StatTrack
free web hosting | website hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Friday, March 15, 2002 11:42 PM

Politik samseng kampus


DR. ZUBAIDI AHMAD, Tampoi, Johor.

KITA selama ini amat bimbang dengan senario politik di kampus. Di mana-mana mahasiswa bercakap tentang perubahan. Namun perubahan yang diucapkan oleh mahasiswa adalah idea yang diceduk bulat-bulat daripada pembangkang.

Mahasiswa tidak mampu mengeluarkan model idea pembaharuan mereka sendiri. Mereka terus mengabaikan kreativiti minda mereka apabila berkiblatkan kepada suara-suara yang menentang dari luar kampus.

Tidak salah bagi mahasiswa bercakap tentang kepincangan masyarakat. Mahu atau tidak, kita mesti akur bahawa mereka dapat melihat senario politik tanah air dengan jelas.

Mahasiswa boleh bercakap tentang perubahan, penyelewengan, ketidakadilan atau apa-apa saja. Namun, mengapa mereka harus bercakap senada dengan ahli politik pembangkang? Mengapa mereka tidak berhujah dengan kemampuan mereka sendiri? Mereka menolak ruang yang lebih rasional dan akademik iaitu menganjurkan rundingan, perjumpaan, perbincangan atau apa sahaja yang lebih bermakna. Apakah jika mahu menjadi pembela rakyat, mahasiswa perlu berdemonstrasi?

Kita bersetuju bahawa setiap mahasiswa mempunyai idealisme masing-masing. Adalah janggal dan menjatuhkan martabat seorang mahasiswa jika mereka tidak mempunyai idealisme untuk diri sendiri, bangsa Melayu dan agama Islam. Mereka adalah golongan harapan yang menjadi pelapis kepimpinan sekarang. Mereka harus mempunyai jati diri, ketrampilan dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat.

Tetapi mereka haruslah mencari suatu platform agar suara mereka didengar oleh kerajaan. Platform itu semestinya mencerminkan ketinggian ilmu, kreativiti menyelesaikan masalah dan ketajaman fikiran memberikan usul-usul bernas kepada masyarakat.

Mereka tidak boleh mencari platform murahan di jalan raya. Tindakan menjerit di tepi jalan hanya menjatuhkan kredibiliti seorang mahasiswa. Itu bukan cara seorang mahasiswa. Diplomasi harus diutamakan.

Kita mungkin tidak dapat bezakan penjerit di tepi jalan raya itu adalah mahasiswa ataupun seorang 'kutu' yang mengambil kesempatan. Malah jika mahasiswa betul-betul berani, mengapa harus menggunakan sapu tangan atau kain serban untuk melindungi muka mereka. Dedahkan wajah bersama jeritan pendirian mereka.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selalunya dijadikan kambing hitam untuk menutup kelemahan minda mahasiswa. Mesejnya seolah-olah, jika mereka mahu menjadi pembela rakyat, mahasiswa mesti berdemonstrasi. Dan AUKU adalah penghalang besar kepada demonstrasi. Akhirnya kejumudan mahasiswa sekarang ialah disebabkan AUKU.

Jika benar-benar AUKU telah menjadi penghalang, mengapa hero mahasiswa di Baling tidak berbuat apa-apa kepada AUKU ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan. Walaupun didesak beberapa kali agar dihapuskan, beliau seperti tidak mahu melayan.

Kononnya semasa beliau menjadi pelajar dahulu, kerajaan tidak mahu mendengar suara mahasiswa. Ketika dia berkuasa, mahasiswa boleh diajak berunding. Demonstrasi tetap tidak dibenarkan. Beliau menyedari demonstrasi akan merugikan mahasiswa itu sendiri. Itu pandangan hero mahasiswa yang kuat berdemonstrasi. Soalnya sekarang, apakah platform demonstrasi masih relevan?

Mahasiswa haruslah menggunakan platform Majlis Perundingan Perwakilan Pelajar (MPPP) iaitu semua perwakilan dari setiap universiti dan kolej sama ada awam atau swasta dipanggil dan diajak berunding. Malah jika perlu, setiap universiti juga boleh diwakili oleh pemimpin pelajar dari persatuan bukan politik, seperti persatuan anak negeri dan persatuan kebajikan kampus. Dengan ini suara mahasiswa tidak hanya diwakili oleh segelintir mahasiswa yang menang dalam pilihan raya kampus.

Pemimpin mahasiswa yang tidak terlibat dalam politik juga mempunyai pengaruh dalam kampus. Mereka juga berhak untuk meluahkan pendapat.

Sebilangan besar bukannya tidak mahu mengikuti arus politik kampus. Mereka sebenarnya telah bosan dengan politik kampus yang semakin kotor. Mereka bosan dengan isu kafir-mengkafir yang bukan saja melanda Universiti Utara Malaysia (UUM) tetapi juga Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketika pilihan raya kampus baru-baru ini.

Apa guna mereka menjebakkan diri dalam politik kampus, jika akhirnya mereka dituduh kafir dan munafik. Apa guna melibatkan diri dalam kepimpinan mahasiswa jika akhirnya mereka diperalatkan oleh sebahagian pihak di luar kampus. Elok saja buat kerja masing-masing mentelaah buku.

Kepimpinan mahasiswa yang ada sekarang tidak akan menang tanpa dibantu oleh orang dari luar kampus dan juga dari kalangan kakitangan universiti sendiri. Mereka dibantu oleh ahli-ahli politik di kawasan berhampiran kampus mereka. Mereka mendapat latihan dan maklumat dari mereka yang tinggal di luar. Maka semestinya mereka ini terlalu liat semangat dan pemahamannya.

Selain itu ada juga kakitangan universiti yang membantu sama ada secara langsung atau tidak. Ada yang membantu mereka menyusun strategi pilihan raya dan menyediakan surat-surat layang. Bagi kakitangan yang takut kedudukan mereka terjejas, mereka hanya menutup mata apabila mahasiswa melakukan keganasan politik.

Mereka mengeluarkan surat layang dengan cap rasmi dari jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) secara palsu seperti yang berlaku di UTM. Pada hal HEP tidak membenarkan sama sekali segala surat layang yang tidak bertanggungjawab itu.

Namun persoalannya, di manakah mereka memperoleh cap HEP kalau bukan daripada orang dalam yang membantu? Surat yang sebegini tentu saja akan mempengaruhi mahasiswa kerana kononnya telah disahkan oleh HEP.

Apa yang membimbangkan kita sebenarnya bukannya suara kecil ini. Mereka terlalu menonjol sehinggakan kampus seperti dikuasai oleh pembangkang. Namun sebenarnya bilangan mereka adalah kecil. Apa yang kita bimbang ialah mahasiswa semakin tidak rasional dan tidak layak menjadi mahasiswa.

Kita mahukan mahasiswa menjadi kumpulan terpelajar yang mampu memberikan idea dalam menangani isu masyarakat setempat. Namun apa yang terjadi, mahasiswa hanya mampu menurunkan apa saja yang ditunjukkan oleh orang luar. Mereka tidak mampu mewujudkan isu setempat di kampus. Jika ada pun hanyalah isu-isu remeh yang mampu dikemukakan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah.

Mahasiswa sekarang tidak lagi seperti mahasiswa dahulu. Mereka terlalu banyak sangat diberikan input penentangan sehingga mereka tidak mampu berfikir secara rasional. Universiti tidak mampu lagi menjadi tempat golongan pemikir yang dibanggakan. Akhirnya universiti hanya melahirkan golongan ahli teknik yang hanya tahu membuat kerja tetapi tidak mampu berfikir.

Melahirkan mahasiswa yang mampu mengimbangkan diri supaya tidak diperalatkan memerlukan pembacaan yang meluas. Tidak cukup hanya membaca majalah cerpisan politik yang rata-ratanya berpihak kepada pembangkang. Mereka harus meluaskan pembacaan. Memfokuskan pemerhatian mereka kepada suasana politik di Malaysia sahaja akan menjumudkan pemikiran mereka.

Mereka perlu melihat akibat daripada ketidakstabilan negara Indonesia dan Filipina angkara jahat demonstrasi mahasiswa. Mereka sangka mereka melakukan perubahan tetapi mereka melakukan kemusnahan.

Mahasiswa perlu memikirkan isu kampus dengan lebih baik lagi. Bagaimana hendak menyelesaikan masalah pembayaran pinjaman misalnya. Mahasiswa tidak boleh menjadi golongan yang hanya membebel, merengek dan merintih. Mereka perlu menyediakan cadangan-cadangan yang bernas.

Mereka perlu mengadakan rundingan dengan pihak pentadbiran universiti. Sama ada mereka meminjam ataupun tidak, itu tidak menjadi persoalan, mereka harus memberikan pandangan untuk mencari jalan penyelesaian.

Jika soal yang melibatkan mereka tidak dapat diselesaikan dan dirundingkan, bagaimana pula dengan keghairahan mereka mencampuri urusan negara. Mereka lebih rela ditunggangi oleh parti pembangkang daripada melihat realiti dalam kehidupan mereka. Kerana itu tidak hairan ramai yang terus malap apabila meninggalkan universiti. Tanpa bantuan dan pertolongan daripada mereka yang di luar kampus, mereka tidak mampu untuk berdiri. Mereka telah menghabiskan masa di universiti dengan sia-sia.

Mereka harus bangun memperbaiki hala tuju, berfikir dengan lebih rasional dan meletakkan kecemerlangan akademik di peringkat teratas. Tiada siapa yang akan memandang mahasiswa jika perbuatan mereka sebagai ''samseng kampus'' dengan menjadi orang yang hilang pertimbangan dan meletakkan kemarahan di hadapan. Mahasiswa harus bangun dan jangan dibiarkan menjadi kuda tunggangan sesiapa.-


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved