StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Siswi usah mudah melatah ikut rentak pembangkang


Oleh: PELAJAR MELAYU IPT, Kuala Terengganu.

BARU-baru ini kita dapat melihat kekalutan siswa-siswi universiti apabila salah seorang rakan mereka menyaman pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana menggantung pengajiannya selama tiga semester.

Ada di antara yang ditangkap kerana mengedarkan risalah bantahan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terdiri daripada kaum hawa walaupun hakikat bahawa pelajar-pelajar tersebut masih bersekolah dan AUKU tiada kena mengena dengan mereka.

Yang ingin saya tarik perhatian anda di sini ialah bagaimana pelajar-pelajar terutamanya perempuan begitu mudah terikut-ikut dengan apa jua perjuangan (terutamanya yang menjurus ke arah pembangkang) tanpa berfikir kesan baik atau buruknya perjuangan ini.

Saya juga seorang siswi. Tetapi sebagai intelek, kita seharusnya mampu berfikir tentang baik atau buruknya sesuatu perkara. Adalah suatu fakta iaitu IPT (Institut pendidikan tinggi) di Malaysia sekarang ini dimonopoli oleh kaum hawa. Hampir kesemua IPTA di Malaysia mencatatkan 60% pelajar-pelajarnya perempuan. Saya amat berbangga dengan peratusan itu kerana ia menunjukkan perempuan hari ini mampu bersaing sama tinggi dengan kaum lelaki.

Tetapi amatlah menyedihkan apabila golongan siswi jugalah yang cepat melatah. Kita ambil contoh demonstrasi-demonstrasi jalanan yang sering diadakan di IPTA, yang kononnya tidak puas hati dengan tindakan pihak universiti ataupun kerajaan. Siapakah yang paling ramai memegang sepanduk? Bukankah pelajar perempuan (terutamanya Melayu dan bertudung labuh)? Mengapa ini terjadi? Apakah tiada jalan lain selain jalan ini yang menunjukkan kebodohan kita?

Rakan-rakan seperjuangan sekalian, marilah kita renungkan peristiwa di mana gerakan Al-Arqam mampu menarik siswi-siswi di IPT masuk ke dalam pergerakan ini lalu meninggalkan pengajian di universiti. Siapakah yang rugi? Apakah yang terjadi kepada golongan ini sekarang setelah suami mereka ditangkap?

Al-Arqam sangat bijak kerana mereka mendekati pelajar perempuan ini dengan menggunakan teori cinta. Mereka akan memujuk pelajar-pelajar ini mengikuti gerakan mereka dan menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat mereka. Setelah itu pelajar-pelajar ini didesak supaya meninggalkan universiti. Lihatlah apa yang terjadi sekarang setelah suami mereka ditahan di ISA dan kehilangan sumber pendapatan? Sudah banyak kisah yang keluar dalam majalah-majalah tempatan yang mengajak kita bersimpati dengan golongan seperti ini.

Di IPT-IPT sekarang ini contohnya, golongan manakah yang secara selindung menyokong dan mengikuti gerakan-gerakan yang dianjurkan oleh pembangkang? Saya dapati rakan-rakan saya yang kebanyakannya bertudung litup amat ayu kelihatannya dari luar tetapi apabila berbincang sesama sendiri (terutama tentang politik), mereka seolah-olah tidak menggambarkan ciri-ciri sepatutnya untuk menjadi wanita muslimah yang sejati. Memaki-hamun dan mencaci-cerca barisan pemimpin kerajaan.

Saya tidaklah mahu menyentuh peribadi mereka ini. Tetapi apa yang membuatkan saya terkilan ialah mereka tidak sepatutnya menunjukkan contoh yang tidak baik seperti ini di hadapan orang lain walaupun sesama kita wanita. Janganlah hanya hendak menjaga tatasusila di hadapan lelaki sahaja.

Dalam Islam ada mengajar kita supaya menjaga tutur kata di hadapan semua orang tidak kira lelaki, perempuan, tua atau muda.

Sebagai seorang wanita dan juga pelajar di salah sebuah IPTA, saya berharap agar rakan-rakan seperjuangan tidak mudah melatah dalam menghadapi sesuatu isu. Fikirlah secara matang dan rasional. Tidak perlulah terburu-buru menuding jari menyalahkan kerajaan sahaja. Asal apa sahaja isu, kerajaan mesti salah. Bukankah kita ada landasan yang betul untuk menyuarakan pendapat kita?

Sentiasalah beringat bahawa duit pinjaman yang digunakan oleh kita sepanjang pengajian di sini juga datangnya daripada kerajaan yang anda kutuk selalu. Hargai dan bersyukurlah selalu kerana itulah yang diajar oleh Islam.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved