StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Pelajar utamakan politik -- Tokoh pendidikan bimbang trend ini memburukkan pencapaian siswa Melayu



KUALA LUMPUR 15 Julai - Tokoh-tokoh pendidikan melahirkan kebimbangan trend pelajar lelaki Melayu yang lebih mengutamakan politik daripada menimba ilmu akan memburukkan lagi tahap pencapaian pelajar kaum itu berbanding pelajar bukan bumiputera.


Malah, mereka mengakui bahawa keutamaan sebahagian pelajar lelaki Melayu kini khususnya di institusi pengajian tinggi kepada politik berada pada tahap serius yang memerlukan perhatian segera oleh parti-parti politik yang mewakili orang Melayu.

Tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Awang Had Salleh mengakui bahawa sindrom politik kepartian yang begitu menonjol di kampus sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi penyebab kepada kelemahan pelajar Melayu dalam bidang akademik.

Menurut beliau, pembabitan pelajar dalam politik kepartian menjejaskan tumpuan mereka kepada pembelajaran sedangkan menimba ilmu sepatutnya menjadi tanggungjawab utama mereka di universiti.


Beliau percaya kebanyakan pelajar yang aktif politik kepartian tidak menunjukkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, sebaliknya mereka menjadikan aktiviti politik itu sebagai alasan kenapa mereka tidak mencapai keputusan cemerlang.

``Dengan kata lain, pelajar yang tidak cemerlang ini seolah-olah menjadikan masalah aktif dalam politik kepartian sebagai alasan dan escapism untuk tidak berjaya.''

``Tidak salah bagi pelajar aktif sebagai pemerhati politik kepada senario di luar kampus, tetapi jangan jadikan suasana kampus sebagai mini gelanggang politik kepartian,'' tegasnya yang amat bimbang dengan fenomena yang melanda kampus di negara ini sekarang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini dalam wawancara bagi laporan khas Utusan bertajuk ``Dilema Melayu di Universiti''.

Para pelajar, kata beliau, sepatutnya menjadikan peluang memimpin persatuan pelajar sebagai pentas mengasah bakat kepimpinan mereka melalui kerja-kerja kebajikan di kampus dan bukannya menonjolkan diri sebagai pemimpin mewakili parti politik.

Sehubungan itu, katanya, pihak pentadbir universiti khususnya naib-naib canselor perlu melihat perkara itu secara serius dan berusaha melakukan sesuatu secara berkesan bagi mengubah atau membetulkan senario tersebut.

``Antara yang boleh dilakukan ialah meletakkan syarat supaya mereka yang ingin bertanding dalam pilihan raya kampus mesti mencapai tahap keputusan minimum yang ditetapkan sebelum layak bertanding,'' ujarnya.

Mengenai pelajar bukan bumiputera, Awang Had berkata, pelajar bukan bumiputera khususnya pelajar Cina mengamalkan beberapa sikap positif yang membantu mereka mencapai keputusan yang lebih baik.

Antara yang diterapkan oleh para pelajar Cina adalah melakukan sesuatu mengikut keutamaan dalam konteks belajar, belajar secara berkumpulan serta menitikberatkan perbincangan.

Beliau menceritakan satu kisah semasa berlaku demonstrasi pelajar di Universiti Malaya pada 1970-an, semua pelajar Melayu yang berdemonstrasi lari apabila diserang gas pemedih mata.

``Seorang pelajar Cina yang sebelum itu membaca buku dan kemudian menyertai kumpulan demonstrasi menyambung pembacaan di bawah meja apabila berjaya melarikan diri daripada gas pemedih mata.

``Pelajar Melayu hanya menyambung kuliah seminggu selepas peristiwa itu,'' katanya bagi menunjukkan betapa pelajar Cina tahu tanggungjawab mereka dan harapan besar ibu bapa terhadap mereka.


Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi Mohd Basri turut mengakui pembabitan politik melampau di kalangan mahasiswa antara punca mereka gagal untuk mencapai keputusan cemerlang.

``Ini satu trend yang membimbangkan kita kerana gerakan mereka mempunyai rangkaian dan menerima arahan secara terpusat daripada pihak tertentu dari luar.

``Ini satu trend yang tidak menggalakkan proses pembelajaran yang sihat di universiti,'' tegasnya.

Beliau berkata, UUM pernah mengesan sekumpulan mahasiswa yang menghadiri kursus politik parti pembangkang pada 1998 yang antara lain membuat resolusi menentang Timbalan Naib Canselor UUM yang disandang oleh beliau pada ketika itu.

`Resolusi Kubang Rotan' itu juga, kata beliau, mahu supaya penentangan dibuat terhadap Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1975 dan penentangan terhadap pelajar lain yang tidak sealiran dengan perjuangan politik mereka.

Kata beliau, hasil siasatan mendapati kegiatan itu membabitkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti tersebut.

Menurut beliau, sekiranya pelajar yang tidak suka dengan kerajaan sedia ada, cara menukarnya ialah melalui proses demokrasi iaitu pilihan raya.

Seorang lagi tokoh pendidikan, Tan Sri Wira Abdul Rahman Arshad pula berkata, beliau tidak hairan sekiranya berlaku fenomena kaum wanita Melayu akan lebih diberi tempat di dalam bidang profesional pada masa akan datang kerana mereka mempunyai kelayakan akademik yang diperlukan.


Katanya, senario itu tidak mustahil berlaku kerana kekurangan pelajar lelaki Melayu di institusi pengajian tinggi amat ketara sedangkan kemasukan pelajar perempuan ke IPT semakin meningkat dari setahun ke setahun.


``Hakikatnya, golongan wanita lebih ghairah menuntut ilmu. Mereka lebih berwawasan dan tahu merancang corak masa depan mereka.


``Manakala pelajar lelaki terutama orang Melayu semakin hanyut dengan aktiviti-aktiviti yang langsung tidak memberi faedah kepada mereka. Mereka tidak sedar tindakan mereka itu merugikan,'' katanya kepada Utusan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, sekiranya pelajar lelaki Melayu tidak menyedari apa yang berlaku sekarang, tidak mustahil kaum wanita akan mengambil alih semua tugas yang dipikul oleh lelaki termasuk mencari nafkah.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dzulkifli Abdul Razak ketika mengulas isu yang sama berkata:

``Pelajar lelaki Melayu kurang menonjol di universiti sekarang adalah kerana tumpuan mereka lebih mudah dialihkan kepada hal-hal lain yang tidak berkaitan seperti politik yang akhirnya menjejaskan pelajaran."


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved