amatlah penting. Dan kita semua tahu realiti
bahawa sewaktu temuduga pekerjaan penglibatan dalam demonstrasi dan kader politik tidak membantu.

Bila kita dirikan kilang, kita perlu pekerja. Kalau
dalam negeri kita tak ada pekerja yang diperlukan,
kita kena import. Kalau import pekerja asing untuk
semua jawatan maka banyak masalah akan timbul dan
ianya juga menambah pengaliran wang negara keluar.

Kepentingan ilmu bukan diabaikan. Masih ada
penyelidikan. Masih ada pengambangan ilmu. Sesiapa
yang layak boleh melanjutkan pengajian. Kerajaan bantu lagi dari segi kewangan melalui tabung PTPTN. Malah negara kita hari ini menjadi salah satu destinasi
melanjutkan pengajian oleh negara luar.

Senario ini dengan jelas membuktikan tindakan
kerajaan itu bertepatan dan wajar dengan amanah yang
dipikulnya sebagai penjaga negara. Kita kena fikir
dari kaca mata `kerajaan sebagai penjaga negara’ dan
jika kita yang memikul amanah itu bila kita lihat
mahasiswa ini dilalaikan dengan aktiviti politik yang
menggugat akademik mereka dan kerana itu ianya
mengancam survival agama, bangsa dan negara di masa akan datang, maka apakah pilihan yang ada untuk kita ambil tindakan ? Nescaya kita akan mendapati akujanji ini adalah satu tindakan yang amat lembut sifatnya.

IPTA kilang kader Barisan Nasional ?

Ini satu lagi hujah ikut sedap mulut Aman Rais.
Semenjak IPTA ditubuhkan hingga hari ini berapa
ramaikah tokoh pembangkang dan BN yang lahir
daripadanya ? Dan hari ini, siapa pula yang dengan
hebatnya menggunakan mahasiswa sebagai jentera dan juga kadernya ?

Apakah ada satu persatuan khusus yang menjadi kilang
kader BN di IPTA ? UMNO sudah ada Akademi Pemuda. Presidennya Dr M amat tidak suka pelajar IPTA diganggu dengan aktiviti politik. Di universiti amatlah sukar sekarang ini mahu mencari golongan pelajar yang berpendirian menyokong kerajaan sepenuhnya secara buta tuli. Maksudnya mentalitinya sikit-sikit hal ini semua jasa kerajaan. Sedangkan kita lihat BA pula khasnya PAS tidak dapat tidak boleh kaitkan dengan PMI dan satu-dua persatuan lain di IPTA yang tidak ada PMI . Kaitan ini adalah kerana fikiran dan hujah mereka dalam apa saja isu sikit-sikit salahkan kerajaan. Bukannya mahu membincangkan isu dari sudut akademik atau intelektual sikit-sikit ini semua ni kerajaan punya pasallah..Inilah mentaliti yang mereka agungkan sepanjang masa.

Malah, ironinya Aman Rais sendiri dalam tulisannya
bertajuk `Pelajar SPY & Ceramah Senyap’ mengakui
wujudnya kader politik BA di IPTA bila beliau
mengatakan ;

Di empat buah IPTA lama ini berkumpulnya pengaruh PAS dan Anwar dan para pelajar dari sinilah yang aktif
membantu kempem parti pembangkang dalam mana-mana pilihanraya kecil.

Jangan percaya apa yang saya katakan semata,
jemputlah ke universiti duduklah di kantin-kantin
atau datanglah sebagai pemerhati atau penonton
aktiviti pelajar di universiti. Perhatikanlah sendiri.
Amati dengan teliti. Dengar baik-baik.. kemudian
tanyalah pada golongan-golongan di kampus itu dan
buatlah keputusan apakah mentaliti semua ini salah
kerajaan ini baik untuk masa depan agama, bangsa dan
negara kita ?

Mungkin akan timbul pula persoalan BN buat begitu
kerana pelajar jadi kader BA kalau pelajar jadi kader
BN, maka tidak mungkin BN akan buat begitu.

Soalan ini mudah huraiannya. Kita tentu tahu dan sedar
kerajaan BN ada membuka TABIKA KEMAS di seluruh
pelusuk negara bertahun lamanya sebelum penganut PAS berjaya membuka PASTI.

Hingga hari ini tuan-tuan, saya tidak pernah membaca
atau bertemu dengan kanak-kanak yang membenci Nik Aziz atau bendera bulan atau mana-mana tokoh pembangkang. Apatah lagi bila berlaku apa-apa isu dalam negara menyalahkan ini semua kerja pembangkang takde kerja lain - bangkang saja.

Tetapi tuan-tuan bukan sekali dua kita dengar dan kita
baca malah ada antaranya kita alami sendiri
kanak-kanak yang dilahirkan oleh tadika atau tabika
milik mereka yang cenderung kepada PAS ini bersikap
membenci Dr. M dan pemimpin UMNO juga BN. Ironinya
tuan-tuan, dalam Islam membenci bukanlah pilihan
apabila kita berbeza pendapat apatah lagi wajar untuk
ditanamkan sebagai salah satu nilai murni ke dalam
fikiran anak-anak.

Jadi, siapa yang menggunakan institusi pendidikan
untuk doktrinisasi politik ?

Perkara ini amat bahaya tuan-tuan. Bukan kepada UMNO atau BN. Bagi UMNO, paling teruk pun dia orang ni nanti bila besar dia pangkah PAS itupun kalau PAS
masih adalah. Yang bahayanya adalah mereka diajar
untuk membenci kerana berbeza pendapat. Dalam
kehidupan sehari-hari ini bukan sekali dua kita
berbeza pendapat. Bayangkanlah tuan-tuan apa akan
jadi pada anak-anak yang berfikiran tidak Islamik
ini..tapi dilahirkan oleh tadika Islam kononnya.
Lihatlah bagaimana golongan ini menjadikan Islam
sebagai alat mereka mendapatkan kuasa dengan
mengorbankan masa depan keterbukaan fikiran anak-anak kita malah survival agama, bangsa dan negara
diperjudikan begitu sahaja.

UMNO atau BN sebetulnya boleh melakukan apa yang
dilakukan PAS ini indoktrinisasi kebencian dalam
diri kanak-kanak jika mereka mahu kerana BN dan UMNO menguasai kerajaan amat lama tuan-tuan tetapi kerana pemimpin UMNO dan BN merasakan ini bukanlah tindakan yang wajar dan adil terhadap kanak-kanak tersebut malah berbahaya kerana minda kanak-kanak itu akan bersifat negatif dan tertutup, maka demi survival agama, bangsa dan negara Dr M bertegas jangan ganggu pelajar kita dengan hal-hal politik.

Tuan-tuan, pembaca yang saya hormati.

Di Malaysia ini sekarang apa sahaja perkara itu
dilihat sebagai tidak betul oleh golongan tertentu
kerana ianya menyebabkan mereka tergugat bukannya
kerana perkara itu adalah demi kebenaran mutlak atau
keadilan mutlak sepertimana yang dikehendaki oleh
Tuhan azzawajalla.

Yang lebih penting apabila kita menilai wajar tidaknya
satu-satu keputusan kerajaan khususnya yang berkait
langsung dengan isu pendidikan ini maka pandangan alam dan impak keseluruhan termasuk melihat kesannya di masa akan datang apakah ianya bermanfaat demi survival rakyat, negara, agama dan bangsa kita seluruhnya mesti dirangkum sama.

Wallahhu`alam bissawab.


Halaman Utama

 

Oleh:

A. Firdaus

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved