StatTrack
free web hosting | free hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Saturday, March 9, 2002 8:10 AM

Pelajar mangsa idealisme politik


ZUBAIDI AHMAD, Johor Bahru, Johor.

Universiti adalah suatu lokasi pendidikan yang menjadi idaman bagi setiap pelajar. Ibu bapa juga mengharapkan anak dapat belajar di sana dengan harapan menjadi manusia yang lebih bijak, matang dan rasional.

Tenaga pengajar (pensyarah) juga berbangga kerana dapat mengajar di sebuah institusi pendidikan yang paling teratas hierarkinya. Universiti yang dikenali sebagai menara gading adalah suatu kebanggaan bagi pensyarahnya, pelajarnya dan ibu bapa.

Namun begitu, kehidupan mahasiswa yang terlalu idealistik dan penuh cita-cita telah menyebabkan mahasiswa telah mengecilkan skop ruang pemikiran. Mereka sepatutnya meletakkan kecemerlangan akademik dan ketinggian minda sebagai agenda perjuangan mereka.

Sebagai pelajar mereka seharusnya tidak harus memperjudikan masa depan mereka dengan apa juga aktiviti yang lain sehingga mengganggu proses pendidikan. Mereka harus lebih menyedari realiti hidup yang lebih mencabar di luar.

Namun apa yang kita sedih ialah pelajar selalunya menjadi mangsa kepada idealisme yang dibawa oleh pensyarah mereka. Mereka terpegun dengan idea-idea pensyarah yang seolah-olah terlalu syumul dan terlalu indah sehinggakan mereka tidak dapat membezakan antara realiti dan angan-angan.

Pensyarah ini telah mengkhianati tugas yang diamanahkan untuk memberikan didikan kepada mahasiswa. Mereka ini adalah pengkhianat agama, bangsa dan negara.

Penglibatan pensyarah yang aktif menghasut pelajar telah diketahui ramai. Hampir keseluruhan universiti mempunyai beberapa orang pensyarah yang menjalankan aktiviti di luar bidang mereka. Mungkin bilangan mereka kecil, namun ibarat barah yang semakin tenat dan bakal membunuh institusi pengajian itu. Pensyarah-pensyarah ini berorganisasi dan meletakkan kepentingan kumpulan atau puak mereka lebih daripada kepentingan agama, bangsa dan negara.

Selama ini pihak universiti cuba menyimpan pekung ini dengan menafikan penglibatan pensyarah-pensyarah ini. Pensyarah-pensyarah ini telah diberikan peluang untuk menghentikan aktiviti yang memusnahkan profesion mereka.

Namun, ada yang masih tidak berganjak daripada pendirian mereka. Ini menyebabkan pihak polis pula menangani masalah ini. Ini tentu lebih memalukan kerana pekung yang sudah pecah di dada tidak mampu lagi ditutup. Walau dibalut begitu cantik, ia tetap berbau.

Para pensyarah kelihatannya mempunyai masa santai yang banyak. Mereka seharusnya menggunakan masa yang lebih ini dengan mengambil inisiatif dan usaha untuk mendidik anak bangsa agar menjadi suatu pelapis bangsa yang kuat dan bermaruah. Mereka seharusnya sibuk menghasilkan idea-idea baru untuk memajukan bangsa dan menghasilkan ciptaan-ciptaan produk sains dan teknologi yang lebih kompetitif, canggih dan inovatif.

Namun mereka telah menggunakan masa yang terluang melakukan kerja-kerja yang tidak ada kaitan dengan akademik. Penglibatan pensyarah di luar bidang akademik terutama dalam kegiatan subversif/bawah tanah tentunya amat malang untuk masa depan anak bangsa yang mengharapkan tunjuk ajar mereka. Malah kegiatan mereka ibarat barah dalam tubuh yang amat berbahaya jika terus dikekalkan dalam sesebuah universiti.

Berita penangkapan seorang pensyarah kerana menyertai KMM sebenarnya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Ia lebih merupakan berita memalukan yang mengesahkan desas-desus selama ini yang universiti telah dijangkiti kuman subversif. Berita ini memalukan institusi pengajian tinggi secara keseluruhannya.

Ia juga adalah kesalahan yang tidak boleh dimaafkan kerana kita tidak mahu universiti dijadikan sarang subversif atau pusat penyebaran idea-idea yang radikal. Ia bukan saja menyalah etika seorang pensyarah, malah ia juga menyalahi undang-undang negara. Menyebarkan fahaman radikal atau subversif adalah sesuatu yang berbahaya. Ini menyingkap kembali kenangan kita pada era 70-an di mana mahasiswa lebih radikal akibat fahaman sosialis.

Kita seharusnya sedar bahawa universiti haruslah menjadi pusat pengembangan ilmu, bukannya pusat penyebaran idea-idea yang radikal. Universiti dipunyai oleh negara dan masyarakat setempat. Universiti harus mesra masyarakat setempat. Masyarakat bertanggungjawab terhadap universiti kerana mereka membayar cukai pendapatan untuk memajukan sesebuah universiti. Pihak universiti haruslah memelihara amanah dan tanggungjawab itu.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved