StatTrack
free web hosting | free website | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Saturday, March 9, 2002 7:55 AM

Masa, Hishamudin Rais dan Pilihan


12:00pm Thu Mar 7th, 2002
Rahmat Haron, Malaysiakini

Masa memang cepat berlari, seperti juga arus maklumat zaman ini yang deras mengalir. Pejam, celik waktu terhitung lagi. Dan bulan April pun muncul kembali. Kali ini ia datang dengan penuh makna yang perlu kita renungkan bersama.
Bukan tarikh 1 April yang bodoh itu, tetapi peristiwa penangkapan aktivis reformasi pada 10 April 2001 dalam ‘Operasi Omega’. Omega, huruf terakhir dalam abjad Yunani, yang mungkin diertikan sebagai pengakhiran kepada gerakan reformasi.

Telah setahun genapnya, kawan-kawan kita tercampak begitu jauh dalam kurungan penjara Kamunting. Buat diri saya, seorang anak muda yang terdidik di Universiti Bangsar Utama, pemenjaraan Hishamudin Rais di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kejam itu merupakan suatu kehilangan. Suatu kerinduan juga.

Suatu ketika pernah seorang kawan bertanyakan pada Hisham, "Apakah ciptaan paling agung hasil tamadun dan peradaban umat manusia?"

Jawab Hisham, "Konsep masa." Dan ukuran masa setahun itu menjelaskan duduk letak kesedaran masyarakat luasnya. Harus diakui ia juga suatu ukuran kelangsungan politik penindasan yang terus bermaharajalela.

Dalam tempoh setahun ini, kita telah juga kehilangan suatu euforia reformasi seperti yang meriah diraikan dalam jangkawaktu 1998-2000. Euforia, kegembiraan yang dirasakan datang tiba-tiba tetapi nyalaannya tidak bertahan lama. Mungkin ia memang sekadar suatu jangkawaktu "hangat-hangat tahi ayam" semata-mata.

Musuh BN dibaham

Tapi cukup jelas juga, penggunaan jentera negara yang cukup rakus membaham setiap musuh politik elit pemerintah Barisan Nasional dan juga Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah sedikit atau sebanyak-banyaknya memperlahan arus kebangkitan rakyat. ISA menjadi senjata yang cukup ampuh oleh Mahathir dalam usaha mengekalkan kekuasaannya dan membungkam suara-suara kritikal serta penentangan terhadapnya.

ISA melibatkan penahanan tanpa bicara, penyeksaan fizikal dan mental, soal siasat tanpa henti serta trauma berat selepas pembebasan tahanan. Mungkin buat pengamal media cerita-cerita ISA ini sudah susut nilai beritanya dan tidak seghairah waktu dulunya. Lihat saja perbicaraan Anwar Ibrahim baru-baru ini, yang juga kian susut hadirin pendukungnya.

Atau mungkin kerana derasnya aliran masa, maka manusia jadi cepat lupa pada politik penindasan Mahathir. Hinggakan pakatan parti-parti politik Barisan Alternatif yang dua tahun dulu — ramai yang menjangkakan ia bakal membesar daripada sekadar empat buah parti — kini mengecil menjadi tiga buah parti.

Ataupun kerana deras masa itu dan juga peristiwa-peristiwa besar seperti 11 September itu menjadikan kita lupa kepada politik penindasan Mahathir, yang mungkin kecil bagi mata-mata yang dapat menilai penindasan yang lebih besar, seperti yang dilihat daripada kes Dr Chandra Muzaffar yang berkeputusan meninggalkan Partai Keadilan.

Ataupun mungkin juga masa telah menyebabkan DAP meninggalkan kawan-kawan politiknya dalam BA kerana mahukan sebuah negara demokratik sekular. Wacana negara Islam yang didebatkan dalam keadaan dan suasana tidak demokratik, tanpa ruang demokrasi, tanpa media dan persuratkhabaran bebas menjadi punca utama DAP meninggalkan BA. Dan tinggallah ia hanya sebagai catatan peristiwa dalam masa yang bergerak laju.

Hisham di Kamunting, dalam tahanan ISA. Telah setahun dia di serkup cengkaman ISA. Telah ratusan hari dihabiskan. Telah ribuan jam. Telah jutaan minit dan saat berlalu. Jika masa itu dipandang secara relatif, pantas atau perlahan masa itu pergi, merangkak, berjalan atau berlari tergantung pada jiwa dan cara kita memandangnya. Dan boleh saja kita bayangkan buat para tahanan ISA, di sebalik jaring besi itu mengisi masa dan rutin harian mereka. Mungkin lambat-lambat dan perlahan gerak masanya kerana penahanan seperti itu secara alamiahnya suatu hal yang tidak disukai.

Sekadar soal pilihan?

Kenapakah kita tidak berdaya untuk secara bersamanya mengiktiraf Malaysia adalah sebuah negara kediktatoran moden dengan ditaktornya Mahathir Mohamad?

Kenapakah kita secara bersama tidak menentang habis-habisan keditaktoran tersebut?

Tidak cukupkah ISA sebagai kayu ukurnya, penangkapan, pemenjaraan para aktivis?

Tidak cukupkah kawalan dan penguasaan media oleh elit pemerintah itu menjadi bukti rakyat Malaysia sedang tinggal di sebuah negara yang mengamalkan keditaktoran?

Atau sebenarnya rakyat Malaysia masih lagi menganut faham dan nilai yang terkebelakang, yang masih lagi cuba memelihara yang lama dan tidak mahu menerima yang baru?

Atau ia sekadar soal pilihan?

Seorang yang dijatuhkan hukuman bersalah oleh seorang hakim yang bijak, adil dan saksama atas kesalahan membunuh, pastinya telah dapat dibuktikan sedar akan tindakan membunuh itu, dan juga mengetahui mengambil nyawa orang lain itu adalah salah. Jadi logikanya, dirasakan bergerak dalam aliran yang sama juga.

Kenapa ada manusia seperti Hishamuddin Rais, Tian Chua, Dr Badrul Amin Bahron, Lokman Nor Adam, Shaari Sungip dan Mohd Ezam Mohd Nor?

Kenapa Dr Syed Husin Ali begitu teguh setelah sekian lama duduk berjuang dengan segala kekurangan-kekurangan, sedangkan orang seangkatannya yang lain — katakanlah Kasim Ahmad — menyusut semangatnya?

Kenapa Said Zahari masih bertahan dengan pendiriannya, sedangkan Samad Ismail di usia senjanya terkapai-kapai dengan sebuah pendiriannya yang unik dan berbeza, ataupun A Samad Said yang memilih untuk jadi apolitikal?

Kenapa wujud segelintir intelektual seperti Jomo KS, Rustam Sani dan juga dalam masa yang sama kenapa ramai juga ahli akademik yang tidak sebulu dengan mereka?

Kenapa S Arutchelvan dapat bertahun-tahun bertahan bekerja sebagai aktivis buruh atau Elizabeth Wong yang masih meneruskan idealisme zaman pelajarnya hingga menghabiskan masa dan tenaganya menjadi pekerja hak asasi manusia di Suaram?

Kenapa ramai yang sudi hidup menjadi anggota parti-parti pembangkang dan ramai juga yang terus sudi hidup sebagai ahli parti-parti pemerintah?

Apakah benar manusia di Malaysia sekarang ini sudah menjadi bodoh hingga tidak boleh membuat penilaian sendiri terhadap situasi, nilai dan kehidupan sekitarnya? Hinggakan persepsi, pandangan dan kepercayaannya boleh dibentuk oleh media massa arus perdana milik pemerintah ataupun yang dikuasai pemerintah.

Sedar

Kalau mereka ini tidak sedar, bagaimana pula Hisham dan manusia lain boleh menjadi sedar?

Apakah kerana proses pengalaman, tingkat ilmu, pengetahuan dan maklumat yang diterima oleh seseorang manusia itu berbeza-beza?

Atau benar manusia sebenarnya mengetahui, sedar tetapi ia melibatkan soal pilihan? Dan sebenarnya memang ramai yang sudi memilih tinggal dalam keadaan yang tidak demokratik, dalam negara yang penuh dengan undang-undang yang melanggar hak asasi manusia.

Ataupun mungkin kerana kesedaran akan kegetiran, kesakitan dan penderitaan bilamana dilakukan usaha buat mengubah keadaan itu tadi, lebih dramatiknya dikatakan 'ikut berjuang', maka mereka lebih selesa dan aman untuk berdiam-diam, tidak ambil kisah atau menentang secara senyap?

Mungkin dalam tulisan ini lebih banyak terkandung pertanyaan daripada jawapan. Tetapi saya memang suka menyoal dan bertanya, dengan itu saya akan lebih memahami. Kerana terus-terang saya tidak faham sikap masyarakat. Disebabkan saya percaya kepada keupayaan seseorang manusia itu untuk berfikir secara sedar bagi membezakan nilai hidup asasi, buruk dan baik.

Akhirnya masa masih tetap deras mengalir dan telah menjadikan kita memiliki pelbagai sikap dan pendirian — terlupa, bersikap biasa, berdiam, menjerit dan bersuara — apabila berdepan dengan penindasan. Penindasan yang tidak mengira bentuknya, penindasan yang tidak punya derajatnya. Jawapannya, buat saya cuma tinggal soal kepercayaan dan pilihan atas kesedaran akal waras.

Namun masa yang mencatatkan peristiwa-peristiwa sekitar dua tiga tahun terkebelakang ini juga telah menjadikan saya dan ramai manusia lain sedar dan berubah.

Sedar akan kerosakan, berubah membetulkan. Sedar akan penindasan, berubah melawannya!

Dan saya yakin dan percaya Omega hanya tetap tinggal sebagai pengakhiran abjad Yunani, bukan ukur pengakhiran gerakan Reformasi.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved