StatTrack
free web hosting | free hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Friday, March 8, 2002 5:50 PM

Mudahnya Kerja Persatuan Mahasiswa


Oleh : Mar ZiahKu

Dalam politik kampus yang menjadi klimaks atau tahta rebutan adalah berupaya menduduki atau lebih tepat ; menguasai Majlis Perwakilan Pelajar atau MPP yang dipilih melalui pilihanraya. Selain daripada itu, kerusi Jawatankuasa Tertinggi Pelajar Kolej (JTP) dan juga tampuk pimpinan Persatuan Anak Negeri turut menjanjikan kuasa, populariti dan kononnya masa depan yang cerah dalam bidang kepimpinan.

Kemashyuran atau kegahan Persatuan Mahasiswa ini dikalangan masyarakat adalah melalui pelbagai `kebisingan' yang mereka timbulkan lewat demonstrasi dan penyerahan memorandum-memorandum yang kononnya memperjuangkan hak rakyat tetapi lebih berupa gesaan dan bantahan semata-mata hingga menenggelamkan `kemuliaan' khidmat masyarakat dan program anak angkat yang kini ada antaranya begitu jelas menjadi pelaksana penerangan parti - baik UMNO mahupun PAS.

Benarkah kepimpinan mahasiswa ini benar-benar wibawa dan boleh diharap ?

Kalau kita mengira dari kenyataan rasmi mereka baik yang tersiar di akhbar mahupun internet, tampak keberanian mereka sangat mengkagumkan.

Sebagai contoh, berikut ini adalah petikan sebahagian dari kenyataan rasmi Mahasiswa Islam Malaysia (MIM) oleh Presiden MIM, Muhammad Faisal Abd. Rahman yang bertajuk Mahasiswa Islam Malaysia Sedia Bantu Pejuang Islam Afghanistan :

"Oleh yang demikian kami bersepakat untuk membantu pejuang Islam Afghanistan dengan beberapa cara yang telah disepakati iaitu : -

Pertama : Kami akan menubuhkan dana khas membantu kewangan para pejuang Islam Afghanistan.

Kedua : Mendesak kerajaan Malaysia supaya tidak menyokong dan membantu Amerika dan sekuunya serta mengecam tindakan Amerika jika berlaku peperangan di Afghanistan.

Ketiga : Kami akan berkempen mengajak masyarakat seluruh Malaysia untuk memboikot barangan keluaran Amerika Syarikat supaya masyarakat Malaysia tidak bersubahat dengan keganasan zionis Amerika.

Keempat : Kami mengajak seluruh umat Islam mengadakan sembahyang hajat dan berdoa memohon agar Allah Ta'ala menyelamatkan umat Islam di Afghanistan dari keganasan Amerika dan memberikan keamanan kepada mereka serta menggagalkan perancangan jahat dan ganas oleh sesiapa pun di dunia ini.

Kami sekali lagi menegaskan pendirian kami mengutuk tindakan Amerika Syarikat dan menyokong pejuang Islam Afghanistan. Kami mahasiswa Islam di Malaysia bersedia pada bila-bila masa untuk membantu umat Islam di negara lain yang ditindas.

Kami juga sebenarnya bersedia untuk mati syahid bersama mujahidin di Afghanistan sekiranya diizinkan oleh Allah Ta'ala untuk ke sana."

Namun begitu, jika kita mengira wibawa sesuatu pertubuhan hanya berdasarkan kenyataan rasminya sahaja maka samalah dengan kita mengambilkira kemahiran dan kecekapan seseorang pekerja berdasarkan apa yang dikatanya - kata orang - takat air liur sahaja.

Kita harus bersikap realistik dan pragmatis. Dan dalam menilai, hasil adalah bukti terbaik bagi menjustifikasikan apakah hasrat atau perkara yang dilaung-laungkan sekadar air liur semata-mata.

Perkara pertama iaitu pembentukan dana khas - sehingga hari ini perkembangan dana ini tidak diumumkan. Apakah kutipan dana ini berjalan dan apakah statusnya saat ini tidak diketahui juga. Lebih pokok, apakah perlu mahasiswa membentuk dananya sendiri ? Mengapa tidak bersekutu dengan dana bantuan yang sedia ada ? Seingat saya di Malaysia ini sahaja terdapat lebih dari tiga dana bantuan untuk Afghanistan. Ada dana yang berpusat di Wisma Putra, ada dana yang ditaja oleh Abim, ada dana seliaan PAS dan kini dana MIM. Saya tidak tahu apa untungnya pecahan dana yang sebegini. Saya membuat kesimpulan kewujudannya adalah disebabkan oleh ketidakpercayaan satu pihak terhadap pihak yang lain. Faktor mahu mewnonjolkan diri dan pertubuhan juga boleh jadi memainkan peranan penting. Selain dari Abim, PAS dan Wisma Putra - yang kita dengar dan terbuktii memang ada delegasi mereka yang dihantar ke Afghanistan, kita tak tahu apa jadi pada tabung yang lain.

Di negara kita pelbagai tabung derma dan bantuan dilancar dan sambutannya amatlah membanggakan. Malangnya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan seperti yang berlaku kepada tabung Jantung Hatiku suatu ketika dulu. Barangkali kerana pengurusan dana ini tidak dipantau dan diaudit. Kerajaan, saya fikir perlu mengambil tindakan yang pro-aktif dalam membasmi kalangan yang menggunakan ehsan orang awam demi kepentingan diri ini.

MIM perlu mengumumkan perkembangan tabung dana Afghanistan mereka dari masa ke semasa agar tidak dianggap sebagai `janji air liur semata' dan jika benar kutipan dibuat, ketelusan pengurusan akan dapat diikuti oleh umum dan ini akan menambah kredebiliti mereka juga. Bagaimanapun, jika mereka gagal berbuat demikian, maka jelaslah kalangan ini tidak boleh dipercayai sama sekali.

Perkara kedua adalah jelas. Kerajaan melalui PM dan TPM telah berulang kali memaklumkan kepada rakyat melalui media cetak dan elektronik bahawasanya kerajaan menentang keganasan tetapi tidak bersetuju terhadap perang yang diisytihar terhadap Afghanistan. Malah kerajaan mencadangkan pendekatan lain yang tidak menumpahkan darah. Seingat saya, pendirian kerajaan itu dibuat jauh lebih dulu dari memorandum MIM ini oleh sebab itu, `perkara kedua' itu tidak bermakna dan bolehlah dianggap sekadar `mencukupkan korum'.

Perkata ketiga iaitu kempen mengajak masyarakat seluruh Malaysia untuk memboikot barangan keluaran Amerika Syarikat supaya masyarakat Malaysia tidak bersubahat dengan keganasan zionis Amerika ; juga hari ini menimbulkan persoalan berkenaan sejauhmana kempen ini dilaksanakan ? Apakah dengan hebahan sekali-dua dalam akhbar misalnya, maka ianya sudah cukup dianggap kempen ? Kemudian, barangan Amerika yang bagaimana yang harus diboikot ? Harus diingat Amerika adalah antara rakan dagang Malaysia yang terbesar dan banyak antara barang dagangan tersebut tidaklah pula mempunyai barang ganti dari negara lain. Rasional disebalik gesaan ini sudahpun dikritik oleh PM dan dianggap boleh menjejaskan ekonomi negara kerana hari ini kita memerlukan dagangan dari Amerika Syarikat. Kalaulah kita boleh tukar negara rakan dagang ini serta merta tanpa mengakibatkan masalah ekonomi yang membahayakan negara dan ummah barangkali gesaan ini akan masuk akal. Tambahan pula gesaan ini seingat saya telahpun disuarakan oleh PUM lebih awal. MIM cuma menyokong PUM dalam hal ini dan keduanya tidaklah pula mengutarakan cara mana kempen boikot ini dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan ekonomi ummah. Maksudnya : idea ini membuktikan betapa Pum dan Mim tidak membuat penyelidikan terlebih dahulu dan ianya tidak lebih dari satu lagi pesona air liur !!!

Perkara keempat pula iaitu ajakan terhadap umat Islam mengadakan sembahyang hajat dan berdoa memohon agar Allah Ta'ala menyelamatkan umat Islam di Afghanistan dari keganasan Amerika dan memberikan keamanan kepada mereka serta menggagalkan perancangan jahat dan ganas oleh sesiapa pun di dunia ini lebih pragmatis walaupun misalnya sejauhmana dan dimana ajakan ini diwar-warkan boleh saja dipersoalkan. Malah sepengetahuan saya, MIM tidak pula menganjurkan acara sembahyang hajat besar-besaran bagi tujuan berkenaan. Mungkin maksudnya kena buat sendiri-sendiri. Tak tahulah saya tapi jelasnya ianya walaupun praktis tetapi unsur komitmen MIM terhadap praktikalnya tetap juga tidak jelas.

Para terakhir petikan yang berbunyi `Kami juga sebenarnya bersedia untuk mati syahid bersama mujahidin di Afghanistan sekiranya diizinkan oleh Allah Ta'ala untuk ke sana' punyalah berani dan mengkagumkan tetapi berani saya kata tidak lebih dari air liur politik untuk makluman umum. Realitinya Muhammad Faisal Abd Rahman yang kononnya Presiden MIM dan Setiausaha Majlis Mesyuarat Persatuan dan Pertubuhan Mahasiswa Islam Malaysia, IPTA & IPTS masih ada di tanah air kita ini dan tidak ada sebarang usaha dilakukan baik oleh Muhammad Faisal secara pribadi mahupun MIM sebagai sebuah pertubuhan kononnya untuk pergi ke Afghanistan. Cakap aje. Gertak. Bagi gempak sikit…Sapa nak periksa ? Barangkali inilah tanggapan Muhammad Faisal dan rakan-rakan seperjuangannya (jika ada) ketika memashyurkan kenyataan rasmi mereka dahulu.

Yang hairannya ke mana perginya suara MIM bila isu tudung mendapat bantahan malah satu memorandum bantahan dihantar oleh beberapa perwakilan mahasiswa Islam tempatan ke Kedutaan Singapura baru-baru ini. Ke mana menghilangnya Muhammad Faisal ? Atau MIM ini wujud untuk isu Afghanistan sahaja ? Atau sebenarnya, MIM ini tidak pernah wujud ?

Apa pun, itu adalah suara dan aktiviti mereka yang tampak berani dan lantang di luar kampus sebagai kononnya mewakili mahasiswa. Kita lihat pula rupa bentuk suara mereka di dalam kampus.

Berikut ini adalah risalah kempen pilihanraya kampus baru lalu di salah sebuah IPTA.


Para pembaca yang bijaksana boleh menilai sendiri dan mengesahkan dalam begitu banyak isu yang dipaparkan, hampir 90% HANYA mencadangkan, menyarankan atau pun mengesyorkan sahaja. Setakat cadang, syor dan saran saya fikir apa sangatlah susahnya tanggungjawab dan gahnya sebuah persatuan mahasiswa…air liur je… Demikian juga dengan menggesa dan mendesak - pun air liur juga..

Dalam isu PTPTN, salah satu yang dihebohkan ialah memastikan penerusan dalam perjuangan penghapusan 4% kadar faedah pinjaman. Seingat saya perjuangan ini belum lagi berhasil tetapi mana pergi `perjuangan' tersebut hari ini ? Apakah ianya berhenti setakat pilihanraya sahaja ? Bila pilihanraya telah berlalu, maka perjuangan tidak penting lagi ?

Dalam bab Hak Persatuan dan Kelab, mereka dengan berani mengatakan akan memastikan hak-hak persatuan dan kelab mahasiswa terbela serta perpaduan terus terjamin. Mereka turut memperjuangkan kebebasan persatuan dan kelab untuk membuat aktiviti serta mendapat bantuan kewangan dari Hal Ehwal Pelajar.

Macam mana mereka akan dapat memastikan - saya tak tahu. Macam mana dan sejauhmana mereka ini akan dapat memperjuangkan kebebasan persatuan dan kelab buat aktiviti - saya pun tak tahu. Objektif yang dinyatakan kabur, tidak boleh dikira malah hari ini semuanya itu menjadi lapuk ditelan masa. Kesimpulannya - air liur lagi !!!

Barangkali kerana tidak ada pihak yang memantau prestasi MPP ini dan perjuangan parti kampus - jika ada. Apa salahnya menggunakan strategi curah air liur sebanyak-banyaknya, bila dah menang, soal memenuhi janji tidak penting kerana kalangan oposisi dalam kabinet kampus tidak berfungsi. Maka lahirlah pemimpin-pemimpin air liur yang berani mengatakan apa saja dan menjanjikan apa saja. Mana yang masih takutkan syurga dan neraka, maka dipastikan janjinya itu perlaksanaannya juga hanya memerlukan air liur sahaja . . .

Inilah hakikat yang harus kita depani. Perjuangan yang suatu ketika dulu gah seperti isu PTPTN , soal mansuhkan ISA sehingga wujud Gabungan Mahasiswa Mansuhkan ISA - hari ini semuanya itu senyap. Apa sudah jadi ? Bagaimana dengan perjuangan ? Ke mana perginya mereka ini ?

Ada khabar angin mengatakan ada antara mereka yang berjaya mendapat tempat di sayap PEMUDA parti politik dan kerana itu, `perjuangan mahasiswa'nya sudah tidak relevan. Benarkah demikian ? Jika benar, maka terbuktilah betapa suara mahasiswa sekadar menjadi alat. Menjadi batu loncatan. Bila dah dapat, perjuangan mahasiswa ditinggalkan.

Yang dapat nama buruk adalah nama dan dunia mahasiswa itu sendiri. Mereka - pejuang yang memperalatkan suara mahasiswa ini, tidak rugi apa-apa. Mereka akan kata - aku dah grad. Bukan kerja aku dah. Kena pulak sekarang ni aku dok dalam PEMUDA. Aku ada kerja lain. Lalu apa perlunya kita sebagai khalayak mahasiswa ikut terlibat membantu mereka menjadikan kita (mahasiswa) batu locatan ? Bila dia minta kita datang meramaikan, kita datang. Dia kata dia akan memimpin kita berjuang tetapi kini, apa dah jadi ? Pemimpin begini, bila saja kita sudah dapat kenalpasti, jangan diberi muka. Kita jugak yang akhirnya sakit hati. Kata demi perjuangan rupanya demi periuk nasi dan kedudukan sendiri. Pimpinan yang begini harus ditolak kerana melacurkan intergriti perjuangan mahasiswa.

Bila inilah senario sebenarnya maka wibawa suara mahasiswa yang dilaung-laungkan oleh kalangan ini sudah hilang. Gahlah mereka macam mana pun tetapi jika hakikat ini tidak diubah, maka `salakan' mereka sukar untuk diterima sebagai perjuangan yang ikhlas dan hati nurani akar umbi dunia mahasiswa.

Kredibiliti apa - kalau setakat air liur, perjuangan hangat-hangat tahi ayam, tak payahlah. Tolong buat poster pun dah ambil masa berapa jam, kan ? Kena pulak berpanas berdemonstrasi demi perjuangan kononnya - rupa-rupanya untuk keselesaan kedudukan seorang dua . . Cheh - baik aku study !!! Tak pun dating - lagi puas hati !!!


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved