StatTrack
free web hosting | free website | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Tuesday, March 5, 2002 7:25 PM

ISA, AUKU & Gerakan Pelajar


Oleh Mohd Rafizi Ramli

Minggu lalu adalah minggu yang pahit bagi gerakan mahasiswa Malaysia di seluruh dunia. Rata-rata yang faham erti 'aktivisme' dan 'idealisme' pelajar - sama ada yang masih menuntut atau yang telahpun meninggalkan dunia siswa - merasa pedihnya tamparan kejam yang dikenakan kepada dua orang rakan siswa di tanah air.

Khairul Anuar dan Mohamad Fuad, kedua-duanya pemimpin gerakan mahasiswa yang disegani ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walaupun pertuduhan rasmi terhadap mereka belum diumumkan, boleh sahaja kita agak 'kegiatan-kegiatan' mereka yang disifatkan mengganggu gugat ketenteraman awam.

Kali terakhir ISA digunakan ke atas pelajar ialah dalam tahun 1998, di kala meledaknya kemarahan rakyat Malaysia berikutan pemecatan Dato' Seri Anwar. Siswa tersinggung sekali dengan peristiwa itu, apatah lagi Dato' Seri Anwar memang mempunyai sejarah yang panjang dengan gerakan mahasiswa di Malaysia.

Namun punca kemarahan siswa bukan atas alasan sentimental semata-mata. Siswa kecewa dengan tindakan bobrok pemerintah yang jelas membayangkan bagaimana mereka menganggap masyarakat siswa tidak lebih daripada golongan picisan yang boleh diperbodoh-bodohkan.

Apabila pemerintah mula menyedari bahawa gerakan mahasiswa pada masa itu tidak akan berdiam diri, ISA dijadikan perisai untuk menakut-nakutkan anak-anak muda ini. Lalu dua orang pemimpin PKPIM, Amidi Abdul Manan dan Ahmad Shabrimi Mohd. Sidek ditahan di bawah ISA.

Secara peribadi, saya berdoa - dan sehingga kini terus berdoa - agar detik itu menjadi noktah kepada sejarah panjang penekanan terhadap siswa. Tidak cukup dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti, siswa diugut pula dengan ISA. Bagi penuntut luar negara yang berada di bawah tajaan, mereka diugut dengan tindakan menarik balik biasiswa dan sebagainya.

Dicucuk hidung

Siswa adalah golongan yang paling teruk dikongkong kebebasan minda mereka, semata-mata kerana pemerintah gusar potensi yang ada pada mereka mungkin memakan diri pemerintah sendiri.

Inilah ironiknya mentaliti pemimpin-pemimpin Barisan Nasional, terutamanya Perdana Menteri yang dijulang-julang sebagai Bapa Malaysia Moden itu.

Pelajar dimaki sebagai bodoh, malas dan sebagainya. Mereka dikatakan lesu, kadang-kadang disindir dan kepintaran mereka dipersoalkan, bukan sekali tetapi secara berterusan. Kerajaan mahu siswa kita menjadi kritis, bijak dan berkebolehan.

Namun mereka tidak pula dibenarkan menggunakan akal fikiran untuk melibatkan diri secara kritis. Teguran mereka ditolak ke tepi.

Tafsiran bijak di sisi Perdana Menteri adalah apabila siswa mengikut sahaja kata-katanya, termasuklah menerima maki-hamun beliau bahawa pelajar adalah malas dan bodoh. Jika siswa membenarkan mereka 'dicucuk hidung' seperti menteri-menteri kabinet yang ada, maka bagi Perdana Menteri - siswa berfikiran bijak.

Tidak ada orang yang berfikiran rasional akan menerima keadaan ini. Oleh yang demikian, tidak hairanlah sebahagian besar masyarakat kampus menjadi begitu 'cynical' dengan kerajaan Perdana Menteri.

Merugikan negara

Sikap pimpinan kerajaan terhadap gerakan siswa ini sebenarnya memudaratkan masa depan negara. Mahasiswa sepatutnya diberikan kebebasan ilmiah untuk melibatkan diri di dalam isu-isu berkepentingan nasional. Penglibatan mereka tidak boleh dipenjarakan di sebalik tembok kampus semata-mata, apatah lagi apabila kampus pula dikawal ketat oleh peraturan-peraturan di bawah AUKU yang menyekat perkembangan minda mahasiswa.

Negara-negara lain boleh menjadi contoh bagaimana aktivisme pelajar sebenarnya menjadi pelengkap kepada komponen pembangunan negara. Suara pelajar yang selalunya lahir dari idealisme - bukan tembolok seperti sesetengah ahli politik - acapkali menjadi wakil kepada suara rakyat, terutamanya di dalam sistem politik yang tidak banyak memberi ruang kepada pihak pembangkang.

Lihat sahaja tentangan terhadap Perang Vietnam di Amerika Syarikat dalam tahun 60an dan 70an. Ahli politik yang taksub dengan ego mereka menentang pengaruh komunis tidak dapat menilai perit luka rakyat yang saban hari melihat anak muda mereka diusung pulang di dalam keranda. Suara siswalah yang menjadi wakil rakyat bangun mengherdik kegilaan ahli politik Amerika Syarikat pada masa itu.

Banyak lagi contoh yang boleh dijadikan iktibar - kebangkitan anti-Soviet di Hungary tahun 1956, Revolusi Baldu di Czechoslovakia tahun 1989 dan banyak lagi.

Gentar kuasa akan hilang

Namun kita tahu kenapa suara siswa perlu dibisukan dan aktivisme mereka dihadkan kepada aktiviti membodek kerajaan semata-mata, tambah-tambah lagi di dalam era pasca 1998 ini. Kerajaan yang sudah hilang maruah dan kredibiliti di mata gerakan siswa takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga sebarang teguran dari gerakan siswa diterjemahkan sebagai bersifat partisan.

Pemimpin kerajaan yang ada sebenarnya tidak berani bersaing dengan pemimpin pembangkang secara adil. Golongan pelajar bukanlah kanak-kanak tiga tahun yang tidak tahu menilai kekuatan dan kelemahan seseorang pemimpin. Jika benar pemerintah merupakan jawapan kepada segala permasalahan rakyat di Malaysia (kebanyakannya mereka yang menciptanya) seperti yang mereka dakwa, maka berserahlah kepada budi bicara dan kebijaksanaan golongan muda untuk mengangkat mereka. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin ini memaksa siswa tunduk kepada mereka dan menuntut agar perkembangan minda siswa hanya ditumpukan kepada hal-hal yang mereka pilih.

Realitinya - seperti yang telah dibuktikan di dalam banyak majlis 'menteri bertemu pelajar' di dalam dan luar negara - pemimpin-pemimpin ini akan malu besar apabila siswa mengajukan soalan-soalan kepada mereka. Maka mulalah mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang makin menjauhkan golongan siswa - seperti mata lebam Dato' Seri Anwar adalah akibat gelas yang dibekamkan ke mata beliau!

Menyedari mereka tidak boleh berhadapan dengan masyarakat kampus, pemerintah menikus dan menggunakan akta-akta zalim seperti AUKU dan ISA. Harapan mereka AUKU dan ISA akan mengukuhkan kedudukan mereka kerana siswa akan menjadi bisu dan lesu - hanya menghadap buku semata-mata tanpa mempedulikan sahsiah masyarakat di sekeliling mereka.

Akibat gusarkan kuasa mereka akan hilang, pimpinan kerajaan sanggup menjejaskan masa depan negara dengan memperjudikan satu generasi siswa dalam permainan politik mereka. Jika gerakan mahasiswa tunduk kepada ancaman mereka dan melupakan tanggungjawab sosial mereka di luar kampus, maka pudarlah masa depan negara.

Cukuplah dengan kaki-kaki angguk yang kini menjadi orang besar kerajaan dan parti pemerintah yang dilahirkan oleh kongkongan AUKU dan ISA selama ini; kita tidak mahu pimpinan masa depan mempunyai mentaliti haprak seperti mereka - takut berkata benar, berbohong demi ganjaran!

Tiada pilihan lain

Kita sebenarnya tiada pilihan di dalam isu menentang ISA ini. Pemerintah begitu tekad untuk menghukum dan menidakkan hak rakyat semata-mata untuk memanjangkan kuasa mereka. Jika siswa tunduk kepada mereka, maka pelbagai bentuk tekanan akan terus dikenakan bagi menjamin 'survival' mereka. Namun jika siswa berpegang kepada prinsip kebenaran melawan kebatilan, maka bersiap-sedialah menghadapi asakan penguasa yang mungkin paling hebat sejak era 70an.

Keadaan kita tidak ubah sepertimana Tariq ibni Ziyad suatu ketika dahulu semasa menghadapi bala tentera Sepanyol di Gibraltar. Di hadapan mereka musuh yang akan menyembelih mereka jika kendur semangat juang mereka, di belakang pula lautan gelora yang akan menelan mereka. Hanya ada satu pilihan, terus mara dan pasrahlah dengan perjuangan ini.

Lebih-lebih lagi, jika siswa berundur sekarang - maka terbuktilah ISA berjaya lagi mendaulatkan penguasa yang zalim. Selagi ISA difikirkan berkesan di dalam mengongkong fikiran rakyat, selagi itulah pemerintah akan menggunakan ISA. Maka sia-sialah pengorbanan pemimpin-pemimpin siswa yang lepas - Amidi Abdul Manan, Shabrimi Sidek dan kini Khairul Anuar Zainuddin serta Mohamad Fuad Ikhwan. Jangan sekali-kali kita biarkan pedih perit mereka menjadi noktah kepada kematangan gerakan siswa di Malaysia dewasa ini.

Piagam hak asasi pelajar

Penahanan pimpinan siswa di bawah ISA membuktikan peri pentingnya satu piagam hak asasi pelajar digubal dan diterima pakai secepat mungkin, seperti yang disyorkan oleh Pemuda keADILan. Insiden-insiden polis mengasari pelajar kebelakangan ini membuktikan kepada kita bagaimana golongan siswa terdedah kepada pelbagai bentuk ugutan yang melampaui batas-batas hak asasi manusia.

Namun usaha ini perlu digiatkan bersama-sama oleh semua pihak. Jika usaha membela hak golongan siswa ini dibiarkan menjadi agenda parti politik semata-mata, kredibiliti syor tersebut tidaklah sehebat jika ia sama-sama diperjuangkan oleh badan-badan bukan kerajaan, gerakan mahasiswa, parti politik dan SUHAKAM.

Cukuplah dengan puluhan anak-anak muda harapan negara yang dianiaya oleh pemerintah dengan cengkaman ISA sejak merdeka lagi. Biarlah Khairul Anuar dan Mohamad Fuad menjadi aktivis pelajar yang terakhir melalui jalan pengorbanan itu.

Masanya telah tiba untuk semua pihak menggembleng tenaga mempastikan hak dan maruah pelajar pada tempat yang sewajarnya.

Mohd. Rafizi Ramli, 23 tahun adalah Pengerusi, Biro Antarabangsa Pemuda keADILan dan bekas Pengerusi Majlis Tertinggi Pelajar Malaysia United Kingdom (UKEC).


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved