StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Apa khabar orang UM?


Oleh: SALLEH BUANG

KALI pertama saya menjejakkan kaki di bumi kampus Universiti Malaya (UM) ialah pada tahun 1960. Pada masa itu, saya mengiringi seorang teman rapat yang mendaftarkan diri untuk masuk belajar di situ.

Kali kedua berlaku pada awal tahun 70-an bila saya ''dipinjamkan'' oleh Jabatan Peguam Negara ( di mana saya bertugas pada ketika itu) sebagai pensyarah sambilan di Fakulti Undang-Undang untuk mengambil tempat Datuk Nik Rashid (kini sudah meninggal dunia), yang pada masa itu bercuti melanjutkan pelajarannya di peringkat sarjana di luar negara.

Sudah ditakdirkan, perkhidmatan saya sebagai pensyarah sambilan di situ tidak lama; ia terputus bila saya enggan mengajar lagi selepas berlakunya demonstrasi pelajar secara besar-besaran pada masa itu.

Pembaca akhbar ini tahu sendiri siapa dia salah seorang tokoh pemimpin pelajar UM yang turut terlibat secara aktif dalam demonstrasi pelajar pada ketika itu.

Kali ketiga terjalin hubungan antara diri saya dengan UM berlaku apabila saya menjadi tenaga pengajar di Universiti Islam Antarbangsa, yang pada masa itu mempunyai kampus berhampiran dengan kampus UM.

Sejak pertengahan tahun 80-an boleh dikatakan memang selalu sangat saya keluar masuk kampus universiti itu. Ada kalanya kerana ada urusan dengan tenaga pelajar di Fakulti Undang-Undang dan Akademi Islam; ada kalanya kerana ada urusan di cawangan sebuah bank di kampus itu.

Pendek kata, UM dan penghuninya bukan ''orang asing'' (strangers) bagi saya, walaupun khidmat saya dengannya hanya buat satu jangka masa yang singkat dan hubungan saya dengannya tidaklah begitu rapat atau mesra jika dibandingkan dengan hubungan saya dengan UIA (di mana saya bertugas sepenuh masa selama 5 tahun) atau dengan UKM, dimana saya bertugas sebagai pensyarah sambilan di Jabatan Syariahnya untuk beberapa tahun sehinggalah saya berhijrah ke Kedah.

Kata orang, tempat jatuh akan dikenang; apakan lagi tempat bermain. walaupun kini saya telah tidak menjejakkan kaki di kamus UM lebih tiga tahun, rasanya sentimen asal (rasa sayang) saya kepadanya masih utuh dan belum malap lagi - sepertimana halnya sentimen saya terhadap kamus-kamus universiti lain di mana saya pernah bertugas.

Pada saya sebagai seorang layman dan seorang bapa yang masih mempunyai anak di bangku sekolah dan universiti, keistimewaan UM sejak dulu lagi adalah pada kedudukan dan prasarananya - sebagai satu oasis atau wadi kehijauan dan kedamaian di tengah-tengah kesibukan dan kebisingan kotaraya yang kini terkenal dengan kesesakan lalulintasnya sejak sebelum subuh hingga larut malam.

Oleh itu, saya agak terkejut bila terbaca sebuah rencana tulisan Rustam A Sani bertajuk ''Universiti McDonald's'' (lihat Utusan Malaysia 21 Januari 1998). bukan terkejut dengan pendapatnya tentang penghakisan tradisi dan keilmuan universiti (yang saya setujui pada prinsipnya walaupun tidak seratus peratus) tetapi terkejut dengan apa yang disebutkan oleh Rustam sebagai reaksi berlepas tangan oleh pihak-pihak berwajib.

Sehari dua lalu, saya telah cuba mengkses (menziarahi) beberapa laman siber (website dan homapage) pihak pentadbiran UM dan badan-badan atau kesatuan pelajar UM. Tidak semua usaha saya itu berhasil; di mana akses diperolehi, saya tidak pula terjumpa apa yang saya cari - iaitu komen, sokongan atau bantahan, terhadap penubuhan restoran Mcdonald's ini dan terhadap perkara kedua yang hendak saya sebutkan selepas ini.

Kesimpulannya, apa yang saya dapati ialah seperti yang dikatakan oleh Rustam. Kebanyakan orang sengaja tidak ambil pusing kepada apa yang berlaku dikampus UM.

Sungguh malang. Tidak mustahil, satu hari nanti ada tokoh korporat yang berpengaruh akan dapat ''lesen'' untuk membuka cinaplex dan hyper market dalam kawasan kampus universiti kita.

Perkara kedua yang hendak saya sebutkan dan hendak tanya khabar kepada anak-anak kita yang masih belajar di kampus UM ialah apa akan jadi kepada cadangan kerajaan hendak membina sebuah lebuh raya bertol berhampiran dengan kampus UM?

Lebih raya berkenaan dikenali sebagai 'Kerinchi Link' dan menjadi sebahagian daripada Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

Mengikut laporan akhbar (lihat misalnya Utusan Malaysia 25 Januari 1998), Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu telah mengesahkan bahawa satu lebuh raya bertol akan dibina berhampiran dengan kamus UM ''bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dari Lembah Pantai ke Petaling Jaya.'' Walau bagaimanapun, Samy menafikan projek tersebut akan dibina di dalam kawasan UM seperti yang pernah dilaporkan oleh media sebelumnya.

Samy agaknya merasa terpanggil membuat penafian itu kerana menurut satu laporan akhbar sebelumnya, sebuah ''rumah tol'' akan didirikan dalam kawasan universiti, berhampiran dengan salah sebuah asrama pelajar, bangunan Akademi Islam dan kawasan yang telah ditetapkan sebagai Kompleks Pusat Sukan untuk Fakulti Sukan UM.

Samy juga dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan akan ''tetap meneruskan'' projek lebuh raya bertol itu kerana ia dianggap ''penting'' bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk dari Lembah Pantai ke Petaling Jaya, terutama di Lebuh Raya Persekutuan. Kesejahteraan penghuni kamus, kalaupun terjejas, nampaknya tidak begitu ''penting''.

Kata Samy lagi, projek itu ''pada dasarnya sudah diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) tetapi pelaksanaannya bergantung kepada keadaan kewangan negara.''

Agaknya sebagai satu pre-emptive strike bagi mematahkan sebarang kemungkinan bantahan dari penghuni kampus UM, Samy berkata dengan suara lantang ''Kalau setiap orang hendak membantah projek lebuh raya, sudah pasti kita tidak dapat menjalankan sebarang projek pemodenan sistem lalu lintas di kawasan itu.''

Bila mendengar ucapan Samy ini (yang juga disiarkan menerusi kaca TV dalam ruangan berita pada sebelah malamnya), terlintas di hati saya bahawa kampus UM telah wujud lama sebelum kesesakan lalu lintas Lembah Pantai-Petaling Jaya, Pada saya, kampus UM adalah orang lama di tempat itu manakala kesesakkan lalu lintas menjadi pendatang baru. Apakah untuk menyenangkan orang baru maka kita susahkan orang lama?

Agaknya ramai orang Melayu kita sudah dengar cerita lucu seorang Arab dengan untanya. Pada mulanya orang Arab itu tidur dalam khemahnya manakala si unta tidur di luar. Disebabkan kesejukan, unta itu kemudian memasukkan kepalanya dalam khemah sementara badannya masih di luar. Selepas sejam dua, tidak syukur dengan pertolongan tuannya, unta itu kemudian memasukkan keseluruhan badannya dalam khemah. Disebabkan tempat memang kecil dan ruang memang sempit, unta itu kemudian menendang tuannya keluar. Selesalah ia tidur sendirian dalam khemah manakala tuannya kesejukan di luar.

Pada hari raya lalu, seorang tetamu yang datang menziarahi saya bertanya apa sudah jadi dengan ''Universiti Tol'' Saya jawab saya tak faham dengan soalannya itu. Dia menjawab secara selamba ''dulu dipanggil Universiti Mcdonald's. Sekarang dapat nama Baru, Universiti Tol''.

Saya ketawa sambil mengurut dada. Mujurlah anak perempuan saya kini belajar di Universiti Utara Malaysia.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved