StatTrack
free web hosting | free hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, February 17, 2002 9:51 AM

Pembinaan Mahasiswa
Pasca Pilihanraya Kampus


Penutup tirai 2001 memperlihatkan satu perkembangan baru mewarnai suasana politik kampus dalam kehidupan mahasiswa dengan perlaksanaan pilihanraya kampus dijalankan serentak di kebanyakan Universiti dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) samada awam mahupun swasta. Perkembangan baru politik di kalangan mahasiswa telah mendapat liputan dan respons yang luar biasa daripada masyarakat serta media massa. Secara tidak langsung suasana ini menjadikan isu-isu mahasiswa terus hangat dan tidak dilabelkan sebagai lesu.

Buat julung kalinya Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) membuat koordinasi bersama bagi membentuk dan mencorakkan pilihanraya kampus yang 'dikatakan' lebih teratur, beradab, tidak berkelompok dan pertandingan secara individu atas kekuatan calon.

Perkembangan mutakhir ini dilihat mempunyai pro dan kontranya. Apabila diberi sedikit kajian, dari segi positifnya peraturan dan suasana pilihanraya sedemikian dikatakan dapat mengurangkan perpecahan (fraction) dan mendisiplinkan mahasiswa dalam berpolitik. Ia juga dilihat sebagai satu kaedah bagi pentadbiran Universiti menyekat pengaruh politik luar ke dalam kampus. Kesan peraturan baru ini dapat dilihat apabila poster dan kain rentang calon yang bertebaran di seluruh universiti tanpa ada perbezaan atau mewakili mana-mana kumpulan. Suasana yang cuba diwujudkan ialah calon-calon bertanding atas tiket individu dengan menifesto dan janji-janji masing-masing. Ia dilihat seolah-olah kredibiliti calon merupakan penentuan kepada kemenangan meraih undi dan bukannya kebergantungan kepada kekuatan kumpulan yang diwakili. Perkembangan peraturan baru ini dilihat sebagai suatu usaha untuk membawa satu budaya politik baru dikalangan mahasiswa IPT yang mana telah dilabelkan sejak akhir-akhir ini sebagai militan, ekstrim, malas dan tidak memberi tumpuan kepada pelajaran.

Namun demikian suasana ini apabila diteliti melalui sudut yang lain ia dilihat mempunyai kesan-kesan yang negatif bagi perkembangan jangka panjang pembangunan mahasiswa yang rata-ratanya bakal mewarisi kepimpinan negara di masa akan datang. Kebebasan mahasiswa untuk menonjolkan kepimpinan mereka kepada umum melalui kempen-kempen telah dibatasi oleh tempoh dan ruang berkempen yang terhadkan. Bagi sesetengah kampus calon tidak dibenarkan berkempen secara terbuka dikhalayak ramai dan dihadkan melalui penggunaan pita video, kain rentang dan poster.

Mutakhir ini di beberapa kampus pimpinan mahasiswa dikenakan tindakan disiplin oleh pihak Universiti dengan pelbagai alasan antaranya berpolitik secara kumpulan; membuat kenyataan tanpa merujuk Universiti atau berbaur politik pembangkang; ekstrim atau terlibat dalam politik nasional dan sebagainya. Mahasiswa kini dilarang keras bagi sesetengah Universiti dari memberi sebarang ulasan dan pandangan yang berkemungkinan agak kritikal atau bertentangan dengan dasar-dasar kerajaan. Pergerakan mahasiswa kini di kampus dilabelkan sama ada pro-aspirasi kerajaan dan sesetangah yang lain dilabelkan pro-pembangkang.

Perkembangan yang berlaku ini akan memberi kesan terhadap senario kepimpinan mahasiswa di peringkat kampus. Suasana politik kampus ini apabila dikaji secara mendalam tidak dapat tidak telah diwarnai oleh situasi politik luar.

Bagi kelompok mahasiswa yang menang akan terus menerus cuba untuk menjalankan pelbagai aktiviti dan program-program untuk masyarakat kampus agar mereka terus diberi sokongan dan dilihat berperanan serta bertanggungjawab. Bagi mereka yang kalah akan meneruskan usaha dengan pelbagai strategi untuk cuba menjatuhkan pihak yang lain atau mencari ruang meraih keyakinan kembali kekuatan sokongan melalui bantahan-bantahan, memorandum-memorandum dan program-program yang dirangka.

Suasana pergerakan mahasiswa lebih bersifat eksklusif tidak bersifat inklusif. Pihak yang kalah tidak dapat menerima kekalahan dan yang menang meminggirkan yang kalah. Masing-masing cuba menegakkan pendirian tersendiri tanpa memikirkan secara kritis sumbangan dan peranan untuk umat dan masyarakat amnya. Majlis Perwakilan Pelajar di Universiti terpaksa menghabiskan masa lebih daripada satu semester untuk menyelesaikan masalah dalaman, pembentukan kabinet, menangkis bantahan-bantahan, perebutan kerusi dan sebagainya.

Situasi ini akhirnya merugikan masyarakat kampus yang kini diselubungi dengan pelbagai masalah bermula dari aspek kebajikan, biasiswa, kemerosotan akademik dan seterusnya merebak kepada kegersangan melahirkan graduan-graduan yang berkualiti untuk menyumbang kepada masyarakat. Benarlah dalam suatu hadis yang pernah diungkapkan oleh Rasulullah saw ;

Ertinya: "Tiga faktor yang seringkali mencetuskan pelbagai krisis dan malapetaka iaitu; sifat bakhil yang menguasai diri, hawa nafsu yang tidak terkawal dan sifat kagum, angkuh dan degil dengan pendapat sendiri."

Persoalan perpaduan tulen dengan rasa persaudaraan antara satu sama lain bagi mencari titik pertemuan kepada maslahah umat, masyarakat dan pembangunan generasi muda, tidak dijadikan sebagai satu parioriti.

Meneliti kepada suasana mahasiswa kini banyak perkara yang perlu dimantapkan bagi memastikan generasi ini mampu untuk bersaing dan mengangkat martabat umat dalam fenomena global. Cabaran ini merupakan amanah besar pasca pilihanraya kampus yang perlu dipikul dan difikirkan oleh barisan pimpinan mahasiswa dari pelbagai organisasi dan kumpulan. Di abad ini generasi muda khususnya mahasiswa berhadapan dengan era globalisasi, suasana ketidakstabilan ekonomi dan politik, keruntuhan moral, budaya dan perwatakan baru seperti apa yang distilahkan sebagai 'budaya sensate', gaya hidup hedonistic dan 'the death of positive values'.

Pemikiran generasi muda kini banyak dikaburi oleh unsur-unsur materialistik dan lemah dalam penghayatan kepada nilai-nilai murni. Serangan terhadap kemusnahan sosio budaya masyarakat ini tidak hanya berlaku di persekitaran masyarakat malah turut menular di kalangan mahasiswa yang dianggap sebagai harapan bangsa, agama dan negara.

Secara umumnya mahasiswa yang aktif dalam kokurikulum, mengambil tahu dunia kampus dan permasalahan masyarakat hanya di sekitar 45 peratus. Berapa ramaikah yang terlibat dalam persatuan-persatuan ? Berapa ramaikah yang terlibat dengan program-program yang dianjurkan oleh Universiti mahupun persatuan-persatuan? Berdasarkan kepada pemerhatian peratusan turun mengundi di kampus-kampus adalah kurang dari 50% kecuali dibeberapa Universiti yang membuat peraturan memotong markah pelajar jika tidak mengundi. Ramai dikalangan mahasiswa dan mahasiswi yang tidak cakna terhadap perkembangan sekeliling apatah lagi suasana perkembangan masyarakat setempat dan antarabangsa.

Lebih jauh lagi mahasiswa masih dibelenggu dengan penyakit kegersangan mendokong tradisi keintelektualan. Sdr. Zaini Ujang di dalam bukunya; Universiti-Mendukung Tradisi Intelektual (1993) telah mengemukakan bercambahnya virus "Penyakit Diploma/Ijazah", penyakit intelektual baru di abad ke-21. Dalam era kemodenan mahasiswa meletakan matlamat belajar semata-mata untuk mendapat pekerjaan. Belajar semata-mata untuk segulung ijazah (exam oriented not educational orented), tidak menerokai khazanah ilmu yang lebih jauh daripada itu. Penyakit inilah yang menggersangkan kecenderungan untuk belajar dengan niat setulus mungkin bagi menuntut ilmu pangetahuan berlandaskan paksi Tauhid atau atas norma-norma kehidupan.

Suasana kesuraman budaya ilmu dapat dilihat melalui kehadiran yang tidak memberangsangkan dalam seminar bersifat ilmiah. Pelajar yang hadir lebih bersikap sebagai "tukang tadah" tidak mampu untuk menganalisis, memahami dengan jelas dan menghayati ilmu yang diperolehi. Pembacaan mahasiswa rata-ratanya terhad kepada buku-buku yang membabitkan bidang pengajian sahaja. Sebahagian pelajar mungkin "ulat buku (book worms)" tetapi gagal menterjemahkan ilmunya dalam kehidupan. Budaya berdialog, berdiskusi dan pembacaan serius masih lemah. Majalah berbentuk hiburan dan komik lebih mendapat tempat. Kesan daripada perkembangan ini melahirkan individu yang gagal mempunyai inisiatif meneroka idea-idea baru dan lebih bersifat "pak turut".

Disamping itu, budaya mengelompok mahasiswa akibat perbezaan pandangan yang diikuti dengan fitnah tanpa memelihara adab-adab untuk berbeza pendapat "adabul ikhtilaf". Banyak masa dihabiskan untuk bertelingkah antara satu pihak dengan pihak yang lain. Dari segi program dan aktiviti kebanyakannya bersifat objektif jangka pendek (short term), hanya memberi tumpuan kepada "surface" masalah tanpa memberi penyelesaian konkrit dan pelan tindakan yang lebih berkesan.

Justeru itu, pimpinan Mahasiswa di kampus-kampus harus menyedari suasana yang berlaku dan seterusnya menggerakkan perubahan. Perubahan ini penting untuk digerakkan kerana ia memberi kesan kepada pembinaan masyarakat. Mahasiswa perlu untuk mempunyai "kekuatan" yang hanya dapat dibina melalui penerapan sistem nilai budaya dan perubahan sikap secara menyeluruh. Pimpinan mahasiswa keseluruhannya perlulah bertindak secara bijaksana untuk membuat perubahan secara berhikmah. Segala cabaran dan rintangan yang dihadapi perlu ditukar kepada 'peluang' untuk terus maju.

Mahasiswa perlu mempunyai visi dan misi yang tepat digarap dengan perancangan strategik bersifat jangka panjang. Kepimpinan mahasiswa perlu mengetahui,menyedari dan merancang generasi serta masyarakat yang 'bagaimanakah' yang ingin dibentuk. Sebagai insan berilmu mahasiswa tidak boleh hanya mampu mengkritik tanpa tujuan dan matlamat.


Prof. Ismail Faruqi (1982) di dalam bukunya : Youth and Development Society, pernah mengungkapkan;

"The person with role that is relevant to us here is the
person with a cause. The person with cause is a person who has vision"

Mencari kejayaan tidak terbatas semata-mata kepada pencapaian akademik yang cemerlang dengan memperolehi segulung ijazah, tetapi keutamaan diberikan juga kepada aspek mendidik diri dengan sakhsiah yang baik, mempunyai kekuatan pemikiran dan akhirnya mampu menyumbang kepada masyarakat apabila menamatkan pengajian.

Mahasiswa perlu disedarkan untuk menjadikan Institusi Pengajian Tinggi sebagai paltform atau medan semaksimum mungkin selama 3 atau 4 tahun belajar bagi mengasah bakat dan minda untuk memperkayakan diri mahasiswa dengan kemahiran kominikasi, interpersonel, pengurusan masa, mesyuarat dan diskusi, pengurusan dan perancangan.

Mahasiswa dicorakkan dan diwarnakan oleh suasana Universiti yang didokongi oleh ahli dan persekitaran akademik. Jika murni dan betul suasana yang dicorakkan serta tepat landasan intelektualismenya maka baiklah mahasiswa yang akan dihasilkan dan begitulah juga sebaliknya.

Tugas mendidik dan pembentukan mahasiswa tidak hanya terletak di bahu pemimpin pelajar yang diberi amanah. Pensyarah, kakitangan dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) sebagai entiti terhampir dengan pelajar menjadi faktor penting melahirkan mahasiswa yang mampu untuk berdikari dalam dunia global, tetapi dalam masa yang sama mampu memelihara jatidiri dan keperabadian mulia.

Mahasiswa perlu diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan,menyatakan pendirian apatah lagi mengkritik berasaskan idealisme yang luhur dan bersandarkan ilmu serta memelihara adab-adab dalam berbeza pandangan. Apabila dikritik tidak wajar bagi mana-mana pihak samada Universiti, kerajaan, organisasi mahupun pembangkang bersifat melatah hingga terus memberi label 'anti', ekstrim, tidak mengenang jasa, militan dan sebagainya kepada mereka, tanpa cuba bersikap terbuka serta menanganinya secara intelektual dan professional.

Malah kebekuan intelektual pasti timbul kiranya potensi dan idea mahasiswa berterusan dikekang dengan pelbagai akta, ugutan dan diperlekehkan dengan label-label murahan yang menjatuhkan semangat, membudayakan rasa takut sekaligus membantutkan perkembangan watak dan peribadi pelajar yang dinamik.Justeru itu peranan semua pihak harus digerakkan bagi memastikan Institusi Pengajian Tinggi kita melahirkan produk-produk yang cukup berkualiti dan teguh dari segi rohani, jasmani, fizikal dan mental sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.


Halaman Utama

 

Oleh:

Khairul Arifin

Mohd Munir

Setiausaha Agung

PKPIM

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved