StatTrack
free web hosting | free website | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Wednesday, February 6, 2002

Mahasiswa perlu elak terjebak politik partisan


SENARIO politik mahasiswa dalam proses pemilihan
pemimpin pada pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar
(MPP) di 13 kampus Institut Pengajian Tinggi Awam
(IPTA) sesi 2001/2002 baru-baru ini mula berubah
dengan arah pemikiran dan aspirasi keterbukaan dan
tidak hanya menjurus kepada sebelah pihak saja.
Kecenderungan ini ada hubung kaitnya dengan kehendak kerajaan yang ingin melihat mahasiswa lebih banyak menumpukan usaha ke arah kecemerlangan mencakupi pelbagai aspek daripada leka menceburi politik partisan dan lebih mengecewakan menjurus ke arah retorik bangkangan semata-mata.

Dalam hal ini, apakah dilihat alaf baru lebih
menjanjikan kematangan berorganisasi mahasiswa sebagai wadah ilmu luaran iaitu syarat tambahan terhadap ilmu yang dipelajari di bilik kuliah atau hanya sebagai perlambangan kuasa untuk mengejar populariti dan pada masa sama hanya mengiyakan sesuatu isu massa yang memerlukan pembelaan mahasiswa sebagai jurucakap masyarakat?

Ada benarnya pendapat yang mengatakan jika mahasiswa lebih banyak menumpukan isu semasa kadangkala lupa terhadap kebajikan golongan mahasiswa yang memilih, justeru memberi kepercayaan penuh terhadap mereka.

Kemelut masalah seperti masalah kewangan, ruang kuliah yang kurang selesa, ketidaksamarataan bayaran atau harga makanan di kafetaria setiap kolej, malah hal
yang berkaitan dengan pengangkutan juga masih tidak
terjawab dan berpenghujung lantaran acapkali berulang
apabila sesi pengajaran bermula. Kelihatannya,
mahasiswa lebih menumpukan aspek dunia luar dengan isu yang tidak dominan dan perlu diperbesar-besarkan
sehingga lupa status keilmuan yang sedang dinaungi.

Buktinya jelas apabila ada beberapa mahasiswa turut
didapati bersalah menyertai reformasi jalanan sebuah
parti massa yang tindakan itu adalah salah mengikut
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Namun demikian, mahasiswa sebenarnya berada dalam
keadaan serba salah. Perhatian isu kampus saja
sehingga melupakan keadaan luaran akan menyebabkan masyarakat memandang mahasiswa kelu, lesu tidak bermaya dalam memperjuangkan hak masyarakat yang dahagakan pembelaan kerana tiada suara lantang atau buahan idea penjana nilai pembangunan, kebajikan dan hak rakyat.

Fokus masyarakat lebih menilai pulangan yang diperoleh daripada hasil cukai yang dibayar untuk pembangunan premis pendidikan khususnya keluaran universiti oleh mahasiswa yang bukan saja berbaka kepemimpinan, berkebolehan, pandai tetapi juga bijak menyelusuri perubahan globalisasi dan tuntutan dunia luar.
Analoginya cukup mudah, harapan masyarakat kepada
golongan cerdik pandai adalah lebih baik daripada
terpaksa ‘berlutut’ menggantungkan nasib dan masa
hadapan mereka dalam menghadapi kemelut masalah yang kian tidak bernoktah.

Dalam hal ini, sejarah perjuangan mahasiswa acapkali
beralih arah. Adakalanya, mahasiswa lebih bersikap
menyokong dan pada suatu ketika pula lebih bertindak
kepada menentang.

Kepastiannya adalah lebih baik daripada bersikap
menyepi tanpa pro kepada mana-mana pihak. Golongan ‘atas pagar’ ini akan mirip kepada kekuatan isu yang dibawa oleh pimpinan mahasiswa itu sendiri yang bukan saja bertindak penentu kepada kemenangan seseorang calon tetapi juga kelompok yang akan turut bersama-sama mempertahankan idealisme perjuangan yang sejati walaupun dalam diam.

Andainya sekitar 1970-an, perlakuan mahasiswa lebih
menjurus kepada memprotes setiap dasar yang tidak
jelas ke arah mengukuhkan kedudukan rakyat,
terutamanya dalam membasmi kemiskinan, kini alaf baru dilihat sebagai zaman yang lebih menyuarakan kepada kebimbangan jati diri rakyat Malaysia dalam
mempertikaikan status sama ada Melayukah Islam atau
Islamkah Melayu?.

Saya berpendapat, di sinilah tercetusnya penglabelan
‘orang luar’ terhadap mahasiswa yang andainya pada
sebelah pihak menjunjung wadah perjuangan Melayu dan Islam sebagai teras dan jati diri masyarakat Malaysia sebagai proaspirasi kerajaan dan sebaliknya sebagai kumpulan yang menyokong dan mengukuhi ideologi pembangkang dengan Islam sebagai keutamaan mutlak.

Rata-ratanya mahasiswa memilih pemimpin daripada
kelompok yang bukan hanya memiliki bakat kepemimpinan tetapi juga sikap dan sifat yang ikhlas, jujur dan matang dalam perjuangan yang belum selesai.

Sebagai contoh, di Universiti Kebangsaan Malaysia,
walaupun kurangnya program kemahasiswaan yang
dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti
Kebangsaan Malaysia (PMUKM) berbanding persatuan yang lain seperti Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ), namun penampilan daripada gahnya program tidak menjanjikan pulangan lumayan seandainya tidak berlandaskan aspek Islamiah yang syumul.

Atas dasar inilah, kepemimpinan Islam Penyelamat Ummah (IPU) lebih terkehadapan dari segi pilihan calon dan pengundi.

Kesilapan masyarakat yang kadangkala melihat mahasiswa sebagai pro-pembangkang tercetus daripada kedangkalan mendapatkan maklumat benar terhadap permasalahan yang ada hubungkaitnya dengan mahasiswa. Hakikatnya, tidak semua mahasiswa proaspirasi pembangkang dan lebih
sepertiga daripadanya pula lebih gemar bersikap ‘atas
pagar’.

Perspekstif ini ada hubungkaitnya dengan peratusan
undi pada semua kampus IPTA iaitu pada kadar 40 hingga 60 peratus saja kecuali di Universiti Utara Malaysia iaitu melebihi kadar 90 peratus.

Namun, dalam hal yang lain, adalah lebih menjadi satu
kesilapan besar jika cetusan mahasiswa tidak lebih
kepada ingin menyalahkan pihak kerajaan semata-mata
tanpa idea alternatif dalam menyelesaikan kekusutan
permasalahan yang berlaku.

Walau ke mana arah pun pegangan dan dukungan ideologi yang diperjuangkan, hakikatnya, kesempurnaan perhatian terhadap usaha meningkatkan kecemerlangan akademik perlu di utamakan.

Apalah gunanya jika kerajaan berjaya melahirkan
barisan pemimpin yang berpengaruh tetapi masih cetek
dalam bab menguasai ilmu terkini, khususnya teknologi
maklumat.

Walaupun ‘kegilaan’ berorganisasi tidak semestinya
mencacatkan keputusan akademik seandainya pandai
membahagikan masa tetapi jika dianalisis dengan lebih
teliti, lebih banyak buruknya apabila penumpuan
terhadap kuliah dan tutorial yang pastinya memerlukan
komitmen yang tinggi terpaksa ditinggalkan oleh
sesetengah kalangan pimpinan mahasiswa yang menggagahi ketahanan politik massa sebagai keutamaan penting tetapi tidak menunjukkan contoh terbaik kepada semua mahasiswa yang dipimpin secara keseluruhan.

Seharusnya, mahasiswa sama ada golongan yang memimpin mahupun yang dipimpin perlu memahami, menguasai dan memperkasa idealisme, aktivisme dan intelektualisme perjuangan mahasiswa yang tinggi lagi murni, bersikap secara nonpartisan dan artikulatif sehingga politik kampus mempengaruhi politik luar kampus, seperti yang pernah berlaku lewat 30 tahun terdahulu seperti isu bahasa Melayu dan kemiskinan.

Sesungguhnya, universiti adalah tapak kukuh untuk
mengasah bakat kepemimpinan yang sebelum ini dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Tidak ada salahnya jika mahasiswa ‘turun padang’ bersama-sama memperbetulkan keadaan jika berlaku kesilapan oleh pemerintah.

Namun, keharusan untuk melihat mahasiswa lebih matang dengan isu dalaman dan luaran yang dijuarai perlulah sekukuh dengan kecemerlangan dalam semua aspek terutama bidang akademik.

Teori yang dituntut bukanlah jaminan kepada pengamalan terbaik di dunia luar sehingga mendakwa hanya suara mahasiswa saja ada keramatnya, sedangkan sejarah memperlihatkan pimpinan mahasiswa yang sebelum ini berapi-api mengkritik kerajaan atau pembela masyarakat tidaklah segagah apabila terus malap di tabir kehidupan masyarakat yang bergelora dengan seribu satu badai permasalahan.


Halaman Utama

 

Oleh:

Mohd Izranuddin,

UKM, Bangi

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved