StatTrack
free web hosting | free website | Business Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Saturday, March 9, 2002 8:15 AM

Membetulkan persepsi masyarakat terhadap mahasiswa


Oleh Jabdin Juhat
(Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Persatuan Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah) MAHASISWA merupakan penentu kemudi ummah. Bagaimana dan apa warna masyarakat masa depan berada di tangan dan tanggungjawab mahasiswa.

Sebagai kelompok yang tidak mempunyai kepentingan peribadi sewajarnya mahasiswa sedaya upaya mempertahankan keuniversalannya sama ada cara berfikir mahu pun cara bertindak.

Kebelakangan ini, perhatian yang diberikan oleh pemimpin kerajaan agak luar biasa hebat sehingga menjadi isu utama yang dibincangkan di perhimpunan agung parti sehingga di meja makan dan warung kopi.

Kebanyakan isu yang dibangkitkan rata-rata berlegar sekitar kecenderungan pelajar yang disifatkan oleh sesetengah pihak lebih mirip dan terdorong kepada pendekatan pihak tertentu.

Pelbagai kenyataan dan label turut dilontarkan kepada kelompok ini; umpamanya generasi yang tidak tahu bersyukur, tidak rasional dan mereka yang sudah termakan hasutan parti politik tertentu.

Hampir semuanya meletakkan generasi mahasiswa berada di kandang pesalah tanpa diberikan ruang dan peluang untuk membela diri.

Hakikatnya, keterlibatan mahasiswa dalam kancah politik dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Memang ada benarnya mahasiswa tidak perlu melibatkan diri dalam kancah politik negara.

Sungguhpun begitu, ada mahasiswa terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam politik tempatan dan antarabangsa.

Dalam hal ini, semua pemimpin pelajar perlulah menyedari bahawa matlamat utama mereka di universiti adalah menuntut ilmu dan berbakti kepada masyarakat.

Cuma terdapat mereka yang alpa dan lalai untuk tugas utama itu. Perkara ini tidak harus dipandang mudah kerana terdapat faktor lain yang mempengaruhi mereka, misalnya penyerapan golongan parti politik dalam kampus untuk mengajak mereka menyertai gerakan atau pertubuhan tertentu.

Maka rentetan daripada itu, tidak hairanlah dinamika pergerakan persatuan mahasiswa banyak berpaksi kepada politik kepartian yang tidak sewajarnya berlaku.

Sebagai mahasiswa yang pernah menyandang jawatan tertinggi dalam Majlis Perwakilan Pelajar, saya berasa terpanggil untuk menyatakan pandangan terhadap senario isu-isu semasa yang melibatkan mahasiswa hari ini.

Ketika saya menerajui pimpinan pelajar ternyata pelbagai tekanan daripada pihak tertentu terpaksa ditempuhi yang mana ia akhirnya mengajar mahasiswa menjadi lebih matang dalam menghadapi cabaran masa depan.

Ketika itu juga, saya dan rakan-rakan pimpinan lain di Universiti Malaysia Sabah (UMS) cuba mencari pendekatan yang sesuai iaitu mendokong pandangan untuk tidak menyokong pihak-pihak tertentu atau berkepentingan.

Pada saya kebebasan itu amat perlu untuk memajukan gerakan mahasiswa. Segala pandangan yang sama dengan pihak tertentu atau pembangkang perlu dilihat secara kebetulan.

Apa yang penting pandangan itu perlu dilihat sebagai suatu pendapat daripada golongan muda yang mengharapkan perhatian dan pertimbangan wajar.

Pandangan itu tidak semestinya diterima tetapi sekurang-kurangnya ia boleh mencetuskan idea terhadap pembangunan negara.

Sepanjang penyertaan saya bersama pimpinan mahasiswa di seluruh negara pula, ternyata banyak suka duka yang telah ditempuhi.

Antaranya ialah isu penubuhan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), penerbitan majalah Varsiti UM, pelajar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tindakan tatatertib universiti, dialog dengan pemimpin kerajaan, kebakaran Dewan Tuanku Canselor, kecemerlangan akademik mahasiswa dan gerakan militan.

Isu yang bertali arus dan sukar dibendung itu seolah-olah memperlihatkan bahawa mahasiswa nampak lebih cenderung anti kepada kerajaan.

Namun saya ingin menyatakan bahawa tidak semua pemimpin mahasiswa bersikap sedemikian.

Media massa di Malaysia pula terlalu ampuh dan hebat menyiarkan berita tentang isu-isu mahasiswa yang bersifat negatif terhadap golongan itu.

Ada laporan bersifat prejudis dan tidak kurang juga mengandungi kebenarannya.

Pokok tidak akan bergoyang jika tidak angin yang bertiup. Dalam hal ini, janganlah pula menyalahkan media massa tetapi wajarlah kita merenung kelemahan diri sendiri.

Maka suatu tugas yang amat besar dan mencabar kepada mahasiswa hari ini ialah membetulkan persepsi masyarakat dan kerajaan terhadap golongan itu.

Jangan biarkan masyarakat terus memandang negatif terhadap golongan mahasiswa, misalnya tidak minat belajar, politik kepartian dan menyokong pihak tertentu.

Pemimpin pelajar pula jangan cepat melenting apabila dikatakan anti kerajaan.

Kalau kita benar, kita akan berani, ikhlas dan telus serta tidak takut untuk mengaku dan menafikannya.

Ada pula mengatakan punca kegagalan gerakan mahasiswa ialah kerana mereka memiliki jiwa kerdil sehingga tidak sanggup berkorban nyawa.

Justeru demonstrasi dan memorandum menjadi mekanisme yang dibanggakan serta dikatakan cara yang terbaik.

Jaminan manakah yang mengatakan ia cara terbaik jika jelas ia mengganggu ketenteraman awam, peniaga serta mencetuskan kesesakan lalu lintas?

Jika kita inginkan sebuah negara yang aman, jangan kita mudah melatah dan sebagai golongan terpelajar segala tindakan seharusnya dilandasi kekuatan akal.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved