StatTrack
free web hosting | website hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

   
ISU SEMASA is updated on Wednesday, January 16, 2002 9:13 PM

KRISIS BUDAYA ILMU


Oleh Nordi Achie, Berita Harian 8 Mac 2001


UNIVERSITI sebagai gedung khazanah ilmu berkembang pesat sejak akhir 1990-
an. Ia sejajar dengan cita-cita kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai
pusat kecemerlangan ilmu bertaraf dunia.

Sejak cawangan kampus Universiti Malaya (UM) dibuka di Kuala Lumpur pada
1959, universiti turut menghadapi pelbagai krisis. Antara yang paling
membimbangkan ialah krisis budaya ilmu dan mutu mahasiswa negara,
khususnya.
Sesungguhnya, masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada
mahasiswa. Mereka diharapkan menjadi graduan yang berilmu tinggi, mewarisi
kepemimpinan negara dan menjulang obor peradaban bangsa.
Ibu bapa pula mengharapkan mereka menjadi contoh keluarga dan masyarakat, mengubah nasib bangsa dan melestari masa depan negara. Arus perubahan dunia mansang dengan masif dari semasa ke semasa. Dari zaman sains teknologi, ledakan teknologi maklumat hingga ke era globalisasi mutakhir ini, warga universiti harus berada di barisan hadapan dalam perkembangan ini.
Sebagai sebahagian warga universiti, bahkan yang terbesar jumlahnya, mahasiswa juga berhadapan dengan realiti ini. Sebagai aset terpenting negara, mereka perlu peka dan bersedia menghadapi arus perubahan zaman.

Mereka bukan saja berperanan utama menangani cabaran perubahan zaman,
malah bertanggungjawab memacu negara ke arus perdana kemajuan dunia.
Sebagai harapan bangsa dan negara, semua ini adalah amanah dan
tanggungjawab yang amat berat bagi mahasiswa.
Namun, hakikatnya masyarakat tidak mengetahui secara dekat masalah
mahasiswa yang sebenarnya.
Apakah mereka dapat memenuhi harapan masyarakat iaitu menjadi graduan
bermutu, dada penuh dengan ilmu, bersedia menjadi pemimpin masyarakat dan
menerajui masa depan negara?
Apakah penyakit yang menghancurkan harapan bangsa dan negara yang
semakin kronik melanda mahasiswa dalam konteks pembudayaan ilmu?
Jika ditinjau keadaan kampus menjelang Februari, mahasiswa semakin sibuk
menelaah. Perpustakaan dijadikan perkampungan ilmu. Itupun hanya sebulan
dua.
Semua kerusi santai dan meja terbuka dipenuhi mahasiswa. Di dewan kuliah, bilik tutorial, perhentian bas, dataran terbuka, kolej kediaman, kantin dan taman kampus, mahasiswa kecoh berbincang. Di kedai fotostat, mahasiswa berbaris panjang. Fail di tangan berat dengan buku rujukan dan nota. Semuanya ini bukan menggambarkan kecintaan mahasiswa terhadap budaya ilmu tetapi menandakan demam peperiksaan akhir semester semakin terasa.
Semua kegiatan berpersatuan dihentikan sempena menghormati musim peperiksaan. Jika ada pun program yang dianjurkan, ia sukar mendapat sambutan.
Lazimnya, hanya segelintir penghuni kampus atau kolej menghadirinya.
Selebihnya, ahli jawatankuasa projek, perasmi, penceramah, peserta dan
wakil pihak pentadbiran. Suasana sebegini menyelubungi kampus setiap
tahun.
Selepas tamat peperiksaan, mahasiswa berduyun-duyun balik ke kampung.
Segelintir mengisi masa lapang dengan berbakti kepada masyarakat dan tidak
kurang juga yang hanya `menternak lemak' di rumah - rehat, tidur dan makan
minum. Ketika bercuti, mereka tidak membawa balik atau meminjam buku penting
untuk dibaca bagi menghadapi semester akan datang. Jika diperhatikan
jumlah buku di perpustakaan, pada masa inilah buku paling banyak tersimpan
di raknya. Ini amat menghairankan. Ia tidak menggambarkan mahasiswa mencintai ilmu pengetahuan.
Ada juga mahasiswa yang bekerja sambilan di bandar berhampiran. Masa
lapang mereka tidak pula diisi ke perpustakaan tetapi bersuka ria di sana-
sini.
Sebahagian kecil mahasiswa mengambil semester khas. Dalam tempoh tiga
bulan saja, mereka kononnya berjaya menguasai subjek yang diambil.
Bayangkan betapa cerdiknya mahasiswa!
Dapatkah ilmu dikuasai dalam masa tiga bulan? Ukuran mereka mudah, lulus
peperiksaan bererti berjaya. Inilah neraca pertimbangan mahasiswa yang
tidak mencerminkan kecintaan kepada ilmu.
Semata-mata untuk lulus segera, bayar yuran beratus ringgit, ambil satu
dua subjek dan kemudian lulus peperiksaan. Itu saja. Ini bukannya cara
untuk melahirkan mahasiswa berkualiti tetapi menambahkan jumlah `mahasiswa
mi segera'.
Dalam hal ini, mahasiswa tidak wajar dipersalahkan. Pentadbir universiti
dan pensyarah harus menilai semula keghairahan mereka melahirkan lebih
ramai mahasiswa dengan kadar segera yang diragui kualitinya.
Hasrat universiti untuk mengeluarkan lebih ramai graduan dari semasa ke
semasa tidak berguna jika kualiti mereka rendah. Ia bukan saja merugikan
mahasiswa, malah menghampakan masyarakat dan merugikan negara.
Universiti harus bersaing menghasilkan mahasiswa berkualiti, bukannya
dilihat dari aspek kuantitinya.
Di satu pihak pula, sesetengah pensyarah hanya merapu. Masuk lewat
keluar awal. Lebih malang lagi, ada pensyarah yang tidak tahu bersyarah. Dia hanya
tertunduk-tunduk membaca nota kuliah. Inikah gerangan mereka yang bernama
pensyarah di menara gading, seperti yang dipertikaikan sesetengah
mahasiswa?
Sesetengah pensyarah yang asyik dengan kuliahnya, kadang-kadang sengaja
bertanyakan soalan ringan. Malangnya, mahasiswa hanya tunduk membisu,
tersipu-sipu dan tersengih malu kerana tidak dapat menjawabnya.
Bukan seorang dua, semuanya sama. Ini menyebabkan pensyarah hilang mood
Hakikat ini juga berlaku dalam kelas tutorial. Apabila dibuka pertanyaan,
tidak ada soalan menyusul. Jika ada pun, kebanyakannya soalan `kaldai'. Seolah-olah, mereka menguasai tajuk yang dibincangkan. Jika ditanya soalan, tidak pula tahu
menjawabnya.
Ada juga mahasiswa diracuni oleh sikap cenderung meniru dan mengubahsuai
esei senior. Kebetulan pula, ada soalan esei tutorial tahun lalu yang sama
dengan tahun berkenaan.
Ini menyebabkan mahasiswa mengambil jalan mudah meniru dan
mengubahsuainya. Segelintirnya dapat dikesan, terutama yang meniru bulat-
bulat. Masalah ini berpunca daripada pensyarah juga.
Mereka sepatutnya memastikan tidak ada soalan ulangan. Pastikan soalan
sentiasa diperbaharui saban tahun. Jika ada soalan ulangan dalam tempoh 10
tahun, itu wajar diterima. Masalahnya ialah soalan tutorial berulang
setiap tahun. Hanya dua atau tiga soalan baru diketengahkan.
Melanjutkan pengajian ke universiti semata-mata untuk mendapat gaji
besar, pangkat tinggi dan status elit tidak ada ertinya jika dada kosong
dengan ilmu, tidak berkepemimpinan dan rosak akal budinya.
Tempoh pengajian di kampus harus digunakan bersungguh-sungguh untuk
menjadi insan berilmu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Di
bahu merekalah tersandarnya harapan negara dan masa depan Malaysia.
Mahasiswa Melayu-Bumiputera pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) amat bertuah.
Sebelum DEB, jumlah tenaga pengajar, pegawai tadbir dan mahasiswa Melayu
amat terhad.
Selepas DEB, pelbagai skim dan dasar dilaksanakan untuk menambahkan
jumlah tenaga akademik, pentadbir dan mahasiswa Melayu di universiti.
Mahasiswa Melayu-Bumiputera sewajarnya menginsafi kemunduran taraf
pendidikan generasi terdahulu. Keistimewaan akademik yang terpatri pasca
DEB harus dihargai.
Mereka mesti bersungguh-sungguh menuntut ilmu, bertungkus-lumus mencapai
kecemerlangan dan memartabatkan maruah bangsanya. Semuanya ini pertaruhan
di gelanggang universiti. Ia terletak sepenuhnya di tangan mereka.
Meletakkan masa depan negara semata-mata di bahu pemimpin tidak wajar.
Dalam konteks melahirkan golongan berpendidikan tinggi, ia adalah
tanggungjawab seluruh ummah universiti.
Pensyarah khususnya berperanan penting membentuk mahasiswa profesional
dan progresif yang akan berbakti kepada negara. Harapan dan peranan ini
mesti difahami oleh mahasiswa negara. Mereka adalah generasi pewaris tanah
air tercinta.
Kemajuan yang dicapai oleh negara tidak ada guna jika penyakit ummah
universiti tidak diselesaikan segera.
Universiti tidak akan dapat mengecapi utopia masa depannya sebagai pusat
kecemerlangan ilmu negara.
Masalah dan masa depan universiti terletak dalam tangan seluruh ummah
universiti. Merekalah yang bertanggungjawab mencorakkannya.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved

EMAIL: Idealis-Mahasiswa