StatTrack
free web hosting | website hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Mampukah Mahasiswa mencorakkan hidup bebas?


Oleh: Prof. Madya Mohamad Abu Bakar, Berita Harian 4 September 1994

PERSATUAN pelajar dalam sejarah kehidupan mahasiswa tempatan boleh
dikatakan muncul serentak dengan penubuhan universiti itu sendiri. Institusi pengajian tinggi bukan saja menempatkan pentadbir dan pensyarah, tetapi juga pelajar yang berpendidikan dan berkesedaran tinggi yang membolehkan mereka bertindak secara berorganisasi dengan berkesan. Dengan perpindahan Universiti Malaya ke kampus barunya di Kuala Lumpur pada tahun 1957/58, aktivisme pelajar yang sudahpun berakar umbi di Singapura menjalar di tempat baru pula.

Tradisi hidup berpersatuan mempunyai dinamismenya tersendiri, dan tidak
lama selepas Universiti Malaya cawangan Kuala Lumpur berkembang,
pertubuhan mahasiswa juga turut berakar dan berkembang dalam persekitaran baru ini.

Sungguhpun faktor luar, dalam bentuk pengaruh dunia antarabangsa dan politik kebangsaan, agak berfungsi menentukan tempo perkembangan aktivisme di kampus, komitmen dalaman mahasiswa sebenarnya lebih kuat mendefinisikan persekitaran di zaman awal.

Pemikiran dan pendirian mereka mencorakkan pendekatan dalamkehidupan
berorganisasi, suatu pembabitan yang menarik perhatian masyarakat dan negara. Mahasiswa ketika itu adalah golongan berpendidikan paling terkemuka, dan dalam keadaan ketiadaan saingan hebat daripada sektor luar, seperti birokrasi dan golongan politik seperti hari ini, aktiviti mereka begitu mudah mendapat perhatian dan penganalisisan.

Lantarannya setiap kali pelajar mengadakan program sosial, apatah lagi demonstrasi, ia begitu mudah dan cepat mendapat liputan dalam akhbar dan
siaran dalam radio. Keadaan ini tentu sekali merangsangkan aktivisme itu
sendiri.

Kedudukan Universiti Malaya yang masih kekal sebagai universiti tunggal pada tahap perkembangan itu membolehkan lagi pergerakan mahasiswa mendapat tempat istimewa pada kaca mata umum. Persoalan pokok yang ingin diketengahkan di sini ialah kemampuan mahasiswa bukan saja menempa kehidupan yang agak bebas dari segi kehidupan berpersatuan, tetapi juga keupayaan persatuan mereka mencorakkan kehidupan dalam dan luar. Dalam bahasa yang ringkas, pertubuhan pelajar mendefinisikan keadaan kampus. Dengan kebebasan yang diberikan kepada mereka, pelajar menaja pertubuhan dan seterusnya menentukan perkembangannya tanpa banyak pengawasan daripada pihak atasan. Ketiadaan kawalan yang nyata membolehkan mahasiswa yang aktif bergerak dengan cergas, dan kreatif, sambil menimba pengalaman dan mendapat pelajaran daripada pembabitan mereka.

Dalam konteks ini, pemimpin pelajar terutama sekali sudahpun memunculkan diri sebagai manusia yang berkedudukan sama dengan anggota masyarakat luar yang berkecimpung aktif dalam mana-mana pertubuhan sosial, atau politik. Di peringkat paling minimum, ini bermakna mereka mengajukan diri sebagai bakal pemimpin; berkempen untuk memenangi pilihan raya pelajar, dan selepas menang, menempatkan diri sebagai peneraju.

Di peringkat yang lebih luas, ia bermakna penyediaan asas yang kukuh untuk persatuan, pembekalan idea yang membolehkannya bergerak, pengendalian pertubuhan itu sendiri dalam suasana biasa dan genting, dan jika pembabitan itu membawa kepada persiapan sesuatu konferensi, atau demonstrasi, maka kepemimpinan itu terpaksa diolah begitu rupa bagi memenuhi objektif pembabitan berkenaan.

Surat menyurat yang terpaksa dilakukan dengan pihak luar dan dalam,
pertemuan dan perjumpaan dengan tokoh yang perlu dihubungi atau didekati untuk tujuan aktiviti, dan penyiaran maklumat mengenai aktiviti yang bakal atau sedang berlangsung, semuanya mengambil masa dan menggunakan tenaga dan mental yang bukan sedikit. Inilah yang dimaksudkan dengan pengalaman dan pelajaran yang diperolehi, yang mahal harganya, dan amat berguna dalam konteks penyediaan diri bagi menghadapi kehidupan pasca-kampus.

Dalam persekitaran lama, kampus Universiti Malaya menjadi dapur yang
menyaksikan pemasakan pelbagai jenis idea, sama ada idea itu mempunyai
sumber luar, atau idea itu lahir sebagai gagasan kalangan pelajar sendiri.

Pertubuhan mahasiswa seperti Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya
(PBMUM), dan Persatuan Sosialis Universiti Malaya, dua contoh yang agak
ekstrim, menunjukkan bagaimana pemikiran pelajar mengatasi atau mendahului pihak luar dalam bidang berkaitan.

PBMUM semacam mengambil alih fungsi yang pernah dan sedang dimainkan oleh badan luar yang mempelopori perjuangan Bahasa Melayu, dan sehubungan ini mampu menggerakkan pihak pentadbiran universiti mengadakan politik bahasa yang lebih sensitif kepada tuntutan nasional, dan menyedarkan masyarakat mengenai keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan.

Ia turut mempunyai saham dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Begitu juga dengan Persatuan Sosialis Universiti Malaya.
Dalam keadaan negara ketiadaan tokoh yang dapat mewakili pemikiran
politik sosialis, pertubuhan itu semacam wujud sebagai penggerak utama
dalam aliran pemikiran kiri itu. Adapun persatuan induk Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) bukan sekadar membabitkan diri dalam kegiatan rutin, dan aktiviti yang menjuruskan kepada penyediaan kemudahan bagi pelajar, ia juga pernah mengadakan Perkhidmatan Mahasiswa di luar kampus, dan menjelang pilihan raya kebangsaan tahun 1969 menyediakan penceramahnya tersendiri dalam kempen yang berlangsung. Mercu kepada penyertaan pelajar dalam politik tanah air ialah pembabitan besar-besaran mahasiswa universiti dalam penentangan bagi menjatuhkan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri berikutan Peristiwa 13 Mei.

Tanpa menafikan pergeseran yang pernah wujud dalam hubungan sesama
persatuan, pelajar universiti umumnya lebih mudah dipersatukan bagi
menghadapi sesuatu isu. Pertentangan dalam kampus biasanya lebih berupa
konflik pendekatan, dan sekali sekala saja ditentukan oleh falsafah
perjuangan.

Realiti kehidupan kampus ini bagaimanapun bukanlah seratus peratus
unggul. Kebebasan dan autonomi yang dikecapi oleh pelajar juga memberi
peluang dan membuka ruang kepada sebahagian penting daripada mereka untuk bertindak liar; berpesta dan berdansa hingga jauh malam, mengadakan panty- raid dan water-fight di asrama siswi, dan menganjur baptisme untuk mahasiswa baru dengan menelanjangkan mereka, sambil menghumbankannya ke dalam tasik universiti. Ternyata sekali bahawa dari sudut ini, penuntut di institusi pengajian tinggi juga outshine masyarakat luar!

Selepas sejarah perkembangan universiti tempatan memasuki era kemunculan dan pertumbuhan universiti baru, berikutan kelahiran Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Pulau Pinang, Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia, aktivisme universiti juga mengalami suatu transformasi.

Pada peringkat awal, ia membawa kepada kerancakan aktiviti berikutan
penambahan jumlah pelajar di institusi pengajian tinggi. Dinamisme
pergerakan mahasiswa memperolehi momentum baru, dan dalam suasana
kebebasan yang masih wujud pengaliran pengaruh dalam kampus terus menular keluar sehingga membimbangkan pihak pemerintah. Pada peringkat kedua, lanjutan pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti, vista ini berubah.

Pengongkongan yang drastik dan dramatik menyebabkan pergerakan mahasiswa semakin tertumpu ke dalam, dan semakin condong kepada sasaran tradisi, iaitu kehidupan pelajar. Pengasingan membawa kepada pemupukan kehidupan bersendirian dan agak tersisih.

Tambahan pula, pada tahap itu, bilangan mereka yang berpendidikan tinggi
di dalam pentadbiran dan di kalangan ahli politik juga bertambah, dan ini
menyebabkan masyarakat semakin kurang terhala kepada kehidupan mahasiswa. Di samping itu, penambahan jumlah universiti sedikit sebanyak menjejaskan persepsi lama masyarakat, suatu keadaan yang bertindak mengikut hukum supply and demand.

Dua perkembangan lain turut sama mencirikan kehidupan berpersatuan di
kampus. Pertama, pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan
peraturan berkaitan yang mewujudkan persekitaran psikologi yang menekankan itu, menyebabkan pelajar kurang lagi terhala kepada aktivisme politik, sebaliknya memalingkan perhatian mereka kepada kegiatan dakwah. Ini berlaku khususnya selepas pertengahan tahun 1970-an, apabila gelombang `Kebangkitan Semula Islam' merempuh masyarakat dan negara.

Sekalipun pembabitan pelajar dalam aktiviti Islam ini seringkali juga
melahirkan keberkesanannya ke atas kehidupan sekeliling, umumnya
pendakwahan di kalangan mereka lebih merupakan lanjutan daripada
pendakwahan di luar, yang diusaha dan ditaja oleh badan-badan Islam
seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Darul Arqam dan Jamaat
Tabligh.

Sebilangan besar pelajar juga terus terikat kepada kegiatan kokurikulum
yang sejenis dengan yang ada di sekolah. Peningkatan intelektualisme yang
sepatutnya berlaku menerusi kegiatan berpersatuan tidak berlaku. Kedua,
suasana baru membiak persatuan yang pelbagai jenis, kecuali pertubuhan
politik, sehingga aktivisme pelajar diwarnai oleh pendekatan baru
mahasiswa ini. Persatuan anak negeri juga bertambah jumlahnya, atau
semakin penting.

Suatu dimensi penting daripada perkembangan ini ialah intra-campus
politicking, ataupun paling tidaknya persaingan sihat antara pelbagai
pergerakan mahasiswa. Penindahan tanggungjawab juga berlaku, dan ia
umumnya dibiarkan berlangsung begitu saja tanpa banyak campur tangan pihak pentadbiran.

Tenaga pelajar ternyata mengalir menerusi saluran dalaman yang menghala
pula ke sasaran dalaman. Pengasingan dan penyisihan pelajar yang
diakibatkan oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti jelas menjadi suatu
realiti yang berkembang. Kalau dahulunya, kehadiran pelajar di Universiti
Malaya mempunyai impak yang besar ke atas persekitaran luar lantaran
mereka mampu bergabung di bawah payung beberapa buah persatuan terkenal, seperti PBMUM dan PMUM, maka dalam keadaan yang wujud ini mereka berada di bawah daun keladi yang kedapatan berselerak di kampus.

Mahasiswa menghadapi kesukaran untuk bersatu. Pemimpin pelajar
menghadapi kesukaran untuk menggerakkan pengikut. Pengaruh luar, yang
mempertalikan persatuan kampus dengan pertubuhan luar, memerangkapkan lagi organisasi pelajar untuk bertindak dan bergerak bebas dan seterusnya bersatu di bawah satu-satu payung (atau daun keladi). Akhir-akhir ini hubungan antara kedua-dua pihak semacam mencecah tahap stalemate, atau hubungan simbiotis, yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mempengaruhi pihak lain secara besar-besaran. Apa yang berlaku di Universiti Malaya ini telah juga menjadi ciri universal di kampus Malaysia umumnya.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved