StatTrack
free web hosting | free website | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Islam perlu ditegakkan secara diplomasi bukan demonstrasi


Oleh: NOR ALINA ABDUL MUTALIB, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

SELAMA ini saya hanya mendengar mengenai demonstrasi pelajar Universiti Malaya tetapi tidak pernah melihatnya secara nyata walaupun saya merupakan salah seorang mahasiswa universiti ini.

Namun pada Jumaat 21 Julai lepas, saya berkesempatan terserempak dengan demonstrasi ini di hadapan Balai Polis Pantai.

Saya secara spontan berasa sedih melihatkan mahasiswi yang berjubah, bertudung labuh dan berpurdah serta separuh menutup muka dengan kain yang diikat dalam demonstrasi itu.

Bukannya saya anti dengan pakaian demikian. Ia adalah pakaian Islam. Tetapi suasana tersebut begitu tidak sesuai untuk pelajar beridentiti seperti mereka. Bukankah pakaian seperti itu mencerminkan keperibadian yang tinggi, lemah lembut dan rasional? Tetapi mereka telah memburukkan imej Islam itu sendiri.

Bayangkanlah, berjubah dan bertudung labuh tetapi dilihat begitu agresif sekali, penuh emosi dan sangat kasar kelihatannya. Sehingga saya berasa cukup malu kerana ada beberapa pelajar berbangsa Cina yang menggelengkan kepada melihat cara mereka.

Ingin saya memberitahu mereka, di kampus universiti ini sendiri di manakah usaha mereka mendaulatkan Islam? Mereka berada di dalam kelompok mereka sendiri. Mereka langsung tidak hendak cuba memulakan bergaul dengan pelajar daripada kumpulan atau fakulti lain selain puak mereka sahaja.

Cubalah bermesra dengan pelajar lain dan secara tidak langsung membuka perspektif terhadap Islam.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) hanya didominasi pelajar tertentu. Hingga kawan saya sendiri memberitahu apa dia PMIUM pun kita tidak nampak.

Seharusnya pihak yang terlibat menganalisis apa usaha yang mereka telah buat untuk betul-betul memperkenalkan Islam. Perlulah turun ke padang bergaul tanpa mengira masa. Bukan hanya duduk dan berpuas hati dengan beberapa seminar, majlis pengenalan dan lain-lain aktiviti.

Kita tidak boleh marah jika bangsa lain memandang serong terhadap Islam. Ia adalah salah kita sendiri. Kita yang menunjukkan contohnya kepada mereka. Salah kita sendiri.

Cuba anda yang berdemonstrasi berfikir sejenak. Islam yang dibawa tidak akan tertegak dengan cara kekasaran.

Ia tidak sesekali akan berdaulat dengan jerit pekik, kemarahan yang me-luap dan penghinaan pada mereka yang tidak tahu tanpa rasa belas untuk menasihati mereka.

Sebaliknya ia perlu diplomasi, berstrategi dan penuh hikmah serta lemah-lembut.

Rasulullah s.a.w tidak pernah mengajak sahabat Baginda yang mulia untuk menunjuk perasaan walau Baginda ditentang dengan begitu hebat sekali. Baginya menangani sesuatu perkara dengan akal fikiran bukan perasaan.

Sudah tentu menunjuk perasaan itu adalah kemarahan dan emosi yang dipengaruhi syaitan. Tentu anda semua lebih arif tentang hubungan amarah dan pengaruh syaitan. Tidak perlulah saya menyebutkannya di sini.

Cara terbaik ialah mulakan dari diri kita sendiri. Usah berfikir kita sudah lebih baik. Nasib kita belum tentu di penghujung hidup. Dan, cubalah jangan asyik memikirkan kesalahan orang lain. Entah-entah Islam yang kita inginkan itu belum tertegak di negara ini kerana orang seperti kita.

Islam akan diberi hanya pada mereka yang benar-benar layak sahaja. Layak daripada pelbagai aspek, dari segi takwa dan akhlak. -


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved