StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, January 29, 2002 7:25 PM

Bekas Pemimpin Pelajar UiTM dedah penglibatan Mahasiswa dalam Pertubuhan Haram


9:21am, Sat: Tahun 1970-an menyaksikan pergerakan
aktif siswa. Mereka peka perkembangan sekitar dan
bertindak untuk cuba membetulkan kepincangan yang
berlaku. Siswa ketika itu mampu berbuat demikian
kerana mereka bebas.

Mereka tidak dibelenggu ikatan atau kaitan dengan
mana-mana kuasa - kerajaan mahupun pembangkang.

Namun kini, pergerakan siswa semakin pudar dan lemah. Jika dahulu mereka menyanggah kepincangan dan penyelewengan, mereka membela kemiskinan dan
kemelaratan rakyat. Kini siswa tidak lagi mampu
bertindak demikian, malah tidak mampu membela nasib
diri sendiri. Hari ini gerakan siswa dibelenggu kuasa
politik. Mereka hanya menjadi alat.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dikenali intim dengan Umno. Masakan tidak, presidennya sendiri pernah menjadi wakil rakyat di atas tiket Barisan Nasional. Malah presiden itu bukan lagi seorang siswa, apatah lagi seorang pelajar.

Beliau sudah cukup tua dan lebih sesuai bergerak
secara langsung dalam parti, tetapi beliau gagal
mendapatkan sokongan dalam parti. Oleh itu pilihan
yang ada hanya membina pengaruh dan asas kuasa melalui ‘pertubuhan bukan kerajaan’ (NGO) dan persatuan pelajar.

Atas hakikat ini, tidak banyak yang boleh diharapkan
daripada GPMS. Ia tidak akan menegur kerajaan, kerana ia juga adalah sebahagian daripada rangkaian kerajaan. Ia tidak akan melakukan sesuatu yang mendahului parti pemerintah kerana ia perlu kekal sebagai pengikut dan alat tunggangan yang baik.

Politik Gamis, BBMN dan PKPIM

Satu organisasi pelajar lain ialah Gabungan Mahasiswa
Islam Semenanjung (Gamis). Ia adalah gabungan
persatuan mahasiswa Islam (PMI) daripada beberapa
universiti awam. Ia diterajui oleh mereka yang masih
menuntut di menara gading, bukan oleh seorang Datuk
atau Yang Berhormat.

Mungkin Gamis lebih baik daripada GPMS tetapi
malangnya ia juga menyerahkan tengkuk untuk digembala
oleh kuasa politik, yakni PAS. Oleh itu ia sekali gus
melenyapkan kebebasan yang harus menjadi asas utama
gerakan siswa yang berkesan.

Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) pula
merupakan gabungan persatuan mahasiswa iniversiti
(PMU). Oleh kerana kebanyakan PMU dikuasai oleh
proksi-proksi PMI, maka BBMN sekadar menjadi jelmaan Gamis dengan rupa dan imej yang lain. Dasar dan haluannya tetap dikawal dan ditentukan oleh PAS.

Satu lagi persatuan yang besar ialah Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Wujud sejak 1961, ia pernah memainkan peranan penting dalam kebangkitan siswa 1970-an.

Namun kini setelah diterajui oleh Asyraf Wajdi Dusuki,
sebagai presiden, ia lebih mereng dan cenderung
menyokong kerajaan sedia ada, walaup mungkin dengan cara yang tidak berterus-terang dan nyata. Masakan tidak, Asyraf sendiri adalah anak kepada Dusuki Ahmad, setiausaha politik kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kini Umno mempunyai GPMS dan PKPIM, dua persatuan pelajar yang paling panjang sejarahnya; sementara PAS menguasai Gamis dan BBMN, dua organisasi yang baru diwujudkan untuk menyaingi dua organisasi pelajar yang intim dengan Umno.

Oleh itu apa harapan yang ada untuk gerakan siswa
kembali menjadi benar-benar berkesan?

Tercetusnya reformasi di Malaysia menyaksikan
kewujudan beberapa organisasi siswa yang lebih kecil
dan mendakwa bebas. Siswa Cina membentuk Pergerakan Belia dan Pelajar Demokratik Malaysia (Dema). Ia mengaku sebagai sebuah pegerakan berbilang kaum tetapi hampir semua ahlinya terdiri daripada kaum Tionghua, persis DAP. Terdapat juga Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (Lantang) yang hilang kelantangannya bersama masuknya dunia ke alaf baru.

Dua prinsip bergerak

Dewasa ini tidak ada pergerakan siswa yang cukup
besar, bebas dan benar-benar mampu memberikan impak kepada keadaan semasa negara.

Namun menyedari kepentingan siswa, Pemuda Parti
Keadilan Nasional mewujudkan Biro Mahasiswa. Apa
sebenarnya matlamat dan peranan biro ini sukar
dipastikan. Mungkin ia diwujudkan kerana pemuda parti
politik lain, khususnya Umno, juga mempunyai biro yang
sama.

Mungkin biro ini ditubuhkan untuk mengumpul kekuatan
siswa bagi menyokong Keadilan. Sekali lagi siswa cuba
diperalat dan digembala. Nasib baik pengerusi Biro
Mahasiswa itu ialah Yusri Mohamad, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau seorang yang lemah dan masih gagal menggerakkan biro tersebut sehingga kini.

Apa sebenarnya kepentingan kebebasan sesuatu
pergerakan siswa? Apakah kebebasan membawa maksud siswa perlu kelihatan selekeh dan tidak terurus?
Apakah kebebasan membawa maksud siswa mesti menghentam kerajaan semata-mata tanpa ada ruang untuk memberikan cadangan dan idea membina?

Kebebasan perlu agar siswa boleh bergerak berasaskan dua prinsip utama - kebenaran dan keadilan. Siswa perlu bebas agar mereka boleh mengkritik dan memberikan cadangan untuk membetulkan kesilapan yang berlaku. Mereka perlu bebas menegur sesiapa, hatta pemerintah dan juga pembangkang. Siswa tidak boleh hanya lantang terhadap suatu pihak tetapi kaku terhadap suatu pihak lain yang disokongnya.

Jika gerakan siswa sudah membuat keputusan pihak mana yang wajib disokongnya, maka ia pasti enggan melakukan sesuatu yang mungkin akan melemahkan sokongan kepada pihak tersebut. Ia akan memelihara kepentingan pihak yang disokongnya, sama ada ia baik atau buruk.

Siswa tidak seharusnya digunakan untuk membina
sokongan politik atau mendiamkan bantahan. Mereka
adalah suara hati masyarakat yang perlu dibiarkan
bebas sebagai jurubicara umat. Biarkan siswa bercakap, agar kerajaan boleh membetulkan kesilapan yang dilakukan. Biarkan siswa menegur, agar pembangkang boleh sedar daripada kealpaannya. Moga-moga menjadi kerajaan yang lebih baik di masa depan. Ini peranan siswa.

Bagi mereka yang belum nampak apa kaitannya gerakan siswa dan pelacuran: Penyerahan tengkuk kepada kuasa politik itulah pelacuran gerakan siswa. Pelacurnya ialah presiden dan pemimpin gerakan siswa.
Pelanggannya ialah kuasa-kuasa politik itu.


Halaman Utama

 

Oleh:

Ahmad Zaki

Yamani Zainon

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved