StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
UNFORTUNATELY GREATNOW.COM IS CLOSING DOWN! More info

Free web hosting


  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Friday, March 15, 2002 11:20 PM

Mahasiswa perlu bersikap konstruktif


Oleh: DR. ABD. RAHIM ABD. RASHID

Malah gerakan mahasiswa yang tidak terkawal yang berlaku pada masa itu dilihat sebagai suatu ancaman kepada kestabilan politik, kerajaan dan keselamatan negara.

Kebelakangan ini gerakan pelajar yang mendasari perjuangan rakyat jelata, khususnya gerakan menuntut reformasi politik seperti mana di Indonesia, Thailand dan China cukup membimbangkan, walaupun tidak memberi kesan yang jelas terhadap sebarang destruktif golongan mahasiswa di negara ini terhadap kerajaan dan negara amnya.

Golongan mahasiswa di negara ini bagaimanapun tidak seharusnya terikut-ikut dengan model perjuangan destruktif di negara-negara tersebut.

Mahasiswa di negara ini dikehendaki memainkan peranan lebih positif dan konstruktif membantu negara yang sedang mengalami krisis dan kegawatan ekonomi serta tekanan pengaruh asing yang mengakibatkan kejatuhan nilai mata wang yang paling teruk.

Kegawatan ekonomi yang dihadapi kerajaan dan negara sudah tentu akan memberi kesan yang luas kepada kehidupan dan nasib rakyat jelata.

Sebab itu sebarang bentuk tindakan mahasiswa yang boleh memburukkan lagi keadaan dalam negara, khususnya tindakan-tindakan yang mendatangkan masalah kepada kestabilan politik, akan menyebabkan golongan mahasiswa dicap sebagai musuh negara.

Golongan mahasiswa perlu bijak memainkan peranan konstruktifnya dalam usaha membantu memulihkan keadaan kegawatan ekonomi yang berlaku sekarang.

Agenda perjuangan mahasiswa perlulah selari dengan matlamat dan usaha-usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

Di dalam negara yang merdeka dan mengamalkan sistem demokrasi, ruang bagi golongan mahasiswa mengeluarkan pandangan dan pendapat terbuka begitu luas.

Untuk menjadi golongan yang berperanan penting kepada masyarakat dan negara, golongan mahasiswa perlu mempunyai pengetahuan, kesedaran, keberanian, jelas dari segi wawasan perjuangan, mempunyai strategi yang teratur, dapat melakukan tindakan yang bersifat konstruktif, bijak menangani masalah, tidak terpedaya dengan pengaruh negatif, tidak menjadi alat kepada golongan lain, berfikiran terbuka dan berpandangan luas.

Golongan mahasiswa perlu berhemah tinggi dan menghayati semangat perjuangan untuk negara dan bangsa, di samping sensitif dengan pelbagai perkembangan yang berlaku.

Golongan mahasiswa perlu berani memberi teguran dan pandangan yang bersifat membina dan konstruktif demi kebaikan bangsa dan negara.

Golongan mahasiswa perlu menjadi penggerak kepada kemajuan dan perubahan masyarakat dan negara.

Walaupun mahasiswa dilarang berpolitik, namun mereka perlu mempunyai kesedaran politik.

Kesedaran politik adalah sebahagian daripada senjata yang mencorakkan kekuatan perjuangan bangsa dan negara.

Adalah penting ruang yang lebih luas dibuka kepada mahasiswa untuk menikmati kebebasan bersuara, kebebasan berfikir dan kebebasan mengkritik dalam suasana pembelajaran kampus di universiti-universiti tempatan.

Pelajar juga perlu dilatih bersifat rasional dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan pandangan dan pendapat mereka mengenai sesuatu perkara menyentuh kepentingan individu, masyarakat dan negara.

Universiti perlu melaksanakan wawasan dan falsafah pendidikan untuk melahirkan golongan intelektual yang berhemah tinggi, berbudi mulia, bertanggungjawab, berperanan penting sebagai tenaga penggerak kepada masyarakat dan negara.

Golongan mahasiswa juga tidak seharusnya menjadi golongan pak turut, lemah dari segi pemikiran, kesedaran, kredibilitinya menangani masalah-masalah yang bersifat intelektual.

Kelesuan budaya fikir di kalangan mahasiswa sebagaimana yang diperkatakan kebelakangan ini, merupakan satu agenda yang perlu ditangani supaya golongan graduan di negara ini benar-benar mempunyai kualiti dan kemampuan yang boleh dibanggakan oleh masyarakat dan negara.

Golongan mahasiswa perlu melanjutkan tradisi membaca dan budaya berfikir bagi membolehkan mereka menyumbangkan dan menjadi tenaga penggerak perubahan dan kemajuan.

Corak pembelajaran di universiti perlu menekankan kepada usaha membina kematangan dan kekuatan berfikir supaya pelajar tidak mudah terpengaruh dan menerima segala apa yang disogokkan.

NOTA: Dr. Abd. Rahim ialah Profesor Madya di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved