StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, January 29, 2002 7:21 PM

Kebangkitan Pelajar Anti Kerajaan bukan Budaya Baru


4:21pm, Thu: Apabila Ketua Pemuda Umno Hishammuddin Hussein mengeluarkan kenyataan bahawa kebanyakan pemimpin pelajar tidak menyokong kerajaan, beliau tidak menyangka kenyataan tersebut boleh memakan dirinya sendiri.

Pada 11 Februari lalu sewaktu merasmikan Konvensyen
Mahasiswa Melayu Kebangsaan 2001 di Shah Alam, beliau berkata: "Saya akui kebanyakan pemimpin pelajar di universiti-universiti tempatan tidak menyokong
kerajaan." Apa yang jelas pada pemahaman sempit
Hishammuddin ialah tindakan dan idealisme pimpinan
pelajar adalah pro-pembangkang dan anti-kerajaan.

Kesimpulan umum yang boleh dibuat - sama ada
pelajar-pelajar itu menentang kerajaan membuta-tuli
dan dilihat sebagai alat pembangkang, atau mereka
benar-benar mahu menuntut reformasi dalam negara,
misalnya soal keadilan dan ketelusan pentadbiran
negara. Prinsip-prinsip murni ini jelas dimamah oleh
kerajaan di bawah pimpinan Mahathir Mohamad.

Apa yang pasti, pelajar tidak dapat menutup sebelah
mata terhadap ketidakadilan dan penindasan yang
berlaku di depan mata mereka. Sejak pemecatan,
pengurungan, percubaan menjatuhkan maruah dan
pemenjaraan terhadap Anwar Ibrahim, pelajar berasa
terpanggil untuk menunjukkan rasa tidak berpuas hati
mereka terhadap kerajaan.

Gelombang yang berterusan ini tidak dapat dibendung
lagi oleh kerajaan dan mereka terpaksa mencari
‘kambing hitam’ - lalu Barisan Alternatif dituduh
menghasut pelajar bagi menutup kelemahan kerajaan
sendiri.

Dengan tuduhan melulu menyalahkan BA, di samping
menutup kelemahan Barisan Nasional, Hishammudin
berkata: "Mereka selama ini disemai dan dihasut oleh
pihak tertentu supaya membenci kerajaan dan (keadaan) ini tidak boleh dibiarkan."

Seperti pemimpin-pemimpin kerajaan lain yang bersifat
burung belatuk, Hishammuddin cuma mengiyakan apa
sahaja yang dipalu oleh Mahathir. Perdana Menteri acap
kali berkata pelajar sejak kecil lagi telah dididik,
dihasut dan disemai dengan sifat-sifat membenci
kerajaan dan pemimpinnya.

Kata Mahathir lagi, dahulu kerajaan tidak mahu
mengganggu pelajaran siswa, tetapi sekarang kerajaan
terpaksa campur tangan dalam usaha untuk menerapkan ‘dasar-dasar cintakan kerajaan.’

Kenyataan tanpa bukti

Hishammudin terus mengiyakan titah perintah Mahathir
dengan berkata: "Pemuda Umno mulai sekarang akan terus mendampingi golongan pelajar universiti." Kenyataan itu sungguh tidak 'original' dan juga menunjukkan ketidakwibawaannya sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Ketua Pemuda Umno.

Hishammuddin sudah tentu menjangkakan pemimpin pelajar akan membuat kenyataan balas yang mengecam beliau.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Mahadi Sukarno berkata
Hishammuddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu secara melulu, tanpa ada sebarang bukti yang jelas dan nyata.

"Ia merupakan pandangan yang kurang bijak dari
Hishammuddin. Tidak ada bukti yang menunjukkan
mana-mana Presiden MPP atau kepimpinan yang mewakili pelajar condong kepada mana-mana parti politik, khususnya pembangkang, katanya.

Tetapi lebih mengejutkan beliau ialah 'political
backlash' daripada pemimpin kumpulan pelajar yang
prokerajaan dan pemimpin kerajaan. Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Suhaimi Ibrahim berkata: "Tanggapan seperti itu akan menyinggung perasaan pelajar serta menimbulkan keresahan masyarakat, terutama ibu bapa."

Saya fikir kenyataan Suhaimi itu membayangkan terdapat usaha tertentu dalam Pemuda Umno untuk memalukan Hishammuddin. Saya dimaklumkan ketika GPMS bercadang mengadakan road show berkaitan isu Suqiu, usaha itu ada kaitan dengan pemimpin tertentu dalam Pemuda Umno.

Inilah permainan politik cantas-mencantas di kalangan
pemimpin-pemimpin Umno.

Sebagai menteri, Hishammuddin sepatutnya melakukan
'self-criticism' untuk menyelami rasa tidak puas hati
para pelajar terhadap salah guna kuasa kerajaan
Barisan Nasional. Beliau tidak seharusnya menyalahkan
BA kerana tidak dapat membendung gelombang kebangkitan pelajar yang semakin lantang.

Hishammudin jelas tidak mempunyai kekuatan untuk
mengaku bahawa tindakan-tindakan kerajaan di bawah
pimpinan Mahathir jelas tidak adil, tidak telus dan
bersifat menindas pelajar serta rakyat marhain.

Bukan ‘budaya semasa’

Menteri Pendidikan Musa Mohamad pula berkata:
"Terdapat juga budaya terikut-ikut di kalangan pelajar
di mana mereka gemar mencontohi pelajar-pelajar yang
mengkritik kerajaan dan ia merupakan budaya semasa
tetapi mereka bukannya antikerajaan." Kenyataan ini
jelas membidas Hishammudin, namun dalam masa yang sama pemahaman Musa turut tersasar apabila mengatakan bahawa gejala ini adalah trend atau budaya semasa.

Mungkin Musa tidak mengetahui sejarah iltizam dan
idealisme pelajar. Presiden Suharto di Indonesia jatuh
daripada tampuk pemerintahan akibat kebangkitan
pergerakan pelajar, begitu juga Marcos (Filipina) dan
Shah (Iran).

Dalam sejarah tanahair, pada lewat 1960-an dan awal
1970-an, kebangkitan pelajar merupakan tempat rakyat
mendapat pembelaan apabila kerajaan bersikap acuh
tidak acuh dan tidak mengendahkan hal kebajikan
rakyat.

Nama-nama seperti Syed Hussin Ali, Ibrahim Ali,
Hishammudin Rais dan juga Anwar merupakan barisan
pimpinan pelajar yang kehadapan berjuang menegakkan nasib rakyat terbanyak yang tertindas dan tidak terbela. Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan Kelab Sosialis merupakan antara persatuan-persatuan pelajar yang paling lantang memperjuangkan hak rakyat pada waktu itu.

Adakah ini juga budaya semasa?

Pergerakan pelajar yang menentang penindasan di Tasik Utara, Johor dan memperjuangkan nasib rakyat miskin di Baling, Kedah merupakan satu iltizam, idealisme dan aktivisme pelajar yang prihatin. Kebangkitan ini mempunyai misi dan objektif yang murni dan bukan hanya satu budaya semasa.

Pastinya pelajar tidak hanya belajar daripada buku
teks atau nota kuliah tetapi mereka turut mandapat
pendidikan yang tidak ternilai melalui
demonstrasi-demonstrasi, meskipun mereka boleh
dipenjarakan.

Sebagai menteri, Musa tidak harus terperangkap dengan permainan politik kotor pemimpin-pemimpin BN atau Umno tetapi kebajikan, kehendak dan keperluan pelajar mestilah dipertimbangkan dan dipenuhi. Hak-hak asas seperti berkumpul secara aman, bersuara dan
berpersatuan harus dikembalikan kepada pelajar. Akta
Universiti dan Kolej Universiti mestilah dibubarkan
agar pelajar dapat memperluaskan minda mereka mengikut arus perubahan zaman.

Apa yang jelas ialah pelajar mempunyai iltizam yang
hampir selari dengan BA tetapi ia tidak bermakna
pelajar merupakan alat pembangkang. Presiden MPP
Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Jabdin Juhat pula
berkata: "Mungkin secara kebetulan ia mempunyai
persamaan dengan pendapat sesebuah parti politik, tapi ia tidak bermakna kami cenderung kepada pembangkang."

'Udang di sebalik batu'

Di mata dan hati pelajar, BA mewakili perjuangan dan
kehendak mereka. Namun ada juga tindakan BA yang belum mendapat reaksi yang positif - misalnya ‘agenda
politik baru’ yang dilaungkan baru-baru ini. Politik
perkauman yang telah ditanam oleh Umno masih tebal di kalangan pelajar, Melayu khususnya.

Akibatnya, apabila isu perpaduan Melayu dipalu, maka
ramailah pemimpin pelajar seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) mengangguk tanda setuju tanpa
memeriksa 'udang di sebalik batu' Umno. Pada waktu
itu, sokongan pelajar itu tidak pula disifatkan budaya
semasa!

Sesebuah negara akan maju sekiranya pemudanya dinamik, berkembang pemikirannya dan tidak mundur atau jumud. Presiden PKPIM, Asyraf Wajdi Dasuki berkata: "Jangan nanti kita dipersalahkan oleh anak cucu kita kerana meninggalkan generasi pewaris yang lemah dalam kepemimpinan negara lantaran hilangnya dinamisme kepimpinan (akibat kebekuan dan kelesuan pemikiran)." (Siswa berjuang lonjakkan idealisme masa depan, 19 Feb)

Ahmad Zaki Yamani, bekas pemimpin pelajar dalam
artikelnya 'Pemimpin siswa 'melacurkan' politik'
(malaysiakini, 10 Mac), menganggap pemimpin siswa
sebagai ‘pelacur politik.’

Mungkin ungkapan 'pelacur politik' berbau busuk, jijik
dan hina tetapi menurut kefahaman saya, Zaki perlu
berkata demikian agar pemimpin pelajar tidak menjadi
seperti lembu yang ditarik hidung oleh pihak yang
mempunyai kepentingan politik.

Katanya: "Siswa perlu bebas agar mereka boleh
mengkritik dan memberikan cadangan untuk membetulkan kesilapan yang berlaku. Mereka perlu bebas menegur sesiapa, hatta pemerintah dan juga pembangkang." Namun dalam masa yang sama, perlu dinyatakan bahawa menjadi prerogatif parti-parti politik pemerintah ataupun pembangkang untuk mengembangkan sayap mereka ke kampus-kampus.

Akan tetapi pemimpin siswa sepatutnya mempunyai
kekuatan dan moral high ground untuk menegur sebarang kemungkaran, termasuklah parti induk mereka sendiri.
Pemimpin persatuan dan biro siswa mestilah mereka yang mempunyai wibawa dan kredibiliti agar pergerakan
pelajar diolah menjadi satu institusi yang dinamik,
progresif dan berprinsip.


-------------------------------------------------------------------------------
NM OMAR pernah aktif sebagai Ketua Cawangan Kelab Umno UK & Eire dan juga Presiden Persatuan Pelajar Malaysia St Andrews, United Kingdom. Kini beliau aktif bersama gerakan reformasi dan salah seorang panel penulis UPP-IKD.


Halaman Utama

 

Oleh:

NM Omar

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved