StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

   
ISU SEMASA is updated on Wednesday, January 16, 2002 9:13 PM

Mahasiswa Luar Negara tidak tentang ISA?


Mahasiswa Luar Negara Tidak Tentang ISA?

Oleh: Hj Mohnas


Saya pernah bertanya kepada seorang teman, mengapa tidak keluarkan kenyataan mengutuk ISA, atau sekurang-kurangnya, menggunakan ayat yang berlapik meminta kerajaan tidak sewenang-wenang menahan mahasiswa, reformis dan pemimpin pembangkang tanpa bicara. Malangnya, teman itu yang punya kemampuan dan kreadibiliti, menyebut betapa dia masih lagi membuat kajian ISA daripada perspektif Islam.

Inilah masalah sebenar mengapa ISA terus merasuk UMNO dan kerajaan sehingga secara membuta-tuli menahan sesiapa sahaja yang menentang parti serba fobia itu. Masyarakat sendiri tidak memandang ISA sebagai isu serius, dan dengan berlapikkan sedang mengkaji dan meneliti, maka mereka tidak menentang ISA secara terus-terang.

UMNO tidak melihat kesungguhan rakyat memperjuangkan keadilan, sekurang-kurangnya majoriti buat tidak bena dengan kegilaan ISA ini. Yang terkedepan ialah Barisan Alternatif, para reformis dan juga kalangan mahasiswa tempatan yang mempunyai potensi besar berdepan ISA secara langsung. Sebaliknya, mahasiswa di luar negara, beralasankan zuruf dan realiti setempat, lebih enak memperjuangkan idealisme mereka.

Barangkali, mahasiswa di luar negara tidak melihat ISA merupakan ancaman besar kepada mereka sehingga penentangan kalau pun berlaku hanyalah di sebalik selimut dan di dalam kelambu. Manakala di kalangan rakyat terbanyak di tanah air, hanya memandang ISA adalah antara tindakan polis terhadap pembangkang dan mereka yang mahu menghuru-harakan negara.

Sebab itulah, Pak Lah berani berterusan menggunakan ISA, tidak kira sama ada pemimpin pembangkang, reformis, mahasiswa dan ulama. Tiada tentangan sungguh-sungguh yang boleh menjejaskan kedudukan UMNO, malah ISA boleh pula menggukuhkan kedudukan UMNO.

Di peringkat luar, gerakan mahasiswa boleh dikatakan lesu. Mereka hanya berbangga dengan seberapa banyak program yang dijalankan, atau sebesar mana program dianjurkan, tanpa melihat implikasi langsung kepada politik tanah air. Tidak keterlaluan saya katakan, kadang-kadang majoriti mahasiswa di luar negara terkhayal dengan agenda peribadi masing-masing sehingga melupakan tugas sebenar mereka wajib mempunyai kaitan dengan tanah air.

Gabungan Persatuan Mahasiswa Islam Sedunia [GPMIS] yang melibatkan persatuan-persatuan mahasiswa Malaysia di luar negara gagal memperlihatkan kesan dan gabungan yang mantap. Malahan, GPMIS gagal berfungsi sebaiknya, tidak seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia [GAMIS].

Barangkali, faktor sempadan mengengkang keaktifan GPMIS dan juga kesibukan persatuan-persatuan anggota dengan urusan dalaman masing-masing. Hal ini juga diburukkan dengan tiadanya barisan kepemimpinan yang meyakinkan dalam GPMIS sehingga tidak ada nakhoda yang terkedepan membawa hala tuju gerakan.

Justeru, apabila rakan sejawatan mereka, Mohd Fuad Ikhwan, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, dan aktivis mahasiswa, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, ditahan di bawah ISA, GPMIS membisu. Mujurlah, ada reaksi positif daripada mahasiswa Jordan yang mengumpulkan tanda tangan membantah penahanan tersebut.

Malah, persatuan-persatuan mahasiswa di luar negara juga gagal mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan tersebut secara peribadi. Saya tidak tahu apakah punca kelemahan ini berlaku, tidak mustahil masing-masing menunding jari kepada persatuan yang lain supaya mengeluarkan kenyataan bagi pihak GPMIS.

Sebab itulah, saya melihat GPMIS tidak ubah persefahaman rapuh antara mahasiswa luar negara tanpa agenda bertindak yang jelas. Penubuhan GPMIS bagi saya tidak ubah sebagai melepaskan batuk di tangga, sekadar menunjukkan adanya suara dari kalangan mahasiswa luar negara.

Dalam keadaan mahasiswa di IPT tanah air diganggu kegelojohan UMNO, adalah kurang wajar, persatuan mahasiswa di luar negara menyembunyikan diri. Biar pun masing-masing barangkali akan mendakwa ada masalah dalaman atau pun keadaan setempat yang mengengkang, sepatutnya mereka mencari jalan keluar supaya dalam masa memelihara kepentingan persatuan, isu di tanah air tidak dibiarkan begitu sahaja.

Saya mencadangkan GPMIS menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa khas untuk memantau keadaan politik, ekonomi dan sosial di tanah air. Sesebuah jawatankuasa biarlah hanya dianggotai pemimpin mahasiswa dari sebuah negara sahaja bagi menjamin keberkesanan reaksi yang diambil. Katakan sahaja, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir [PMRAM] diberikan tugas memantau isu ISA ke atas mahasiswa, Hizbi UK-Aire memantau isu penswastaan Pos Malaysia, persatuan-persatuan mahasiswa di Jordan diamanahkan memantau isu penyingkiran mahasiswa dari IPT dan sebagainya. Atau pun boleh sahaja mengambil contoh PAS yang meletakkan seorang ahli parlimen untuk memantau sesebuah kementerian.

Dalam masa yang sama, isu-isu besar yang membabitkan kepentingan rakyat Malaysia, wajib ditangani bersama. Perlu ada kenyataan bersama sama ada menyokong atau menyelar mana-mana tindakan yang bercanggah dengan keadilan.

Ini tidak bermakna persatuan mahasiswa tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan secara bersendirian, sebaliknya wajib memberikan reaksi terhadap sebarang isu yang difikirkan penting.

Tentulah, bukan ini sahaja tindakan yang memperlihatkan kewujudan GPMIS. Masih banyak lagi yang wajib dilakukan untuk memastikan hak rakyat Malaysia terjamin. Namun, cukuplah dengan tindakan ini dahulu kerana buat masa sekarang GPMIS tidak ubah seperti layang-layang di langit.

Secara tidak langsung, penglibatan serius GPMIS dalam mempertahankan keadilan dan menjamin hak-hak rakyat daripada diceroboh UMNO dan BN memperlihatkan tindakan bersepadu mahasiswa.

Menunjukkan sensitiviti mahasiswa tidak cukup dengan hanya menubuhkan GPMIS. Sudah tiba masanya, parti serba fobia bukan pening kepala dengan mahasiswa tempatan, malah tidak mustahil sampai gentar untuk tunjuk jaguh di luar negara pula!


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved

EMAIL: Idealis-Mahasiswa