StatTrack
free web hosting | website hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Thursday, February 21, 2002 12:45 PM

Penentuan status halal-haram sesebuah persatuan mahasiswa - kuasa siapa?


Oleh : Zali Ariffin (zaliwriter@hotmail.com)

Heboh benar haram halal persatuan mahasiswa sehinggakan selepas terbitnya berita 10 buah pertubuhan IPTA haram di Utusan Malaysia 7 Julai tahun lalu ; kelantangan dari sudut demo, suara-suara mendesak dan memorandum boleh dikatakan reda hinggalah baru-baru ini bila PUM bersama dengan tujuh lagi pertubuhan termasuk Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI) menghantar memorandum menggesa Majlis Raja-Raja Melayu mengambil tindakan terhadap beberapa orang penulis yang dianggap oleh PUM menghina Islam. MPMI disyaki sebuah pertubuhan haram.

Di dalam Internet, aktivis mahasiswa lantang juga reda. Laman web Persatuan Mahasiswa Islam universiti misalnya telah lama tidak diperbaharui. Malah lebih menghairankan ke mana perginya para aktivis mahasiswa ini kerana tulisan-tulisan mereka berkaitan isu-isu semasa juga semakin tidak kelihatan di laman-laman web baik pro kerajaan mahupun pembangkang.

Kelahiran Laman Web Idealis Mahasiswa dan barangkali tindakan MPMI membuka lembaran baru. Di Idealis Mahasiswa para aktivis mahasiswa menulis – ada yang masih malu menggunakan nama sebenar – ada juga yang terang-terang mengaku identiti diri : menyatakan pendirian dan pandangan mereka tentang isu semasa dunia mahasiswa dan tanah air ini. Pokoknya - kerancakkan `suara mahasiswa’ bermula kembali.

Mengulas hal ehwal pengharaman pertubuhan IPTA ini, Siswa Jihad menulis di Idealis-Mahasiswa/tripod.com `Kalau UBU masih boleh aktif, kenapa tidak GAMIS ?’ yang saya fikir menyeru untuk GAMIS diaktifkan kembali dan bergiat secara terang-terangan kerana pada pendapat beliau, UBU atau Universiti Bangsar Utama – masih ada dan giat sedangkan kedua-duanya kalau nak diikutkan adalah pertubuhan haram – haram kerana tidak berdaftar dengan mana-mana universiti apatah lagi pendaftar pertubuhan.

Dalam tulisan itu beliau mengatakan, "Persoalannya, tidak ada garis panduan yang jelas tentang label pertubuhan haram kerana kenyataan itu hanya dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Pemuda Negara di akhbar Utusan Malaysia tahun lepas. Apa dirisaukan, Pemuda Negara sendiri adalah pertubuhan (pelajar?) haram. Lagipun, status, haram atau tidak, tidak pernah diwartakan oleh Kementerian pendidikan. Tidak ada pekeliling atau surat hitam putih."

Betul juga. Kalau haram – apa yang haram, bagaimana ia boleh jadi haram dan apakah ada jalan untuk menghalalkannya. Di pihak berkuasa pula, kita perlu jelas – halal haram ini kuasa siapa dan jika haram atau menyalahi peraturan, pihak mana yang harus mengambil tindakan. Semua ini, bagi saya hari ini masih samar-samar dan kesamaran ini adalah satu ruang yang cukup baik sebenarnya untuk pertumbuhan apa saja pertubuhan pelajar tanpa kerelaan universiti dan kementerian – apa yang mahu ditakuti kalau pihak berkuasa sendiri tidak tahu bidang kuasa siapa ini ?

Yang jelas selama ini, pelajar terikat dengan AUKU. AUKU hanya terpakai kepada para pelajar universiti sahaja. Pelajar yang sudah tamat atau gagal pokoknya – tidak lagi belajar di universiti tidak tertakluk kepada AUKU. Untuk yang tertakluk, jika melanggar AUKU akan dikenakan tindakan disiplin oleh pihak HEP universiti. Bagi yang tidak tertakluk seperti bekas pelajar – bagaimana pula ?

Saya fikir kita sedar bahawa hari ini pertubuhan gergasi pelajar yang sah iaitu GPMS dan PKPIM bukannya diterajui oleh pelajar universiti tetapi oleh bekas aktivis pelajar. Misalnya Datuk Suhaimi Ibrahim Presiden GPMS hari ini BUKAN pelajar universiti - beliau adalah seorang bekas wakil rakyat yang gagal mempertahankan jawatan – oleh itu mahkota atau teraju GPMS boleh dikatakan hari ini telah menjadi batu loncatan politik atau stor pengekalan kuasa akar umbi. PKPIM pula walaupun Presidennya tidak begitu dikenali tetapi aktivis dan aktiviti PKPIM sering dilihat bersama secara terang-terangan atau sebaliknya bersama dengan ABIM dan KeAdilan. Kita boleh teliti aktiviti mereka sepanjang tahun dan dari jumlah itu, kita boleh buat kesimpulan sendiri apakah kedua-dua pertubuhan ini komited terhadap pelajar dengan ikhlas demi agama (lillahi Ta’ala), bangsa dan negara serta peradaban seluruhnya atau pun komited dengan mahu menjadikan pelajar memegang fahaman dan mengikuti mereka – atau ringkasnya – mendoktrin dan menghasilkan pengikut serta tenaga kerja untuk puak tertentu.

Kedua-dua pertubuhan ini tidak ditubuh dalam universiti dengan itu tidak tertakluk di bawah AUKU. Saya difahamkan ianya ditubuhkan di bawah Pendaftar Pertubuhan lama dahulu. Bagaimanapun, saya difahamkan jika seorang pelajar universiti menyertai GPMS atau pun PKPIM semasa dia belajar di universiti tanpa mendapat kebenaran bertulis Naib Canselor, pelajar itu boleh di dakwa di bawah AUKU (Seksyen 15).

Ini berbeza dengan GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung) dan UBU yang – saya ulang - TIDAK berdaftar dengan Perdaftar Pertubuhan juga universiti. Barangkali inilah faktor utama yang menyebabkan ianya dilabelkan haram. Jika benar haram – mengapa hingga hari ini tidak ada pengwartaan atau sebarang tindakan yang konstruktif ?

Setakat melabel, saya fikir tak mengapalah. Labellah haram macam manapun. Kalau tak boleh diambil tindakan undang-undang – apa salahnya GAMIS, UBU dan pertubuhan yang seangkatan dengannya seperti Pemuda Negara, Front Anak Muda Untuk Demokrasi, pergerakan Demokrasi Pelajar dan Pemuda Malaysia (MYSDM), Gabungan Mahasiswa Wangsa Maju, Gerakan Mahasiswa Lantang Negara, Barisan Bertindak Mahasiswa Negara, Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Jawatankuasa Mahasiswa Mahasiswi dan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Isa terus aktif ?

Sebagai aktivis, saya menyeru para `sahabat’ dan pihak berkenaan – termasuk kita para aktivis mahupun non aktivis mahasiswa mengambil perhatian kepada beberapa perkara berikut :

Apakah siapa sahaja rakyat Malaysia boleh menubuhkan persatuan yang menyelitkan nama mahasiswa atau pelajar – dan untuk mengesahkannya (supaya tidak lagi haram) berdaftar dengan pendaftar pertubuhan ?

Apakah siapa sahaja rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun boleh menjadi Pengerusi/Presiden atau memegang jawatan dalam Jawatankuasa Tertinggi mana-mana pertubuhan pelajar atau mahasiswa yang didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan asalkan dia ahli dan undang-undang persatuannya membenarkan beliau berbuat demikian ?

Apakah siapa sahaja yang memegang jawatan dalam pertubuhan mahasiswa ini bila dengan aktif menyatakan sokongan malah menjadi ahli dan memegang jawatan dalam parti politik masih dibenarkan menerajui pertubuhan pelajar ?

Dapatkah masyarakat – khususnya kita – para mahasiswa menerima tindakan para persatuan mahasiswa yang diterajui oleh BUKAN pelajar ini sebagai nada, tindakan dan perjuangan mahasiswa ?

Kementerian Pendidikan malah Kabinet (jika perlu) menghalusi soal pertubuhan dan gabungan pelajar yang ditubuhkan di luar universiti oleh bekas pelajar universiti atau orang luar – jika sepakat ianya haram disisi undang-undang yang sedia ada – maka tindakan tegas perlu diambil supaya soal halal-haram ini diberi perhatian serius oleh semua yang terlibat.

Sementara hal halal haram ini jelas dan dijelaskan kepada kita (para mahasiswa) maka saya tidak nampak salahnya kita di sisi undang-undang untuk terus aktif menyatakan pendirian kita dan membangunkan negara serta memperjuangkan dunia dan peribadi mahasiswa mengikut fahaman kita masing-masing.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved