StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, January 29, 2002 7:31 PM

UTM tubuh Unit Perisikan pantau Pensyarah & Pelajar: Bila lagi IPTA lain?


Penubuhan unit perisikan UTM untuk memantau anasir
subversif pelajar dan pensyarah merupakan langkah
proaktif yang harus dipuji.

Seperti kata Naib Canselor UUM, 'unsur subversif
kampus, perlu diselidiki dan bukannya datang dengan
sendiri. Naib Canselor sewajarnya ada rasa kemahuan
untuk membongkar dan membanteras bukan sebaliknya sekadar menunggu laporan daripada pihak lain'

Nampaknya, UTM begitu tegas sekarang ini. Bagaimana dengan IPTA lain? Apakah unsur-unsur negatif hanya berlaku di kampus itu sahaja, sedangkan IPTA lain berada dalam 'zon selamat'.

Secara ironis, di UM dan UPM seorang bekas pemimpin
pelajar pernah ditahan dibawah ISA kerana disyaki
terlibat dalam kegiatan bawah tanah.Di UIAM, seorang
bekas pemimpin pelajar terlibat mengetuai gerakan
haram BBMN dan menganjurkan demonstarasi ISA secara terbuka di kampus tersebut. Tahun lalu, 7 mahasiswa dari universiti UM, UKM,UiTM dibicarakan di mahkamah kerana terlibat dalam demonstrasi ISA. Di Indera Kayangan, 8 Mahasiswa, dari USM,UUM, KUITTHO dan UTM ditahan polis, kerana terbabit dalam kempen politik pembangkang.

Persoalannya, kenapa hanya UTM dan bukannya UM, UPM,UKM,KUITTHO dan UIAM?

MUKADIMAH
Penubuhan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 30 tahun lalu berasaskan mandat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai profesional Melayu dalam bidang kejuruteraan.

Dalam tempoh tersebut UTM bukan sahaja berjaya
melahirkan kira-kira 50,000 graduan dalam bidang sains
dan teknologi malah namanya turut harum di peringkat
antarabangsa melalui pelbagai anugerah.

Bagaimanapun, pendedahan bekas pelajar UTM, Wan Noor Hayati Wan Alias mengenai kewujudan gerakan bawah tanah di UTM serta penahanan tiga pensyarahnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengubah persepsi masyarakat terhadap universiti tersebut.

UTM kini dilihat seolah-olah menjadi sarang anasir
keganasan dengan niat untuk menjatuhkan kerajaan
sehingga menenggelamkan objektif utama penubuhannya.

Wartawan Utusan Noraini Abdul Razak dan Najibah Hassan menemu ramah Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali yang kesal kerana isu KMM telah mencacatkan imej UTM yang kini dalam proses menjadi universiti terbaik.

Utusan: Sepanjang setahun memegang jawatan Naib
Canselor, beberapa kejadian yang agak menggemparkan telah berlaku di UTM termasuk para pensyarah yang dikatakan terlibat dengan kegiatan Kumpulan Militan Malaysia (KMM), bagaimana reaksi Datuk?

Mohd Zulkifli: Sejak dilantik sebagai Naib Canselor
pada 5 Januari 2001 saya memfokuskan diri saya kepada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan terutama yang menyentuh perihal pensyarah, pembangunan akademik serta tatatertib kakitangan universiti.

Dan kalau kita lihat kes-kes yang timbul sama ada
menyentuh penglibatan pensyarah dalam kegiatan KMM atau gerakan bawah tanah, latar belakang serta sejarah insiden-insiden ini adalah sebelum 2001.

Jadi segala perkara yang terpaksa saya lakukan ini
bukanlah terhasil ketika mereka di bawah pengawasan
saya tetapi kesan daripada apa yang telah ada sejak
dulu lagi dan apabila memasuki 2001, masalah ini
timbul sedikit demi sedikit.

Sebagai Naib Canselor saya mesti melihat kepada the
forest and not the tree. Maknanya saya mesti melihat
secara menyeluruh baik yang tersirat atau tersurat
serta mengambil kira kepentingan universiti dan negara
dengan dibantu oleh pelbagai maklumat yang sebelum ini saya tidak ketahui.

Saya merasakan apa juga yang timbul kita mesti jangan
melihat di luar konteks kerana UTM sebuah organisasi
besar yang memiliki 29,000 pelajar dan 1,600 staf
akademik. Sudah tentu dalam hal begitu ada masanya
sedikit sebanyak staf terlibat dalam perkara negatif
begitu juga dengan para pelajar.

Jadi apabila timbul sesuatu isu kita terpaksa melihat
dari sudut fakta dan bukti-bukti yang ada, saya tidak
boleh bertindak tanpa bukti kerana apabila kita
mengamalkan konsep setiap kali ada tuduhan maka dengan terus kita mengatakan orang ini bersalah maka ini boleh merosakkan sistem kita.

Dari sudut itu dalam setahun lepas pelbagai isu yang
timbul, kita cuba selesaikan sebaik mungkin. Apabila
ada tuduhan kita membuat siasatan rapi yang mana ada bukti kita ambil tindakan, yang mana tidak ada bukti
kita adakan satu pemantauan dan langkah berjaga-jaga.

Saya ingin tekankan di sini isu-isu yang kita kata
negatif ini kalau kita lihat dalam konteks yang besar
dalam universiti dan pelbagai aktiviti universiti,
bilangan pensyarah dan pelajar universiti yang begitu
besar maka isu-isu ini sebenarnya kecil.

Tapi saya tidak mengatakan isu KMM itu kecil.
Sebaliknya setiap kenyataan yang saya buat adalah
berdasarkan maklumat yang diberi kepada saya oleh
pelbagai pihak mengenai perkara itu pada masa itu tapi
sudah tentu kejadian 11 September telah mengubah
banyak keadaan baik dalam dan luar negara.

Apakah langkah-langkah yang telah dan akan
dilaksanakan untuk memastikan UTM tidak lagi dikaitkan dengan unsur-unsur negatif ini?

Pelbagai maklumat yang ada membolehkan kita membuat keputusan yang terbaik dalam apa juga isu. Dengan maklumat yang diberi dan pengalaman yang ada saya boleh buat keputusan sebijaksana yang mungkin. Jadi yang kita tekankan ialah setiap keputusan mesti bijaksana seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak.

Ini usaha kita dalam universiti. Kita bukan tidak mahu
mengambil langkah menghapuskan perkara negatif, tetapi kita guna cara sendiri dengan menentukan tindakan dan langkah yang paling tepat dan bijaksana untuk sesuatu keadaan pada sesuatu ketika.

Pada dasarnya, saya melihat universiti ini banyak
keistimewaan terutama dari segi pencapaian
cemerlangnya tetapi oleh kerana banyak dakwaan dan
aduan, kita melaksanakan pelbagai langkah untuk
mengatasi setiap masalah negatif yang secara tidak
langsung menjejaskan imej universiti.

Usaha kita termasuk berjumpa pensyarah untuk membuka minda mereka supaya sentiasa positif. Bukan saya kata mereka tak positif tapi saya hendak mereka sentiasa positif dan tidak sama sekali boleh menghasut atau mempengaruhi pelajar.

Ini terbukti apabila kita mengeluarkan surat tunjuk
sebab malah kita mengeluarkan surat pertuduhan dan
menahan kerja beberapa orang dan buang kerja mana-mana pensyarah yang tidak menjalankan tugas, itu usaha yang reaktif.

Kita juga mengambil langkah membubarkan Persatuan
Mahasiswa Islam sebagai langkah pencegahan walaupun belum ada bukti yang mengatakan persatuan itu bersalah. Tetapi oleh kerana banyak sangat tuduhan
kita nampak seolah ia terlibat maka adalah lebih baik
ia dibubarkan sementara waktu untuk pastikan keadaan
dalaman universiti aman dan sentosa dan tidak terlalu
berpolemik mengenai perkara yang mungkin tidak menjadi pokok dalam kesarjanaan di universiti.

Isu KMM memanglah saya tak kata ia tak serius. Apabila negara mengatakannya serius dan kemungkinan boleh merebak maka saya sebagai Naib Canselor menganggapnya serius. Oleh itu kita mengambil langkah-langkah supaya
ia tidak merebak dengan mengetatkan sistem keselamatan UTM.

Malah kita adalah universiti pertama yang akan
menubuhkan Intelligence Unit (Unit Perisikan) dan
bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak untuk memantau keadaan supaya kegiatan para pensyarah sentiasa di awasi.

Bagaimana pula penahanan tiga pensyarah UTM kerana disyaki terlibat dalam KMM?

Tiga pensyarah ditahan untuk disiasat bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kemungkinan terlibat
dalam KMM atau perkara negatif. Kita dah ambil langkah berjaga-jaga. Kita kena tunggu siasatan polis,
sekiranya mereka dilepaskan kita akan terima semula
dan memantau pergerakan mereka di sini, tetapi
sekiranya mereka ditahan kes mereka akan dibawa ke
jawatankuasa tatatertib

Walaupun melibatkan tiga pensyarah UTM tetapi perkara yang berlaku adalah di luar universiti malah jauh dari universiti. Ia mungkin dibuat di luar waktu kerja oleh
sebab itu walaupun kita tidak menolak dari
bertanggungjawab sebenarnya tanggungjawab negara
memantau setiap warganya.

Sekiranya berlaku dalam universiti maka menjadi
tanggungjawab kita kerana kawalan aktiviti menjadi
tanggungjawab kita dan kita kena melihat setiap
aktiviti perlu selari dengan aspirasi universiti dan
negara.

Adakah insiden-insiden ini menimbulkan kesukaran di
pihak Datuk?

Saya cuma rasa sedih dan kecewa kerana perkara ini
timbul pertama dalam masa saya menjadi Naib Canselor, kedua saya merasakan pensyarah-pensyarah ini memang telah banyak diberi kemudahan yang amat baik oleh negara termasuk menghantar mereka dengan biasiswa ke luar negara. Kita pula ambil mereka menjadi pensyarah, mendidik mereka dan sebagainya.

Malah mereka juga boleh pergi ke luar negara
berkali-kali untuk melanjutkan pelajaran.
Bagaimanapun, sekarang ini sedikit sebanyak kita
berasa kecewa kerana usaha-usaha yang kita lakukan
selama ini untuk menonjolkan kecemerlangan universiti
dan kebaikan universiti termasuklah beratus-ratus buku
dan kertas kerja yang telah diterbitkan oleh pensyarah
serta 64,000 graduan yang telah kita lahirkan dalam
bidang teknologi dan kejuruteraan nampaknya
seolah-olah boleh dihapuskan hanya dengan kegiatan
yang dilakukan oleh dua tiga orang ini.

Jadi masyarakat tidak lagi nampak kepada segala usaha dan sumbangan para pensyarah atau pendidik, sebaliknya hanya nampak menonjol kepada tiga orang yang bersalah.

Kita mengatakan kalau tiga orang yang bersalah,
ambillah tindakan kepada tiga orang yang bersalah ini.
Kita pun akan ambil tindakan sekiranya dibolehkan
mengikut tafsiran kita. Justeru, ini yang sepatutnya
dihapuskan. Bukan seluruh warga kampus universiti itu
dicontengkan arang ke muka mereka. Saya merasakan ini tidak adil.

Bagaimana usaha Datuk untuk mengembalikan imej UTM?

Memang menjadi tanggungjawab saya untuk memulihkan dan memastikan imej UTM sentiasa terbaik.

Ini kerana bukan saya memikirkan tentang kepentingan
diri saya seorang, sebaliknya saya memikirkan berpuluh
ribu orang yang bergantung kepada nama baik UTM. Ini
termasuklah pensyarahnya, para graduan yang akan lahir serta para graduan yang akan telah menjadi ahli
alumni. Bayangkan pula mereka yang akan datang ke UTM.

Jadi apa yang ingin saya tekankan di sini ialah UTM
adalah kebanggaan bangsa dan telah memainkan peranan selepas penubuhan Dasar Ekonomi Baru untuk melahirkan begitu ramai profesional dalam bidang kejuruteraan.

Bagaimana pula dengan persepsi masyarakat terhadap
UTM?

Janganlah disebabkan oleh satu dua kes yang
setengahnya belum atau telah terbukti, maka
keseluruhan UTM ini namanya diletakkan di tahap yang
paling rendah.

Kejayaan-kejayaan UTM yang cukup besar, kesungguhan profesor-profesornya dan peranan yang mereka mainkan juga begitu besar. Malah, tidak salah kalau saya katakan kita juga selalu dilantik sebagai perunding dalam membantu dalam masalah banjir dan pelbagai perkara lain.

Justeru, janganlah lupa pada jasa dan sumbangan yang
kita curahkan. Hanya kerana dua tiga orang atau
mungkin lebih, nama UTM boleh rosak.

Hakikatnya dari sudut yang lain, pengurusan universiti
sekarang ini telah mengambil langkah-langkah untuk
memastikan bahawa seboleh-bolehnya kita bukan saja
hendak memperbanyakkan perkara yang positif yang
dilakukan oleh universiti.

Pada masa yang sama kita juga ingin hapuskan atau
berusaha mengurangkan perkara-perkara yang negatif.
Maknanya tumpuan kita terbahagi dua.

Kita tidak boleh hendak tumpukan tepat seratus peratus menghapuskan perkara yang negatif sehingga kita lupa untuk memajukan universiti. Kita juga bukan hanya menjaga tatatertib tetapi juga ingin menjaga
kecemerlangan universiti.

Jadi saya rasa penting kalau kita tengok pada
universiti lain, kita jarang perhatikan pada aktiviti
yang dilakukan oleh kakitangannya. Sebaliknya, kita
melihat dari segi kejayaan kedua-duanya, dari segi
ilmiah mahupun akademik. Kita kadangkala juga tidak
pernah bertanya ideologi pensyarah-pensyarah dari
universiti-universiti di luar negara.

Kita cuma melihat dan rasa bangga dengan Cambridge
University, kerana mereka dapat melahirkan ilmu yang
banyak. Kita lihat pada Harvard University tetapi kita
tidak tahu bagaimana perangai sebenar
pensyarah-pensyarahnya. Tetapi di sini, sedikit saja
isu yang timbul kita mulai menimbulkan pelbagai
persoalan.

Jadi pada pandangan saya, yang baik itu kita akan
perbanyakkan dan yang negatif itu kalau boleh hapus
kita hapuskan. Kalau tidak boleh hapus, kita akan
perkecilkan sehingga yang baik itu melebih daripada
yang negatif tadi. Dengan itu orang akan melihat
bahawa UTM ini adalah putih bersih.

Bayangkan sumbangan yang telah diberikan oleh
universiti terutama pengiktirafan negara terhadap UTM
sebagai sebuah universiti sains dan teknologi paling
terkemuka di Malaysia.

Inilah antara sumbangan kita. Jadi saya tidak mahu
menyatakan apa yang berlaku itu tidak memberi kesan
pada kita, tetapi saya juga tidak mahu seluruh warga
kampus atau seluruh warga UTM menjadi patah hati atau lemah semangat maka sumbangan-sumbangan tadi tidak boleh diperhebatkan lagi.

Justeru saya berusaha untuk mengimbangi kerana itulah segala tindak-tanduk saya untuk memastikan nama UTM tetap harum dan mengurangkan masalah-masalah yang melanda. Kita cuba selesaikan masalah. Kadang-kadang pandangan masyarakat berbeza-beza. Taliban di Afghanistan satu masa dulu diiktiraf oleh Pakistan dan Arab Saudi dan negara-negara yang lain. Tetapi selepas tragedi 11 September, maka rakan berubah menjadi musuh. Jadi perkara itulah yang sebabkan keadaan ini.

Jadi di sini kita pun melihat dari sudut yang begitu
juga. Maknanya ada masa kita tidak nampak,tetapi
sekarang kerana ada penekanan, maka kita kena
bertindak mengikut kesesuaian dan masa. Dan masa
sekarang kita tidak boleh terlibat dengan apa-apa juga
yang dianggap sebagai militan atau corong kepada
semangat jihad dan sebagainya.

Jadi kita maklumkan pada pensyarah kita bahawa perkara ini tidak dapat diterima oleh negara dan juga
universiti. Universiti mesti selari dengan harapan dan
polisi-polisi negara kerana kita institusi pengajian
tinggi awam.

Dan saya sebagai Naib Canselor membaca semua ini dan kemudian menterjemahkan dan mendorong para pensyarah dan pelajar untuk ke arah yang tepat dan positif.

Jadi yang saya rasa sedih dan agak malang sedikit
kerana usaha ke arah kecemerlangan akademik untuk
mencapai kecemerlangan universiti terpaksa ditumpukan untuk menyelesaikan pelbagai kes.

Tetapi yang penting saya rasa fokus itu berjalan dan
kita akan perbaiki mana yang difikirkan sesuai dan
kita pastikan sekiranya ada di mana-mana tempat kita
mesti fokus dan tumpu dan kita guna masa tersebut.

Sekarang ini seolah-seolah masyarakat ingin kita
selesaikan isu-isu yang boleh menggugatkan nama baik
universiti. Inilah yang perlu saya jaga kerana
kredibiliti bukan saja bergantung kepada banyaknya
buku yang dihasilkan tetapi juga sikap, pemikiran
jumud, terkongkong atau ekstrem tentulah masyarakat
antarabangsa enggan melihat negara kita.

Saya meminta masyarakat melihat secara keseluruhan dan secara objektif kerana penglibatan dua atau tiga orang pensyarah ini adalah di luar waktu pejabat dan
penglibatan individu itu sendiri.

Maka harapan saya yang tiga ini sajalah yang
dipersalahkan kerana mereka tidak perlu minta
kelulusan kita dan mereka pergi melibatkan diri dengan
masyarakat di luar adalah tanpa pengetahuan
universiti. Itu bukan tanggungjawab kita. Walaupun
demikian, oleh kerana taraf pensyarah dipandang
tinggi, maka dengan sendirinya nama baik kita juga
terjejas.


Halaman Utama

 

Oleh:

PenaSakti

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved