StatTrack
free web hosting | free website | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, January 29, 2002 7:17 PM

Anwar bukan faktor kebangkitan Politik Kampus


3:37pm, Tue: Kenyataan Ketua Pemuda Umno Hishammuddin Hussein tentang pengaruh pembangkang di universiti memang ada kebenarannya.

Beberapa tahun kebelakangan, wujud ombak rasa tidak
berpuas hati terhadap beberapa perkara yang
membabitkan pengajian pelajar dan ia telah membuka
ruang menanam perasaan membenci kerajaan.

Membaca tulisan NM Omar (Kebangkitan pelajar
antikerajaan: Satu kupasan, 15 Mac) yang berpura-pura
mengupas kebangkitan pelajar antikerajaan beberapa
hari lalu, melonjak hati saya untuk memberikan
pandangan jujur tentang isu tersebut.

Isu kelewatan pembayaran biasiswa, kontroversi
pinjaman dan pembayaran balik pinjaman serta
kekeliruan penawaran kursus telah digembar-gemburkan oleh agen-agen parti pembangkang di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menanam semangat membenci kerajaan di kalangan pelajar.

Selepas itu, pelbagai program diatur oleh pihak-pihak
yang mempunyai talian kukuh dengan parti-parti politik
(pembangkang) untuk mempengaruhi dengan lebih mendalam minda pelajar IPT.

Tidak dapat dinafikan, sikap kerajaan juga - sejak
dari dulu lagi - yang alpa untuk memberikan perhatian
kepada perkembangan politik kampus dan kesan pengaruh negatif dari luar kampus membuka laluan mudah kepada sesiapa sahaja untuk mempengaruhi pelajar.

Kesilapan inilah yang membolehkan gerakan reformasi
bertapak dengan lebih kukuh selepas (bekas) timbalan
perdana menteri Anwar Ibrahim disingkirkan. Gerakan
pro-Anwar yang didukungi oleh penyokongnya sebenarnya telah lama bertapak di kampus-kampus. Anwar yang diakui sendiri oleh NM Omar sebagai bekas aktivis pelajar sedar peri pentingnya mendapat sokongan pelajar IPT.

Oleh itu Anwar melalui beberapa forum, termasuk Kelab
Umno UK & Eire sendiri dan Abim), mendekati pelajar
dan menampilkan dirinya sebagai hero kerajaan, Umno,
orang Melayu, rakyat dan orang muda. Kini setelah nama Umno tidak dapat digunakan lagi, reformasi menjadi laungan mereka.

Parti-parti pembangkang terutamanya PAS sejak dulu
lagi berjaya bertapak di IPT. Semasa kejohanan kriket
beberapa tahun lalu, yang turut menjemput pasukan
kriket Israel, pelajar-pelajar Islam Universiti Malaya
yang telah dipengaruhi idealisme parti Islam itu
dengan mudah digunakan oleh pembangkang itu untuk
menyebarkan mesej anti-Yahudi.

Anwar bukan isu di kampus

Laungan bak penentangan penduduk Palestin itu yang
seperti ingin menghidu darah Yahudi amat menggerunkan pada ketika itu. Berlaku pula pertentangan dengan pihak berkuasa (polis) yang mengaibkan imej IPT kita.
Pihak berkuasa dituduh mencabuli hak rakyat dan
bertindak kejam bak Zionis.

Lebih menyedihkan lagi, kerajaan pula dituduh
pro-Israel dan anti-Islam; sedangkan kita semua tahu
kerajaan Malaysia yang paling lantang memperjuangkan
nasib Palestin. Bukankah kerajaan Malaysia juga
dituduh media asing sebagai penyokong utama gerakan
pejuang Islam (Abu Sayyaf) di selatan Filipina?

Kesimpulan NM Omar bahawa pelajar bangkit kerana
ketidakadilan dan penindasan terhadap Anwar sebenarnya satu pandangan cetek dan hanya propaganda pro-Anwar.
Sebenarnya Anwar bukanlah isu utama yang dibincangkan di IPT.

Pengaruh PAS lebih kuat daripada gerakan reformasi di
IPT. Kebanyakan pelajar sebenarnya tidak aktif dalam
politik kampus. Peratusan rendah pengundian setiap
kali pilihanraya kampus adalah bukti utama pelajar
sebenarnya tidak begitu berminat dengan kuasa politik,
terutama di kampus.

Permasalahan sebenar ialah hala tuju kepimpinan
pelajar yang cuba dipengaruhi parti-parti politik di
Malaysia. Persatuan dan kepimpinan pelajar merupakan
pentas yang dapat membuka ruang kepada sebarang pihak untuk berinteraksi, berpropaganda dan seterusnya mempengaruhi pelajar. Jika tidak dibendung, maka barisan kepimpinan pelajar akan terus didampingi oleh parti-parti pembangkang untuk menampilkan isu mereka.

Apabila berlaku pertentangan, sudah pasti pihak yang
menang pembangkang. Pihak yang tewas bukan sahaja
kerajaan, malah pelajar-pelajar yang terjerat itu
sendiri. Pembangkang hanya akan bersorak tentang hak, keadilan dan sebagainya, tetapi mereka yang tersungkur dan tertangkap adalah pelajar yang hanya ‘pak turut.’

NM Omar cuba mengalih perhatian pembaca kononnya
pemimpin kerajaan hanyalah ‘burung belatuk’ yang cuba mengiyakan kata-kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Sebenarnya amaran Hishammuddin itu ada kebenarannya.

Tanpa hasutan serta propaganda pembangkang yang giat di kampus-kampus, pelajar tidak mungkin mendapat maklumat yang silap mengenai keadaan sebenar negara.
Risalah antikerajaan, cerita salah laku penjawat awam
dan ahli politik kerajaan serta simpati kepada Anwar
mendorong pelajar membina tanggapan bahawa kerajaan kini bertindak tidak adil atau zalim.

Apalah salahnya jika Pemuda Umno atau pertubuhan lain diberikan peluang mengutarakan cerita sebenar tentang apa yang berlaku di luar kampus? Apakah NM Omar bimbang jika pelajar didedahkan cerita sebenar,
gerakan reformasi akan patah sayapnya? Jika reformasi
memang benar untuk menegakkan keadilan, maka ia harus keluar daripada belenggu dan telunjuk Anwar.

Lawan kerajaan budaya semasa

Kes Anwar bukanlah satu kes penganiayaan ke atas
seseorang insan. Anwar sendiri pernah menganiaya orang lain, terutama ketika Tun Mohamad Salleh Abas
disingkirkan sebagai Ketua Hakim Negara dan ketika
Anwar merebut jawatan Timbalan Presiden Umno daripada Ghafar Baba.

Anwar jugalah yang menghantar pembawa propaganda
antikerajaan ke luar negara untuk meraih simpati
kerajaan asing kepada gerakan reformasi dan
menjatuhkan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat
sendiri.

Memang terdapat segelintir pemimpin, terutama Melayu,
yang memainkan paluan politik cantas-mencantas.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula
bukanlah sebuah pertubuhan rasmi bawah Umno, walau mungkin ada antara ahlinya yang menyertai parti itu.
Pemimpin seperti inilah yang wajar dipinggirkan oleh
semua pihak untuk membentuk suasana politik yang lebih sihat di negara ini.

Saya bersetuju bahawa budaya antikerajaan di kampus
kini hanyalah aliran politik semasa. Ia akan berubah
mengikut arus politik tanahair dan bukanlah budaya
yang telah lama bertapak. Dulu kita dipupuk supaya
takut dan sangsi kepada kaum lain dan bangsa asing.
Kemudian kita dipengaruhi untuk lebih lantang. Kini
kita dipaksa menerima seorang banduan sebagai idola
dan harapan masa depan kita.

Akta Universiti dan Kolej Universiti bukanlah
penghalang kebebasan bersuara pelajar seperti cuba
dipura-purakan oleh NM Omar. Pelajar mempunyai banyak ruang, baik dalam sistem pembelajaran dan kampus serta cara-cara lain yang lebih berkesan dan telus, untuk menyuarakan pendapat.

Penubuhan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memberi jalan terus kepada pelajar agar berhubung dengan pemimpin tertinggi negara. Apa yang perlu hanyalah sikap tanggungjawab terhadap ruang yang diberikan agar tidak disalahgunakan untuk tujuan lain.

NM Omar hanya melihat ulasan Hishammuddin daripada sudut reformasi dan antikerajaan. Sepatutnya penulis itu wajar melihat ulasan tersebut dari segi betapa mudahnya pelajar-pelajar dipengaruhi anasir-anasir luar.

Lebih wajar jika NM Omar memikirkan cara terbaik
bagaimana membina minda dan memupuk keterbukaan
pendapat di kalangan pelajar, untuk membentuk
masyarakat madani pelajar yang berpengetahuan. Pelajar yang dapat membezakan kebaikan dengan keburukan, sambil membuat keputusan rasional dan memilih jalan untuk mencari penyelesaian terbaik.


Halaman Utama

 

Oleh:

Nor Azman

Sulaiman

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved