StatTrack
free web hosting | free hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    updated on Sunday, January 27, 2002

Kampus hanya kilang produk pasaran buruh


12:58pm, Sun: Langkah membersihkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) daripada "anasir-anasir subversif" yang boleh meracuni fikiran pelajar, pengajar dan kakitangan diteruskan lagi - kali ini dengan ikatan
akujanji atau dalam perkataan lain, ikrar taat setia.

Mulai April depan semua warga kampus ini diwajibkan
berbuat demikian. Dalam akujanji ini mereka
dikehendaki taat setia kepada Yang Dipertuan Agong,
negara, kerajaan dan universiti, melaksanakan tugas
dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur,
amanah serta tidak membelakangkan kewajipan kepada universiti.

Akujanji ini dilihat sebagai langkah terdesak kerajaan
untuk mengekang minda warga kampus supaya hanya taat setia dan menyokong kerajaan setelah para pelajar dan tenaga pengajar melibatkan diri secara aktif dalam
aktiviti menentang kerajaan.

Kerajaan berharap akujanji secara paksaan ini akan
menyedarkan warga kampus tentang tanggungjawab mereka sebagai pengajar dan pelajar, mengenepikan politik kepartian serta kembali menyokong kerajaan yang sedia ada.

Kebelakangan ini pelbagai tindakan diambil untuk
mengawal kebangkitan warga kampus dalam arus politik negara, antaranya termasuklah penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas beberapa orang pemimpin pelajar, mengenakan tindakan disiplin ke atas pengajar dan pelajar, mengawal pilihanraya kampus dan membubarkan persatuan-persatuan yang disyaki menjadi sarang pengaruh parti-parti pembangkang.

Tidak demokratik

Setelah mengggunakan pendekatan-pendekatan bercorak konfrantasi itu, kerajaan kini menggunakan pula pendekatan psikologi - cuba mempengaruhi minda para pelajar, terutamanya pelajar-pelajar baru, menerusi
janji dan ikrar.

Namun persoalannya sekarang ialah dapatkah akujanji
yang dipaksa ke atas para pelajar ini menimbulkan
kesedaran, menanam sikap bertanggungjawab kepada
kuliah dan rasa bersalah memungkiri janji dan ikrar?
Atau mungkinkah ia akan menyemarakkan lagi kemarahan dan protes pelajar terhadap kerajaan yang dilihat cuba menjadikan mereka seperti "budak sekolah"?

Banyak pihak melihat akujanji yang dijadikan
sebahagian daripada peraturan di bawah Akta Universiti
dan Kolej Universiti (Auku) itu akan mendatangkan
kesan buruk kepada kerajaan. Ia akan dijadikan isu
oleh parti-parti pembangkang untuk menuduh kerajaan
sebagai tidak demokratik.

Malahan akujanji ini dijangka menyemarakkan lagi
konfrontasi antara warga kampus dengan pihak pentadbir universiti dan kerajaan kerana ia mencabar kematangan dan kewarasan mereka selain daripada bermotifkan politik.

Kerajaan mungkin berjaya memaksa warga kampus
menandatangani surat akujanji berkenaan tetapi sumpah dan ikrar itu mungkin ditinggalkan sebagai kertas kosong selepas itu. Sebagaimana Auku 1971 yang gagal mengekang gerakan mahasiswa, begitu juga nasib surat akujanji baru ini kelak.

Pelajar robot

Tiada siapa menyangka gerakan mahasiswa yang telah
disenyapakan sejak 25 tahun lalu tiba- tiba kembali
panas bila meletus peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim
dari jawatannya dalam parti dan kabinet. Para pelajar
daripada pelbagai pusat pengajian telah menjadi
barisan depan dalam demonstrasi jalanan dan memainkan peranan penting dalam kempen pilihanraya.

Jelas sekali senario ini amat menakutkan kerajaan,
oleh itu kebangkitan ini perlu dibendung segera. Kini
para pelajar hanya dibenarkan berpolitik jika mereka
memakai jaket Pemuda Umno atau Puteri Umno.

Akujanji ini juga dilihat sebagai usaha untuk menjadi
para pelajar sebagai robot. Mereka cuma dikehendaki
belajar dan lulus peperiksaan dengan cemerlang. Para
pelajar mahu disekat bakat kepimpinan dan
kecenderungan politik mereka semata-mata kerana sikap semulajadi "anti-establishment " yang membara di dada mereka.

Nampaknya pusat pengajian tinggi hanya mahu dijadikan kilang untuk melahirkan produk untuk pasaran buruh. Kerajaan yang sedia ada juga mahu menjadikan kampus kilang melahirkan penyokong-penyokong dan kader-kader Barisan Nasional khususnya Umno.

Tanda soal besar

Akujanji ini adalah bayangan ketakutan kerajaan
terhadap kebangkitan kesedaran para pelajar terhadap
tanggungjawab mereka kepada masyarakat.

Kerajaan mungkin berpuas hati dapat memaksa warga
kampus "taat setia" padanya tetapi selama mana dan
setulus mana ketaatan dan kesetiaan itu adalah satu
tanda soal yang sangat besar.

Ditakuti janji akan tinggal janji, ikrar sekadar di
mulut dan kerajaan dimakan sumpah bila surat akujanji
ditandatangani sekadar memenuhi syarat untuk memasuki universiti atau mendapatkan pekerjaan.


Isu selanjutnya Isu Semasa

 

Oleh:

Aman Rais

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved