StatTrack
free web hosting | free website | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Monday, February 4, 2002 9:57 PM

Naib Canselor perlu tegas - UiTM


MUKADIMAH
KETIKA masyarakat sedang sibuk membincangkan
penglibatan pelajar Melayu-Islam dalam gerakan bawah
tanah di universiti-universiti, nama Naib Canselor
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr.
Ibrahim Abu Shah tiba-tiba menjadi popular.

Beliau mengumumkan pada 4 September lalu pemecatan
seorang pensyarah UiTM kerana terlibat dalam kegiatan
memburuk-burukkan kerajaan di kampus selain tindakan
tatatertib ke atas 47 orang kakitangan lain.

Daripada 47 kakitangan itu, 40 orang ditukarkan oleh
Dr. Ibrahim ke cawangan-cawangan UiTM, empat orang
ditarik balik jawatan dan tiga orang lagi ditamatkan
biasiswa mereka.

Dalam satu temu bual dengan wartawan BAHAROM MAHUSIN,
Dr. Ibrahim menjelaskan mengapa beliau mengambil
tindakan itu yang dikatakan sebagai langkah tegas
Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk
membanteras gerakan antikerajaan di kalangan para
pensyarah universiti.

``Saya tidak ada pilihan lain selain bertindak ke atas
para pensyarah itu,'' kata Dr. Ibrahim.

Beliau memberitahu: ``Saya tidak boleh biarkan mereka
merosakkan universiti saya dan para pelajar. Jika saya
biarkan mereka, ertinya saya tidak menjalankan
tanggungjawab saya.''

Dalam satu interviu berasingan, Mingguan turut menemu
bual Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti
Teknologi Mara (Mitasa), Ali Dina.

Ali menghuraikan mengenai keresahan sebahagian
pensyarah universiti berkenaan.

MINGGUAN: Mengapakah Datuk bertindak terhadap
pensyarah-pensyarah yang terlibat dalam kegiatan
antikerajaan di UiTM?

DR. IBRAHIM: Saya mentadbir sebuah universiti Melayu
yang terbesar di dunia yang mempunyai lebih 90,000
orang pelajar dan 8,000 orang kakitangan. Saya telah
diberi tanggungjawab yang amat berat untuk
mengendalikan institusi ini. Dengan itu saya kena
menjalankan tugas dengan baik dan memberikan yang
terbaik untuk menjadikan UiTM universiti yang terbaik.

Saya ingin mengeluarkan graduan-graduan yang
berkualiti tinggi. Graduan yang berkualiti tinggi
bukan saja dari aspek akademik tetapi juga aspek
keperibadian, disiplin, etika dan lain-lain. Saya mahu
mereka keluar daripada universiti dengan semangat
untuk membantu negara dan bangsa kita.

Itulah yang saya fikirkan sebelum saya mengambil
tindakan.

Yang kedua ialah untuk mengetuai satu universiti yang
terbesar bukannya mudah. Pada pandangan saya, saya
mempunyai pelajar-pelajar yang baik. Keseluruhan
pelajar saya adalah kumpulan para pelajar yang baik
yang tidak ada masalah. Keseluruhan staf saya juga
adalah baik.

Saya boleh katakan 99 peratus daripada mereka adalah
orang baik: Mereka bagus, mereka tidak menentang
kerajaan, mereka belajar dengan tekun, mereka bekerja
betul-betul.

Bagaimanapun, dalam jumlah yang besar itu ada
kumpulan-kumpulan yang saya rasa boleh merosakkan
integriti UiTM untuk menjadi sebuah universiti yang
terbaik. Kumpulan ini kecil, bukan semua.

Jadi kumpulan ini saya rasa patut dibetulkan. Saya
tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu
sebelanga. Saya tidak mahu disebabkan satu ekor kerbau
membawa lumpur, semua terpalit. Jadi kalau satu ekor
kerbau membawa lumpur, saya mahu membersihkan satu
ekor kerbau, itu sahaja.

Mengapa tindakan disiplin itu penting?

DR. IBRAHIM: Saya tidak mahu orang mengatakan
pensyarah-pensyarah UiTM adalah orang yang tidak
berterima kasih dan tidak bertanggungjawab. Saya tidak
mahu orang mengatakan pelajar-pelajar UiTM ini tidak
berterima kasih.

Saya tidak mahu kumpulan yang amat kecil ini mengacau
dan membusukkan nama universiti.

Apakah yang para pensyarah itu lakukan sehingga Datuk
terpaksa bertindak?

DR. IBRAHIM: Sebelum tindakan tatatertib saya ambil,
saya telah meneliti apa yang mereka lakukan.

Apa yang saya telah buat ialah saya tamatkan
perkhidmatan seorang pensyarah dengan memberinya notis
24 jam. Apa yang dia buat ialah dia melakukan
tindakan-tindakan yang memang bercanggah dengan
peraturan-peraturan institusi ini. Dia melibatkan diri
dalam kegiatan-kegiatan antikerajaan.

Adakah dia dan para pensyarah lain itu menyebarkan
fahaman politik mereka di kalangan pelajar?

DR. IBRAHIM: Mereka cuba berbuat demikian. Mereka
bukan sahaja menyebarkannya dari segi idea apabila
mereka berceramah, tetapi mereka juga mengagih-agihkan
risalah-risalah politik di kampus. Saya ada bukti.

Sebab itu apabila saya mengambil tindakan dengan
memberi notis berhenti kerja 24 jam dan memberi satu
bulan gaji kepada pensyarah itu, dia tidak ada apa-apa
tindakan hendak diambil terhadap UiTM.

Sebelum saya memecatnya, saya telah menasihatkan
beliau. Beberapa bulan sebelum saya tarik jawatannya,
saya telah memberi nasihat kepadanya dengan cara baik.

Saya katakan kepadanya, janganlah buat perkara-perkara
yang tidak elok, insya-Allah kita akan pastikan
kakitangan akademik kita tidak dikacau oleh bahagian
pentadbiran, tetapi kalau kakitangan akademik
melakukan perkara-perkara yang tidak baik, sudah tentu
kita terpaksa bertindak.

Pensyarah yang dipecat itu dibuang kerja setelah dia
tidak mengikut nasihat Datuk?

DR. IBRAHIM: Ya, pensyarah itu bukan sahaja tidak
mengikut nasihat, bahkan dia melakukan kegiatan anti-
kerajaan lagi setelah dinasihatkan. Jadi akhirnya saya
terpaksa menarik balik jawatannya dan memecatnya
dengan notis 24 jam.

Adakah Datuk bersemuka dengannya?

DR. IBRAHIM: Ya, saya bersemuka dengannya. Dia kata
pada saya bahawa dia memang daripada penyokong parti
pembangkang. Memang dia pengikut parti itu. Memang dia
buat, memang dia mengaku perbuatannya.

Adakah dia kesal dengan perbuatannya?

DR. IBRAHIM: Dia merayu. Dia merayu kepada saya supaya
mengambilnya bekerja semula dengan UiTM. Dia tidak
kata dia kesal, tetapi dia merayu supaya dia diambil
balik kerana dia kata dia telah berkhidmat lama dengan
universiti, jawatan dia penting dan banyak lagi alasan
lain.

Tetapi saya rasa dalam suasana di UiTM yang besar ini,
saya kena bertegas. Kalau saya sudah bagi amaran,
sudah bagi nasihat dengan baik, tidak ikut juga, masih
hendak melawan dan membuat perkara-perkara yang saya
tidak suka yang boleh merosakkan pemikiran anak-anak
pelajar saya, saya terpaksa mengambil tindakan yang
tegas.

Dengan jumlah staf UiTM yang begitu ramai, cuma
seorang itu yang saya pecat. Jadi saya tidak rasa itu
adalah satu tindakan yang salah.

Apa yang pensyarah itu lakukan? Adakah penyebaran
fahaman antikerajaan itu baru dilakukannya atau dia
telah terlibat lama?

DR. IBRAHIM: Ia telah lama dilakukan. Ia telah berlaku
sejak tahun 1999. Kes-kes yang berlaku ini bermula
sejak penghujung tahun 1998, 1999 dan 2000. Ia adalah
masalah politik negara yang dibawa ke dalam kampus.

Selepas tindakan disiplin dan pemecatan ke atas
pensyarah itu, apakah respons kakitangan akademik
UiTM?

DR. IBRAHIM: Apabila saya terangkan rasional tindakan
saya, semua kakitangan kata betul. Mereka yang tahu
apa yang dia buat, mereka kata tindakan saya tepat.

Saudara tahu, di kampus UiTM di Shah Alam dan di
kampus-kampus cawangan, tidak ada pensyarah yang
berani buat kerja-kerja untuk pembangkang secara
terang-terang macam ini. Tetapi pensyarah itu buat.
Dia berani. Sudah diberi nasihat pun dia tetap buat.
Takkan saya sebagai ketua saya hendak senyum, hendak
ketawa saja dan kata okaylah tak apalah, biarkanlah.
Itu bukan sikap saya. Saya tidak dapat terima
perkara-perkara macam ini.

Adakah wujud korelasi antara apa yang para pensyarah
antikerajaan itu lakukan dan kecenderungan politik
pelajar?

DR. IBRAHIM: Sudah pasti ada korelasi. Ambil contoh
para pensyarah yang saya pindahkan. Mereka turut
mempengaruhi para pelajar di dalam kelas.

Saudara tahu, seorang pensyarah universiti dibayar
gaji yang tinggi untuk mengajar. Gaji mereka bukan
rendah. Apabila mereka dibayar gaji tinggi, mereka
diberi tanggungjawab untuk mengajar sepenuhnya. Kalau
kelas selama dua jam untuk mengajar bisnes atau
ekonomi, mereka kena mengajar selama dua jam mengenai
bisnes dan ekonomi.

Bukan satu jam setengah bercakap pasal politik, 10
minit lagi mengajar tentang bisnes. Tidak boleh mereka
buat macam itu.

Saya katakan kepada mereka, kalau mereka hendak cakap
fasal politik, mereka keluar dari universiti. Ada
pensyarah UiTM sudah keluar dan masuk politik, saya
tabik mereka.

Kalau betul-betul jujur, keluar daripada UiTM, jangan
mengajar. Kami bayar mereka untuk mengajar, bukan
untuk berpolitik. Keluar dari universiti, masuk
bertanding pilihan raya, kalau mereka menang saya
panggil mereka yang berhormat.

Tetapi jangan semasa bekerja di dalam universiti ini,
menerima gaji yang begitu tinggi, dibayar untuk
mendidik dan mengajar anak-anak, tetapi mereka gunakan
peluang itu untuk mencucuk dan meracun fikiran para
pelajar.

Budak-budak ini jika kita cucuk fikiran mereka, mereka
tidak boleh beri tumpuan. Bila kita cucuk mereka
dengan benda-benda yang negatif, amarah mereka
terhadap kerajaan tinggi. Tanpa apa-apa sebab mereka
benci dan menyampah kepada pemimpin disebabkan cucukan
pensyarah. Mereka juga tidak boleh memberi tumpuan
kepada pelajaran kerana mempunyai perasaan yang
sentiasa marah dan benci, pelajaran pun mereka tidak
mahu belajar, buku pun mereka tidak mahu baca.

Para pensyarah yang dikenakan tindakan itu, apakah
latar belakang mereka?

DR. IBRAHIM: Saya perhatikan keseluruhannya adalah
daripada parti-parti pembangkang sama ada sebagai ahli
atau pesimpati.

Saya tidak malu cakap fasal perkara ini. Kalau betul
mereka ahli parti pembangkang atau pesimpati, kalau
betul mereka hendak berpolitik, saya tidak marah.
Tetapi keluar dari universiti, letak jawatan, masuk
politik saya akan tabik, saya akan hormat mereka
sebagai gentleman.

Bagaimanapun di dalam universiti ini saya tidak mahu
ada politik. Sebagai naib canselor, saya hendak
pelajar-pelajar saya belajar. Belajar pandai-pandai,
lulus dengan cemerlang, keluar bekerja dan berkhidmat
untuk negara. Itu harapan saya.

Selain daripada sejumlah 47 orang yang dikenakan
tindakan disiplin, adakah Datuk fikir ada lagi
kumpulan pensyarah UiTM yang menjalankan kegiatan
antikerajaan tetapi ia tidak dapat dikesan?

DR. IBRAHIM: Banyak kes yang saya dapat tahu tetapi
tiada bukti, saya tidak ambil sebarang tindakan.
Tetapi kadang-kadang apabila saya beri sesuatu
kenaikan pangkat kepada seseorang, orang bising.
Mereka kata apalah saya beri pangkat pada orang itu
yang mempengaruhi pelajar supaya antikerajaan .

Saya kata saya tidak diberitahu tentang latar belakang
orang itu kerana universiti saya begitu besar.

Saya cuma mengambil tindakan tatatertib dalam kes-kes
di mana saya mempunyai bukti-bukti yang kukuh dan ada
sumber tertentu yang mengesahkan atau saya sendiri
nampak apa yang terjadi.

Para pensyarah universiti boleh bercakap dan mempunyai
pandangan politik yang berbeza dengan kerajaan, tetapi
saya akan bertindak jika mereka cuba melibatkan
pelajar dalam aktiviti-aktiviti antikerajaan sehingga
merosakkan pelajar.

Di IPTA lain, masalah pensyarah antikerajaan ini juga
wujud. Adakah kalau Datuk menjadi naib canselor
universiti lain, Datuk juga akan mengambil tindakan
yang serupa?

DR. IBRAHIM: Tindakan saya akan tetap sama. Matlamat
saya ialah untuk menjadikan universiti saya universiti
yang terbaik. Di mana-mana pun saya akan mengambil
tindakan yang sama.

Di universiti awam lain di luar sana, saya fikir
banyak naib canselor menghadapi dilema sebab bilangan
pensyarah yang terlibat memburuk-buruk kerajaan di
kalangan pelajar mungkin bukan seorang, mungkin
bilangannya lebih besar. Apakah nasihat Datuk kepada
naib canselor universiti-universiti lain?

DR. IBRAHIM: Saya takut untuk menasihatkan orang,
nanti marah orang pada saya. Saya hanya boleh bercakap
tentang universiti saya. Saudara pun tahu, benda ini
sensitif. Saya tidak mahu ia dikaitkan dengan
universiti lain.

Saya tidak tahu suasana di universiti lain. Tentang
UiTM ini, saya kena jaga dengan betul. Kalau saya
tidak jaganya dengan betul, boleh hancur negara. Terus
terang saya cakap, kalau saya tidak jaga UiTM dengan
baik, satu negara boleh runtuh. Kalau saya biarkan
budak-budak saya ikut suka mereka apa mereka hendak
buat, pensyarah pula ikut suka mereka apa mereka
hendak buat, satu negara boleh runtuh.

Saya kena jaga universiti ini. Saya harap orang akan
faham tindakan saya ini. Daripada 8,000 orang
kakitangan yang kita ada, saya cuma tarik balik
jawatan pensyarah itu seorang. Yang selebihnya seramai
47 orang cuma dipindahkan dan ditarik balik biasiswa.

UiTM ada 14 buah kampus cawangan di seluruh negara.
Kita pindah-pindahkan mereka. Bukannya benda besar.
Kita bukan potong gaji mereka, kita tidak kacau periuk
nasi mereka. Kita cuma pindahkan mereka. Apa yang
buruk sangat dengan pemindahan mereka kalau mereka
tidak ikut nasihat dan arahan kita.

Terdapat andaian bahawa pihak pentadbiran universiti
di Malaysia suka meletakkan masalah-masalah universiti
di bawah karpet?

DR. IBRAHIM: Saya tidak tahu fasal itu. Bagi saya,
saya tidak suka menyorok masalah di bawah karpet. Saya
rasa kalau saya hendak popular, saya patut senyapkan
saja hal ini. Tetapi saya hendak tunjukkan bukti
bahawa apa yang Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad kata mengenai kegiatan pensyarah dan
pelajar antikerajaan di universiti selama ini adalah
betul.

Terus terang saya kata. Jangan orang ingat Perdana
Menteri bersandiwara. Apa yang Perdana Menteri
bimbangkan tentang universiti kita selama ini memang
berasas.

Tujuan tindakan saya ke atas para pensyarah itu adalah
untuk membetulkan, bukan untuk membunuh dan merosakkan
orang. Saya tidak boleh biarkan anak-anak muda Melayu
dirosakkan di universiti saya.

Kalau untuk kepentingan 100,000 orang di UiTM, saya
korbankan satu orang, apakah salah tindakan saya itu?

Jangan letakkan benda-benda macam ini di bawah karpet,
ia amat berbahaya. Apabila kita letak perkara-perkara
macam ini di bawah karpet, apabila ia meletup kelak,
kita tidak akan dapat kawal universiti kita lagi. Saya
fikir, jangan kerana kita hendak dakwa universiti kita
baik, terus saja kita senyap tentang masalah ini.

Adakah Datuk fikir penapisan kemasukan
pensyarah-pensyarah yang hendak bekerja di universiti
perlu dibuat bagi menentukan kecenderungan politik dan
ideologi mereka?

DR. IBRAHIM: Sebelum ini kita ada buat penapisan
seumpama itu tetapi ia tidak menyeluruh. Bila kita
lihat latar belakang seseorang pensyarah, kita
perhatikan pencapaian akademik mereka. Asalkan mereka
ada ijazah sarjana dan Ph.D, kita ambil mereka
bekerja.

Tetapi dalam keadaan sekarang, terus terang saya
beritahu saudara bahawa kita kena tapis
pensyarah-pensyarah yang kita ambil bekerja. Saya
tidak mahu bila kita ambil mereka bekerja dengan
universiti, tujuan kita baik, kita jujur hendak bagi
mereka jawatan dan gaji yang baik, suruh dia mengajar
anak-anak kita, tetapi dia masuk universiti dia buat
kacau merosakkan anak-anak kita. Takkan saya hendak
ambil orang-orang macam ini. Kita akan tapis.

Apakah bentuk tapisan itu?

DR. IBRAHIM: Semasa mereka datang untuk interviu
kerja, kita akan tapis latar belakang mereka.

Tidakkah tapisan dalam bentuk ideologi dan pendirian
politik itu tidak adil kepada para pensyarah.
Sepatutnya penilaian dibuat ke atas mereka berdasarkan
daya intelek mereka?

DR. IBRAHIM: Adil tidak adil itu adalah subjektif.
Penilaian universiti mengambil pensyarah bukan sahaja
berdasarkan kepada intelek. Ia berdasarkan kepada diri
pensyarah itu secara keseluruhan. Macam juga graduan
yang kita lahirkan, kita mahukan graduan yang baik
dalam serba-serbi, integrated person.

Kalau seseorang itu mendapat ijazah kelas pertama,
tetapi dia seorang yang tidak jujur, mempunyai hati
busuk, tidak mempunyai semangat sayangkan negara,
mempunyai cita-cita untuk menghancurkan negara, saya
tidak akan ambil mereka. Tidak guna saya dapat
pensyarah yang mempunyai ijazah dari Harvard atau
Oxford, tetapi bila mereka datang ke universiti saya,
mereka merosakkan pelajar-pelajar saya. Saya tidak
akan ambil pensyarah-pensyarah yang macam ini.

Saya lebih rela mengambil seorang ahli akademik yang
lulus daripada universiti yang kurang terkenal, yang
saya tahu peribadinya baik, seorang yang berbudi
bahasa, bersikap positif, bersyukur dan kuat bekerja
untuk membangunkan anak-anak Melayu.

Saya akan mengambil hanya para pensyarah yang tidak
akan merosakkan masa depan anak bangsa saya.


Isu selanjutnya Isu Semasa

 

Oleh:

Anonymous

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved