StatTrack
free web hosting | free website | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting


Free Web Hosting - Watch Free Movies Online - Watch Free TV Online - Free Web Pages

Find the cheapest Local Gas Prices and Gas Stations in your neighborhood and surrounding area.
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Friday, March 15, 2002 11:17 PM

UIA mahu keluar daripada tanggapan 'sarang' Anwar



Utusan Malaysia, 16 November 1999

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berusaha mengikis tanggapan negatif masyarakat terhadapnya selepas presiden universiti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan UMNO.

Rektor UIA, Profesor Dr. Mohd. Kamal Hassan berkata, UIA mahu keluar daripada kemelut krisis masa lalu yang seolah-olah menunjukkan universiti itu adalah lubuk para penyokong Anwar.

''Tidak benar kononnya UIA menjadi lubuk penentang. Saya ingin tegaskan bahawa pelajar UIA tidak pernah ada rekod mengadakan sebarang demonstrasi.

''Pelajar UIA juga tidak pernah disuruh untuk mengadakan demonstrasi oleh mana-mana pihak.

''Mereka juga tidak pernah mengatur strategi untuk mereka cipta jaringan maklumat berbentuk negatif,'' kata Mohd. Kamal kepada Utusan.

Sebelum ini pelbagai pihak menganggap UIA ialah sarang penyokong Anwar kerana Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah lama mengembangkan pengaruhnya di kalangan pensyarah, kakitangan dan pelajar universiti itu berikutan pelantikan Anwar sebagai Presiden UIA.

Mohd. Kamal juga menegaskan, pelajar UIA tidak pernah mempamerkan tindakan tidak terpuji seperti mengejek ahli politik kerajaan yang menyertai forum dan dialog di universiti berkenaan.

Katanya, tradisi musyawarah masih lagi dipegang kuat oleh para pelajar UIA dan sikap itu berjalan dari semasa ke semasa.

''Dalam budaya kita juga, kita simpan dan tahan sahaja jika tidak bersetuju atau tidak senang dengan sesuatu perkara,'' katanya.

Beliau berkata, walaupun berbeza pandangan, pelajar UIA bukan jenis pelajar yang mudah beremosi dan mereka mampu mengawal diri dalam apa sahaja situasi.

Menurutnya, para pelajar UIA telah diajar cara-cara berdialog dengan orang yang tidak disenangi, menghormati orang yang datang sebagai tetamu dan tidak mengejek mereka dengan kata-kata serta tindakan yang keji.

''Mereka tidak akan membaling kapal terbang kertas serta tidak berkata bodoh dan tidak mem'boo' tetamu mereka.

''Daya kawal diri pelajar UIA adalah tinggi dan saya berharap budaya itu akan terus berkekalan sehingga ke akhir hayat mereka,'' tegas Mohd. Kamal.

Sehubungan itu, beliau menjemput mereka yang terlibat dalam pembangunan masyarakat dan negara datang ke universiti itu untuk melihat sendiri sikap kakitangan dan pelajar UIA.

Beliau berkata, sebagai rektor ketiga universiti itu, tugas membawa keluar UIA daripada kemelut krisis itu bergantung kepada fungsi beliau sebagai rektor.

Rektor kedua UIA ialah Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman yang meletak jawatan Januari lalu.

''UIA berusaha keluar daripada kemelut krisis masa lalu. Di sinilah fungsi saya sebagai rektor akan teruji sama ada mampu atau tidak menukar imej negatif itu kepada positif,'' Mohd. Kamal.

Beliau berkata, antara strategi yang telah diaturnya untuk keluar daripada kemelut itu ialah mengenali persekitaran dan bijak membaca realiti baru.

''Harus diakui bahawa universiti ini dari mula sehingga kini didirikan menggunakan jutaan wang ringgit hasil sumbangan kerajaan.

''Itu adalah fakta. Sehubungan itu, kita kena sensitif dengan projek mengurus sumber daya manusia baru melalui satu quantum leap - ke arah melahirkan Malaysia baru dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian,'' katanya.

Beliau menegaskan, perkara itu harus disedari oleh para pemimpin universiti termasuk kakitangan serta pelajar UIA supaya ikut serta dalam pembangunan masyarakat setempat.

Selain itu, Mohd. Kamal meminta masyarakat tidak melihat UIA sebagai sebuah universiti yang terasing.

Beliau menegaskan, UIA sama seperti universiti lain di mana penyelidikan yang dilakukan oleh UIA telah banyak membantu kemajuan negara.

''Sebagaimana universiti lain menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia, begitu juga dengan UIA.

''Malah UIA bukan sahaja melahirkan para peguam berkaliber tetapi juga melahirkan para saintis, jurutera dan doktor. Mereka juga mampu bersaing di dalam dunia industri di alaf baru,'' katanya.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved