StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Wednesday, January 16, 2002 9:17 PM

PTPTN-Isu lapuk yang merugikan


Oleh NORDIN ABDUL MALEK

Memang begitu memeranjatkan kita apabila masih wujud kelembapan pengurusan pembayaran pinjaman pelajar walaupun teknologi kian canggih serta kakitangan pengurusan yang berpendidikan tinggi dipilih menerajui institusi berkaitan. Isu kelewatan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sewajarnya didedahkan kerana institusi berkenaan gagal mencari formula segera walaupun tabung berkenaan telah menjangkau usia lebih tiga tahun.

Masalah ini mula menular kepada Tabung Pembangunan Kemahiran Malaysia (TPKM), Kementerian Sumber Manusia. Walaupun masalah TPKM ini belum sedahsyat PTPTN, sudah wujud tanda-tanda kemungkinan menyamai masalah PTPTN seandainya masalah yang ada tidak diselesaikan segera.

Pengurusan kedua-dua tabung berkenaan seharusnya melihat implikasi berikut hasil kelemahan sistem pembayaran ini iaitu:

Pertama: Kelewatan ini menjadi beban kepada pelajar, setidak-tidaknya untuk menyara kos harian seperti makan. Bagi pelajar IPTS pula, sesetengah kolej meminta mereka membayar dahulu yuran bulanan sehingga pinjaman berkenaan diterima. Bayangkan jika mereka terpaksa menunggu sehingga setahun untuk mendapatkan bayaran pinjaman? Lebih malang jika mereka ini datang dari luar bandar serta golongan berpendapatan rendah.

Kedua: Tidak dinafikan beban ini melemahkan minat mereka sehingga ada yang menamatkan pengajian awal kerana kesempitan wang. Pelajar IPTS khususnya akan lebih tertekan kerana IPTS sangat bergantung kepada yuran pelajar, berbanding IPTA.

Ketiga: Dasar kerajaan kini memberi tumpuan kepada industri pendidikan swasta yang mampu menjana ekonomi dalam negara. Sudah pasti kesannya nanti akan menyebabkan IPTS menghadapi masalah kewangan, lebih-lebih lagi IPTS yang menerima pelajar bumiputera. Ini akan berjangkit kepada industri sokongan lain.

Masalah yang timbul bukanlah berpunca daripada peruntukan kewangan tetapi kerenah birokrasi yang melambatkan proses pembayaran. Faktor masalah kelewatan pembayaran ini bukanlah bertujuan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mungkin kesilapan dan kelemahan ini boleh diperbaiki.

Pertama: Kesilapan perancangan awal penubuhan yang kadangkala terlalu ad-hoc sehingga gagal mengenal pasti masalah yang bakal timbul kemudian hari. Kebanyakan yang terlibat pada peringkat awal penubuhan tidak membabitkan semua pihak yang terlibat dengan pembayaran seperti Perbendaharaan, Akauntan Negara, IPTA/IPTS serta institusi kewangan (perbankan). Oleh itu, kaedah lampas otak yang melibatkan semua agensi terbabit dari kerajaan dan swasta yang berpengalaman perlu diadakan segera untuk merangka penyelesaian masalah.

Kedua: Kakitangan yang tidak mencukupi juga memang menjadi faktor utama masalah ini. Sudah tiba masanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memandang serius masalah kakitangan TPKM. Oleh kerana PTPTN sudah diperbadankan, mereka tidak sepatutnya memberi alasan JPA sebagai faktor masalah. Cawangan peringkat negeri atau zon sudah perlu diwujudkan serta mengambil kira nisbah yang logik bagi kakitangan mengendalikan jumlah permohonan.

Ketiga: Sistem permohonan dan pembayaran yang lemah. Zaman serba moden ini seharusnya kita memikirkan kaedah yang cepat ringkas dan berkesan.

Apa yang penting ialah usaha untuk menangani masalah ini secara serius. Kita mesti memikirkan nasib pelajar-pelajar ini yang menjadi mangsa keadaan. Sedangkan mereka adalah harapan negara untuk menyambung kemajuan bangsa dan negara.


Halaman Utama

 

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved