StatTrack
free web hosting | free hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, February 26, 2002 7:45 AM

Kaedah faedah PTPTN tetap riba


(Bagaimana kesudahannya perjuangan Gamis tentang isu riba PTPTN? Kalau benar-benar riba, bagaimanakah nasib pelajar-pelajar IPTA yang telah menerima PTPTN?.Sanggupkah mereka menolak PTPTN?.Komen, penasakti2002@yahoo.com)


Oleh: Muhammad Faisal Abdul Rahman

3,Mac-Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) bertegas bahawa kadar empat peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah riba.

PMIUM bersetuju dengan Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, yang menyebutkan kadar itu dianggap riba sekiranya bukan kos perkhidmatan. Setakat ini tabung pendidikan itu terus membisu berkenaan jumlah sebenar kos perkhidmatan yang digunakan.

PTPTN juga mengelak daripada berdialog dengan pelajar berhubung isu ini. Kami juga telah memohon fatwa rasmi daripada Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi belum mendapat jawapan.

Pelajar turut menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan bagi menuntut kadar tersebut dihapuskan tetapi belum mendapat jawapan yang positif. Di sini saya ingin mengemukakan hujah berkaitan isu ini.

Sistem pinjaman PTPTN yang disediakan oleh kerajaan kepada pelajar institusi pengajian tinggi diragui hukumnya memandangkan wujud lebihan empat peratus pembayaran balik yang dikenakan ke atas pelajar.

Penambahan empat peratus ke atas jumlah modal menurut sesetengah ulama adalah riba (faedah) yang dikenakan oleh pemiutang terhadap penghutang.

Di sini saya mengkelaskan hutang PTPTN sebagai pinjaman penggunaan (consumption loan) dan bukannya pinjaman produktif (productive loan). Pinjaman penggunaan bertujuan kegunaan harian seperti kos-kos penginapan, makanan, alat bantuan belajar dan sebagainya.

Manakala pinjaman produktif bertujuan pelaburan atau modal untuk memulakan perniagaan seperti yang diberikan oleh bank kepada pelabur-pelabur dan ahli perniagaan.

Dengan ini penghutang mendapat faedah yang besar daripada pelaburan hasil wang pinjaman tersebut. Sesetengah ulama menyatakan pinjaman produktif yang wujud pada masa ini terkeluar daripada maksud riba yang diharamkan kerana pemiutang wajar meminta sedikit pulangan atau lebihan bayaran atas keuntungan yang diperolehi oleh penghutang.

Tetapi lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman penggunaan seperti PTPTN tertakluk dalam hukum riba - kerana pinjaman penggunaan bertujuan sebagai perbelanjaan hangus dan bukannya untuk pelaburan yang boleh mendatangkan keuntungan jangka panjang.

Kos perkhidmatan juga riba Lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman yang berbentuk penggunaan harian bagi tujuan pendidikan dan pembelajaran dikira riba dan satu bentuk penindasan.

Penindasan itu ternyata berlaku dalam pinjaman penggunaan sahaja kerana orang yang berhutang (pelajar) terdesak untuk memenuhi keperluan hariannya, sementara si pemiutang (PTPTN) pula mengambil kesempatan mengenakan kadar bunga yang tinggi yang berbentuk menindas.

Ciri pinjaman seperti ini yang dikenali sebagai riba. Pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengambil kontrak pinjaman PTPTN bernilai RM19,000 diwajibkan membayar balik sebanyak RM23,083.89 setelah ditambah lebihan empat peratus bagi tempoh pembayaran 10 tahun.

Manakala bagi pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mengambil pinjaman sebanyak RM60,000 selama tiga tahun dikenakan bayaran balik sebanyak RM87,261.17 - ini bermakna riba dikenakan sebanyak RM27,261.17.

Bagaimanapun Dekan Pengajian Islam di Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi, mempunyai pandangan yang berbeza. Menurutnya, lebihan empat peratus ini adalah jumlah untuk menyamakan nilai matawang bagi sepuluh tahun akan datang.

Nilai RM10 tahun ini tidak sama nilainya dengan RM10 untuk sepuluh tahun akan datang. Maka lebihan empat peratus ini adalah jumlah untuk menyamakan nilai tersebut pada masa akan datang. Beliau menggunakan teori "nilai barangan yang lebih rendah pada masa depan berbanding nilai sekarang."

Lebihan yang disebut agio ini merupakan nilai yang ditambah kepada pinjaman modal pada masa pembayarannya sebagai usaha untuk menyamakannya dengan nilai asal pinjaman modal.

Dengan kata lain, bunga adalah sama dengan perbezaan (dari segi psikologi dan bukannya ekonomi) antara barangan masa kini dengan barangan masa depan. Sementara PTPTN pula mendakwa kadar itu sebagai kos perkhidmatan dan wang untuk pusingan modal bagi memenuhi tuntutan pelajar akan datang.

Bagaimanapun Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Hashim Yahya secara lisan mengakui kadar itu adalah riba berdasarkan illah yang terdapat dalam pinjaman berkenaan. Ringkasnya, bolehlah dikatakan sebarang jumlah terakru (accrued) yang ditambahkan kepada jumlah pokok merupakan riba yang diharamkan walau apa alasan sekalipun (sama ada disebut kos perkhidmatan atau pusingan modal) selagi ia melibatkan urus niaga pinjaman. Namun ada ulama berpendapat, lebihan tersebut dibenarkan sebagai upah penulis hutang dan kos penyelenggaraan.

Tetapi ia berbeza dengan PTPTN yang sewajarnya menjadi tanggungjawab kerajaan, bukannya tanggungjawab pelajar. Ia dikenali juga dengan riba al-Qur’an atau riba nyata. Utamakan rakyat atau perniagaan? Ibnu ‘Arabi menyatakan bahawa riba jenis ini terdapat dalam urusan masyarakat jahiliah (sebelum kebangkitan Nabi Muhammad) dan amalan ini terkenal pada masa itu.

Oleh sebab itu, riba jenis ini juga dikenali dengan riba al-jahiliyyah. Sesetengah ulama di kalangan sahabat Rasulullah menganggap riba jenis ini sahaja yang diharamkan dalam Islam. Mereka bersandarkan pendapat Ibnu ‘Abbas yang menyatakan, "sesungguhnya riba itu ialah pada riba al-nasi’ah kerana berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: ‘Tiada riba kecuali pada riba al-nasi’ah’."

Ada juga ulama, misalnya Ibn Hazm daripada mazhab al-Zahiri, berpendapat bahawa riba yang wujud pada hari ini tidak sama dengan yang wujud pada zaman Rasulullah kerana berlainan komoditi seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah. Antara komoditi yang terlibat dalam hukum riba ialah emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam.

Oleh kerana wang ringgit hanya wujud pada zaman sekarang, maka lebihan yang berlaku tidak dikira riba dan mereka meragui kesahihan illah yang digunakan dalam pembinaan hukum Islam melalui proses qiyas.

Pemikir-pemikir Islam masa kini seperti Al-Maududi, Mufti Shafi, Fazlur Rahman dan lain-lain lagi menolak pandangan ini. Mereka berpendapat jika prinsip ini diterima pakai, maka masalah yang sama akan timbul, misalnya tentang jenis-jenis judi dan arak yang menggunakan pelbagai jenama sekarang - ia mestilah diisytiharkan halal kerana jenama-jenama ini tidak terdapat pada zaman Rasulullah.

Cuma harus diingatkan bahawa asalnya pinjaman yang dibenarkan oleh Islam berdasarkan konsep at-ta’awun (kerjasama atau bantu-membantu) - golongan kaya menolong orang miskin dan begitu juga peranannya kerajaan terhadap pelajar.

PTPTN adalah tanggungjawab sosial kerajaan yang berterusan, bukannya sebagai badan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan. Tanggungjawab sosial itu boleh dikatakan pengorbanan kerajaan selagi ia tidak dianggap sebagai perniagaan. Tetapi amalan sekarang nampaknya bukan pengorbanan dan bukan pula perniagaaan.

Jika kerajaan membuat pengorbanan moral, mereka harus berpuas hati mendapat keuntungan dari segi moral dan jika mereka bercakap tentang ganjaran wang ringgit, mereka tidak boleh mendakwa mereka telah melaksanakan tanggungjawab sosial.

Mereka seharusnya bercakap secara langsung tentang perniagaan dan mengakui kerajaan kini adalah berorientasikan perniagaan (business government) dan bukannya berorientasikan rakyat (social government).

MUHAMMAD FAISAL ABDUL RAHMAN adalah Presiden, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved