StatTrack
free web hosting | free website | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, April 2, 2002 8:01 AM

Apabila Pemuda dan Puteri Umno pantau universiti


Sumber : Harakahdaily.com
Wednesday, March 20 @ 12:28:37 MYT

[Ucapan Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah di Dewan Rakyat pada 12 Mac 2002]
Tuan Yang Dipertua,
Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya turut serta untuk menjunjung kasih ke atas titah ucapan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung. DYMM Seri Paduka Baginda merupakan lambang perpaduan dan penyatuan rakyat.

Keberangkatan Baginda seharusnya mengingatkan kita tentang betapa tingginya harapan negara terhadap sekelian ahli-ahli dewan yang mulia ini. Kita berdoa semoga di bawah naungan DYMM Seri Paduka Baginda, rakyat akan dapat berteduh di bawah pemerintahan yang adil serta melaksanakan keadilan. Oleh itu marilah kita bersama menjalankan amanah dan harapan rakyat dengan penuh keinsafan serta tanggungjawab.

Tuan Yang Di Pertua,
UNIVERSITI, INTELEKTUAL DAN KEBEBASAN AKADEMIK
Institusi-institusi pengajian tinggi awam adalah suatu lagi institusi yang telah dicemari dengan campurtangan eksekutif. Kita harus memperingatkan semula bahawa universiti-universiti berperanan untuk melahirkan individu yang terdidik serta mampu berfikiran tajam dan kritis sebagai generasi pelapis untuk kepimpinan masa hadapan. Kita bimbang betapa akta-akta yang menindas kebebasan pelajar bersuara dan bergiat aktif dalam aktiviti sosial, politik dan kemasyarakatan yang berterusan semenjak lebih dari suku abad yang lepas akan melahirkan para intelek yang tidak diizin mengembangkan potensinya untuk mampu berbicara secara jujur dan kritikal mengenai permasalahan persekitaran dan masyarakatnya.

Tindakan pihak parti pemerintah baru-baru ini yang menjurus ke arah mencengkam dan menekan autonomi universiti melalui pemantauan pensyarah-pensyarah universiti oleh Pemuda Umno dan Puteri Umno akan melesukan lagi institusi pendidikan kita. Langkah memaksa pensyarah-pensyarah universiti menandatangani 'Aku Janji' sebagaimana kakitangan kerajaan yang lain membawa kita pada senario sebagaimana yang dilakarkan oleh George Orwell dalam bukunya 1984. Bantahan-bantahan daripada persatuan-persatuan yang mewakili ahli akademik serta golongan intelektual pula dianggap remeh serta dipandang ringan. Malahan kadangkala sebahagian daripada mereka merasakan adalah lebih baik untuk berdiam diri daripada bersuara dan mengundang tindakan yang mungkin menjejas masa depan kerjaya serta penyelidikan mereka.

Kita melihat bahawa gejala 'thought control' semakin ketara di setiap lapisan masyarakat. Boleh dikatakan perkembangan ini merupakan ancaman paling besar yang dihadapi oleh sistem demokrasi kita. Sifat utama 'thought control' ini ialah sikap enggan menyatakan pandangan maklum-balas yang dianggap mungkin tidak disenangi oleh pihak yang berkuasa. Dengan itu kebebasan berfikir dan mengkritik secara membina boleh dianggap sebagai tidak lagi digalakkan. Secara ringkasnya kita telah berjaya melahirkan masyarakat 'Aku Setuju' ataupun 'Yes Men' yang hanya mengiakan apa saja yang diperturunkan oleh pemimpin-pemimpinnya.

Dalam bidang pendidikan khususnya, ini jelas bercanggah dengan konsep mewujudkan satu generasi baru intelek yang berilmu, berinisiatif serta berdikari dan boleh menyumbang pandangan yang kreatif kepada perkembangan masyarakatnya. Perkembangan 'thought control' ini jelas kelihatan dalam pelbagai bidang terutama sekali dalam bidang media cetak dan elektronik di mana pihak kerajaan seakan membolot semua maklumat yang telah diadunkan untuk hidangan awam.

Tambahan lagi, di peringkat kolej dan sekolah-sekolah didapati bahawa sekatan yang dikenakan ke atas para guru dalam membincangkan isu-isu semasa menjadi halangan dalam usaha mereka untuk membentuk murid-murid berfikir secara objektif dan rasional. Lebih membimbangkan lagi ialah implikasi laporan-laporan yang membayangkan bahawa pihak Pemuda UMNO akan mengambil tindakan mengawasi pensyarah-pensyarah dan guru-guru yang didakwa menyebarkan pandangan anti-kerajaan.

Sekian, terima kasih.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved