StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Friday, February 15, 2002 9:32 AM

Akujanji: Usah terpengaruh pandangan negatif!


KAKITANGAN institusi pengajian tinggi awam (IPTA), khususnya Universiti Teknologi Malaysia (UTM), diingatkan tidak mudah terpengaruh dengan ulasan negatif mengenai pelaksanaan surat akujanji sehingga boleh menimbulkan kebimbangan dan ketakutan yang tidak munasabah.

Pengarah Kampus UTM di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, Prof Azmi Abdullah, berkata sebaliknya, mereka perlu mendapatkan maklumat sebenar mengenai akujanji berkenaan yang jelas tidak mengandungi unsur penindasan seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, katanya, kakitangan terbabit tidak perlu khuatir ataupun berprasangka buruk untuk memberikan komitmen terhadap surat akujanji berkenaan, lebih-lebih lagi kandungan perjanjian terbabit adalah selaras dengan Akta Badan-Badan Berkanun yang perlu mereka patuhi selama ini.

Malah, beliau berkata, surat akujanji berkenaan secara langsung dapat membangkitkan semula kesedaran kakitangan awam untuk melaksanakan tugas secara lebih bertanggungjawab, cekap dan berkesan.

Bersandarkan kenyataan itu, beliau berkata, kakitangan UTM di Kampus Jalan Semarak memberikan sepenuh kerjasama menandatangani surat aku janji yang diedarkan tanpa sebarang pertikaian atau rungutan.

Seramai 644 kakitangan UTM di kampus terbabit, iaitu 368 lelaki dan 276 perempuan, selesai menandatangani surat akujanji berkenaan dengan disaksikan Azmi, baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, 249 adalah kakitangan dalam Program Pengajian Diploma, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli (dua), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (tiga), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (lapan), Canselori (93), Pejabat Pendaftar (54), Bendahari (20), Perpustakaan (15) dan Harta Bina (102).

Seterusnya, Hal Ehwal Pelajar (36), Pusat Komputer (20), Fakulti Kejuruteraan Awam (11), serta Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat (11).

Dari peringkat awal lagi, kakitangan UTM di kampus ini memberikan sambutan positif terhadap pelaksanaan surat akujanji ini, malah mereka menerimanya dengan rela hati tanpa sebarang perasaan tidak berpuas hati.

Ini kerana selepas membaca, memahami serta menghayati surat aku janji berkenaan, kandungannya ternyata amat jelas dan tiada sebarang unsur penindasan, sebaliknya memberi penekanan ke arah tugas di kalangan kakitangan awam.

Lagipun, mesej surat aku janji berkenaan dapat ‘menyuburkan’ semula kesedaran di kalangan kakitangan awam supaya melaksanakan tugas dengan sepenuh bertanggungjawab.

Oleh itu, adalah amat penting untuk kakitangan mendapatkan maklumat tepat mengenai surat aku- janji berkenaan supaya tidak terpengaruh dengan pandangan negatif, katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berdasarkan surat akujanji berkenaan, seseorang kakitangan IPTA berjanji untuk mematuhi Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) dan sebarang arahan dikeluar serta dikuatkuasakan oleh pihak universiti dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatan.

Antara kandungan surat akujanji UTM ialah kakitangan berjanji akan sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong, negara, kerajaan dan UTM; akan sentiasa melaksanakan tugas dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab; tidak akan membelakangkan kewajipan kepada UTM demi kepentingan peribadi; tidak akan berkelakuan dengan cara yang mungkin menyebabkan kepentingan peribadi bercanggah dengan kewajipan kepada UTM.

Seterusnya, tidak akan berkelakuan dengan cara yang boleh menimbulkan syak munasabah bahawa kakitangan terbabit membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan kewajipan kepada UTM sehingga menjejaskan kegunaannya sebagai seorang staf UTM; tidak akan menggunakan kedudukannya sebagai seorang kakitangan UTM untuk faedah diri sendiri; tidak akan berkelakuan dengan cara yang boleh memburuk dan mencemarkan nama UTM; tidak akan membawa sebarang bentuk pengaruh atau teknyokong atau memajukan tuntutan saya atau staf lain berhubung dengan atau terhadap UTM; serta tidak akan ingkar perintah atau berkelakuan dengan sebarang cara yang boleh ditafsirkan sebagai ingkar perintah.

Azmi berkata, walaupun kerajaan memberi tempoh hingga 31 Mac ini untuk kakitangan awam menandatangani surat akujanji berkenaan, UTM Kampus Jalan Semarak mengambil langkah menyelesaikannya lebih awal bagi membolehkan surat akujanji kakitangan UTM disampaikan secara simbolik sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ke UTM, Skudai, Jumaat ini.


Halaman Utama

 

Oleh:

Syuhada Choo Abdullah,

BH

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved