StatTrack
free web hosting | website hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Saturday, March 16, 2002 9:34 PM

Kenyataan akhbar - Larangan sekat suara MPP


Kenyataan akhbar - Larangan sekat suara MPP
Oleh ARSHAD KHAN


INSTITUSI pengajian tinggi awam (IPTA) perlu memberi kelonggaran kepada barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung isu semasa kepada pihak media.

Kelonggaran itu adalah selaras dengan kedudukan MPP yang memerlukan saluran tertentu untuk menyampaikan idea dan pendapat masing-masing kepada masyarakat.

Beberapa pemimpin pelajar yang dihubungi Dunia Kampus menegaskan sebagai wakil pelajar, mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian selagi tidak menyentuh isu yang terlalu sensitif.

Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Amyzaddin Raya berkata, tindakan sesetengah IPTA yang melarang barisan kepimpinan MPP dan para pelajarnya mengeluarkan kenyataan kepada media jelas menyekat kebebasan bersuara MPP.

Ini kerana katanya, MPP yang ditubuhkan bagi menjadi wakil pelajar di sesebuah IPTA perlu diberi peluang untuk mengemukakan pendapat berhubung isu semasa.

``Sebagai pemimpin, kami perlu diberikan hak yang sama rata dengan pentadbiran universiti untuk meluahkan pandangan dan komen kepada pihak media,''katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas langkah beberapa IPTA yang baru-baru ini melarang barisan kepimpinan MPP untuk mengeluarkan kenyataan atau komen berhubung sesuatu isu kepada pihak media.

Malah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali baru-baru ini, mengingatkan pelajarnya terutama barisan kepimpinan MPP supaya tidak membuat sebarang kenyataan akhbar bagi mengelakkan dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Pelajar yang melanggar arahan tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk membuang mereka dari kampus.

Muhammad Amyzaddin seterusnya berkata, kelonggaran yang diberi akan mewujudkan sebuah universiti yang adil sekali gus mengelakkan pemimpin pelajar menggunakan saluran lain untuk menyampaikan pendapat yang tentunya lebih tidak disenangi oleh pihak universiti.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Abdullah Abdul Karim pula meminta pihak universiti tidak merasa risau dengan kenyataan yang akan dikeluarkan oleh para pemimpin atau pelajar IPTA kepada media.

``Kewujudan Akta Mesin Cetak dan Akta Ketenteraman Awam sudah mampu mewujudkan batasan pemimpin pelajar dalam mengemukakan pendapat kepada pihak media,'' katanya.

Selain itu menurutnya, IPTA perlu memahami bahawa setiap individu dibenarkan meluahkan pendapat masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Presiden MPP, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Nasir Othman berkata, fungsi sebenar pemimpin pelajar akan tergugat sekiranya pihak IPTA melarang mereka daripada membuat kenyataan akhbar.

Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa dalam keadaan tertentu, para pemimpin pelajar perlu merujuk terlebih dahulu kepada pihak universiti sebelum mengeluarkan kenyataan.

``Beberapa isu tertentu misalnya yang menyentuh dasar kerajaan atau universiti dan perpaduan kaum perlu diulas dengan berhati-hati supaya tidak menimbulkan masalah,'' katanya.

Justeru beliau meminta semua pemimpin pelajar berpegang kepada etika semasa mengulas sesuatu isu kepada pihak media.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved