StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Friday, February 15, 2002

Siasat Majlis Persidangan Mahasiswa Islam - Benarkah mereka gabungan mahasiswa Islam?


Oleh : Mahasiswa Prihatin (UNITEM)

Seringkali bila timbul sesuatu isu yang kononnya melibatkan agama dan hak rakyat, mahasiswa akan terseret sama. Persoalannya adalah apakah yang menyebabkan mahasiswa terlibat ? Apakah ‘perjuangan’ itu sememangnya relevan dengan dunia mahasiswa atau direlevankan oleh golongan tertentu untuk kepentingan mereka ? Yang lebih penting apakah benar pihak yang kononnya mewakili mahasiswa ini benar-benar mewakili mahasiswa atau hanya menggunakan nama mahasiswa untuk kepentingan tembolok mereka semata-mata ?

Inilah yang menjadi soalan utama bila saya membaca laporan akhbar yang mengatakan Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI) bersama-sama dengan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menghantar memorandum menggesa Majlis Raja-Raja mengambil tindakan terhadap beberapa penulis yang dianggap menghina agama Islam.(Berita Harian 5/2/2002 : PUM. NGO kemuka aduan penulis hina Islam) Sehingga hari ini siapa dan apa itu MPMI ini menjadi misteri. Benarkah mereka ini terdiri daripada gabungan persatuan mahasiswa Islam universiti tempatan ?

Sepanjang saya menjadi mahasiswa dan rapat dengan golongan pemimpin, saya tidak pernah mendengar pun gabungan ini (MPMI). Jadi, selepas membaca berita berkenaan, saya membuat beberapa panggilan dalam usaha untuk mengenali siapakah yang menjadi pendiri atau jawatankuasa MPMI ini. Cubaan saya gagal. Tiada siapa yang tahu. Ada khabar angin yang mengatakan mereka ini sebenarnya ialah aktivis Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) yang merupakan sebuah pertubuhan haram. Selepas berita yang mengatakan mereka (GAMIS) ini tidak berdaftar dan dengan itu haram, mereka telah menghentikan kegiatan mereka (Utusan Malaysia : 7 Julai 2001 : 10 Pertubuhan Haram IPTA) Kini, mereka kembali dengan nama MPMI besar kemungkinan statusnya juga haram !

Ini cuma khabar angin. Tetapi kalau betul bermakna ini satu lagi permainan silap mata khusus untuk membohongi rakyat bahawa kononnya mahasiswa melakukan perbuatan tersebut. Bahaya nama majlis persidangan mahasiswa Islam ini ialah ianya memberikan anggapan bahawa persatuan ini dianggotai oleh pelbagai persatuan mahaisswa Islam seluruh negara sedangkan sepanjang penyelidikan saya – tak ada siapa pun di kalangan pemimpin khususnya ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengetahui atau menganggotai MPMI ini.

Satu lagi kemungkinan yang ditimbulkan dalam perbincangan saya dengan rakan-rakan ialah MPMI ini adalah satu pertubuhan haram yang diwujudkan dari Sekretariat Pelajar Persatuan Ulama Malaysia (SPPUM) yang ahlinya dibuka kepada para mahasiswa seluruh negara dan luar negara termasuk pelajar sekolah menengah.

Apapun, saya menggesa satu siasatan menyeluruh diadakan terhadap MPMI ini bagi mengenalpasti benarkah mereka ini boleh diterima sebagai wakil golongan mahasiswa atau tidak lebih dari sekumpulan kecil yang mengguna wibawa nama mahasiswa untuk kononnya memperlihatkan sokongan kalangan mahasiswa terhadap aktiviti mereka sedangkan mereka ini entah-entah bukan pelajar universiti pun. Siapakah sebenarnya jawatankuasa dan ahli MPMI ini ? Bila ianya ditubuhkan ? Siapakah pula yang menjadi ahli gabungannya ? Apa aktivitinya ?

Untuk makluman semua, mengikut seksyen 15 AUKU, seseorang pelajar universiti itu tidak boleh menyertai mana-mana persatuan sebagai ahli, bergabung dengan mana-mana pertubuhan dan juga menyatakan sokongan kepada mana-mana kumpulan untuk tujuan apa pun tanpa kebenaran bertulis Naib Canselor universiti. [Seksyen 15 (1), 15 (2), 15 (3) & 15 (4)]

Berdasarkan seksyen ini, jika benar ada pelajar universiti yang menyertai atau bergabung dengan MPMI ini apakah mereka telah mendapat kebenaran Naib Canselor ? Demikian juga bila mereka bersekutu dengan Persatuan Ulama Malaysia menyatakan bantahan dan menggesa Majlis Raja-Raja Melayu – jika ianya dilakukan tanpa kebenaran bertulis Naib Canselor, maka ianya terang-terang melanggar seksyen 15 AUKU ini dan tindakan tegas boleh diambil termasuk penjara selama enam bulan. Saya yakin, para Naib Canselor kita tak pernah dengar pun nama gabungan ini.

Gesaan siasatan ini bagi menjernihkan keadaan yang kini meragui gerakan mahasiswa sebagai satu gerakan yang condong membangkang kerajaan hingga kononnya sampai ke tahap – apa pun tak apa – janji bangkang !

Dalam keadaan kami yang sedang berusaha memulihkan hubungan dengan kerajaan dan memurnikan gerakan mahasiswa dari unsur subversif, jika benar kewujudan dan tindakan MPMI ini tidak lebih dari satu cubaan membohongi rakyat dan Majlis Raja-Raja, maka saya mohon tindakan yang berat dan tegas hendaklah diambil.

Saya menyeru mereka yang kononnya pendiri MPMI ini untuk tampil ke depan menjelaskan sendiri – apakah benar mereka itu mahasiswa dan jika benar, sejauhmana tindakan mereka itu – (menyatakan sokongan kepada PUM) mampu memartabatkan kembali gerakan mahasiswa dan memulihkan pandangan negatif terhadap gerakan mahasiswa di mata rakyat dan pemerintah.

Kepada para mahasiswa dan seluruh pembaca yang lain, jangan mudah percaya satu-satu persatuan itu dianggotai dan dikemudi oleh para mahasiswa hanya kerana ianya ada memakai nama mahasiswa pada namanya. Apatah lagi yang menggunakan perkataan yang membawa maksud gabungan. Bagi saya ini tidak lebih dari `trick’ politik kampung yang tidak boleh dipandang ringan kesalahannya. Jika benar ianya terdiri dari gabungan – siapa – persatuan mana yang menjadi gabungannya ? Mengapa tidak dijelaskan ? Mengapa berdiam diri hingga kini ?

Pada fikiran saya – membisu memberikan andaian kepada dua jawapan iaitu – pertamanya jelas mereka bersalah. Keduanya – persatuan atau gabungan itu memang hantu dari mula – tidak pernah didaftarkan dan tidak pernah mempunyai ahli.

Di masa akan datang, jika ada mana-mana persatuan atau kelompok ingin menggunakan taktik sepertimana yang digunakan oleh Persatuan Ulama Malaysia ini – tolonglah jelaskan persatuan atau gabungan yang kononnya mewakili mahasiswa ini terdiri dari siapa – banyak mana – bila tubuhnya – siapa jawatankuasanya ? Janganlah menghina kebijaksanaan kami dengan `memaksa kebenaran sepihak’ - mempercayai apa sahaja yang diusulkan atau datang dari persatuan ulama kononnya seolah mereka ini tidak mungkin menipu dan berbohong apalagi melanggar peraturan.

Pada saya – ulama handal mana pun – anda tidak maksum. Dan dalam kes ini – PUM vs beberapa penulis ini – pada pandangan saya apa yang berlaku hanyalah selisih pendapat. Mengapa tidak berbincang dahulu dan apakah pendapat para penulis itu seluruhnya haram dan berbahaya kepada akidah umat Islam ?

= PUM vs beberapa penulis – selisih pendapat semata ?

Dalam Islam sendiri subur tumbuh pelbagai pendapat hinggga misalnya mencambahkan hampir 500 mazhab suatu ketika dulu tidak termasuk tarikat dan sebagainya. Semuanya mengakui menyaksi Tuhan itu satu yakni Allah dan Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah. Namun begitu sejarah menyaksikan betapa dalam satu-satu zaman akan ada pihak yang sanggup menghukum orang lain sebagai berdosa, kafir dan boleh diperangi hanya kerana tidak sependapat dengan mereka sedangkan kedua-duanya mengaku menyaksi Allah dan Rasul yang sama.

Secara peribadi saya fikir trend yang sama cuba dipaksakan oleh Persatuan Ulama Malaysia ini. Apakah kerana contohnya mereka menganut faham tradisional, maka ulama atau Islamis yang modernis harus diambil tindakan ? Demikian juga golongan yang neo-modernis dan sebagainya – semuanya itu pada mereka ; sekular atau bertentangan dengan syariat semata-mata kerana bingkai minda tradisional mereka tidak dapat bersetuju.

Lebih aneh dalam persekongkolan ini, sejak bila pula para mahasiswa boleh dianggap telah memahami Islam dan cukup pula ilmunya untuk membuat penarafan bahawa seseorang atau sekelompok orang tertentu itu menghina Islam sebagaimana yang didakwa oleh PUM kononnya para penulis berkenaan `memberikan gambaran Islam yang salah dengan mengikut pandangan peribadi tanpa merujuk asas kaedah dan disiplin ilmu pentafsiran al-Quran dan hadis’. (BH 5/2/2).

Hebat benar nampaknya ilmu ahli-ahli MPMI ini hingga mampu menjatuhkan hukum menghina Islam kepada orang lain atau sebetulnya mereka ini tidak lebih lembu peliharaan PUM – mengikut sahaja ke mana ditarik ?

Untuk makluman semua, di Persidangan Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam yang berlangsung baru-baru ini di Hotel Crown Princess, Dr. Surin Pitsuwan seorang wakil rakyat Thailand menceritakan di Thailand sewaktu usianya masih kecil – belajar bahasa Thai pun haram pada pandangan ulama termasuk yang mengetuai madrasah pada waktu itu. Hebat tak hebat ?

Satu lagi pendedahan menarik adalah pada 9/2/2002 di Utusan Malaysia muka 18 bahagian Luar Negara melaporkan berita Edaran terjemahan al-Quran di Los Angeles ditarik balik. Antara lain ianya mengatakan :

Kira-kira 300 naskah terjemahan al-Quran yang disumbangkan kepada sekolah-sekolah di Los Angeles oleh sebuah yayasan Islam bertujuan memupuk persefahaman antara agama selepas peristiwa 11 September , ditarik balik kerana ulasan anti-yahudi yang terkandung di dalamnya. Terjemahan al-Quran The Meaning of The Holy Quran itu diterbitkan pada tahun 1934 ditarik balik selepas seorang guru sejarah membaca kenyataan yang menghina Yahudi dalam catatan kakinya. Satu perenggan dalam komentar itu memberi gambaran berikut tentang Yahudi : "Kalaupun mereka boleh membaca , kebanyakkan mereka tidak ubah seperti golongan buta huruf yang bukan sahaja tidak memahami kitab sebenar mereka, tetapi mentafsirkannya dengan sesuka hati mereka atau dengan mereka membuat andaian mereka sendiri"

Yang menulis komentar penuh bias ini bukan penulis yang didakwa oleh PUM menghina Islam, bukan juga mahasiswa tetapi saya yakin golongan yang megah dipanggil ulama. Apakah mungkin ulama ini turut memberikan gambaran Islam yang salah dengan mengikut pandangan peribadi tanpa merujuk asas kaedah dan disiplin ilmu pentafsiran al-Quran dan hadis pada catatan kakinya dalam sebuah kitab terjemahan al-Quran ? Jelasnya, ulama juga prejudis, tidak profesional malah emosi.

(Nota : Bukankah masalah kitab rujukan Islam yang dicemari dengan pernyataan tidak Islamik ini – oleh golongan ulama tentunya - lebih serius ?)

Intipatinya, walaupun satu-satu maklumat atau informasi atau tindakan itu datangnya dari ulama bahkan Persatuan Ulama sekalipun tidaklah bererti ianya benar mutlak dan tidak mungkin bersalahan lagi.

Tambahan pula di waktu ini, kumpulan ulama dan pemikir Islam secara kasarnya dapat dikategorikan kepada tiga iaitu kumpulan tradisional, modernis dan fundamentalis. (kertas kerja M. Din Syamsuddin, Sekretaris Umum, Majlis Ulama Indonesia – salah sebuah kertas kerja di persidangan yang sama). Terdapat kecenderungan tiap aliran dalam hal tertentu – untuk mengatakan pendapat masing-masing adalah terbaik dari yang lain juga untuk melihat dan memperbesarkan khilaf aliran lain.

Sikap dalam berbalah dan berbeza pendapat kita amatlah memalukan. Ternyata kita sukar menerima kritikan apatah lagi pendapat yang berbeza meskipun kita berpegang kepada akidah yang sama dan agama yang kita anuti ini memiliki tradisi keilmuan dan berbeza pendapat yang sangat toleran dan terulung di dunia ini.

Bila kita berhadapan dengan pihak yang berbeza pendapat, tindakan kita selalunya adalah cuba sedaya upaya `menjadikan mereka menerima pendapat kita’.

Jika gagal, maka mereka adalah berbahaya, sesat, kafir dan sebagainya. Inilah salah satu derita pemecah kesatuan ummah Islam hari ini dan saya kesal kerana Persatuan yang menggelar diri ahlinya sebagai para ulama mendokong usaha pemecahan ini.


Apakah tidak ada jalan lain selain dari berbalah dan sibuk menyalahkan orang lain ? Bagaimana kita ingin maju ke depan jika masa kita dipenuhi dengan aktiviti sebegini ?

Kesimpulannya, sebagai mahasiswa – saya fikir PUM kesasar dan jika benar MPMI itu wujud saya kesal kerana sokongan mereka menunjukkan mereka tidak berfikir panjang – ikut sama dalam gelanggang `kita sahaja yang benar – orang lain salah’. Menang di gelanggang ini tidak membantu rakyat lebih taqwa – hanya tambah memecah ummah – lantas jadilah kita virus yang merosakkan kekuatan dan kepaduan ummah dari dalam. Dosanya – saya fikir golongan ulama tradisional ini arif akan dosa dan pahala – apakah mereka tidak melihat atau lupa atau menghalalkannya kerana mereka adalah kononnya ulama penentu hukum ?

Maka, jika benar MPMI itu wujud dan mewakili mahasiswa, saya dengan ini menyatakan bahawa mereka tidak mewakili semua mahasiswa Islam di Malaysia ini. Sekurang-kurangnya saya sebagai mahasiswa UNITEM tidak menyertai mereka.

Saya seru mana-mana persatuan mahasiswa yang merasakan tindakan MPMI tidak mewakili tindakan mereka untuk menjelaskan pandangan masing-masing. Rakyat perlu tahu. Majlis Raja-Raja perlu sedar. MPMI bukan suara mutlak mahasiswa Islam !!!


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved