StatTrack
free web hosting | website hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
FREE WEBHOSTING - SERVETOWN
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Friday, February 15, 2002 9:36 AM

Universiti di Pakistan semai semangat radikal disenaraikan...


KUALA LUMPUR 13 Feb. - Pergerakan Pemuda UMNO sedang menyenaraikan nama universiti dan madrasah di Pakistan yang dikenal pasti menyemai semangat radikal di kalangan pelajar termasuk dari Malaysia.

Pengerusi Biro Pendidikan pergerakan itu, Dr. Adham Baba berkata, senarai tersebut akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan selepas 22 Februari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan meminta kementerian tersebut menyenaraihitamkan universiti dan madrasah terbabit supaya pelajar Malaysia dilarang menuntut di pusat pengajian tersebut.

``Kita sedang menjalankan siasatan terhadap universiti dan madrasah yang menjalankan kegiatan berkenaan di negara itu.

``Siasatan kita merangkumi keselesaan tempat, corak pembelajaran, kurikulum serta pengiktirafan sijil atau ijazahnya di negara ini,'' katanya kepada Utusan hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Isnin lalu mengenai pelajar Malaysia lepasan madrasah dari Pakistan yang cenderung menyebarkan fahaman tertentu yang menjuruskan kepada perpecahan.

Menteri Hal Ehwal Agama Pakistan, Dr. Mahmood Ahmad Garzi berkata, sebahagian besar pelajar terbabit tidak mempunyai kepakaran bersaing dalam dunia moden kerana pengajian terhad kepada bidang agama semata-mata.

Dr. Mahmood berkata, kegagalan pelajar berkenaan mendapat pekerjaan di negara asal menyebabkan mereka yang kecewa itu menyebarkan fahaman tertentu yang menyumbang kepada perpecahan.

Utusan dalam laporan muka depan hari ini juga mendedahkan kegiatan sebuah pertubuhan yang dikatakan sedang giat menjalankan kempen meracuni pemikiran pelajar Malaysia termasuk mempengaruhi mereka supaya menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Dr. Adham memberitahu, setakat ini, pergerakan itu berjaya mengesan beberapa madrasah yang menjalankan kegiatan menanamkan sikap militan di kalangan pelajar termasuk dari Malaysia.

Apa yang menyedihkan, kata beliau, terdapat madrasah yang terlalu daif dan tidak layak diiktiraf sebagai pusat pengajian tinggi.

``Corak pembelajaran dan kurikulumnya didapati tidak sesuai sama sekali dengan keperluan yang ada di negara ini,'' jelasnya.

Menurut beliau, kecenderungan pelajar Malaysia untuk belajar di negara terbabit berpunca daripada maklumat yang salah mengenai keadaan pembelajaran di negara berkenaan.

Katanya, pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di beberapa madrasah di Pakistan sering mempengaruhi pelajar tempatan untuk mengikuti pengajian di negara berkenaan selepas kembali ke negara ini.

``Sikap ibu bapa juga yang kononnya mahu anak mereka mengikuti pengajian agama mudah terpengaruh dengan pengalaman pelajar terbabit tanpa merujuk kepada pihak kementerian terlebih dahulu,'' katanya.

Dr. Adham menjelaskan, pihaknya juga akan menyenaraikan nama-nama madrasah dan universiti yang sesuai kepada pelajar Malaysia melanjutkan pengajian.

``Kita akan senaraikan nama-nama universiti itu walaupun Kementerian Pendidikan memang telah mempunyai senarai tersebut,'' tambahnya.

Beliau memberitahu, misi kemanusiaan pergerakan itu yang diketuai oleh ketuanya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein dijangka pulang ke tanah air Sabtu ini.

``Segala maklumat mengenai pelajar kita di Pakistan akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco pergerakan pada 22 Februari ini,'' katanya.


Halaman Utama

 

Oleh:

Yusri Sahat,

Utusan Malaysia

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved