StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Update on Saturday, March 16, 2002 9:38 PM

Kehebatan pilihan raya kampus


Oleh Mohd Izaini Ismail
(Presiden Majlis Kajian Kepemimpinan dan Pembangunan Minda, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara)

Pilihan raya kampus untuk memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2001/2002 merupakan antara yang terhebat pernah diadakan.

Ini kerana media memberi liputan yang meluas seakan-akan pilihan raya umum manakala gelanggangnya pula menyaksikan pertembungan kelompok pelajar proaspirasi kerajaan dan propembangkang.

Kehebatannya juga dikaitkan dengan pelbagai peraturan pilihan raya yang ketat di setiap IPTA.

Walau apa pun, tafsiran `terhebat' itu, ia terpulang kepada sesiapa untuk menafsirkannya .

Bagi saya, pilihan raya kampus kali ini cukup hebat kerana ia memberi beberapa impak.

Pelbagai isu diperkatakan - dari isu pelabelan kelompok pelajar sehinggalah kepada ketelusan pelaksanaan pilihan raya.

Pelabelan kelompok pelajar itu sebenarnya menimbulkan polemik di mana banyak pihak tidak bersetuju dengan cara ia dibuat.

Ia dikatakan tidak adil kepada pelajar kerana asas untuk pelabelan itu dilakukan secara melihat kepada perbezaan pendapat di antara kelompok-kelompok pelajar itu.

Saya ingin menegaskan bahawa perbezaan pendapat tidak harus dilihat sebagai suatu bentuk bantahan terhadap kerajaan.

Justeru dalam usaha kerajaan mengelakkan politiking dalam kampus, pihak-pihak tertentu termasuk pengurusan kanan IPTA tidak harus memberi label kepada pelajar masing-masing.

Namun agak mengecewakan apabila sesetengah Naib Canselor IPTA begitu ghairah mengumumkan kemenangan kelompok pelajar proaspirasi kerajaan di universiti mereka.

Soalnya, adakah keghairahan ini bertujuan mendapatkan political mileage di mata umum dan pimpinan tertinggi kerajaan?

Sekiranya, kelompok pelajar propembangkang menang, adakah keghairahan itu akan wujud dalam diri Naib Canselor berkenaan?

Isu kedua yang turut hangat diperkatakan ialah peraturan baru pilihan raya.

Sungguhpun hasrat penguatkuasaan peraturan ini amat baik, pertimbangan lain perlu dibuat dalam melaksanakannya.

Ini kerana perwakilan pelajar merupakan barisan pimpinan yang akan memperjuangkan hak dan kebajikan pelajar sekali gus mewarisi kepimpinan negara masa depan.

Karisma kepimpinan dan ketulenan daya khidmat perlulah tinggi untuk menabur budi dan bakti kepada warga kampus.

Justeru pilihan raya kampus sepatutnya menjadi platform dan sanggar terbaik untuk tujuan itu.

Warga kampus tentunya tidak mahu dan menolak `pemimpin-pemimpin kangkung' yang hanya turun padang apabila musim pilihan raya tetapi lesap selepas menang.

Kepimpinan mahasiswa haruslah disinergikan berasaskan `kiambang bertaut' yang mempunyai susur galur teguh dan mantap walaupun selepas hari hujan.

Selain itu, ketelusan dan demokrasi pilihan raya kampus kali ini juga menjadi pertikaian dan mewujudkan polemik.

Dalam usaha membentengi pengaruh atau anasir luar yang kononnya didalangi pembangkang ternyata keterlibatan parti politik kerajaan dalam pilihan raya ini agak mengecewakan.

Sekiranya wujud keperluan untuk pihak - pihak ini terlibat, lebih bijaksana jika platform kerajaan secara rasmi digunakan dan bukannya atas medium parti politik.

Lebih memburukkan keadaan apabila ketelusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dipertikaikan.

Selaku pihak yang dipertanggungjawabkan sebagai urusetia pilihan raya yang berfungsi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sikap berkecuali atau non - partisan perlu menjadi amalan.

Pihak HEP tidak sewajarnya terlibat dalam penentuan atau penajaan calon bagi mana-mana kelompok serta tidak cenderung pada mana-mana kelompok.

Ternyata ribut pilihan raya kampus ini mungkin akan menjadi cermin kepada pilihan raya umum pada tahun 2004 nanti.

Apa yang jelas pilihan raya kampus boleh dijadikan sanggar terbaik untuk memupuk nilai-nilai demokrasi yang matang di kalangan pelajar.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved