StatTrack
free web hosting | website hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Kenapa kurang senang dengan AUKU?


Terjemahan: Suntzi Jr (suntzi-junior@care2.com)

Semasa berucap di hadapan hampir 600 pelajar Malaysia ketika dalam rangka lawatan beliau ke London, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir telah menasihati mereka supaya berlajar bersungguh-sungguh, dan jikalau mereka lebih minat dengan aktiviti politik, mereka boleh memilih untuk meninggalkan kampus. Mesej beliau adalah ditujukan kepada semua mahasiswa di Malaysia.

Beberapa ketika dahulu dalam akhbar harian sering terdapat artikel yang mengkritik AUKU. Antara pendapat yang sering diutarakan adalah AUKU telah menghalang kebebasan akademik dalam kampus dan para mahasiswa tidak dapat berfikir secara kritikal dan akan hilang daya saing. Kerana AUKU, para mahasiswa akan terpengaruh dengan budaya 'Yes-man' dan akhirnya menjadi ulat buku.

Hujah-hujah seperti yang disebutkan amat popular dalam kelompok belia di negara barat. Mereka berpendapat bahawa kebebasan dari segi pemikiran, akademik dan sistem politik harus dicerminkan dalam suasana kampus; para mahasiswa harus diberi hak untuk mengkritik kerajaan dan menyertai aktiviti-aktiviti politik, dan hak tersebut tidak boleh dirampas.

AUKU kini telah menjadi satu isu politik kepada pihak pembangkang di Malaysia, dan isu tersebut turut disokong oleh intelektual-intelektual tertentu. Mereka menganggap AUKU adalah bukti ketidakdemokrasinya kerajaan.

Namun yang harus kita teliti dalam isu ini adalah selain daripada menyekat penyertaan mahasiswa dalam aktiviti politik, adakah AUKU telah menghalang minat mahasiswa dalam akademik dan aktiviti penyelidikan akademik? Adakah halangan mahasiswa dalam menyertai aktiviti politik akan membunuh terus keupayaan sesebuah universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berketrampilan?

Sudah tentu tidak! Kerana mengejar kecemerlangan akademik adalan sebab utama kita melanjutkan pelajaran di menara gading.

Tidak dinafikan, gerakan mahasiswa telah memainkan peranan yang besar dalam perubahan politik negara-negara tertentu, namun insiden-insiden tersebut lebih berpaksi kepada faktor-faktor domestik dan semasa negara tersebut. Ia tidak semestinya menjadi suata kewajiban kepada semua mahasiswa, atau menjadi ukuran kepada hak dalam menyertai aktiviti politik.

Jika ditinjau negara-negara di mana gerakan mahasiswa bergiat aktif dalam proses perubahan politik, rata-ratanya negara tersebut berada dalam keadaan yang tidak stabil. Sebagai contoh, Indonesia adalah antara negara yang telah terbukti membayar harga yang mahal untuk perubahan politik, dan di Indonesialah para mahasiswa telah membelakangi tanggungjawab akademik mereka dan mencetuskan pelbagai keadaan huru-hara di negara mereka sendiri. Berbanding dengan negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, walaupun kerajaan negara tersebut turut tidak tersisih daripada skandal-skandal buruk, jarang sekali kita mendengar mahasiswa Amerika Syarikat keluar memporak-perandakan masyarakat kerana skandal-skandal tersebut.

Menurut laporan media, kini terdapat beberapa orang pensyarah dan segelintir mahasiswa telah disyaki menyertai aktiviti-aktiviti kumpulan politik tertentu. Mereka turut disyaki cuba meracuni pemikiran mahasiswa melalui kuliah-kuliah akademik. Oleh kerana kini golongan mahasiswa menjadi buruan sesetengah kumpulan, AUKU telah menjadi 'scapegoat' dan dikutuk bertubi-tubi; kumpulan-kumpulan tersebut sedar bahawa AUKU adalah penghalang kepada kepentingan mereka.

Atas rasional ini, saya mengajak saudara-saudari sekalian menilai AUKU dari perspektif yang berbeza. Kita tidak semestinya perlu menerima sepenuhnya hujah-hujah tertentu. Pada realitinya, tidak ramai yang begitu komitet dalam perdebatan mengenai AUKU, kehangatan perdebatan mengenai AUKU hanyalah ciptaan pihak-pihak tertentu sahaja.

Tepuk dada tanya selera, majoriti ibu bapa lebih suka melihat anak mereka menumpukan perhatian sepenuhnya dalam pelajaran. Sudah pasti tiada ibu bapa yang ingin melihat anak mereka menghabiskan masa dalam aktiviti yang tiada kaitan langsung dengan akademik. Ibu bapa telah membelanjakan setiap wang ringgit hasil penat lelah mereka untuk membiayai pelajaran anak mereka, dengan harapan anak mereka dapat berjaya dalam pelajaran.

Setelah tamat pelajaran, setiap individu berhak memilih aktiviti sosial dan haluan politik yang mereka ingin tujui. Mungkin pada mulanya mereka tidak mampu pergi jauh kerana kekurangan pengalaman, namun masalah ini akan dapat diatasi kelak, seperti mana proses kita belajar menguasai bidang-bidang ilmu tertentu dalam kampus.

Penyertaan dalam politik memerlukan komitmen yang besar. Aktiviti seperti demonstrasi jalanan adalah amat berisiko dan sudah tentu ia tidak memberi manfaat kepada perjuangan akademik kita. Hakikatnya, kita kini tidak berada dalam satu suasana masyarakat yang begitu kronik sehingga perlunya ada satu bentuk revolusi drastik. Jika para mahasiswa lebih menjurus kepada memperbaiki pencapai akademik, mengapa pula kita harus bersikap kurang senang dengan AUKU?

Kini yang lebih komitet dengan aktiviti politik adalah golongan mahasiswa bukan Tiong Hua (sesetengah pihak melabelkan mereka sebagai mahasiswa yang mempunyai tahap kesedaran yang tinggi), mereka dianggap sebagai golongan yang paling tidak puas hati dengan AUKU. Pada mereka kita dapat melihat bayang-bayang mahasiswa Indonesia yang begitu kuat berpolitik. Sesetengah mereka yang mempunyai agenda tersembunyi telah menghantar artikel kepada pihak media masa dan cuba menjaja kebencian politik mereka kepada komuniti orang Tiong Hua. Tujuan mereka adalah ingin 'merasionalkan' pendirian politik mereka dan mengwujudkan satu persepsi bahawa kampus adalah medan pertarungan politik.

Menara gading adalah tempat mahasiswa mengerja ilmu dan membekalkan diri dengan segala pengetahuan, ia bukan medan gusti politik. Saya dengan rendah dirinya mencadangkan agar mereka yang begitu minat dengan politik supaya meninggalkan kampus dan jadilah aktivis politik sepenuh masa. Kampus adalah gudang ilmu, bukan sarkas politik.


*Artikel ini adalah terjemahan daripada artikel yang diterbitkan oleh Nanyang Siang Pau pada 12 March 2002. Sila rujuk artikel sebenar jika terdapat sebarang kemuskilan.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved