StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Update on Thursday, February 21, 2002 12:42 PM

Membongkar Rahsia Kelesuan Mahasiswa


Oleh: Nizam Yatim, Berita Harian,24 Jun 1993

SERINGKALI kita mendengar keluhan dan tuduhan yang mengatakan mahasiswa sekarang tidak sehebat mahasiswa 1970-an. Sekarang ini mahasiswa lebih berorientasikan peperiksaan, tidak pandai berkomunikasi, lembap dan segala macam pandangan negatif.

Berdasarkan tanggapan itu, sedikit kajian dibuat bagi mengetahui kenapa wujudnya perbezaan ketara di antara mahasiswa era 1970-an dengan era selepasnya. Kajian itu ditumpukan kepada Anwar Ibrahim yang dianggap mewakili era 70-an. Pembabitan dan kejayaan beliau ketika berada di dalam kerajaan juga turut diberi perhatian.

Hasil daripada kajian, satu hipotesis menarik dibuat, yang dinamakan sebagai `Kaedah Rangkaian' (lihat Rajah 1).

Era 1970-an dianggap hebat, kerana berlakunya satu perubahan aliran pemikiran mahasiswa daripada nilai sekular dan kebaratan kepada slogan Islam. Biasanya sesuatu idealis baru yang menjadi matlamat hidup mahasiswa akan menarik sejumlah pengikut yang ramai.

Ia memberi motivasi kepada mahasiswa untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi menjayakannya. Pembacaan buku ilmiah, hubungan dengan pertubuhan luar, berpidato, demonstrasi, nota bantahan, usrah dan penerbitan majalah semuanya adalah natijah daripada usaha untuk memperjuangkan idealis itu.

Mahasiswa era itu juga dapat memahami situasi di Malaysia yang unik di mana pemerintahnya agak terbuka kepada idea baru. Dengan itu mereka mengambil keputusan bekerjasama dengan kerajaan selepas tamat pengajian (bukan semua). Mereka berjaya menukar kerajaan daripada nasionalis Melayu dan sekular total kepada caruman nasionalis Melayu, sekular dan slogan Islam.

Mahasiswa sekarang (1980 dan 1990-an) dianggap lembap kerana idealis berslogan Islam tidak lagi mampu menggerakkan mereka.Sepatutnya idealis itu perlu ditukar setiap 10 tahun sekali.

Akibat daripada kebosanan ini, mahasiswa menunjukkan protes terutama dalam pilihanraya kampus. Majoriti mahasiswa tidak mengundi, tidak meletakkan calon (ramai menang tanpa bertanding) ataupun mengundi suka- suka.

Di UIA dalam pilihanraya kampus, hanya 38 peratus mengundi (lihat kajian, Research and Development, Students Representative Council IIU,91/92).

Apabila tiada lagi idealis yang hendak diperjuangkan, mahasiswa menjadi tidak aktif.

Mahasiswa juga kurang dihormati masyarakat kerana mereka mengambil sikap antikerajaan. Satu budaya yang jelas diimport dari negara luar (Timur Tengah misalnya).

Bagi memudahkan kita memahami Kaedah Rangkaian, maka setiap aliran pemikiran itu perlu difahami secara terperinci. Jarak perbezaan antara aliran pemikiran mahasiswa dan masyarakat, biasanya adalah 10 tahun. Masyarakat hanya akan berubah apabila mahasiswa menamatkan pengajian dan bergabung dengan mereka.

Dianggarkan setiap aliran pemikiran mengeluarkan sebanyak dua generasi mahasiswa iaitu selama lapan tahun. Dua tahun lagi masa untuk proses perubahan.

Berikut ialah aliran pemikiran mahasiswa secara terperinci:

* Slogan Islam (70-80an) - Membincangkan Islam yang syumul, satu cara hidup, keburukan sekular, pembentukan negara Islam dan lain-lain.

* Merealisasi Islam (80-90-an) - Membincangkan bagaimana sistem alternatif Islam dapat diwujudkan. Kaedah pembelajaran al-Quran, Sunnah, Usul Fiqh dan segala ilmu berkaitan dipermodenkan. Kelahiran ramai intelektual baru yang mengambil alih tugas golongan tradisional.

Mahasiswa biasanya mampu membuat ijtihad sendiri dan mencipta sistem alternatif mengikut bidang masing-masing.Sistem yang dimaksudkan di sini ialah sekumpulan peraturan yang menerangkan persoalan bagaimana, kenapa, mengapa, bila, di mana dan siapa.

* Slogan maju (90-2000) - Membicarakan bahawa tidak cukup mempunyai sistem yang tersendiri kiranya ketinggalan dari segi ilmu dan teknologi dengan negara lain. Ilmu yang ditakrif di sini ialah penghasilan dari kajian saintifik terhadap alam dan manusia.

* Merealisasikan maju (2000-2010) - Mahasiswa ketika ini belajar bukan kerana hendak lulus periksa atau untuk mendapat jawatan yang tinggi. Mereka berasa bertanggungjawab untuk mempelajari semua ilmu dan teknologi yang dipunyai oleh negara lain tanpa tertinggal satu apa pun.

Ketika ini teknik belajar efektif menjadi popular, contohnya Peta Minda(Tony Buzan), `A' Star Student Systems (Lawrence Walter Ng). Mahasiswa Malaysia di luar negara juga turut mendesak kerajaan membantu mereka dalam melakukan risikan terhadap ilmu dan teknologi strategik seperti industri ketenteraan, angkasa lepas, senjata nuklear, psikik dan UFO (Unidentified Flying Objects).

* Slogan unggul (2010-2020) - Membincangkan, betapa perlunya Malaysia menjadi sebuah kuasa besar. Ini bermakna mempunyai ilmu dan teknologi yang tidak dipunyai oleh negara lain.

* Merealisasi unggul (2020-2030) - Kecemerlangan mahasiswa ketika ini diukur dari segi berapa banyak penyelidikan saintifik dan teori yang boleh dibuat dan berapa banyak inovasi baru yang mampu dicipta.

Anwar Ibrahim sama ada disedarinya atau tidak, adalah pemula `Kaedah Rangkaian' ini. Generasi beliau berjaya menggunakan kaedah ini sebaik- baiknya dan seterusnya membawa perubahan kepada pemerintahan negara.

Antara sumbangan mereka ialah dasar penerapan nilai Islam, penubuhan bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad seolah-olah menyedari masalah aliran pemikiran yang tidak berubah lalu melancarkan Wawasan 2020 pada 28 Februari, 1991 bertujuan menjadikan Malaysia negara maju pada tiga dekad selepas tarikh itu.

Tanggapan beliau adalah tepat sekali kiranya dilihat perancangan asal kaedah rangkaian (lihat Rajah 2 pada bahagian 2010-2020).

Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk seimbang dari segi ilmu dan teknologi dengan negara luar. Pas pula cuba menganjurkan Wawasan Akhirat (realisasi Islam) sebagai alternatif. Malangnya wawasan ini pula bersifat seperti `kura-kura yang mengundur kepalanya'.

Kiranya perancangan asal bahawa Malaysia akan menjadi kuasa besar pada 2030, maka dengan cara Pas ini kita hanya akan menjadi kuasa besar pada tahun 2060 (lewat 20 tahun). Dua dekad adalah satu jangka waktu yang terlalu mahal untuk dikorbankan. Di samping itu Pas juga dipelopori oleh golongan tradisional.

Berdasarkan sejarah, kita tidak yakin bahawa mereka ini mampu mencipta satu sistem alternatif Islam yang baru. Bagi menyelesaikan semua masalah ini, pertama kita mesti mengenal pasti terlebih dahulu kenapa pemikiran mahasiswa tidak berubah. Ia sebenarnya mempunyai pelbagai sebab:

* Tiadanya pimpinan yang berkarisma.

Menurut Max Weber, ciri utama orang berkarisma ialah, suka melawan status quo (tradisi). Mereka selalunya membawa sesuatu yang baru dan dirasakan lebih baik untuk masyarakat. Selepas Anwar kebanyakan pemimpin pelajar tidak lagi membawa aliran baru sebaliknya mengulang apa yang sudah dibuat generasi sebelumnya.

* Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan;

* Kesan Akta Universiti dan Kolej Universiti dari segi psikologi.

Pelajar tidak berminat membicarakan idea radikal. Mereka berasa lebih selamat meneruskan apa yang sudah ada.

* Budaya berfoya-foya. Berbanding era 1970-an, hiburan pada zaman ini adalah lebih canggih dan serba mengkhayalkan. Ia mengongkong pelajar daripada memikirkan perkara yang serius dan ilmiah.

* Faktor kelahiran berbilang kumpulan. Di universiti nama kumpulan seperti PKPIM, IRC, MISG, Suara AL-Islam, Institut Kajian Dasar (IKD) dan JIM.

Kewujudan kumpulan yang berslogan Islam pada era 70-an memang baik kerana agak bertepatan dengan masanya, tetapi ia mula menimbulkan masalah menjelang era 80 dan 90-an.

Kumpulan-kumpulan ini tidak pernah mahu menilai semula objektif mereka. Kumpulan muda yang sedar tidak mampu membuat perubahan kerana organisasi itu dikuasai generasi 70-an yang tebal slogan Islamnya.

Kiranya perubahan hendak dibuat oleh pemimpin yang bersikap terbuka, mereka pasti akan mendapat tentangan dari sebahagian ahli yang terlalu sentimental dengan sejarah perjuangan lampau dan merasakan pemimpin sekarang cuba mengkhianati pengasas awal organisasi.

Bayangkan berdasarkan ini siapa yang akan membuat perubahan?

Untuk menanamkan semua aliran ini kepada generasi muda maka mata pelajaran pembangunan diri perlu diperkenalkan. Oleh kerana suasana universiti sekarang boleh menyekat perubahan, adalah lebih baik mata pelajaran ini diperkenalkan di peringkat menengah (tingkatan 4 dan 5).

Kelebihan peringkat ini ialah pelajar masih muda dan senang dibentuk. Ia membolehkan idealis itu diperjuangkan oleh semua generasi muda Malaysia yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dan bukan untuk mahasiswa universiti sahaja.

Di samping itu, kita juga boleh menarik golongan muda bukan Islam yang sebelum ini seolah-olah terpinggir dari gejala idealis yang tercatat dalam Kaedah Rangkaian.

Ia membolehkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa disatukan di bawah satu ideologi iaitu iedologi Malaysia yang menggabungkan pelbagai aliran yang dinyatakan tadi.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved