StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Tuesday, March 5, 2002 9:09 PM

Golongan Minoriti di Kampus


Oleh: BAHAROM MAHUS1N, MASSA, 6 MAC 1999

PADA akhir tahun lalu, Universiti Malaya mengirim buletin bulanannya untuk perhatian meja berita akhbar-akhbar di Malaysia. Buletin itu penuh dengan maklumat mengenai perkembangan dunia akademik dan cerita kehidupan kampus yang dijalani oleh para pensyarah dan penuntut universiti.

Ketika itu politik tanah air dilambung pergolakan dan oleh kerana buletin tersebut tidak melayani apa yang diinginkan oleh pembaca-pembaca pada waktu itu, kandungannya tidak menarik minat banyak wartawan.

Malah jika diambil kira kecenderungan para pensyarah dan penuntut universiti, mereka akan memilih bahan bacaan yang memaparkan cerita rasuah, perihal seks dan intrique politik daripada membaca buletin tersebut.

Buletin itu bagaimanapun menawarkan fakta menarik mengenai perkembangan anak-anak muda yang menuntut di universiti itu, yang dalam beberapa minggu terakhir ini beberapa kali dihasut mengadakan tunjuk perasaan antikerajaan dan memilih jalan konfrontasi untuk menyelesaikan masalah.

Di dalamnya diumumkan senarai pemimpin pelajar yang memenangi kerusi-kerusi dalam pilihan raya Universiti Malaya. Yang signifikan dalam keputusan itu ialah hampir semua calon pilihan raya pelajar itu, kecuali di Pusat Sukan Universiti Malaya, memenangi kerusi masing-masing tanpa perlu bertanding.

Tidak ada orang yang mencabar mereka kerana selain kumpulan itu yang jumlahnya hanya kira-kira 45 orang, terdapat hampir 20,000 pelajar lain di Universiti Malaya yang tidak berminat langsung untuk mengambil bahagian dalam politik kampus.

Demokrasi dan pilihanraya universiti tidak lagi dapat membina semangat mahasiswa. Kepada mereka, Matt Damon dalam filem Good Will Hunting dengan cerita orang muda panas baran lebih menceriakan daripada kisah kepimpinan kampus yang membosankan.

Inilah realiti hidup. Mereka menang tanpa bertanding tanpa melalui proses penyertaan demokrasi menyeluruh tetapi pelajar-pelajar yang menang tanpa bertanding itu lazimnya kemudian akan membina hubungan dengan pelbagai pihak di dalam dan di luar universiti.

Disebabkan cuma mereka yang mahu ke depan, kepimpinan generasi muda Malaysia kini ditentukan oleh manusia-manusia yang suka menonjolkan diri dan bukan bakat kepimpinan sebenar.

Kumpulan minoriti ini kini sedang berada di atas jalan politik berdebu. Mereka terpisah daripada arus perdana kumpulan majoriti di kampus.

Ketika beribu-ribu pelajar lain sibuk dengan buku-buku tebal, perpustakaan dingin, kuliah dan tutorial dan mungkin juga sedang mencuba-cuba cinta monyet, parti-parti pembangkang seperti Pas dan DAP nampak berminat untuk melatih pemimpin pelajar yang menang tidak bertanding itu sebagai kader-kader politik pembangkang.

Berdasarkan fungsinya, gerakan kontemporari seperti Angkatan Belia Islam (ABIM) pasti berusaha mempengaruhi pemimpin-pemimpin pelajar itu. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang berhaluan kiri, dan sejak beberapa bulan lalu gerakan reformasi Datuk Seri An war Ibrahim juga dari masa ke masa cuba membina hubungan intim dengan para pemimpin pelajar itu.

Hubungan dengan pihak di luar kampus telah dipupuk, dan berdasarkan sikap sebilangan kecil yang agresif terhadap establishment, jalinan tersebut sudah mula dipengaruhi oleh elemen-elemen yang tidak sihat.

Minggu lalu misalnya ada kumpulan mahasiswa sanggup menerajang dinding-dinding pagar satu projek pembinaan jalan berhampiran universiti itu. Para pemimpin pelajar menafikan mereka telah dihasut.

Adalah menarik untuk memikirkan mengapa berlaku keadaan sedemikian rupa di kampus iaitu majoriti pelajar universiti mengambil sikap tidak ambil peduli terhadap politik manakala kumpulan minoriti 45 orang pemimpin pelajar yang menang tanpa bertanding bertindak agresif seolah-olah mereka mewakili aspirasi keseluruhan masyarakat pelajar.

Untuk tidak mengelirukan, kita perlu sedar bahawa suara mereka bukan suara majoriti. Berdasarkan kepada pemilihan pilihanraya universiti dan respons majoriti pelajar, kumpulan yang suka bersorak, gemar berarak dan menggilai politik adalah kumpulan minoriti di kampus-kampus. Yang ramai ialah majoriti pasif.

Atas sebab itulah ada pemimpin kerajaan percaya bahawa tunjuk perasaan yang berlaku di kampus-kampus tidak mencerminkan sentimen majoriti pelajar. Dalam tunjuk-tunjuk perasaan itu, sebahagian besar peserta membawa sepanduk Pas, memakai kopiah, serban dan melilit kepala seperti orang Arab. '

Seorang menteri percaya bahawa apa yang berlaku di kampus-kampus itu ibarat air yang sedang pasang. Menurutnya, orang muda akan sentiasa marah-marah tetapi katanya, air pasang pasti akan surut.

Katanya, kebanyakan pelajar di universiti ialah mereka yang cintakan keamanan dan mahukan kestabilan.

Untuk mengenali sikap pemimpin minoriti bertanding ialah mereka selalu membesar-besarkan perkara kecil dan kekuatan sendiri. Seperti juga pemimpin-pemimpin antikerajaan di luar, mereka mendakwa mereka ialah orang yang sentiasa berada di pihak yang benar.

Gambarannya sama seperti kritikan yang pernah dilemparkan oleh ahli falsafah Inggeris Bernard Shaw terhadap orang Inggeris. Katanya: "Anda tidak akan menemui seorang Inggeris yang salah. Dia melakukan segala-galanya berdasarkan prinsip-prinsip.

"Dia berjuang menentang anda berdasarkan prinsip patriotik; dia merompak anda mengikut prinsip-prinsip perniagaan; dia menjadikan anda hamba abdi berdasarkan prinsip-prinsip imperial."

Jika diletakkan pemimpin pelajar universiti dalam konteks hujah itu, kita akan mendapati mereka kini diasuh oleh elemen-elemen yang percaya bahawa kuasa pelajar perlu dieksploitasi bagi memperjuangkan pinsip-prinsip antikerajaan, apa yang kerajaan buat semuanya salah, dan hanya orang tertentu yang adil, boleh dipercayai dan bercakap benar.

Kerana keadaan dan pengaruh dari luar, golongan pemimpin pelajar di universiti itu menjadi seperti orang Inggeris yang dogmatik: Hanya prinsip mereka yang betul.

Adalah membimbangkan memikirkan implikasi apa yang berlaku di universiti itu kepada kehidupan bernegara di Malaysia pada masa depan.

Kira-kira 45 orang pemimpin pelajar yang menang tanpa bertanding itu lazimnya akan meneruskan kegiatan politik mereka dalam konteks yang lebih luas apabila mereka tamat belajar kelak.

Nanti akan lahir pemimpin-pemimpin masyarakat di Malaysia yang merupakan produk daripada satu sistem politik kampus yang malap, dan merupakan orang yang tidak menggambarkan keinginan sebenar masyarakat.

Mereka ialah orang yang dicipta oleh suasana apatik generasi muda Malaysia. Mereka bukan orang yang diangkat oleh suara ramai tetapi individu yang ditonjolkan oleh keberanian sendiri apabila 20,000 pelajar lain tidak berminat terlibat dalam politik.

Pada masa lepas, pemimpin-pemimpin pelajar yang radikal lazimnya berubah menjadi sederhana apabila mereka mula memasuki alam pekerjaan dan kemudian menyertai parti-parti kerajaan.

Adakah trend seumpama ini akan berlaku lagi adalah menarik untuk diperhatikan. Tetapi yang jelas ialah kita akan memperoleh kumpulan bakal pemimpin yang terdiri daripada orang yang bukan merupakan ketua dalam erti kata sebenar.

Mereka cuma orang yang mendapat latihan kepimpinan apabila manusia-manusia lain tidak mahu menunjukkan bakat. Mereka ialah akar-akar yang berguna apabila rotan tidak mahu tumbuh.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved