StatTrack
free web hosting | free website | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    updated on Sunday, January 27, 2002

Apabila ditangkap, Ibubapa juga yang susah


PenaSakt simpati dengan kekecewaan yang diluahkan oleh Suratin Jalil bapa kepada Nalmah Suratin, pelajar USM, salah seorang mahasiswa daripada 8 mahasiswa yang ditangkap di Indera Kayangan.

Bapa yang tidak berdosa akan sentiasa mendoakan
kejayaan anaknya di menara gading, moga-moga akan
dapat mengubah nasib keluarga suatu hari nanti.

Namun berlainan pula dengan si anak,mudah lupa dengan pesanan ayahnya ketika mula-mula menjejakkan diri ke menara gading suatu ketika dahulu."Belajar rajin-rajin, jangan sekali terlibat dengan gejala negatif"

Kepada Nalmah, buat apa anda ke Indera Kayangan,
sedangkan masa itu, USM hampir menghadapi peperiksaan semester 2. Belajarlah dahulu, sebelum terjun dalam dunia politik. Ingatlah, perbuatan itu boleh
merosakkan masa depan anda dan keluarga anda.

Ikutilah wawancara wartawan Utusan Malaysia dengan bapa simangsa. Oleh ROHANA MAN

TANGGUNGJAWAB seorang anak bukan setakat membalas jasa kedua ibu bapa. Lebih penting daripada itu mereka perlu memastikan kedua-duanya dapat hidup aman tanpa diburu perasaan resah memikirkan keselamatan anak di rantau orang.

Apatah lagi bagi kalangan ibu bapa yang semakin uzur
dimamah usia.

Sepatutnya dalam meniti usia senja para ibu bapa dapat menarik nafas lega menyaksikan kejayaan hidup
anak-anak apabila keluar dari menara gading.

Tetapi bayangkan apakah perasaan mereka jika anak yang menjadi harapan keluarga terpaksa balik semula ke kampung tanpa sempat menamatkan pengajian ekoran dibuang universiti kerana didapati bersalah melanggar Akta Kolej Universiti dan Universiti (AUKU) 1971?

Justeru para pelajar lain yang masih berada di
universiti, fikirkanlah pengorbanan orang tua yang ada
di antaranya sanggup bergolok gadai untuk menyediakan yuran pengajian sebelum melakukan perkara yang boleh menjejaskan masa depan masing-masing.

Dunia Kampus berpeluang menemui seorang bapa, Suratin Jalil, yang kini berhadapan dengan hakikat bahawa anak perempuannya, Nalmah, 22, sedang disoal siasat oleh pihak polis kerana menceroboh masuk ke Bilik Gerakan Wanita Barisan Nasional di Taman Perlis, Kangar, Perlis, baru-baru ini.

Pelajar tahun dua, ijazah Sarjana Muda Matematik,
Universiti Sains Malaysia (USM) itu kini turut
disiasat oleh pihak universiti kerana melanggar AUKU.

``Pada mulanya saya mendengar laporan mengenai lapan mahasiswa IPTA ditahan polis kerana mengintip di Indera Kayangan dalam berita di televisyen.

``Saya hanya mengetahui anak sulung saya terlibat
selepas beliau menelefon saya sehari selepas beliau
ditahan,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit
9, Sekinchan, Selangor.

Suratin yang merupakan pesara tentera kini bekerja
sebagai pemandu teksi di Kuala Lumpur (KL) berkata,
anaknya tidak pula menjelaskan tujuannya ke Indera
Kayangan.

Bapa kepada tujuh orang anak itu bagaimanapun percaya bahawa anaknya tidak melakukan kesalahan besar kerana katanya sebagai orang berpelajaran tinggi tentu anaknya tahu membezakan perkara baik dan buruk.

``Saya tidaklah risau sangat kerana saya percaya anak
saya tidak melakukan kesalahan yang membawa kepada hukuman berat serta boleh menjejaskan masa depannya sebagai pelajar,'' ujarnya.

Mengenai apakah perkara yang diberitahu Nalmah ketika menelefonnya, Suratin berkata, Nalmah meminta beliau dan ibunya tidak bimbang.

``Mulanya dia tanya pak cik - dah tengok TV ke belum?

``Pak cik jawab - sudah dan selepas itu, dia
memberitahu pak cik bahawa di antara lapan pelajar
universiti yang kena tahan itu adalah dia.

``Dia minta pak cik dan mak cik jangan bimbang kerana
ketika dia telefon pak cik, dia sudahpun balik ke
USM,'' katanya.

Suratin juga memberitahu anaknya bahawa beliau tidak
dapat datang ke USM kerana jauh.

Ibunya juga tidak dapat melawatnya di USM kerana sibuk mengurus adik-adiknya yang masih bersekolah.

``Pak cik harap dia dapat menjaga diri kerana pak cik
dan mak cik tidak sempat nak ke sana melihat dia,''
katanya.

Sementara itu, ibunya yang tidak mahu namanya
disiarkan berkata:

``Tak payahlah tulis nama mak cik. Biar pak cik
seorang yang bercerita. Mak cik tak tahu apa-apa.

``Cuma mak cik harap anak mak cik dapat terus belajar
di USM,'' katanya.

Menurutnya, Nalmah merupakan anak pertama dalam
keluarganya yang dapat melanjutkan pelajaran ke
universiti.

Justeru beliau menjadi contoh kepada adik-adiknya
untuk belajar dan berjaya dalam kerjaya masa depan.

``Mak cik harap dia dapat bantu mak cik bila keluar
universiti kelak,'' ujarnya.

Beliau mengakui kesukaran hidup memaksa mereka
sekeluarga balik ke kampung di Parit 9, Sekinchan
sejak setahun lalu.

Sebelum ini, mereka sekeluarga menetap di perkampungan setinggan di Keramat, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mereka terpaksa pulang ke kampung untuk memulakan kehidupan baru apabila rumah itu dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan kira-kira setahun lalu.

``Masa tinggal di KL tu, semuanya sukar kerana kos
hidup yang tinggi. Di kampung ini, dapatlah mak cik
pelihara ayam dan bercucuk tanam,'' katanya yang lebih
suka berbual mengenai kehidupan mereka sekeluarga
daripada berbincang mengenai nasib anak sulungnya di
USM.

Bagaimanapun, katanya, Nalmah tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau terlibat dalam politik kepartian.

Malah katanya, anaknya itu akan menghabiskan
keseluruhan cuti semester di kampung untuk bersama
keluarga.

``Dia seorang anak yang baik dan setiap kali menjelang
peperiksaan, dia akan menelefon pak cik di KL untuk
memberitahu perkara itu,'' ujarnya.

Jelasnya, memandangkan rumahnya tidak mempunyai
kemudahan telefon maka semua panggilan akan sampai di rumah saudaranya di KL.

``Di KL, pak cik menumpang di rumah adiknya,''
katanya.

Ketika penulis mahu beredar, Suratin dan isterinya
sempat memberi pesanan kepada semua pelajar IPTA.

``Jika pelajar tidak berpuas hati terhadap sesuatu
perkara, bertindaklah mengikut saluran undang-undang.

``Jangan langgar undang-undang kerana kesannya lebih banyak membawa kesusahan,'' nasihat mereka.


Isu selanjutnya Isu Semasa

 

Oleh:

Pena Sakti

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved