StatTrack
free web hosting | free hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Imej MPP bunuh minat pelajar bukan Bumiputera


oleh Rohana Man, Utusan Malaysia

Pilihan raya kampus yang pertama kalinya diadakan secara serentak tahun ini berakhir sebulan yang lalu.

Siapa yang kalah dan siapa yang menang sudahpun diketahui, tetapi bahang pilihan raya nampaknya masih belum padam sepenuhnya.

Ia masih menjadi topik panas di dalam kampus. Tuduh menuduh siapa proksi siapa, siapa prokerajaan dan siapa yang tidak masih belum reda.

Bagaimanapun, dalam isu ini, ramai yang berpendapat hanya pelajar Melayu sahaja yang ghairah denga perkara-perkara sebegini.

Pelajar bukan Melayu memandang sebelah mata sahaja `keributan' yang berlaku.

Bagi mereka, kenapa perlu ambil peduli dengan politik kampus sedangkan tugas hakiki mereka ke kampus adalah untuk belajar.

Wartawan ROHANA MAN, MOHD. ARSHAD KHAN, SITI MARIAM MD. ZAIN, NORAZAH WAN CHIK, RAJMAH HASSAN DAN AMRAN AHMAD meninjau kebenaran dakwaan ini dan mengupas isu-isu berbangkit dengan pilihan raya kampus.

IMEJ Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai sebuah badan yang lebih banyak bercakap daripada bekerja menjadi antara faktor utama pelajar bukan bumiputera hilang minat terhadap politik kampus.

Malah bagi kebanyakan pelajar bukan Melayu, tumpuan MPP yang lebih kerap memberi perhatian kepada isu-isu luar kampus daripada menyelesaikan masalah pelajar menjauhkan lagi minat mereka untuk terlibat dengan politik kampus.

Sebahagian pelajar bukan bumiputera pula menyifatkan penglibatan dalam akviti-aktiviti politik kampus hanya membuang masa dan akan mengugat kecemerlangan akademik mereka pada masa hadapan, kelompok pelajar bukan bumiputera ini semakin menjauhkan lagi diri dengan aktiviti-aktiviti seumpamanya.

Presiden Pertubuhan Golden Key International Honour, UPM, Joanne Lim Bee Yin sebaliknya berkata, punca pelajar bukan bumiputera tidak berminat dengan politik kampus adalah kerana kegagalan MPM itu sendiri.

``Kerap kali pelajar menyuarakan isu, namun MPM sering gagal mendengarnya pula,'' jelasnya.

Menurut Joanne, kegagalan seperti ini hanya mengurangkan minat politik pelajar bukan bumiputera yang memang sedia rendah.

Setiausaha Agung Persatuan Hindu, Universiti Malaya (UM), M. Priya, meluahkan pendapat yang agak sama.

Menurutnya, pelajar India seolah-olah tidak kisah siapa yang mewakili mereka di MPM kerana masalah dan isu yang diketengahkan jarang berjaya diselesaikan.

``Kalau ada wakil kaum yang setakat menang pilihan raya tapi tak nampak apa-apa jasa khusus, apa gunanya pelajar lain perlu begitu beriya-iya,'' jelasnya.

Selain itu menurutnya, ramai pelajar bukan bumiputera yang menetap di luar kampus dan perkara ini menyebabkan mereka kurang berminat dengan perkembangan politik dalaman.

Pengasas Persatuan Bahasa Mandarin, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Thomas Tang berkata, pelajar bukan bumiputera sebenarnya juga handal berpolitik, namun adakalanya ada keadaan tertentu menjadi penghalang kepada golongan ini.

``Kalau sekadar lantang tapi tiada orang ingin dengar, apakah gunanya,'' soal beliau.

Namun, beliau menasihatkan pelajar bukan bumiputera agar mengambil perhatian serius dengan pilihan raya kampus demi kebaikan bersama.

``Mengundi adalah satu tanggungjawab yang perlu dilakukan kerana ia umpama hak asasi seseorang pelajar,'' ujarnya.

Bagi Presiden Persatuan Hindu, Universiti Putra Malaysia (UPM), M. Ramesh, mentaliti sesetengah pelajar bukan bumiputera di universiti telah dibentuk sejak awal lagi untuk menjauhi politik.

``Ada ibu-bapa yang kerap mengingatkan anak-anak mereka bahawa untuk berjaya di negara ini, mereka perlu cemerlang dalam pendidikan,'' jelasnya.

Ini menurutnya, menyumbang kepada keadaan pelajar bukan bumiputera takut untuk berpolitik, kerana politik pada persepsi mereka adalah perkara yang bertentangan dengan harapan ibu-bapa mereka sendiri.

Selain itu jelas Ramesh, penyertaan politik yang rendah di kalangan pelajar India pula dipengaruhi oleh pendapat bahawa suara pelajar minoriti di MPM kebiasaannya jarang didengari.

``Bagaimana populasi yang rendah hendak menandingi populasi yang tinggi?,'' soalnya lagi.

Presiden Persatuan Buddhist, UM, Goh Wei Lim berkata, penyertaan rendah daripada pelajar bukan bumiputera adalah kerana mereka tidak menyedari kepentingan pilihan raya.

Selain itu, beliau juga beranggapan bahawa golongan pelajar bukan bumiputera lebih mengutamakan kejayaan pendidikan dan bukanya kejayaan dalam perkara-perkara yang lain.

Presiden Jawatankuasa Mahasiswa Kaum Tioghua, Universiti Kebangsaan Malaysia, Yew Weng Hong, mencadangkan agar pihak universiti memberikan penerangan khusus mengenai pilihan raya semasa minggu suai kenal (MSK). Ini kerana menurutnya, ada mahasiswa terutama mahasiswa keturunan Cina yang tidak tahu menahu mengenai kelebihan wakil dalam MPM.

Malah menurutnya, ada di kalangan mahasiswa Cina yang beranggapan bahawa mengundi semasa pilihan raya kampus mencabuli Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

``Tahun ini, pihak kami ada membuat sedikit publisiti berkaitan pilihan raya dan ia membuahkan hasil apabila jumlah pengundi kaum Cina meningkat dengan banyaknya berbanding tahun lalu,'' jelasnya.

Katanya, kejahilan berkaitan pilihan raya itu adalah antara penyebab utama kepada penyertaan politik rendah di kalangan pelajar bukan bumiputera, terutama pelajar Cina.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved